Malaysia sedang bergelut dengan cabaran yang amat getir. Ketakjuban ekonomi yang dibanggakan selama ini lebih merupakan satu fatamorgana, bagai satu impian yang indah. Kini kita dikejutkan oleh gigitan kenyataan yang pahit.
Rakyat akan menderita akibat kegawatan ekonomi. Ramai yang akan menganggur. Jumlah yang miskin akan meningkat. Maka kita perlu menggembleng kekuatan dan daya tahan rakyat untuk menangani kegawatan.
Tetapi percayalah kemelut ekonomi hanyalah satu daripada segugusan cabaran yang kita hadapi. Kita berhadapan dengan masalah politik, masalah sosial, masalah budaya, masalah akhlak. Setiap masalah ini kalau dibiarkan akan menjadi busuk. Kesemuanya menuntut pemerhatian dan perlu diselesaikan dengan bijaksana dan mengikut keutamaan.
Kita juga berhadapan dengan sekumpulan masalah yang terbit dari lahirnya zaman baru. Kegawatan ekonomi bukanlah punca kepada penderitaan sekarang, tetapi akibat kegagalan kita membuat penyesuaian terhadap zaman baru. Kita sudah memasuki zaman baru. Zaman globalisasi. Era ledakan maklumat. Kita tidak mungkin menangani cabaran ini tanpa membuat perubahan.
Masa untuk melancarkan reformasi sudah tiba. Kita perlu ada agenda yang jelas. Kita juga yang akan menentukan cara, kaedah, rentak dan kelajuan reformasi. Reformasi adalah cetusan tuntutan dari dalam, bukan tekanan dari luar. Dari perspektif Islam ialah adalah tuntuan al-Qur'an seperti yang terungkap dalam surah Hud: .... "Tidaklah apa yang aku mahu melainkan untuk menjayakan islah sedaya upayaku."
Justeru itu jangan ada golongan yang cuba melemparkan tuduhan bahawan ia merupakan satu konspirasi dari luar. Kita menentang sebarang konspirasi. Kita adalah patriot Malaysia. Kita menentang konspirasi dari luar. Kita juga akan memerangi konspirasi dari dalam. Kita memerangi kezaliman dari luar. Tetapi kita juga wajib memerangi sebarang kezaliman dalam negara dan di tengah-tengah masyarakat kita. Persoalannya bukanlah Timur atau Barat, Utara atau Selatan. Persoalannya ialah keadilan. Kita perlu menentang kezaliman, apakah ia datang dari Timur mahupun ia datang dari Barat.
Rakyat menuntut reformasi. Suara reformasi adalah suara rakyat. Jeritan hati nurani umat. Tetapi ada segelintir yang cemas dengan gelombang reformasi. Mereka adalah golongan rasuah yang takut jenayah mereka didedahkan. Golongan yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan gementar. Golongan saudagar mewah yang rakus melonggok kekayaan melalui amalan nepotisme dan kronisme seperti cacing kepanasan.
Janganlah tertipu dan terpedaya dengan golongan yang takut dengan gelombang reformasi. Mereka ini ketandusan idea, asyik mendendangkan lagu lama. Mereka takut dengan zaman baru. Justeru itu mereka mencipta momok untuk menakut-nakutkan rakyat. Hanya kanak-kanak boleh ditakutkan dengan momok. Kita sudah 41 tahun merdeka. Sebagai bangsa merdeka kita sudah dewasa.
Rakyat perlu bersatu untuk menghadapi zaman baru. Tetapi perpaduan rakyat mengalir dari perpaduan pemimpin. Rakyat berdiri di belakang pemimpin. Mereka tidak akan berpecah kalau pemimpin tidak bercakaran sesama sendiri. Perpaduan yang perkasa tidak akan diperolehi jika pemimpin sentiasa berkhutbah tentang perpaduan tetapi membiarkan anasir yang melagakan-lagakan pemimpin bertindak sesuka hati di depan matanya.
Sejak saya dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO saya sentiasa mengulangi kesetiaan saya kepada Presiden parti. Saya yakin dengan kebijaksanaan ahli-ahli UMNO. Bila mereka diminta untuk membuat keputusan, terutamanya di saat-saat genting, mereka akan membuat keputusan yang bijaksana. Mereka mahukan kestabilan dan perpaduan dalam parti. Mereka mahukan parti sentiasa diperkukuhkan dan diberi kekuatan baru dengan menyusuan peralihan pemimpin dari yang lama kepada yang baru.
