This letter has not been published by the paper yet

Pengarang Mingguan Malaysia
46, Jalan Dua
Off Jalan Chan Sow Lin
52000  Kuala Lumpur
                                                                          15 Oktober 1998

Saudara,

Sejak kebelakangan ini saya jarang membaca akhbar dengan teliti. Akan tetapi seorang teman telah menarik perhatian saya kepada sebuah artikel yang ditulis oleh Datuk Zainuddin Maidin (Zam) dalam Mingguan Malaysia, 11 Oktober 1998 (m.s. 6). Dalam artikel itu Saudara Zam menulis: "Dua Wajah oleh Syed Husin Ali menceritakan pengalaman(nya) di bawah tahanan ISA juga
tidak menyebutkan kekasaran polis terhadap(nya)....." Saudara Zam merujuk kepada buku saya yang menceritakan pengalaman saya semasa ditahan hampir enam tahun.

Saya percaya Zam benar-benar telah membaca buku Dua Wajah. Bukankah ada satu bab khas, bertajuk "Penyeksaan", yang menceritakan kekasaran yang telah dilakukan ke atas diri saya semasa dalam tahanan itu? Saya dikurung bersendirian selama lebih enam bulan dan disoal siasat berterusan tanpa tidur. Selain muka pernah diludahi, saya juga ditempeleng dan diacu dengan penumbuk.

Pada beberapa bahagian lain dalam buku itu saya juga menceritakan kekerasan lebih teruk yang dikenakan terhadap tahanan-tahanan lain. Ada yang ditendang, ditumbuk, dicucuh dengan puntung rokok belakangnya,  atau dicucuh dengan api zakarnya dan sebagainya. Pihak berkuasa tidak pernah menyangkal apa yang saya dedahkan dalam buku tersebut.

Hakikat bahawa saya dan orang lain diseksa tidak menafikan adanya orang yang tidak dipukul. Begitu juga hakikat lepas seorang demi seorang mengulang-ulang kenyataan yang sama bahawa mereka dilayan dengan baik dan secara profesional oleh polis, tidak bererti pula tiada siapa yang ditumbuk sehingga lebam sekeliling matanya. Bukan dua wajah bahkan kadang-kadang
banyak wajah yang dilihat oleh tahanan politik semasa mereka disoal siasat.

Saudara Zam mempunyai pengalaman yang banyak dan lama sebagai wartawan. Tentulah beliau mempunyai etika untuk melapur atau menyimpul sesuatu, dengan benar dan penuh tanggungjawab.

Wassalam,

Dr Syed Husin Ali

Parti Rakyat Malaysia (PRM)
42, Jalan Masjid (3/69), 46000 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Tel: 03-7918704, Fax: 03-7744531, E-mel: prm@po.jaring.my
Homepage: http//www.geocities.com/CapitolHill/Senate/1773/index.html