UiTM Kampus Segamat
Kertas kerja ini cuba mengupas persepsi atau
pandangan masyarakat Islam terhadap beberapa isu yang timbul di negara ini.
Kertas kerja ini lebih ke arah membetulkan persepsi songsang yang terdapat di dalam pemikiran umat Islam di negara
ini di dalam menggarap atau memperkatakan sesuatu isu berhubung dengan Islam.
Segala permasalahan yang timbul di kalangan umat Islam sewajarnya dirujuk
kepada sumber Islam yang autentik dan bukannya diselesaikan mengikut
agak-agakan, sentimen kepartian apatah lagi ledakan emosi. Islam adalah satu
agama yang ditegakkan di atas dasar ilmu bukannya fanatisme atau taqlid membuta
tuli. Kegawatan yang berlaku di dalam kehidupan umat Islam hari ini berpunca
dari kedangkalan ilmu, konflik politik dan kepentingan diri, kumpulan dan
sebagainya. Seruan terhadap Islam itupun didirikan di atas dasar ilmu, ajakan
berbahas, berdailog dan berdebat dengan cara yang baik agar kebenaran yang
hendak ditegakkan benar-benar difaham , dihayati dan diterima dengan hati yang
terbuka oleh umat Islam.
Semenjak Umat Islam di negara ini mencapai
kemerdekaan sehinggalah ke hari ini banyak isu-isu yang mendapat perhatian di
kalangan umat Islam. Kalau sebelum merdeka isu-isu yang timbul berkisar kepada
perjuangan untuk memerdekaan tanah air, memajukan umat Melayu yang mundur di
dalam pelbagai bidang, isu-isu agama yang melibatkan persoalan bidah, khurafat,
pendidikan agama, penghakisan nilai-nilai hidup Islam serta lain-lain isu
sosial seperti kedudukan dan peranan
wanita di dalam pembangunan negara. Pasca-kemerdekaan memperlihatkan
kesungguhan umat Melayu Islam
memperkukuhkan lagi status quo mereka di dalam Tanah air
mereka sendiri di dalam pelbagai bidang khususnya penyertaan kaum Melayu dalam
sektor ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi. Di dalam masa yang sama
kesedaran beragama semakin meningkat di kalangan umat Melayu khususnya apabila
lahirnya kesan-kesan negatif modenisasi yang dijalankan. Isu-isu modenisasi
sama ada ianya membawa kesan positif
atau negatif telah menjadi tumpuan di dalam apa juga agenda sama ada agenda
politik, pendidikan, gerakan keagamaan dan sebagainya.
Sistem pendidikan yang diwujudkan
oleh penjajahan Ingeris serta diperkukuhkan selepas kemerdekaan Malaysia
rupa-rupanya telah membelah pemikiran , pendekatan dan cara bertindak umat
Melayu. Sistem pendidikan tersebut sekurang-kurangnya telah menghasilkan dua
kelompok umat Melayu, iaitu Melayu-sekular dan Melayu Islamis. Kedua-dua
kelompok inilah yang mencorakkan isu-isu semasa umat Islam mengikut kefahaman
dan persepsi kelompok masing-masing. Kadang-kala konfrantasi kedua kelompok
ini bukan sahaja dalam bentuk
pertentangan idea dan pendekatan malah turut membawa kepada pertentangan fizikal seperti peristiwa Memali, pulau memulau, dan kafir
mengkafir.
