KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Umno yang dipenjarakan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan akhbar kedua dari penjara bagi menjelaskan bahawa beliau tidak meluluskan pelan 'multi bilion' ringgit untuk Renong Berhad.
Kenyataan itu menafikan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bahawa Anwar telah memberikan kelulusan untuk pelan tersebut sebelum dia dipecat sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri pada 2 September lalu.
Dalam kenyataan yang dibacakan oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah dalam sidang akhbar di rumah mereka, Anwar berkata, Pengerusi Renong, Tan Sri Halim Saad memang telah memberi 'penjelasan awal secara lisan'.
"Saya mencadangkan agar beliau menyerahkan cadangannya kepada Bahagian Kewangan Perbendaharaan dan juga pihak berkuasa yang lain.
"Adalah tidak benar sama sekali kenyataan Perdana Menteri bahawa saya telah memberikan kebenaran.
"Bagaimanapun, saya tidak terkejut dengan kenyataan itu kerana Perdana Menteri sedang cuba untuk meyakinkan rakyat terhadap 'skim' menyelamat yang dibuat untuk keluarga dan suku-sakatnya," kata Anwar yang kini diberi nombor pengenalan banduan BSB TMR 8931.
Dalam kenyataan itu juga Anwar meminta kerajaan agar kepentingan orang awam diberikan keutamaan. Pertimbangan seharusnya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah berbanding dengan melindungi kepentingan orang kaya dan senang.
Anwar juga mendesak agar Menteri Kewangan meneruskan usaha memberikan bonus kepada kakitangan kerajaan.
Kerajaan merancang untuk mengeluarkan RM10.5 bilion dalam bentuk bon untuk menyusun semula Renong dan kontraktor yang rapat hubungannya dengan parti yang memerintah.
Renong, syarikat yang disenaraikan di BSKL kini dikatakan mempunyai hutang RM20 bilion-kira-kira lapan peratus dari semua hutang dalam sistem bank di Malaysia.
Berikutan pemecatan Anwar, Mahathir telah melantik dirinya sebagai
Menteri Kewangan Pertama dan Dato' Mustapha Mohamad sebagai Menteri Kewangan
Kedua.