Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

BOLEHKAH ISLAM DISECUCUKAN DENGAN SEMANGAT ABAD KE 20 ?

"Islam akan hancur kecuali jika ia disesuaikan dengan dunia moden". Inilah sebutan yang kerap kali berulang-ulang terbitnya dari mulut orang elite terpelajar moden dalam tiap-tiap negeri Islam. Mereka tidak pernah jemu mengingatkan bahawa kita tidak lagi dapat hidup seperti pada zaman lampau. Kita telah diajar bahawa adalah tidak realistik "memutar semula jarum jam kebelakang" sebab tidak apapun yang boleh menyekat aliran sejarah. Dengan demikian, kita tidak ada pilihan lain melainkan mensesuaikan kepercayaan kita dengan kehendak-kehendak masyarakat sekular yang terus berubah.

Supaya menjadi kuat, kita telah diberitahu bahawa kita mestilah menolak tafsiran Al-Quran yang berbentuk 'tradisional' dan sebaliknya memahamkan secara 'rasional' menurut kaca mata kehidupan moden. Semua pembaharuan-pembaharuan yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri-Negeri Islam mengandungi ini sebagai matlamat akhirnya. Kita akan cuba mengkaji segi-segi penting perkara ini dan kesan-kesannya terhadap masyarakat Islam.

Idea yang menakutkan

Oleh kerana idea pembentukan sebuah negara Islam merupakan satu perkara yang menakutkan dalam dunia yang penuh dikuasai oleh semangat opportunisma ini, maka golongan pemimpin terpelajar moden ini segera memberitahu kita bahawa kita mestilah menerima penghapusan jawatan khalifah sebagai sesuatu yang kekal dan jangan memimpikan kemungkinan pemulihannya pada masa akan datang. Politik dan pemerintahan yang didasarkan atas agama adalah dicap sebagai 'kolot'. Oleh itu, memperoleh tempatnya di dunia moden ini, orang-orang muslim mestilah mensecucukkan dirinya dengan pemerintahan keduniaan (secular rule).

Untuk menegakkan hujah tersebut, banyak buku-buku yang terus ditulis dalam negeri-negeri Islam tertentu meletakkan beban kesalahan ke bahu pemerintahan berkhalifah atas semua keburukan yang telah menimpa kita disepanjang zaman. Ia mendakwa bahawa sistem khalifah bukanlah benar-benar merupakan sebahagian dari ajaran Islam disebabkan perutusan Nabi (S.A.W) adalah semata-mata terhad untuk peribadatan sahaja. Beliau tidak pernah bercita-cita untuk memerintah. Hanya keperluan dan keadaan yang mendesak sahaja yang telah memaksa beliau berbuat demikian.

Lahirnya Intelek yang tidak jujur

Ketidakjujuran intelek kadang-kadang boleh membawa seseorang tenggelam lebih dalam ke lubuk kejahilan. Islam tidak boleh hidup dengan ketidakadaan sebuah masyarakat Islam dan sebuah masyarakat Islam tidak boleh selamat dengan ketidakadaan kepimpinan yang tersusun (organised leadership).

Oleh kerana syariat yang dianggap oleh golongan elite terpelajar moden kita sebagai satu yang telah ketinggalan zaman dan konsep keadilannya lebih rendah daripada sistem perundangan barat maka adalah dianggap hanya undang- undang sekular sahajalah yang dapat memajukan sosial masyarakat. Hukuman- hukuman yang ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah mengenai perzinaan, minum arak, judi dan riba telah dituduh sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan tetapi adakah keutamaan sesuatu undang-undang itu ditimbang dari keringanan hukumnya ? Adakah penjenayah-penjenayah lebih berhak beroleh simpati daripada masyarakat ? Nilai-nilai susila atau akhlak dengan tidak ada dukungan kuasa undang-undang dibelakangnya dengan segera akan merosot menjadi ungkapan kosong belaka.

Oleh kerana gagasan persaudaraan Islam sejagat yang mengatasi batasan-batasan bangsa, bahasa dan geografi adalah bertentangan dengan konsep keagungan kedaulatan kebangsaan dan dengan maksud untuk menyelaraskan dengan semangat abad ke 20 maka pemimpin-pemimpin terpelajar moden kita lalu menekankan bahawa konsep ummat mestilah digantikan dengan gagasan faham kebangsaan yang terbatas. Ini tidak syak lagi menghasilkan pemisahan dan pengasingan antara satu sama lain di kalangan yang berbagai-bagai keturunan.

Kebalikan daripada penegasan yang kita berasal daripada keturunan Islam yang serupa, pemimpin-pemimpin kita selalu mendewakan masa lampau yang agung yang Islam seakan-akan telah merebutnya daripada kita. Itulah sebabnya mengapa pihak nasionalis Turki telah mengecamkan zaman pemerintahan Othmaniah sebagai tempoh dimana berlakunya penghambaan oleh kebudayaan asing dan bahasa dan betapa serentak dengan itu juga Redha Shah Pahlavi telah menukarkan nama negeri 'Parsi' kepada 'Iran' negeri yang dikatakan sebagai negeri asal bagi bangsa 'Aryan'.

Islam ditolak diganti pula perjuangan kebangsaan

Faham kebangsaan adalah merupakan tembok di belakang usaha resmi penterjemahan Quran yang tidak langsung memakai teks bahasa Arab, pemakaian huruf latin oleh Turki, Malaysia dan Indonesia bersama-sama dengan penggunaan utama bahasa Inggeris dan pencuaian pemakaian bahasa Arab dalam sistem pelajaran di negeri-negeri Islam bukan Arab, ditambah oleh tuntutan kuat golongan nasionalis Arab terhadap penggunaan bahasa percakapan menggantikan bahasa klasik dalam kegiatan-kegiatan persuratan, semuanya telah mengakibatkan bahasa Al-Quran bertambah sehari bertambah sukar difahami oleh generasi yang baru mendatang. Tidak sahaja penterjemahan Al-Quran dengan ketiadaan teks Arabnya boleh menyempurnakan kehancuran ummat tetapi juga (barang dijauhkan Allah)tidak apat dielakkan akan merosakkan keaslian teks Al-Quran itu sendiri.

 

Disusun semula oleh:

Muhammad Khairi b. Khalid Abbas

1998