
PENYANYI yang kini popular sebagai pelakon,Awie dalam diam-diam mengikat tali pertunangan dengan penyanyi genit Amy Mastura. Perwatakan semulajadi Amy yang `happy go lucky' dan mudah mesra dengan sesiapa saja ini telah menambat hati Awie untuk menyunting penyanyi kecil-molek ini sebagai teman hidupnya. Pilihan Awie itu pasti mengejutkan para peminatnya yang selama ini menyangkakan penyanyi yang sedang popular dengan lagu Yang Indah Hanya Sementara, Erra Fazira adalah teman istimewa Awie. Bagaimanapun inilah hakikat yang perlu diterima oleh para peminat Awie mahupun Erra memandangkan Awie sudah membuat keputusan bahawa Amy adalah bakal suri hidupnya.
Beginilah sebahagian daripada jalan cerita yang dipaparkan menerusi filem Tragedi Oktober yang akan memulakan penggambarannya beberapa hari sebelum bulan puasa nanti. Filem terbitan ME Communications dengan kerjasama Skop Productions ini buat pertama kalinya akan menggandingkan Amy Mastura dengan Awie sertaErra Fazira. Pengarah Tragedi Oktober, Yusuf Kelana mengesahkan bahawa Amy akan membintangi filem tersebut di samping Awie dan Erra.
``Amy sudahpun menandatangani kontrak untuk berlakon dalam filem Tragedi Oktober di pejabat Skop Productions semalam.'' ``Sebenarnya kami mengambil masa yang agak lama juga untuk memilih pelakon yang benar-benar sesuai untuk mendukung watak tunang Awie dalam filem ini. Kami cuba untuk menampilkan pelakon yang belum pernah digandingkan dengan Awie dalam mana-mana filem sebelum ini jadi kami rasa Amy Mastura adalah pilihan terbaik apalagi beliau sudah berpengalaman dalam bidang lakonan,'' katanya.
Amy Mastura memulakan kerier dalam bidang lakonan menerusi filem KLU (Kuala Lumpur University). Dalam filem arahan Ricky Uy terbitan Cineart Enterprises dan Solid Gold itu beliau digandingkan dengan Azhar Sulaiman. Selepas KLU, Amy berlakon pula dalam filem Impian terbitan Solid Gold di mana kali ini beliau sekali lagi berpasangan dengan Azhar Sulaiman.
Menurut Yusuf lagi, dalam Tragedi Oktober, Amy mendukung watak penting di mana beliau akan muncul sebagai gadis terpelajar yang sudah mengikat tali pertunangan dengan Awie. Meskipun dalam filem tersebut watak Amy tidak digambarkan sebagai seorang penyanyi namun salah sebuah lagu popular nyanyian beliau akan dipaparkan sebagai selingan dalam filem ini. Kata Yusuf, skrip filem Tragedi Oktober telah dihasilkan oleh Yusof Haslam dan diolah oleh panel skrip Skop Productions.
Sementara itu, Yusuf memberitahu satu majlis pelancaran filem tersebut akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 12 Januari ini.