Perkembangan mutakhir memperlihatkan banyak isu-isu yang lahir dan dibahaskan berdasarkan persepsi yang songsang. Antaranya:
1)
Islam tidak boleh dicampur
adukan dengan politik
Isu tersebut seringkali kita dengar dan membacanya
di dada-dada akbar dan media elektronik. Isu tersebut timbul sebahagian besarnya adalah akibat daripada
pertentangan idealogi politik parti-parti politik yang terdapat di negara ini
dalam usaha mereka untuk mendapatkan pengaruh dan kekuasaan di kalangan
masyarakat. Sebenarnya slogan bahawa agama harus dipisahkan daripada politik
bukanlah baru di dunia Islam. Ia berpunca dari fahaman Barat dan kejahilan umat
Islam memahami world-view Islam
secara menyeluruh. Ada sesetengah pihak
cuba melunakan istilah secular dengan
memberinya makna yang positif agar ia semacam sesuai dengan Islam. Seperti
membahagikan istilah sekular kepada dua, iaitu
sekular negatif dan sekular positif. Ada pandangan yang lebih berani lagi dengan mengatakan
Islam adalah agama sekular yang memisahkan persoalan politik dari agama .
Pandangan tersebut dibuat oleh Shekh Ali Abd al-Raziq yang berasaskan kepada
4 alasan (Lihat:Mohamed S.El-Wa, On the political system of Islamic state,
1984):
i.Bentuk pemerintahan Islam boleh dalam apa juga
bentuk sama ada otokrasi, birokrasi, monarki, republik, demokrasi dan
lain-lain.
ii. Tugas Nabi hanya mengajak memeluk agama,
bukannya untuk mengatur negara atau pemerintah.
iii. Islam agama persatuan.
iv. Rasulullah mengajak umatnya bersatu dan berjaya
mempersatukan mereka.
Pandangan di atas telah
ditolak dengan hebat oleh ulamak-ulamak
Islam seperti Shekh Muhamad al-Khidr Hussein (Mufti Azhar), Prof.Abd Hamid
Mutawalli dan lain-lain lagi.Sekiranya pandangan tersebut diterima, seolah
tugas Rasulullah adalah sekadar mengajak manusia mentauhidkan Allah dan
bukannya mengatur hidup manusia berpadukan hidayah daripada Allah.Pandangan
tersebut juga bererti menolak sebahagian besar sirah Rasulullah yang
memperlihatkan perjuangannya yang bersungguh-sungguh bagi mewujudkan sebuah negara Islam di Madinah , antaranya melalui
hijrahnya ke Madinah dalam rangka mewujudkan sebuah daulah Islamiah.Menurut Prof.Ismail al-Faruqi; “the most important
aspect of the Hijrah is its creation of the Islamic state”, katanya lagi’ “…the
state is inevitable for Islam. It is absolutely necessary for muslims to
fulfill their Islamicity” . Ia juga merupakan essensi pengalaman keagamaan
Islam yang menuntut pelaksanaan Islam dan mengubah ruang-waktu bagi memenuhi
pola ketuhanan (Prof.Ismail al-Faruqi,
The Hijrah: The Necessity of its iqamat, 1983) . Negara Islam menurut Muhammad Iqbal adalah “is the expression of
Islam’s spirituality” yang perlu diperluaskan dalam kehidupan umat Islam.Kalau
diterima pandangan yang membataskan fungsi agama hanyalah dalam persoalan
keagamaan sepertimana interprestasi Shekh Ali Abd Raziq terhadap fungsi
pengutusan Nabi Muhammad, samalah Islam dengan agama Kristian yang membataskan
peranan Pope mereka dalam persoalan
ritual semata-mata atau Pope hanyalah pemerintah dalam kerajaan spiritual.
Ada juga segelintiran
masyarakat Melayu menyarankan agar nama Islam tidak boleh digunakan oleh
parti-parti politik atau pertubuhan-pertubuhan bagi mengelakkan Islam
diperalatkan oleh parti politik
tersebut bagi mendapatkan pengaruh di dalam masyarakat. Pandangan tersebut
berasaskan hujah bahawa terdapat pertubuhan-pertubuhan di luar negara yang
menggunakan Islam melakukan keganasan terhadap orang lain.Disamping itu, ia
bertujuan mengelakkan berlakunya perpecahan dan pertelagahan sesama Islam.
Pandangan tersebut merupakan pandangan yang bias, prejudis dan tidak berasaskan
kepada dalil al-Qur’an dan Hadis. Pandangan tersebut hanya sekadar melanjutkan
padangan negatif Barat terhadap Islam, kebencian terhadap gerakan Islam dan
dibuat atas dasar penilaian rasional dan pengamatan sosiologi semata-mata.
