Kenyataan Akhbar Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail pada 21 September 1998 di Bangunan Mahkamah Jalan Bandar, jam 4.15 petang.

Saya dan peguam-peguam telah tiba dan menunggu di mahkamah di jalan Raja sejak 9:30 pagi, sehinga ini kami masih belum tahu apa yang sudah dan akan berlaku kepada Abang Anwar, apakah beliau akan didakwa atau ditahan di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri.

Saya mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong yang berhimpun secara aman di depan bangunan mahkamah. Malangnya pihak polis telah bertindak liar untuk menyuraikan perhimpunan tersebut. Pekerja-pekerja mahkamah, pejabat-pejabat berdekatan dan peniaga-peniaga menyaksikan bagaimana polis memukul dan menendang orang awam. Ini merupakan satu lagi bukti bagaimana pihak polis telah hilang pertimbangan dengan menyerang orang awam yang tidak bersalah.

Malam tadi pegawai-pegawai polis dari Unit Tindakan Khas telah merempuh rumah kami. Mereka masuk dengan menendang dan memecahkan pintu. Mereka bertindak seperti samseng untuk menangkap suami saya

Saya tidak faham mengapa mereka perlu bertindak seperti samseng kerana peguam-peguam Abang Anwar telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara telah mengatakan sekiranya mereka ingin menahan suami saya harap memberi tahu kami agar ia boleh dilakukan secara aman dan terhormat.

Anggota Unit Tindakan Khas memberitahu kami bahawa mereka bertindak mengikut arahan. Mereka diarah merempuh rumah kami. Saya tidak menyalahkan keterlanjuran polis yang merempuh rumah kami. Saya memaafkan mereka. Tetapi saya menuntut penjelasan dari Menteri Dalam Negeri adakah beliau beliau mengarahkan polis bertindak seperti samseng.

Sekiranya Dato' Seri Dr. Mahathir berfikir dengan mengarahkan pihak polis bertindak seperti samseng beliau boleh menakutkan rakyat dari menyertai gerakan Reformasi maka beliau adalah bermimpi. Bahkan rakyat semakin marah kepada beliau dan lebih bertekad untuk menjayakan gerakan reformasi. Jelas sekali bahawa Dr. Mahathir kini telah menjadi
"political desperado" yang sanggup menindas rakyat sekadar untuk terus berkuasa. Dr. Mahathir telah hilang keyakinan dari
rakyat.

Sekali lagi mengulangi tuntutan rakyat bahawa Dr. Mahathir perlu meletak jawatan.