Bagi saya kestabilan dan perpaduan parti tidak boleh diganggu gugat. Maka sejak saya dipilih sebagai Timbalan Presiden saya sentiasa mengulangi kesetiaan saya kepada Presiden. Ini saya lakukan di dalam Majlis Tertinggi dan di dalam perhimpunan. Ada rakan-rakan yang menegur dan berpendapat pengulangan tersebut jika dibuat terlalu kerap ia akan kehilangan makna. Tetapi pendirian saya ialah saya akan lakukan apa saja untuk perpaduan parti.
Tetapi perpaduan itu untuk apa? Ia sudah tentu untuk memberikan kekuatan untuk menjaya agenda mengangkat darjat dan martabat umat. Kita berdepan dengan dunia baru, suasana baru. Kita bakal memasuki alaf baru. Cabaran baru datang dan kita tidak akan dapat menanganinya dengan cara lama. Kita perlu berubah. Kita perlu lakukan reformasi. Islah itu satu tuntutan. Sebab itu semasa memberi ucapan penggulungan di tahun saya dipilih sebagai Timbalan Presiden saya tegaskan bahawa saya bersama rakan-rakan yang lain teguh menyokong Presiden, maka lakukanlah perubahan untuk meningkatkan martabat umat.
Tetapi golongan jumud dan mereka yang terasa diancam oleh reformasi tidak pernah berhenti berusaha untuk menghalang usaha reformasi. Justeru kerana merka ketiadaan idea untuk memberikan jawapan kepada tuntutan reformasi, mereka mencipta helah dan "diversion" untuk mengalihkan perhatian rakyat dan berusaha menimbulkan kekeliruan terhadap persoalan sebenar yang memerlukan pemerhatian dan pertimbangan. Pada mereka tuntutan reformasi boleh dicemarkan dengan mencemarkan kewibawaan pribadi pendukungnya. Apabila gelombang reformasi tidak boleh mereka tahan lagi maka bermulalah taktik kotor untuk mencemarkan kewibawaan pribadi pendukung reformasi.
Serangan fitnah terhadap pribadi saya adalah satu konspirasi politik. Mereka sedar bahawa saya tidak boleh ditewas secara terhormat di gelanggang politik yang demokratis. Maka mereka menggunakan taktik hina agar kelayakan saya untuk memasuki gelanggang dilucutkan. Saya menyedari wujudnya konspirasi ini lebih setahun yang lalu. Bermula dengan berita palsu dari kilang khabar angin, kemudian dengan surat layang yang disebarkan secara besar-besaran sehingga sampai ke cawangan-cawangan UMNO. Masjid-masjid juga turut dicemari dan tidak terlepas dari menjadi sasaran surat layang fitnah tersebut. Saya tidak punya pilihan kecuali ke mahkamah untuk mendapatkan injunksi untuk melarang pengedarannya. Berbeda dengan surat layang, buku tersebut ada pengarang dan penerbit yang seolah-olah berani bertanggungjawab terhadap segala tuduhan yang dibuat. Seandainya tindakan sebegitu tidak diambil ia pasti akan memberi tanggapan bahawan isi kandungannya adalah benar. Isu fitnah ini juga telah dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Gerakan fitnah untuk mencemarkan kewibawaan pribadi saya ini didalangi oleh tokoh-tokoh kaya yang lemas dengan gelombangan reformasi, melibatkan tokoh yang merasai terpinggir dan terpecat, bahkan melibatkan jawatan tinggi politik dan jentera pemerintahan.
Saya memasuki gelanggang politik hanya bermodalkan idealisme dan kewibawaan peribadi. Akhlak dan peribadi adalah soal utama kerana tanpanya idealisme akan menjadi satu kepura-puraan. Justeru itu apabila peribadi saya diserang saya tidak melihatnya sebagai satu permainan politik. Maka saya membuat aduan polis tentang fitnah tersebut. Apabila penyiasatan bermula ternyata ia mengheret beberapa tokoh politik. Perdana Menteri meminta saya tidak memanjangkan perkara tersebut. Demi untuk menjaga kestabilan parti saya akur dengan nasihat Perdana Menteri. Saya juga berterima kasih kepada beliau kerna membela saya pada tahap tersebut. Saya ingatkan dengan penjelasan Perdana Menteri perkara itu tamat. Saya terperanjat apabila fitnah tersebut muncul semula dengan lebih dahsyat dan berani. Surat layang dibukukan dan fitnah baru ditambah untuk disebarkan secara meluas di perhimpunan agung UMNO baru-baru ini. Saya bukan sahaja dituduh melakukan kegiatan tidak berakhlak, tetapi jugak terlibat dalam pembunuhan dan menjadi agen asing. Saya tidak punya pilihan kecuali untuk membawa perkara ini ke mahkamah untuk mendapatkan pengadilan.