Kalau diterima pandangan ini, bukan sahaja pertubuhan politik tidak boleh
menggunakan nama Islam, tetapi juga
Bank juga tidak boleh dinamakan dengan Bank Islam dan nama orang-orang Melayu
juga tidak boleh digunakan nama-nama Islam kerana alasannya ia masih melakukan
kejahatan,kemungkaran atau tidak melambangkan hakikat Islam.
Kata nama Islam disandarkan
kepada apa juga perbuatan, aktiviti dan gerakan adalah bertujuan untuk
memberikan identiti khas dan hala tuju bahawa pekara tersebut dilakukan demi
mencapai kehendak Islam mengikut kemampuan manusia. Kita mengakui bahawa
terdapat kelemahan di dalam aspek penghayatan dan pelaksanaan Islam bagi
pertubuhan yang menggunakan nama Islam. Sepatutnya kelemahan mereka itu harus
diperbetulkan melalui semangat musyawarah, kritikan yang membina dan hujah yang
rajih, bukannya dengan terus
mengharamkan penggunaan nama Islam
sepertimana kesilapan besar yang dilakukan oleh Turki di bawah pemerintah Kamal
Atartuk dan diteruskan sehingga hari ini. Disamping itu, tidak pernah ada
mana-mana ulamak yang mengeluarkan fatwa mengharamkan atau tidak menggalakkan
penggunaan nama Islam atas apa juga pekara melainkan dengan jelas pekara
tersebut adalah satu kemungkaran. Pandangan tersebut adalah jelas lahir dari
kejahilan, kebencian , phobia dan finatik, bukannya berasaskan hujah yang
autentik!.
Satu lagi alasan yang
dikemukkan bagi golongan yang mahu nama Islam tidak digunakan dalam pertubuhan atau parti politik ialah
alasan untuk menjaga kesucian Islam. Sebenarnya kesucian Islam terjaga apabila
sistem Islam dinobat dan dilaksanakan di dalam kehidupan umat Islam. Islam
hanya benar-benar terjaga kesuciannya apabila ada keazaman yang jitu di
kalangan pertubuhan atau gerakan yang benar-benar mahu menjadikan Islam sebagai
landasan perjuangannya. Tidak ada maknanya
kalau sekadar berselogan mahu menjaga kesucian Islam sedangkan segala
tindak tanduk, pendekatan yang digunakan jauh dari kehendak ajaran Islam .
Golongan yang masih berpegang teguh kepada fahaman sekularisme, sebenarnya mahu
bertindak bebas di dalam apa juga tindakan mereka.Agama bagi mereka hanyalah
penghalang kepada cita-cita dan nafsu tamak yang ada di dalam diri mereka.
Justeru itu, mereka mencari berbagai dalih bagi memperlihatkan Islam sebagai
satu agama yang tidak boleh dicampur adukan dengan persoalan politik dan
sebagainya. Kalau politik tidak ada di dalam Islam bermakna Allah adalah bersifat jahil kerana menurunkan satu
agama yang tidak lengkap dan tidak relaven dengan kehidupan manusia. Hebat
sangatkah diri kita sehingga kita sanggup mengatakan Allah itu jahil !!!!.
