13 Oktober 1998
Penahanan Presiden JIM, Tuan Hj. Saari Sungib di
bawah Akta
Keselamatan dalam Negeri
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ingin merakamkan
rasa amat dukacita di atas penahanan Presiden kami, Tuan Haji
Saari Sungib semalam, 12 Oktober 1998.
JIM, sebuah badan dakwah yang dianggotai oleh lebih
enam ribu orang ahli,kebanyakannya lulusan institusi pengajian tinggi dalam
dan luar negara, telah menyumbang bakti kepada masyarakat melalui
penglibatan dalam bidang pendidikan Islam, pembangunan
wanita, memupuk remaja berwibawa dan khidmat kaunseling. Krisis politik
yang telah dicetuskan oleh cara pemecatan Timbalan Perdana Menteri telah
membuat JIM terpanggil untuk bersama-sama berusaha menegakkan keadilan
dan menentang kezaliman.
Kami amat kesal bahawa perbalahan dalam parti UMNO telah menyeret institusi-institusi kerajaan terutamanya kehakiman dan polis serta orang ramai yang prihatin, ke dalam kesusahan yang sama sekali tidak diperlukan oleh negara yang menghadapi kegawatan ekonomi. Krisis politik ini telah menjadikan rakyat yang setia sebagai "pengkhianat", dan pencinta keadilan sebagai penggugat keamanan negara.
Dalam masa yang sama JIM gembira dengan sambutan masyarakat yang menunjukkan sebilangan besar daripada rakyat amat prihatin, cintakan keadilan dan sanggup berdiri untuk menyatakan pendirian.
Kami dengan ini ingin menyatakan pendirian berikut:
1.Kami amat kesal dengan penahanan Presiden kami di bawah suatu undang-undang yang zalim. Kami menyeru agar beliau dibebaskan serta-merta dan tanpa syarat atau dibicarakan di mahkamah terbuka.
2.Kami yakin bahawa penahanan Presiden kami akan menaikkan lagi semangat dan membulatkan tekad ahli untuk terus berusaha menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.
3.Dalam ketiadaan Presiden kami, JIM akan dipimpin secara kolektif dan musyawarah dengan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Mohamed Hatta Shaharom (Timbalan Presiden) dan dibantu oleh kedua-dua Naib Presiden, Saudara Zahir Hassan dan Saudara Zaid Kamaruddin.
Jawatankuasa Pusat dan semua ahli JIM akan terus melipatgandakan
usaha-usaha pengislahan yang telah selama ini dijayakan
bersama-sama masyarakat. Kepada Allah kami berserah.
Allah yang Maha Agong dan Maha Pantas Menghukum.
Prof. Madya Dr. Mohamed Hatta Shaharom
Timbalan Presiden