Saudara,
Nama saya Puan Ainon Mohd. No. KP 2662229 (lama) berusia 49 tahun, isteri kepada Prof. Abdullah Hassan. Profesion saya ialah konsultan dan jurulatih profesional bidang kreativiti dan pemikiran lateral. Antara lebih daripada 40 buah perbadanan awam dan swasta yang pelanggan perkhidmatan saya ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikandan Biro Pencegah Rasuah. Saya juga seorang pengarang lebih daripada 40 buah buku, di mana beberapa buah buku saya berkenaan kemahiran berfikir menjadi rujukan wajib di universiti-universiti tempatan.
Saya adalah salah seorang yang turut sama di dalam perhimpunan wanita didepan Istana Negara. Saya adalah wanita kedua yang mula-mula tiba di depan pintu masuk istana pada tepat jam tiga petang. Saya meninggalkan perhimpunan itu hampir jam 6 petang apabila suami saya datang menjemput saya. Gambar saya dan empat wanita lain yang duduk di atas rumput di depan pintu istana sedang dikerumuni oleh pegawai-pegawai polis yang cuba menyuruh kami beredar dari situ keluar di dalam berita jam 8 malam di NTV7 pada hari yang sama.
Saya bersumpah dengan nama Allah, saya tidak nampak walau seorang pun di antara wanita-wanita yang berhimpun pada hari itu yang mempunyai sebarang tanda-tanda personaliti bahawa dia seorang pelacur.
Sebagai seorang wanita profesional, mata saya tajam membaca personaliti wanita-wanita lain yang berhimpun pada hari itu. Daripada bahan baju mereka, kacamata, kasut dan jam tangan yang dipakai oleh wanita-wanita itu,daripada bahasa yang mereka gunakan, daripada cara mereka bercakap-cakap, dan daripada gaya pembawaan mereka serta tingkah-laku mereka, saya tahu bahawa majoriti wanita-wanita itu datang daripada kelas menengah Kuala Lumpur, dan mereka mempunyai kelulusan tinggi. Di atas bukit di mana kami berhimpun, terdapat beratus kereta yang berderet-deret, tentu sekali kereta-kereta itu adalah milik mereka, dan daripada jenis-jenis kereta ituia mencerminkan latar belakang ekonomi pemilik-pemiliknya.
Ramai di antara wanita-wanita itu datang ke perhimpunan tersebut dihantar oleh suami mereka kerana saya melihat ramai lelaki yang berdiri-diri dalam jarak beberapa belas ela jauhnya daripada tempat di mana kami berkumpul diatas bukit bertentangan dengan Istana Negara. Saya yakin lelaki-lelaki itu adalah suami-suami kepada sebahagian daripada peserta perhimpunan, di mana sebahagian daripada mereka di temani oleh kanak-kanak. Saya yakin mereka menjaga anak-anak mereka sementara isteri mereka sedang berhimpun untuk menyatakan apa yang terbuku di dalam hati mereka. Suami saya sendiri tidak menemani saya kerana beliau masih berkhidmat dengan kerajaan. Dari tempat di mana lelaki-lelaki itu berdiri, saya lihat mereka itu sentiasa memerhatikan kami seolah-olah mereka berjaga-jaga supaya kami sentiasa berada di dalam keadaan selamat kerana perhimpunan kami di kepung oleh berpuluh-puluh anggota polis beruniform dan mereka yang tidak beruniform. Di bawah bukit pula ada dua lori anggota FRU dan Polis Hutan yang siap sedia dengan perisai dan belantan.
Bagi pihak wanita-wanita lain yang bersama-sama saya di dalam perhimpunan itu, bagi pihak suami-suami mereka dan keluarga mereka, saya menuntut supaya Ketua Editor Utusan Malaysia dan Menteri Penerangan Malaysia menuntut maaf kepada kami, kepada suami kami, dan kepada keluarga kami melalui semua akhbar utama, stesen radio dan stesen tv tempatan, kerana memfitnah, menghina, mengaibkan dan menjatuhkan maruah kami dengan mengatakan bahawa kami adalah pelacur-pelacur yang di bawa daripada tempat-tempat lain oleh NGO, dengan di bayar antara RM 50 dan RM 60 serta disuruh berpakaian sopan pada hari itu untuk berlakon sebagai para penyokong Dato Seri Anwar Ibrahim.
Bagi pihak semua peserta perhimpunan itu, saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato' Kamaruddin Ali daripada Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur kerana membuat kenyataan menafikan laporan jahat itu dan membela kebenaran.
Terima Kasih,
Dato'.Ainon Mohd.
Pengerusi Eksekutif,
PTS Consultants Sdn. Bhd.
22 Oktober 1998