2) Ulamak ,
Politik dan Kepimpinan
Ulamak di dalam Islam disebut sebagai pewaris para
Nabi. Peranannya bukan sekadar menjadi imam di dalam sembahyang, membaca doa,
mengeluarkan fatwa bahkan mereka adalah golongan yang mengambil alih fungsi
Nabi sebagai pemimpin masyarakat Islam. Peranan mereka yang menyeluruh dan amat
berat tersebut bukannya sesuatu yang baru di dalam sejarah dan
tamadun Islam. Namun di dalam masyarakat kita hari ini ada golongan yang tidak
menyenangi penglibatan golongan tersebut di dalam kegiatan politik. Mereka
lebih suka melihat ulamak mengasingkan
diri dari kegiatan politik dengan hanya menumpukan kepada persoalan keagamaan
semata-mata. Sikap mereka itu samalah dengan sikap penjajah Barat semasa mereka
menjajah dunia Islam dahulu. Ulamak yang hanya membataskan diri mereka dalam
hal-hal kerohanian amat disenangi oleh golongan penjajah. Di dalam Islam,
persoalan kepimpinan amat penting kerana ia menentukan pelaksanaan Islam
sebagai satu sistem. Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah menyebutkan “adalah wajib melantik ketua
negara untuk menggantikan Rasulullah bagi melindungi
agama serta mentadbir dunia dengan
agama”. Tujuan pemerintahan Islam menurut Mohamad S.El-Wa ( On the political system of Islamic state,1984)
adalah untuk terciptanya identiti Islam dalam masyarakat. Agar seluruh aspek
penghidupan berpijak kepada prinsip-prinsip nilai-nilai Islam.Jelas disini,
tugas ketua negara bukan sekadar meningkatkan sosio-ekonomi umat, tetapi yang
lebih penting lagi memertabatkan agama sebagai satu sistem yang mengatur
seluruh perjalanan hidup muslim.[2]
Oleh kerana kesinambungan Islam amat bergantung kepada
pemimpin, maka Islam menetapkan pemilihan pemimpin tersebut harus memenuhi
syarat seperti keadilan, ilmu yang membolehkan ia berijtihad dalam hal-hal yang berlaku serta mengeluarkan hukum,
sempurna pancaindera, tidak cacat, mempunyai idea yang boleh memimpin rakyat
,menjaga kepentingan negara dan berketurunan mulia (al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah). Golongan yang
wajar memikul tanggungjawab tersebut adalah golongan yang soleh seperti fatwa
Ibn.Taymiah dalam kitabnya Ro’ul ma lam
‘an a’immatil a’lam, katanya: “kaum muslimin setelah memberikan wala’ (kesetiaan/ketaatan)kepada Allah
dan Rasulnya, wajib memberikan wala’
kepada orang-orang mukmin sebagai ditegaskan oleh al-Qur’an, terutama ulamak yang menjadi pewaris para nabi
dan dijadikan Allah sebagai bintang-bintang penunjuk jalan dikegelapan malam”
(lihat,Dr.Yusof al-Qardowi, Fiqhul
Iktilaf, 1995). Pandangan ini memperjelaskan adalah tidak salah bahkan
tepat sekiranya ulamak melibatkan diri dalam kegiatan politik dalam rangka menjalankan amanah Allah. Namun,
sekirannya pemimpin yang dilantik itu tidak mencapai taraf sebagai seorang
ulamak adalah wajar menjadikan ulamak sebagai penasihat mereka di dalam
menjalankan urusan negara seperti mana yang telah dijalankan oleh pemimpin umat
Islam waktu silam.
3). Masjid
,Fungsi dan Perpecahan
Salah satu isu yang hangat diperkatakan pada hari
ini adalah berlegar tentang persoalan peranan masjid di dalam masyarakat.
Terdapat berbagai persepsi umat Islam di negara ini tentang fungsi masjid,
antaranya pandangan masjid hanya sekadar tempat beribadah, manakala persoalan
politik tidak boleh dibincangkan di dalam masjid. Apakah persepsi tersebut
mempunyai asasnya di dalam Islam? . Prof.Ahmad Shalaby telah menggariskan
peranan institusi masjid semenjak zaman Rasullulah adalah seperti berikut: ia
adalah tempat melakukan ibadat, tempat bermesyuarat, mahkamah menjatuhkan
hukuman, institusi pengajian, balai pertemuan, tempat kegiatan kesusteraan,
tempat perbincangan mengenai perihal ekonomi dan perdagangan dan tempat
memutuskan urusan negara. Sidi Gazalba pula menyimpulkan institusi masjid di dalam |Islam adalah
pangkal tolak dan penghujung dari setiap segi kehidupan mereka.Dari keterangan
di atas adalah tidak salah idealisme politik dibincangkan di dalam masjid
tetapi ia mestilah berasaskan kepada nilai ketakwaan dan masjid tidak boleh
sama sekali mengadakan kegiatan atau aktiviti kemasyarakatan (termasuk politik)
yang boleh membawa pepecahan umat Islam (Zakaria Stapa, Fungsi dan kegunaan Masjid simbol perpaduan ummah).
