Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
 

TOKOH KEBANGSAAN
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj


 T unku Abdul Rahman Putra Al-haj dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Ayahandanya Sultan Abdul Hamid adalah memerintah Negeri Kedah pada masa itu dan mempunyai beberapa isteri termasuk bonda Tunku bernama Menjalara. Bonda yang dicintai itu adalah seorang keturunan Thai anak kepada Luang Novaborirak (Kleb), seorang pembesar di salah sebuah negeri Shan Utara Thailand.

Ini bermakna Tunku diiahirkan di istana sepertimana beberapa tokoh UMNO yang lain. Beliau putera raja yang mempunyai adik beradik yang ramai dan kaum kerabat yang besar jumlahnya,tetapi tidak dalam lingkungan yang akan mewarisi tahkta kerajaan negeri. Tuhan telah menentukannya menjadi pemimpin rakyat seluruh negara Pemerintahnya itu tidak berdasarkan warisan tetapi atas pemilihan rakyat.

Pada waktu kecilnya belajar di salah sebuah sekolah Melayu di Alor Star sebelum belajar di Bangkok dalam sebuah Sekolah Thai. Kemudiannya Tunku pulang ke Kedah dan menyambung pelajaran di sekolah Melayu pada tahun 1916, sebelum memasuki Penang Free School. Kemudiannya beliau dihantarkan oleh keluarganya ke seberang laut untuk menuntut pelajaran di St. Catherine's College, Universiti Cambridge, England.

Walaupun rekod akademiknya tidak suatu yang boleh dibanggakan, beliau adalah orang Melayu yang pertama dari Kedah yang lulus dari sesebuah Universiti Inggeris pada tahun 1925 dengan mendapat ijazah B.A dalam Sastera. Beliau pulang ke Tanah Melayu dengan ijazah tetapi abang tuanya, menghantarnya kembali ke England supaya belajar undang-undang di Inner Temple. Nampaknya kali ini beliau tidak begitu berminat dalam pelajarannya; hasilnya Tunku gagal dalam peperiksaan dan pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1931.

Apabila kembali ke tanahair Tunku bertugas dalam perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan antara lainnya pemegang jawatan sebagai Pegawai Daerah di Kulim dan Sungai Patani. Di waktu perang Jepun, Tunku memainkan peranan yang penting menyelamatkan keluarganya. Apabila ayahandanya Sultan Abdul Hamid cuba dibawa oleh British ke Pulau Pinang supaya terselamat dari serangan Jepun, Tunku menculiknya dan membawanya ke Kulim. Di sanalah ayahandanya tinggal bersama-sama rakyat di waktu pendudukan Jepun.

Dalam pergi mencari seorang Kapten Melayu yang hilang di Singapura, Tunku telah didapati oleh askar Jepun di check point Johor Bahru ada memilik sepucuk pistol. Beliau nyaris-nyaris ditembak di situ juga kalau tidak dengan takdir Tuhan beliau sempat mengeluarkan surat kuasa dari tentera Jepun di Kedah. S etelah tamat perang dunia yang Kedua Tunku turut menyertai politik menentang Malayan Union dan membangkitkan kesedaran ke arah kemerdekaan. Bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO, beliau berusaha menyatupadukan tenaga orang-orang Melayu. UMNO telah ditubuhkan dengan dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar bagi menyahut kehendak-kehendak kebangsaan Melayu tetapi dalam beberapa hal dasar, Tunku tidak bersetuju dengan pendapat yang ada.

Pada tahun 1947, Tunku meninggalkan Tanah Melayu sekali lagi untuk menyambung pelajaran undang-undang di England. Di sini beliau bertemu dengan Tun Abdul Razak yang jauh lebih muda darinya. Tunku menjadi Yang Dipertua Kesatuan Melayu United Kingdom dan Tun Razak menjadi Setiausahanya. Dalam umur 46 tahun Tunku berjaya menjadi seorang Barrister iaitu satu peringkat yang agak tua. Beliau berjenaka bahawa dirinya adalah satu-satunya pelajar dalam sejarah Inner Temple yang diterima ke Bar setelah menuntut selama 25 tahun.

Pulang ke tanahair, beliau berpindah ke Kuala Lumpur untuk menjadi Timbalan Pendakwa Raya di bawah Jabatan Undang-Undang Persekutuan dan kemudiannya Presiden Session Court. Tetapi perkembangan politik dalam UMNO dan di luarnya amat pesat seolah- olah menantikan seseorang pemimpin tertentu untuk mengetuainya. Pada bulan Ogos 1951 terjadilah satu krisis dalam UMNO yang menyebabkan Datuk Onn meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua. Dengan itu jadilah Tunku Yang Dipertua UMNO yang ke-2 sampai selama 20 tahun kemudian.

