Takaful Nasional

Soal jawap insurans

Adakah insurans itu halal ? Majlis Fatwa 1972 telah mengharamkan insurans kerana ia mengandungi 3 unsur iaitu gharar, maisir dan riba. Khutbah yang disampaikan di Masjid Besar Shah Alam pada 12 Mei 2000 ada menyentuh perkara ini.. Kita ikuti pula persoalan yang dikemukakan kepada beberapa tokoh agama terkenal Malaysia mengenai perkara ini.

Apakah hukumnya seseorang Islam melaburkan wangnya dalam skim insurans nyawa untuk keluarganya dengan niat wang itu dapat menyara hidup keluarga apabila berlaku kematian atau bencana terhadap dirinya kelak ?

Jawapan oleh Ustaz Jaafar Salleh di Bacaria 27/05/1987

Menurut fatwa Mufti Johor, Almarhum Datuk Syed Alwi bin Tohir Al Hadad di dalam Kumpulan Fatwa Mufti Kerajaan Johor, jilid pertama halaman 253-254 bahawa hukum memberi atau menyimpan sebagai caruman ke dalam insurans nyawa adalah sama dengan riba bank, yakni haram hukumnya.

Menurut fatwa Mufti Kerajaan Terengganu, Almarhum Syed Yusuf bin Ali Az Zawawi di dalam Kumpulan Fatwa Mufti Kerajaan Terengganu, halaman 114 bahawa insurans nyawa adalah salah satu daripada perkara bid'ah dan ia tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.

Pada halaman 79, fatwa yang sama, Mufti Terengganu ini menegaskan bahawa beliau belum lagi berjumpa mana-mana ulama termasuk ulama mutaakhirin yang mengatakan insurans nyawa itu boleh diamalkan.

Mufti Brunei Darussalam di dalam bukunya Pandangan Islam jilid ke-4, halaman 54 dan di dalam kumpulan fatwanya bilangan 28, halaman 47, menghukumkan insurans nyawa adalah haram.

 

Apakah hukumnya seseorang mengambil insurans nyawa ?

Jawapan oleh Ustaz Dato Haji Ishak Baharom di Watan keluaran 12-15/08/1986

Mengambil insurans nyawa hukumnya haram.

 

Apakah hukumnya bagi seseorang Islam itu membeli polisi insurans dengan tujuan sebagai perlindungan sekiranya berlaku perkara buruk ke atas dirinya di kemudian hari ? Selain daripada itu, polisi itu juga diniatkan sebagai simpanannya pada masa depan.

Jawapan oleh Ustaz Datuk Ismail Kamus di Mingguan Perdana 26/09/1999

Insurans selain daripada yang dibolehkan seperti takaful adalah tidak halal kerana ia terlibat dengan unsur-unsur seperti berikut:

  1. Judi
  2. Riba
  3. Perniagaan yang tidak menurut dasar Islam atau dalam erti kata lain, terlibat dengan unsur yang bercanggah dengan syarak. Oleh itu, saudara sepatutnya cuba pindah kepada insurans yang berasas kepada hukum syarak.

 

Apakah hukum mengenai Insuran Hayat/Nyawa? Bagaimanakah insuran nyawa secara Islam(Takaful) dijalankan?

Jawapan oleh panel Ahkam Online

Perbahasan Hukum Insuran Nyawa (Life Assurance)

Islam tidak menolak konsep insurans. Secara am insuran ditakrifkan sebagai satu pakatan oleh sekumpulan ahli untuk mewujudkan satu tabung atau dana kewangan bersama yang khusus bagi tujuan membantu ahli ketika ditimpa musibah. Amalan seumpama ini selaras dengan tuntutan Islam. Kerjasama, saling bantu membantu dan prihatin kepada golongan yang memerlukan bantuan kerana seperti yang tersirat dalam konsep insuran adalah selari dengan tuntutan Islam, sebagaimana maksud hadis yang berbunyi:

"Sesungguhnya seseorang yang beriman ialah sesiapa yang boleh memberi keselamatan dan
perlindungan terhadap harta dan jiwa raga manusia" (Riwayat Ibnu Majah).

Konsep insuran sudah lama dipraktikkan. Dalam zaman Jahiliyyah ia adalah antara beberapa bentuk amalan kerjasama dikalangan puak atau suku kaum Arab sebagai strategi mambantu sesama mereka apabila ada anggota atau ahli yang menanggung kesusahan, seperti pembunuhan, penculikan, rompakan dan sebagainya. Malahan kini diperakui bahawa insuran telah berkembang daripada amalan Islam. Walaubagaimanapun ulama umumnya sepakat bahawa operasi insuran dalam bentuknya sekarang tidak menepati hukum syarak. Jika konsep insuran diterima Islam, mengapa pula operasi seperti yang ada dalam pelbagai jenis polisi yang disediakan oleh syarikat insuran sekarang didiapati bercanggah dengan kehendak syarak.

Misalnya, Jawatankuasa Fatwa , Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan, dalam mesyuarat pada 15 Jun 1972, memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana dijalankan oelh syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah suatu muamalat yang fasid kerana tidak sesuai dengan prinsip Islam dari segi aqadnya, kerana mengandungi unsur yang tidak Islamik; yang mana hukumnya menurut Islam adalah HARAM. Selain itu, Akademi Feqah Islam (Majmak Fiqh) yang mana anggotanya terdiri daripada ulama' dari seluruh dunia Islam termasuk Malaysia dan diasaskan dibawah Persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), dalam mesyuaratnya di Jeddah pada 22-28 Disember 1995 memutuskan selepas mengkaji semua jenis dan bentuk insurans, bahawa kontrak perniagaan insurans yang disediakan oleh syarikat insurans mengandungi unsur yang membawa kepada fasid.

