Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

[Utusan Malaysia, 31-3-98]

Amy sedia perbaiki kelemahan

Pengalaman berlakon dalam lima buah filem belum cukup mematangkan Amy Mastura sebagai pelakon. Lantaran itu, dia mahu memperbaiki kelemahan dan sedia menerima kritikan dengan hati terbuka. ''Saya mungkin mempunyai sedikit bakat dalam lakonan tetapi bakat itu perlu sentiasa diasah. Walaupun lakonan saya sudah diterima peminat tetapi masih banyak kelemahan,'' akui Amy Mastura yang kini sedang menjalani penggambaran filem terbarunya, Puteri Impian II.

Amy Mastura masih kekal sebagai Puteri Nora dalam filem Aziz M. Osman itu. Tetapi, dia tidak lagi menjadi gadis kilang yang suka berangan-angan sebaliknya sudah bekerja sebagai penolong penerbit di sebuah stesen televisyen. Atas dasar tanggungjawabnya terhadap watak Puteri Nora, Amy Mastura sanggup melepaskan tugasnya sebagai pengacara MTV Syok kerana bimbang tidak dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap filem tersebut. Walaupun Amy terpaksa melepaskan tugasnya di MTV Syok tetapi dia masih boleh menimba pengalaman sebagai pengacara menerusi lakonannya dalam filem Puteri Impian II. Kata Amy, watak Puteri Nora bukan sahaja seorang penolong penerbit tetapi diberi peluang menjadi pengacara dalam satu rancangan bercorak berita. ''Saya rasa bertuah kerana masih dapat menimba sesuatu menerusi lakonan dalam filem ini. Dalam filem ini, Amy harus menjadi pengacara dan mungkin ia berbeza sedikit dengan cara di MTV Syok. Ini sesuatu yang baru dan baik untuk saya,'' jelasnya.

Selain sibuk dengan dunia lakonan, model barangan kecantikan Shiseido ini juga tidak melupakan kariernya sebagai penyanyi. Sebagai artis yang lebih dahulu dikenali sebagai penyanyi, Amy tetap memberi keutamaan kepada bidang nyanyian. ''Segalanya bergantung kepada keadaan. Jika peminat boleh menerima saya sebagai penyanyi dan pelakon, saya akan lakukan kedua-duanya sekali. Jika sebaliknya, terpaksalah Amy pilih salah satu daripadanya,'' ujar Amy yang kini berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu. Jelas Amy, dia tidak boleh tamak untuk menerima sebarang tawaran hanya kerana disogokkan watak utama atau bayaran yang lumayan. Yang penting bagi Amy adalah watak yang dapat meningggalkan kesan kepada penonton. ''Jika saya diberi watak utama tetapi watak itu tidak mencabar, saya akan menolaknya. Tetapi sebaliknya, jika diberi watak pembantu yang mampu menguasai filem tersebut, saya akan menerima tawaran tersebut,'' katanya.

Selain berbakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan juga sebagai pengacara, Amy Mastura mengakui apa sahaja perkara yang berhubung kait dengan seni akan menjadi minatnya. ''Saya memang minat banyak perkara tetapi tidak semua cabang seni itu boleh dilakukan. Contohnya seperti mencipta lagu, idea saya adakalanya datang secara spontan. Ketika itu, saya cuba juga mengingati melodinya dan atas bantuan rakan-rakan,'' katanya yang telah merakamkan lagu ciptaannya yang berjudul Puteri dalam album Puteri.

Oleh: ROZI ABDUL RAZAK

Berita Harian 31-3-98

Email: hazamil@yahoo.com