Segala permasalahan umat Islam semasa
seperti perbalahan dan perselisihan pendapat harus diselesaikan di dalam masjid
melalui semangat syura. Masjid seharusnya menjadi badan bebas yang memantau
semua kegiatan umat Islam yang berada dipersekitarannya dan mejadi mekanisme
memupuk perpaduan umat Islam. Zakaria Stapa menyimpulkan piawian kegiatan
masjid mesti didasarkan kepada tiga asas,iaitu: ketakwaan, perpaduan dan
kesucian. Semua aktiviti dibenarkan di masjid sekiranya tiga piawian tersebut
tidak dilanggar. Sekirannya masjid hendak dikawal, maka ia hendaklah diasaskan
kepada pandangan al-Qur’an dan Hadis dan bukannya berasaskan pandangan manusia
semata-mata. Menurut Al-Qadi Abu Bakar al-Arabi dalam kitab tafsirnya Ahkam
al-Qur’a (Lihat Akbar Eklusif, 21-27 Feb, 2000), mengatakan; umat Islam
dianggap merobohkan masjid sekirannya mereka menghilangkan fungsinya dan
menghalang muslimin untuk melahirkan syiar dan kesatuan pendirian.Pemilihan Imam
di dalam masjid mengikut al-Mawardi
boleh dilakukan oleh pemerintah atau persetujuan ramai warga masyarakat yang
berasaskan kepada syarat-syarat tertentu seperti hendaklah seorang yang Qari dan Faqih. Sekiranya terdapat dua orang calon imam, iaitu seorang yang qari tetapi tidak faqih, manakala seorang lagi adalah faqih tetapi tidak qari,
maka al-Mawardi memutuskan yang faqih
lebih layak dilantik menjadi imam.
4) Wanita ,
Poligami Dan Gangguan Sexual
Isu poligami dikalangan wanita bukanlah isu baru,
malah ia sentiasa menjadi perbincangan pelbagai pihak, khususnya golongan
wanita. Isu tersebut telah mendapat perhatian di kalangan pertubuhan wanita
seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia, Sisters In Islam, Persatuan
Peguam-Peguam Wanita Muslim dan lain-lain yang telah menyuarakan dengan lantang
kebimbangan mereka terhadap suami yang ingin berpoligami.Isu tersebut menjadi
hangat terutama apabila kerajaan Selangor memansuhkan peraturan tandatangan
isteri yang sedia ada di dalam borang permohonan jika sesorang suami itu
berhasrat untuk berpoligami. Kemudian isu ini dikaitakan dengan bermacam-macam
insiden seperti pengabaian tanggungjawab suami terhadap isteri pertama,
keadilan, nafkah dan lain-lain (Al-Manar,Jun
1997).
