Perisytiharan Permatang Pauh
 

Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud "tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami";

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat;

Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula;

Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

                    Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,
                    dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan
                    merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia
                    haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat
                    tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;
 
                    Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua,
                    yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin;
                    membersihkan institusi dan proses undang-undang dari
                    dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
 
                    Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui
                    proses demokrasi. Democrasi itu satu kemestian, kerana
                    semangat keadilan yang ada dalam diri manusia
                    membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan
                    manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu
                    kewajipan;
 
                    Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,
                    menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan
                    yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia
                    ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi
                    untuk memenuhi kerakusan individu;
 
                    Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan
                    penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh
                    segelintir golongan rakus dan mahakaya;
 
                    Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya
                    yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan
                    terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;
                    
                    Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke
                    zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana
                    kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin
                    persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan
                    keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.

Permatang Pauh
12 September 1998