Pada waktu permulaan pimpinan Tunku, tugas terpenting ialah bagi memupuk kerjasama antara kaum dan mencapai persetujuan atau perkara-perkara pokok bagi pemerintahan negara merdeka. Tunku berusaha dengan yakin, sabar dan tawakkal bagi menyatupadukan kaum-kaum di samping menjaga keutuhan bangsa Melayu sebagai teras politik negara. Pada awal tahun 1952, pilihanraya bagi Majlis Perbandaran Kuala Lumpur diadakan. UMNO dan MCA telah bersetuju tidak akan berlawan antara satu sama lain, dengan UMNO meletakkan calon-calonnya di kawasan-kawasan majoriti Melayu dan MCA di kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu. Hasilnya "Perikatan" UMNO- MCA telah memberi kemenangan kepada kedua-duanya.

Menjelang pilihyanraya 1955 Perikatan ini disertai pula oleh MIC sebagai mewakili kaum India. Dengan penubuhan Perikatan ini semua kaum-kaum yang penting adalah terwakil dalam sebuah badan politik yang terbesar bergerak menuju kemerdekaan. Kata sepakat yang dahulunya susah hendak dicapai kerana parti- parti tidak mempunyai pendapat yang sama, sekarang boleh diselesaikan secara konsensus dalam Perikatan. Soal kerakyatan ditimbulkan di mana bukan Melayu menghendaki kelonggaran yang lebih sedangkan orang-orang Melayu mempertahankan syarat-syarat yang ketat. Soal-soal lain termasuk hak-hak istimewa bagi orang-orang Melayu, penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan asas dasar pelajaran kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi.

Setelah tercapai persetujuan mengenai cara-cara mengendalikan negara, pemimpin-pemimpin Perikatan mengemukakannya kepada Kerajaan British. Rombongan pertama Perikatan ke London telah dibuat pada tahun 1954 tetapi tidak beroleh kejayaan. Pada tahun 1955 telah berlangsung pilihanraya Federal di mana Perikatan mencapai kejayaan cemerlang dengan beroleh 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Dengan majoriti yang diperolehi itu, Perikatan membawa satu rombongan lagi ke London, diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri.

Kali ini kejayaan telah dicapai dengan tarikh kemerdekaan di tetapkan pada 31 Ogos 1957. Sebagai persiapan untuk kemerdekaan satu Suruhanjaya Perlembagaan telah dibentuk dengan mengandungi wakil-wakil Perikatan dan wakil wakil Kerajaan British. Suruhanjaya ini bertanggungjawab menggubal perlembagaan Tanah Melayu yang baru berdasarkan syor-syor yang dibuat oleh Perikatan.

Setelah negara merdeka pada tahun 1957 dan Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri yang pertama, usaha-usaha dibuat bagi mengukuhkan pemerintahan negara melalui perpaduan rakyat dan kemajuan ekonomi. Rancangan Malaya yang pertama, dimulakan sejak tahun 1956, adalah bertujuan untuk mengisikan kemerdekaan dengan pembangunan.

Pada tahun 1960, keadaan darurat yang telah berjalan selama 12 bulan diisytiharkan tamat. Sebelumnya, pada Disember, tahun 1955, rundingan telah diadakan antara Tunku dan lain-lain dengan pemimpin- pemimpin Parti Komunis Malays bagi menyelesaikan permusuhan. Apabila komunis tidak setuju membubarkan parti mereka, pihak Perikatan menolak sama sekali perundingan dengan mereka.

Dari segi hubungan luar, Kerajaan Perikatan di bawah pimpinan Tunku cuba berbaik-baik dengan semua negara tetapi menolak persahabatan dengan negara-negara Komunis memandang kepada ancaman Komunis di dalam negeri. Tanah Melayu menyertai secara aktif dalam politik antarabangsa seperti menganggotai Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan yang ditubuhkannya, menjadi ahli Komanwel British, mengambil sikap menentang dasar Apartheid Afrika Selatan, menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menghantar tentera ke Congo bila peperangan saudara meletus disana.
U ntuk persahabatan serantau, Tunku telah mengasaskan ASA atau Pertubuhan Asia Tenggara pada tahun 1961 dengan dianggotai oleh Malaya, Filipina dan Thailand. Kemudiannya pertubuhan ini dibubarkan untuk membuka jalan kepada penubuhan ASEAN pada tahun 1967. Pada tahun kemudian ini juga, hubungan dengan negara-negara blok komunis mula diadakan.

Pada bulan September 1963, wilayah negara telah diperluaskan dengan penubuhan Malaysia mengikut cadangan Tunku supaya semua negeri-negeri di bawah pemerintahan British di Asia Tenggara di gabungkan ke dalam sebuah Persekutuan bersama-sama dengan Malaya yang telah pun merdeka itu. Atas jasanya itu, Tunku diberi gelaran "Bapa Malaysia".

Dalam penubuhan Malaysia ini, tidak disangka-sangka mendapat tentangan hebat dari rejim Sukamo. Maka dengan itu berlakulah Konfrontasi antara dua negara serumpun dan tamat hanya apabila rejim Sukamo diguling pada bulan Oktober 1965 oleh tentera. Di samping itu Malaysia menghadapi tuntutan ke atas wilayah Sabah oleh kerajaan Filipina yang berlanjutan ke hari ini.

