Sahabat-sahabat saya dalam negara telah memaklumkan kepada saya bahawa keahlian UMNO saya dan beberapa rakan yang mendukung Gerakan Reformasi telah digugurkan. Keputusan tersebut tidak sekalipun memeranjatkan.
Atas nama prinsip saya tidak akan merayu. Saya juga tidak berasa kecewa. Bagi saya UMNO hanyalah satu wadah perjuangan. Saya akan berjuang dengan mengunakan wadah yang lain, dan mungkin ianya lebih berkesan dan saya lebih mudah bergerak.
Saya akan terus berjuang untuk menegakan kebenaran, keadilan dan kebebasan. Saya akan terus menentang dan mendedahkan sikap munafik Dr. Mahathir Mohamad, seorang pemimpin yang menghina UMNO, orang Melayu dan Islam dengan mencarut dalam sidang akhbar yang disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia.
Apakah orang Melayu dan umat Islam mahu terus dihina oleh seorang pemimpin nyanyok?
Saya merayu kepada bonda Siti Hasmah Mohd Ali agar menasihatkan suaminya jangan terus menambah dosa. Memfitnah itu dosa besar. Memaksa orang membuat saksi palsu juga dosa yang besar. Kalau sayangkan suami,janganlah sekadar sayangkan batang tubuhnya didunia. Fikirkan nasib dan roh suami tersayang di dalam kubur dan di alam akhirat.
Saya tidak mengatakan Dr. Mahathir akan mati lebih awal dari saya. Mungkin saya mati lebih awal, justeru itu saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya dan guru-guru saya yang mendidik saya agar patuh kepada perintah agama.
Tiada yang lebih pasti bagi setiap yang bernyawa kecuali kematian. Dan Dr. Mahathir hanya tinggal sisa-sisa hayatnya. Kita pula mendengar sejak akhir-akhir ini tekanan darah beliau meningkat dan tidak mahu turun. Bertaubatlah. Mintalah maaf dari Saudara Anwar, Dr. Harun Din dan Ishak Baharum.
Sebagai langkat pertama untuk bertaubat Dr. Mahatir perlu letak jawatan dari semua jawatan parti dan kerajaan.
SAIFUDIN NASUTION ISMAIL
Bangkok
8 Oktober 1998