Di alamat: Sekretariat Forum Malaysia UK & Eire, PO Box 32, Liverpool
L69
6DS, United Kingdom
_________________________________________________________________
DEKLARASI LIVERPOOL
(PENUBUHAN FORUM MALAYSIA UNITED KINGDOM DAN EIRE)
Tarikh: 27 Oktober 1998
Meyakini bahawa semua rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan kedudukan perlu bersatu menyokong usaha-usaha menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,
Meyakini bahawa mahasiswa Malaysia di luar negara turut berkewajipan berusaha menjana pembaharuan setakat yang terdaya,
Menyedari bahawa mahasiswa Malaysia di luar negara perlu terlibat dalam menyuarakan idea-idea membina demi untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat serta keamanan dan kedamaian tanah air,
Menyedari bahawa kami sebagai rakyat Malaysia mempunyai hak dan kewajipan untuk menyampaikan pandangan melalui apa-apa platform yang sesuai demi untuk kebaikan negara khususnya dan dunia amnya,
Maka kami yang tersenarai di bawah ini telah bersetuju untuk membentuk satu gabungan yang dikenali sebagai Forum Malaysia United Kingdom dan Eire.
Forum Malaysia United Kingdom dan Eire akan bergerak dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai objektif berikut:
1) Menimbulkan kesedaran dan keprihatinan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan akan betapa pentingnya perjuangan menegakkan keadilan serta memelihara keamanan negara
2) Mengembeling tenaga pelajar dan masyarakat Malaysia untuk menegakkan keadilan dan menentang segala bentuk kezaliman
3) Mewujudkan medan perbincangan berwibawa yang mampu menyebarkan pandangan membina daripada setiap pihak yang memperjuangkan keadilan.
4) Memberikan sokongan dalam apa jua bentuk yang mungkin kepada semua pihak yang berusaha untuk menegakkan keadilan yang menyeluruh
Kami yang menjadi ahli Forum Malaysia United Kingdom & Eire berikrar untuk bersatu hati, tenaga dan fikiran untuk sama-sama berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai setiap satu objektif yang digariskan.
Sebagai langkah pertama dalam merealisasikan objektif kami, kami
mendesak Kerajaan Malaysia agar memansuhkan dengan seberapa segera Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang seringkali disalahgunakan. Langkah
ini amat penting untuk memastikan prinsip-prinsip keadilan dapat ditegakkan
dengan sebenar-benarnya.
Haji Aminolhuda Hasan
Pengerusi FMUKE
Merangkap Mursyid HIZBI UK & Eire
FMUKE disertai oleh;
Al-Hizbul Islami United Kingdom &Eire (HIZBI)
Majlis Syura Muslimun United Kingdom & Eire (MSM)
MISG-ABIM United Kingdom & Eire
Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland (PPIMI)
Malay Speaking Circle Liverpool (MSC)
Malaysian Community Of Old Trafford, Manchester (MCOT)
Masyarakat Melayu Malaysia Birmingham (MMMB)
Balai Malaysia Newcastle
Persatuan Malaysia Wrexham, Wales