Dengan mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan perkara tersebut, saya ingatkan perkara tersebut telah selesai. Saya terperanjat apabila mendapat maklumat beberapa hari sebelum perhimpunan UMNO yang lalu bahawa seorang yang bernama Khalid Jafri telah menulis buku yang memuat segala kandungan fitnah dalam surat layang dan puluhan ribu buku tersebut akan ditaburkan di perhimpunan.
Saya telah memaklumkan sejak daripada mula kes buku ini timbul kepada pihak Peguam Negara tentang perkembangannya. Peguam Negara nyata kurang puas hati terhadap tindakan saya mengambil injunksi dan tindakan sivil. Saya jelaskan bahawa berbeda dengan surat layang, buku tersebut ada pengarang dan penerbitnya. Bagaimanapun saya berpuas hati dengan jaminan Peguam Negara bahawa pihaknya akan memastikan supaya siasatan rapi akan dilakukan untuk mendakwa penulis di bawah jenayah fitnah.
Saya juga memberi jaminan akan bekerjasama dengan pihak polis. Ketua Polis Negara pula menugaskan seorang pegawai kanan untuk mengetuai pasukan siasatan dan beliau mengulangi kenyataan bahawa kandungan buku adalah "hambar" dan "rubbish".
Saya akui bahawa setengah pihak tidak cenderung dengan tindakan-tindakan yang saya ambil dengan membuat laporan kepada polis dan tindakan mahkamah. Mereka menganggap buku tersebut sewajarnya ditolak sebagai tidak munasabah, tapi saya merasakan perlu mengambil tindakan kerana buku tersebut bukan sahaja mengulangi fitnah yang terkandung dalam surat layang tetapi juga mengaitkan saya dengan pembunuhan, ajen negara asing dan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Bahkan penulis dan pengedar buku tersebut membuat kenyataan terbuka dengan mengatakan sekiranya segala tuduhan mereka tidak benar mengapa saya tidak mengambil tindakan terhadap mereka. Mereka dengan lantang mengatakan bahawa saya tidak berani mengheret mereka ke mahkamah kerana kononnya takut segala rahsia saya didedahkan.
Peguam-peguam saya menegaskan bahawa siasatan terhadap laporan polis seharusnya mengikut prosedur biasa dan ia sepatut satu perkara yang tidak sukar kerana orang atau mereka yang disyaki adalah diketahui dan semua tuduhan mereka tercatat dalam sebuah buku.
Mereka sepatutnya yang terlebih dahulu patut disiasat. Mengikut undang-undang keterangan yang sedia pakai, adalah tanggungjawab mereka untuk membuktikan segala tuduhan mereka, membawa bukti-bukti sah yang boleh diterima oleh mahkamah, bukan sekadar khabar angin, kata umpatan, laporan pihak ketiga, atau cerita rekaan yang diedarkan dari kilang khabar angin.
Tetapi setelah siasatan polis berjalan selama satu minggu jelas kepada saya bahawa siasatan pihak polis bukan tertumpu kepada mencari bukti untuk pendakwaan mereka yang melakukan fitnah, tetapi tertumpu kepada menyelongkar peribadi saya. Saya seolah-olah menjadi orang yang disyaki. Peguam-peguam saya menasihati saya supaya mendapat penjelasan dari pihak KPN dan Peguam Negara. Saya bagaimanapun menegaskan kepada peguam-peguam saya bahawa saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kewibawaan dan kesaksamaan KPN dan Peguam Negara.
Mungkin tidak wajar bagi saya mengharapkan simpati dari sesiapa. Tetapi saya berhak mendapat layanan yang adil dan saya yakin saya akan mendapat layanan yang adil sekira jentera kerajaan patuh kepada etika profesyen masing-masing. Dari tindakan mereka seolah-olah ada "malice" terhadap saya. Siasatan dilakukan bukan lagi terhadap apa yang terkandung dalam buku, tetapi cerita-cerita yang merka kutip dari kilang khabar angin yang diterajui oleh ahli-ahli politik dan orang-orang kaya yang ingin meracuni hubungan baik kita berdua dan berusaha menumbangkan saya. Cerita-certia dalam buku tiba-tiba tenggelam, cerita-cerita baru timbul. Pihak polis seolah-olah telah hilang pertimbangan. Saksi-saksi ditekan supaya membuat kenyataan yang akan mengaibkan saya di mata ramai.