Meskipun poligami merupakan
isu kontraversi sepanjang zaman, namun hukum Islam adalah jelas memberikan
keizinan kepada kaum lelaki berkahwin sehingga 4 orang isteri (lihat An.Nisa’:3). Poligami diizinkan
berasaskan tindakan Rasulullah sendiri sama ada berbentuk sunnah amaliah atau taqririah.Bagaimanapun, keizinan itu tertakluk kepada dua syarat
lain, iaitu kemampuan material, fizikal dan keadilan antara isteri dari sudut
material bukannya melibatkan rohani/emosi. Rasulullah sentiasa berlaku adil di
kalangan isterinya dari aspek material tetapi dari aspek emosi beliau lebih
mengasihi Aisyah dan Siti Khadijah. Ketika dikritik oleh Ummu Salamah (salah
seorang isteri Rasulullah), Rasulullah bersabda: “Jangan kamu menyakitiku
tentang Aisyah, sesungguhnya wahyu tidak datang kepadaku, dalam keadaan aku
berada di dalam selimut seorang wanita melainkan dengan Aisyah”. Hanya Allah
sahaja mempunyai kecintaan yang mutlak untuk seluruh makhluknya sepertimana doa
Rasulullah: “Ya Allah, inilah pembahagian terhadap apa yang aku
miliki.Janganlah engkau mengambil kira terhadapku sesuatu yang Engkau miliki dan
aku tidak miliki” (Dr.Sa’adduddin al-Sayyid Salih, Strategi musuh menentang Islam (trj.), 1996). Meskipun amalan
poligami di kalangan kaum lelaki di negara ini ada bukti yang jelas
kelemahannya, namun kita tidak boleh menentang hukum tersebut kerana ia
diputuskan oleh Allah sendiri. Poligami yang positif adalah penyelesaian
terhadap masalah andartu, ibu tunggal,
dan pertambahan bilangan penduduk
wanita di negara ini. Zamakhsyari pengarang kitab Tafsir al-Kasyaf menyatakan diantara sebab-sebab Islam mengharuskan
berkahwin lebih dari satu adalah unntuk menjaga masyarakat dari jatuh ke lembah
perzinaan (Dipetik oleh Dr.Mohammad al-Bahi, Sikap wanita Islam kini (trj.), 1981). Ramai wanita yang sukar
mendapat jodoh di kalangan lelaki tempatan telah bertindak mengawini lelaki
pendatang sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada diri dan keluarga
mereka.
Mutakhir ini gangguan sexual
yang dilakukan oleh kaum lelaki terhadap golongan wanita di tempat kerja
mendapat perhatian kerajaan sehingga diperkenalkan akta khas gangguan sexsual.
Akta tersebut diperkenalkan kerana banyak laporan dikemukkan menunjukkan
terdapatnya gangguan sexsual ke atas
golongan wanita di tempat kerja atau dimana sahaja mereka berada. Kita memang
menyokong undang-undang ini, tetapi adalah tidak adil menyalahkan kaum lelaki
seratus peratus sebagai sebab utama berlakunya fenomen tersebut. Kaum wanita
juga harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya
perlakuan mereka seperti bentuk pakaian yang sexy, suara yang mengoda, perbuatan yang merangsang dan lain-lain
lagi yang boleh mendorong kaum lelaki melakukan gangguan seksual. Dengan sebab
itu, Islam telah memberikan syarat-syarat tertentu kepada kaum wanita yang
ingin berkerja, seperti:
i.
tidak
menjejaskan kehormatannya sebagai seorang wanita, isteri yang setia dan ibu
yang dimuliakan, apabila berada dengan lelaki di tempat kerja.
ii.
Tidak
menjejaskan kehidupannya dalam rumahtangga sebagai seorang isteri yang
mempunyai sifat lemah lembut dan kasih sayang serta tanggungjawab terhadap
suami dan anak.
iii.
Tidak
menjejaskan kedudukannya sebagai ibu yang sepatutnya memberi asas-asas
pelajaran yang baik terhadap anak-anaknya yang masih kecil
iv.
Tidak
mempunyai sikap bahawa bekerja di pejabat-pejabat dan kerja-kerja lain yang
ringan sebagai jalan untuk melarikan diri daripada tugas-tugas sebagai suri
rumah yang dianggap membosankan.(Lihat,Jurnal Minda Usuluddin, N0.6, Jun 1997).