 Dalam keadaan negara menghadapi ancaman dari luar, tercetus pula satu pergolakan politik yang hebat dalam negeri, melibatkan kerajaan pusat di bawah pimpinan Perikatan dengan kerajaan Singapura pimpinan PAP. Pimpinan PAP menjalankan kempen yang luas di dalam dan luar negeri bagi memburukkan kerajaan pusat. Akibatnya permusuhan antara orang Melayu dan orang China makin bertambah dan boleh mencapai paras bahaya. Tunku mengambil keputusan untuk menyingkirkan Singapura dari Malaysia.

Menjelang tahun 1969, ketegangan antara kaum di Semenanjung Malaysia nampak semakin jelas. Parti-parti baru berasaskan bukan Melayu telah ditubuhkan bagi mencabar konsep politik yang ada dan elemen-elemen Komunis bergerak semakin aktif mengambil peluang dari keadaan yang ada itu.

 Untuk mengelakkan ketengangan kaum ini, Tunku telah dengan berat hati mengampuni 11 orang pemuda (9 keturunan China) yang telah dihukum mati oleh mahkamah kerana bersubahat dengan pihak musuh di waktu Konfrontasi Indonesia dahulu. Tetapi kemurahan hati Tunku ini telah disalahertikan oleh parti-parti pembangkang sebagai kelemahan. Suasana perkauman bertiup sampai ke kemuncak dan meletus dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Bagi memulihkan keadaan yang tegang dalam negara, Parlimen telah digantung dan di atasnya tertubuh Majlis Gerakan Negara. Tunku masih menjadi Perdana Menteri tetapi pengarah Mageran telah diserahkan kepada Tun Abdul Razak. Pada 22 September 1970, Tunku meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri, setelah mendapat kepastian dari pimpinan baru bahawa negara akan kembali kepada demokrasi dan Mageran dibubar setelah keamanan pulih semula. Pada Februari 1971, Tunku tidak bertanding lagi untuk jawatan UMNO.

Setelah bersara dari politik tanahair, Tunku bertolak ke Jeddah untuk memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Sekretariat Islam yang pertama. Di waktu memegang jawatan ini, banyak usaha-ushah yang dibuat oleh Tunku bagi memupuk kerjasama dan persaudaraan antara negara-negara Islam. Syor-syor dikemukakan bagi kemajuan umat Islam dalam bidang ekonomi seperti penubuhan bank Islam, kegiatan di bidang agama dan juga kebudayaan.

Minat Tunku dalam kemajuan orang-orang Islam dan agama Islam bukanlah baru. Sewaktu menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengilhamkan pertandingan Al-Quran di peringkat negeri dan antarabangsa yang mengharumkan nama Malaysia. Kembali di tanahair, Tunku terus bergiat dalam bidang dakwah membantu orang- orang bukan Melayu memeluk agama Islam. Tunku juga pernah mengetuai PERKIM atau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia.
 Dalam bidang sukan, Tunku adalah bertanggungjawab menghidupkan semangat kesukanan dalam negara. Beliau adalah pengasas Pestabola Merdeka yang begitu popular dan disambut balk oleh negara-negara lain di Asia. Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia dan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia. Beliau sendiri sangat suka bermain bola di waktu mudanya, dan sebelum Merdeka pernah menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Melayu dan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor.

Pendeknya Tunku ialah seorang yang istimewa dilahirkan untuk memimpin manusia dalam keadaan yang mencabar seperti di Malaysia. Pemimpin-pemimpin yang luas pengetahuan akademiknya ataupun petah bercakap belum tentu dapat mengemudikan negara ini di celah liku-liku perkauman yang menghendaki kebijaksanaan dan kesabaran yang bukan sedikit. Tunku tidak ada ilmu yang banyak, tetapi peribadinya memupuk satu rasa keyakinan pada orang-orang yang mendampinginya.

Di dalam tubuhnya terdapat hasrat semulajadi untuk memilih jalan yang terselamat dari jalan yang buruk. Tunku sebagai seorang yang mempunyai sifat "humanis" yang luas, suka mengambil tahu hal ehwal kawan-kawannya dan kaum keluarga mereka. Orang-orang yang berjuang bersama-samanya dibela habis-habis dan tidak diketepikan bila tidak berguna lagi. Beliau tidak seorang yang tamak harta, bahkan banyak hartanya telah dikorbankan dalam menjalankan kewajipannya untuk agama, bangsa dan negara.

Pada akhir-akhir ini walaupun dalam keadaan bersara, Tunku tidak ketinggalan membuat komentar-komentar politik dan menyuarakan pendapatannya terhadap perkara-perkara yang baik atau yang tidak menyenangkan. Pandangannya sebagai seorang 'elder statesman' sangat dihargai oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia.