Tarikh: 27 Oktober 1998
Al-Hizbul Islami (HIZBI) UK dan Eire amat kesal dengan tindakan tidak bijak pihak polis yang tidak menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman walaupun hak ini telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 10(1).
Tindakan ganas dan kejam pihak polis memukul dan membelasah rakyat yang menyertai perhimpunan aman di Kampung Baru telah menjejaskan kredibiliti pihak polis dan FRU yang memang telah sedia cacat. Kami ingin melahirkan rasa marah dan kesal terhadap tindakan ini dan kami menyeru pihak berkenaan supaya lebih bijak menggunakan kuasa dan akal yang diberikan oleh Allah dalam menjalankan tanggungjawab di muka bumi.
HIZBI amat kesal di atas kecederaan yang dialami oleh orang ramai serta kemusnahan harta awam mereka yang tidak bersalah. Pihak bertanggungjawab harus mengambil tindakan segera untuk memberikan pampasan sewajarnya kepada mereka yang telah dizalimi.
HIZBI juga menyokong sepenuhnya pandangan Majlis Gerakan Rakyat
Malaysia (GERAK) bahawa satu Jawatankuasa Penyiasat perlu ditubuhkan untuk
menyiasat kejadian ini. Jawatankuasa ini amat perlu kerana pada pandangan
umum, kekerasan dan keganasan yang berlaku di Kampung Baru adalah dimulakan
oleh pihak polis sendiri. Untuk menyiasat dakwaan ini, maka amat penting
supaya
Jawatankuasa ini ditubuhkan dan ahlinya mestilah terdiri daripada
mereka yang bebas.
HIZBI juga mendesak supaya Perdana Menteri mengadakan pilihanraya
dalam waktu terdekat untuk membuktikan dakwaan beliau bahawa mereka (pemimpin
UMNO dan BN) masih mendapat sokongan rakyat. Bagi kami, beberapa siri demonstrasi
dan sambutan yang diberikan oleh rakyat terhadap GERAK sudah cukup untuk
membuktikan bahawa parti pemerintah semakin kehilangan kepercayaan rakyat.
HIZBI yakin bahawa mereka yang tidak dipercayai oleh rakyat sama
sekali tidak layak untuk mentadbir negara.
__________________
Wan Saiful Wan Jan
Setiausaha Agung