Yang demikian, menurut Majmak Fiqh, ia HARAM disisi syarak. Daripada kedua-dua keputusan, ini jelas menunjukkan ulama' sependapat bahawa kedua-dua jenis perniagaan insurans nyawa dan am adalah tidak menepati landasan syariah. Mengapa pula ulama' memutuskan perniagaan insurans yang disediakan oleh syarikat insurans sekarang tidak menepati hukum syarak ialah kerana polisi insurans adalah kontrak atau akad jual beli, Di bawah urusan transaksinya, pembeli yang dipanggil pemegang polisi dikehendaki membayar wang premium sebagai harga kepada syarikat insurans yang menjual polisi insurans yang menyediakan faedah perlindungan sama ada untuk diri (nyawa) atau harta benda pemegang polisi itu sendiri. Jual beli dalam Islam mempunyai rukun tertentu. Sekiranya salah satu rukun itu tidak dipenuhi, maka akad jual beli dikira tidak sempurna dan boleh membatalkan akad tersebut.

Dalam kontrak jual beli insurans, salah satu rukun yang tidak sempurna ialah yang berkaitan dengan ma'qudalaih (apa yang diakadkan). Perkara atau apa yang diakadkan, yang dibeli atau dijual, mestilah jelas dan tidak mengadungi unsur 'gharar'. Jika rukun ini tidak dipenuhi, maka akad jual menjadi cacat. Gharar dilarang oleh Rasulullah SAW mengikut sabda baginda yang bermaksud:

"Rasulullah SAW melarang jual beli secara baling batu dan jual beli gharar" (Riwayat Muslim).

Sehubungan itu, ulama' menjelaskan gharar dalam salah satu daripada daripada tiga sebab berikut :

  1. Tiada barang yang dijual beli (akad jual beli tanpa barang).
  2. Ada barang tetapi tidak boleh diserah kepada pembeli, dan
  3. Ada barang dan ia boleh diserahkan kepada pembeli tetapi ia tidak dapat ditentukan atau tidak jelas sama ada sifatnya, caranya, banyaknya atau lain-lain.

Dalam konteks ini, ulama' berpendapat perkara ke-3 diatas menunjukkan ada unsur gharar dalam konteks jual beli insurans. Dalam setiap urusan, Islam sentiasa menekankan kepada prinsip keadilan dan kebaikan. Unsur gharar menafikan kedua-dua prinsip ini. Mana-mana kontrak jual beli yang mengandugi amalan atau mengenakan syarat berat sebelah dan kesannya boleh membawa kerugian kepada sebelah pihak sahaja adalh jual beli gharar. Misalnya, syarat yang menetapkan luputnya wang pembeli atau pengembalian wang tidak mengikut kiraan yang adil, sekiranya pembeli terbabit tidak memenuhi kewajipan, tempoh atau tanggungjawab tertentu seperti membatalkan atau memecahkan akad sebelum genap tempoh yang dipersetujui. Urusan jual beli seperti ini, tidak mengambil kira langsung kepentingan keadilan dan kebaikan kepada akid atau pihak-pihak yang berakad, lebih-lebih lagi pembeli yang menyubangkan wang.

Operasi Takaful

Berbeza dengan insurans, operasi takaful sebagai satu bentuk perniagaan adalah tidak berasas kepada akad jual beli. Dalam hubungan ini, peserta takaful tidak membeli produk takaful daripada syarikat takaful dan sebaliknya syarikat takaful tidak menjual produk itu seperti syarikat-syarikat insurans menjual polisi insurans. Apa pun konsep takaful, seperti insurans, tetap mementingkan dan menghayati amalan kerjasama, tolong-menolong, setiakawan atau ringkasnya saling jamin menjamin
diantara mereka.

Umumnya, struktur perjalanan takaful tidak banyak berbeza dengan insurans. Disatu pihak ada peserta yang melanggani produk takaful daripada pihak yang menyediakan produk itu, iaitu syarikat takaful. Kedua-dua pihak ini akan memeteraikan akad. Oleh kerana wang sumbangan dibayar oleh peserta dengan tujuan untuk menabung dan mendapat untung sambil berniat untuk membantu rakan peserta yang memerlukan bantuan ketika ditinpa musibah, maka opersi takaful lebih berbentuk satu usaha pelaburan.

Yang demikian wang sumbangan peserta tidak menjadi hak syarikat. Sedang dibawah jual beli insurans, wang premium menjadi hak syarikat insurans sebagai balasan pemegang polisi membeli polisi insurans daripada syarikat berkenaan. Sesuai dengan struktur operasinya, ulama' memutuskan bahawa akad takaful HARUS berasaskan prinsip al-Mudharabah atau berkongsi untung dalam perniagaan.  Peserta akan berhak mendapat untung daripada bahagian tabungan atas pulangan pelaburan yang dijalankan oleh syarikat takaful. Diwaktu yang sama, peserta juga bersetuju menyumbang sebagai tabarru' (derma) sebahagian daripada sumbangannya dan untung pelaburan keatasnya bagi tujuan membantu rakan peserta yang ditimpa kesusahan.