Surat Terbuka buat Dr Mahathir
 
 

7hb Oktober 1998
 
 

YAB Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad
Presiden
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
 
 

YAB Dato' Seri
 

PEMECATAN SEBAGAI AHLI UMNO
 

Didoakan semoga petunjuk dan hidayah diberikan Allah s.w.t kepada Dato' Seri agar tidak terus mengimmarahkan sistem pemerintahan yang zalim.

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah, di atas kejayaan Dato Seri, Daim, Sanusi, Megat, Aziz dan rakan-rakan yang lain dalam usaha menyingkirkan Dato' Seri Anwar dan sekaligus melenyapkan pengaruh gerakan Islam yang mula mendapat tempat dalam UMNO.

Mesyuarat MKT semalam (6/10/98) jelas memaparkan keangkuhan seorang presiden parti yang dengan sewenang-wenangnya memecat ahli yang tidak mempercayai pembohongan terancang yang didalangi oleh dirinya sendiri. Walaupun pada dasarnya, sepuluh ahli termasuk saya dipecat oleh MKT, tetapi saya yakin bahawa keputusan MKT UMNO itu sebenarnya tidak lagi mencerminkan keputusan ahli Majlis Kerja Tertinggi tetapi adalah keputusan peribadi Presiden parti.

Lebih menyedihkan lagi, bukan sahaja kami dipecat tanpa diberi peluang membela diri, malah kami difitnah terlibat secara langsung dalam gerakan anti UMNO. Saya dengan lafaz Wallahi bersumpah, bahawa saya tidak pernah terlibat sehingga tarikh saya dipecat dalam mana-mana gerakan anti UMNO. Sokongan saya terhadap perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah atas dasar keyakinan saya bahawa beliau sahajalah yang mampu diharapkan oleh rakyat Malaysia untuk membawa perubahan dalam sistem pemerintahan kuku besi Dato' Seri.

Gerakan Reformasi bukan merupakan satu gerakan anti UMNO, tetapi ianya merupakan satu gerakan massa yang menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit menuntut perubahan dalam sistem pentadbiran, perundangan dan kehakiman negara.

Sebagai seorang ahli parti yang turut membayar nilai yuran keahlian yang sama dengan Dato' Seri, saya mempunyai segala hak sebagai seorang ahli parti untuk menyatakan sokongan saya kepada mana-mana individu. Tindakan Dato' Seri memecat Dato' Seri Anwar memang tidak dapat saya terima sama sekali. Ia jelas mengambarkan ketakutan Dato Seri kepada bayang-bayang sendiri yang begitu khuatir ditentang oleh pejuang hak rakyat yang lebih bertenaga dalam pemilihan tahun hadapan. Demokrasi ala Mahathir ini langsung tidak mengizinkan mana-mana ahli parti berbeza pendapat atau menegur Presiden parti. Oleh itu saya mencadangkan agar Perlembagaan UMNO dipinda bagi memastikan tidak ada sesiapa boleh menentang Presiden parti selagi diktator tua itu masih hidup.

Janganlah tuduh kami anti UMNO, sesungguhnya cinta kami kepada UMNO sepuluh kali lebih tebal dari Dato' Seri sendiri. Itulah sebabnya saya tidak rela terus melihat UMNO dipimpin oleh seorang pemerintah autokrat yang tidak bertindak adil terhadap rakyat. Jika benar Dato' Seri benar-benar cintakan UMNO, sudah pasti Dato' Seri memahami perasaan rakyat yang sudah tidak memerlukan khidmat Dato' Seri dan menuntut agar Dato' Seri berundur dari jawatan Presiden dan Perdana Menteri. Rakyat terbanyak kini terlalu membenci Dato' Seri dan mula memandang hina terhadap UMNO. Saya merayu kepada Dato' Seri, janganlah biarkan UMNO dihukum disebabkan keangkuhan Dato' Seri. Jika benar Dato' Seri pernah mempunyai niat untuk bersara dan menyerahkan kerusi Presiden kepada Dato' Seri Anwar, kini dengan penahanan beliau, mengapa tidak jawatan itu diserahkan kepada Dato' Seri Najib atau Dato' Seri Abdullah? Adakah Dato' Seri tidak yakin dengan mereka? Jika mereka tidak Dato' Seri yakini sebagai pengganti, kenapa Dato' Seri begitu rakus menyingkirkan Dato' Seri Anwar tanpa memikirkan apakah nasib anak bangsa selepas ketiadaan Dato' Seri. Adalah mustahil untuk Dato' Seri menyerahkan tampok pemerintahan negara kepada orang lain selagi masih hidup. Dato' Seri hanya memikirkan bagaimana untuk mengukir nama sahaja, jambatan terpanjang, lapangan terbang tercanggih, menara berkembar tertinggi, Multimedia Super Corridor, Perdana Menteri paling lama dan macam-macam lagi.

Pada firasat saya, tindakan Dato' Seri untuk tidak melantik TPM yang baru adalah untuk memastikan cita-cita Dato' Seri untuk menjadi pemimpin yang membawa Malaysia ke abad baru tercapai tanpa diganggu-gugat. Saya ingin menasihatkan kepada Dato' Seri, belum tentu strategi Dato' Seri untuk membiarkan mereka bercakar bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pada tahun hadapan akan membawa makna kedudukan Dato' Seri sebagai Presiden tidak akan dicabar.

Adakah Dato' Seri fikir rakyat bodoh dan terperdaya dengan kata-kata Dato' Seri yang sebelum ini pernah melahirkan niat untuk bersara? Saya yakin, rakyat boleh berfikir. Mana mungkin orang yang hendak bersara bisa membina Istana bernilai RM 200 juta dengan perhiasan dalaman tercanggih di dunia hanya untuk dinikmati oleh penggantinya. Dan bodohkah rakyat untuk mempercayai bahawa Dato' Seri benar-benar ikhlas membina Memorial Tunku Abd Rahman untuk menghargai jasa Almarhum Tunku Abdul Rahman . Kita sedia maklum Dato' Seri sememangnya membenci beliau dan pembinaan Memorial itu semata-mata mengharapkan memorial yang jauh lebih besar dan hebat untuk Tunku Mahathir. Rata-rata rakyat sudah menyedari hasrat Dato' Seri untuk kembali ke rahmatullah dalam keadaan gilang-gemilang iaitu sewaktu masih menjawat jawatan Perdana Menteri bagi mendapatkan liputan dan sambutan penuh istiadat.

Beristifarlah Dato' Seri, janganlah terlalu mengharapkan keagungan yang hanya wajar diberikan kepada Allah s.w.t. Jangan biarkan rakyat terus membenci Dato' Seri sehingga cucu-cicit Dato' Seri menerima cemuhan mereka. Ini akhirnya menyebabkan keturunan Dato' Seri sendiri kencing di perkuburan Dato' Seri sebagai tanda kesal mendapat seorang moyang yang zalim.

Untuk itu saya menyeru pada Dato' Seri, hentikanlah kezaliman ini. Bertaubatlah kepada Allah s.w.t. Kembalikanlah Dato' Seri Anwar Ibrahim ke pangkuan rakyat. Walaupun beliau terpaksa menjalani pembicaraan yang kita sedia maklum Hakim-hakim yang mengambil kes beliau sebahagiannya memang sengaja ditukarkan ke situ untuk memastikan Dato' Seri Anwar kecundang, tapi janganlah membiarkan beliau terus ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Sesungguhnya beliau adalah seorang pejuang dan tidak gentar untuk menghadapi keadilan di Mahkamah. Tidak seperti sesetengah pemimpin yang sudah menyediakan pesawat untuk melarikan diri bersama-sama dengan doktor peribadinya .

Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa saya dan rakan-rakan yang lain tidak pernah berniat untuk menentang UMNO, apa yang kita perjuangkan adalah Reformasi yang mampu memperkukuhkan lagi UMNO. Bersama-sama ini saya lampirkan salinan pita video yang dapat memperkukuhkan lagi hujah saya bahawa Gerakan Reformasi bukan Gerakan Anti UMNO.

Sekian. Maaf di atas segala keterlanjuran bahasa. BERUBAHLAH SEBELUM RAKYAT MERUBAH.
 
 

PEMUDA PEMANGKIN GERAKAN REFORMASI
 
 
 
 

LOKMAN NOOR HAJI ADAM
 

s.k. Pejuang-pejuang UMNO