Penjelasan lebih terperinci tentang beberapa fitnah telah saya buat dalam surat-surat saya kepada Perdana Menteri bertarikh 25 dan 28 Ogos. Saya sedar bahawa saat ini pun pelbagai fitnah palsu yang baru mungkin sedang direka untuk dijaja ke merata negara.
Saya memperjuang masyakat madani, pemerintahan undang-undang dan ketelusan peraturan. Justeru itu saya mengikut segala prosedur dan tatacara. Saya tidak meminta sebarang keistimewaan bagi pihak saya. Tetapi saya menuntut keadilan.yakin kepada kemenangan jika tentera penguatkuasaan undang-undang dan institusi kehakiman tunduk dan patuh kepada etika dan profesionalisme institusi masing-masing dan tidak ditunggangi oleh mana-mana pihak, baik perniagaan mahupun politik.
Saya tidak pernah gentar dengan tuduhan dan saya akan menghadapinya. Pernah saya dituduh rasuah. Maka saya mengundang Badan Pencegah Rasuah untuk menyiasat saya. Kalau saya tidak rasuah kenapa saya perlu takut dengan BPR? Terdengar desas desus bahawa saya menggunakan kedudukan sebagai Menteri Kewangan untuk memberi saham kepada keluarga saya. Maka saya mengeluarkan arahan kepada bahagian pengagihan saham bahawa jika ada anggota keluarga saya yang memohon peruntukan saham, permohonan tersebut hendaklah secara otomatik ditolak.
Saya akan berjuang. Lebih 30 puluh tahun saya berjuang, sebagai seorang pelajar sekolah, sebagai mahasiswa universiti, sebagai belia dan sebagai ahli parti. Pelbagai cabaran saya hadapi, tidak ada yang mudah. Saya pernah memimpin pelajar memperjuangkan kemiskinan rakyat, mendaulatkan bahasa Melayu, menyemarakkan kesedaran Islam dan akhlak di kalangan belia. Saya pernah ditahan selama dua tahun tanpa bicara kerana membela nasib petani kebuluran di Baling. Saya tidak mahukan air mata. Saya mahu obor perjuangan terus menyala. Saya mahu adik-adik saya menjulang obor perjuangan dengan lebih tinggi. Saya tidak mahu adik-adik saya dan anak-anak saya hidup dalam ketakutan.
Suratan takdir di tangan Tuhan, tetapi usaha di tangan manusia. Tanggungjawab kita adalah untuk berjuang. Keadilan tidak akan datang kepada kita sebagai satu kurnia. Keadilan perlu diperjuangkan. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu mengubah apa yang ada dalam dirinya. Kalau sanubari kita penuh dengan ketakutan, kita akan hidup dalam ketakutan. Kalau kita nyalakan api perjuangan dalam dada kita, kita akan memiliki kekuatan untuk menegak keadilan, menghapus kezaliman. Kita perlu kekuatan untuk membanteras rasuah. Kita perlu kekuatan untuk menentang nepotisme. Kita perlu semangat juang dan nepotisme, rasuah, kezaliman dan penganiayaan.
Kita baru saja merayakan ulangtahun Kemerdekaan ke-41. Tetapi Merdeka bukan sahaja perlu dirayakan, tetapi terlebih penting ialah dihayati. Kita perlu merdeka dari segi politik, ekonomi dan budaya. Kita perlu merdeka dari penindasan dan kezaliman dari luar. Tetapi apakah makna kemerdekaan apabila penindasan dan kezaliman dari luar digantikan dengan penindasan dan kezaliman oleh anak bangsa kepada bangsanya sendiri.
Merdeka bukan sahaja dari segi politik tetapi juga dari segi jiwa dan pemikiran hamba. Kita semua adalah hamba kepada Allah SWT, justeru itu kita semestinya merdeka dari semua bentuk dominasi hamba ke atas hamba yang lain.
Kita perlu memerdekan diri iaitu dari akhlak terkeji, dari nafsu rakus untuk membolot kekayaan untuk diri peribadi, keluarga dan suku sakat. Kita perlu merdeka dari sifat suka mengumpat, mengeji dan menabur fitnah.
Saya menyeru semua rakyat Malaysia dari UMNO dan parti-parti
yang lain, generasi remaja, muda dan dewasa, pertubuhan-pertubuhan untuk
menghayati dan menampilkan semangat ini. Hanya dengan semangat ini
kita boleh menyerlah di abad ke-21 dan alaf baru.