5) Finatik dan
Ekstrimisme
Kedua-dua istilah tersebut seringkali dirujuk kepada
gerakan yang bercorak keislaman terutama untuk memperlihatkan tindakan mereka
yang tidak bertolak ansur dengan kelompok lain terutama melibatkan persoalan
dasar keislaman. Apakah finatisme dan ekstrimisme dalam bentuk ini sesuatu yang
dicela oleh Islam?. Al-Qardowi telah memberikan ruang lingkup ekstrimisme
adalah dalam bentuk:
i.
finatik
terhadap sesuatu pendapat dan menolak pendapat yang lain
ii.
memaksa
orang lain mengikut apa yang tidak diiltizamkan oleh Allah
iii.
mempraktik
hukum bukan pada tempatnya
iv.
sikap
kasar dan keras
v.
terjerumus
dalam mengkafirkan orang Islam lain.
Manakala Abd Rahman al-Maidani telah memberikan
definisi ekstrimisme sebagai “melampaui batas-batas hukum Allah dengan meluaskan
wazan agama yang telah ditetapkan
dengan batas-batas hukum tersebut”. Golongan sekularis pula mendifinasikan
ekstrimisme sebagai “mempraktikkan ajaran agama dan seruan ke arah perlaksanaan
syariat Islam dalam semua bidang”(untuk keterangan lanjut lihat, Majalah Pengasuh, Nov.-Dis.,1999). Kesimpulannya,
sekirannya seseorang itu melaksanakan cara hidup Islam bukanlah termasuk di dalam kelompok
ekstrimisme agama mengikut pandangan ulamak Islam tetapi ia dikelompokkan sebagai
ekstrimisme agama kalau mengikut pandangan golongan sekularis.
Apa yang ditentang oleh
Islam menurut Yusof al-Qardowi ialah sikap finatik kepada diri, kelompok atau
parti. Finatik kepada diri ialah dengan menolak pendapat orang lain, finatik
kepada mazhab sampai memaksumkan mazhab atau imam mereka dan finatik kepada
kelompok atau parti dengan tidak memperdulikan kebatilan kelompok atau kebenaran
kelompok lain. Islam menurut al-Qardowi mengharuskan bersifat adil kepada orang
yang dicintai atau kepada orang yang tidak dicintai. Janganlah kemarahan
membuatkan ia keluar dariapada kebenaran atau kecintaan menjerumuskan kepada
kebatilan. Akhlak untuk keluar dari finatikisme ini adalah dengan melihat
kepada perkataan bukannya melihat kepada siapa yang memperkatakan serta berani mengkritik
(Lihat Yusof al-Qardowi, Fiqhul Iktilaf,
1995).
Dari huraian di atas, jelaslah persepsi masyarakat Islam terhadap isu-isu yang melibatkan persoalan keagamaan tidak dilihat dari perspektif ilmu dan Islam secara menyeluruh. Persepsi songsang umat Islam di negara ini berpunca dari kecetakan ilmu keagamaan, pengaruh pemikiran Barat, finatikisme, phobia Islam dan faktor-faktor lain. Apabila timbul sesuatu permasalahan umat Islam, sewajarnya dirujuk kepada ahlinya, bermuzakarah secara baik bukannya menggunakan media massa untuk menghantam golongan yang lain sehingga melebarkan lagi perpecahan masyarakat Islam di negara ini. Allahua’lam.
[1] Beliau kini adalah Koordinator Pusat Pendidikan Islam, UiTM Kampus Segamat. Berkelulusan B.A (Hons), UKM, M.A (Islamic Studies) UKM , Pengkhususan dalam bidang pemikiran Islam. Setakat hari ini, beliau telah menghasilkan lebih dari 20 artikel yang disiarkan di dalam Jurnal,majalah Dewan Budaya, Tamadun dan lain-lain lagi, kebanyakkannya dalam bidang pemikiran Islam.
[2] Menurut Abu Yusuf (ketua mahkamah Agong Bani Abbasiah) tugas ketua negara ialah menegakkan hak Allah dan menguatkuasakan batasan yang ditentukan oleh Allah, menentukan dengan betul pemegang hak yang lain dan memastikan mereka dapat menikmati hak-hak tersebut, menjalankan perintah Allah dan menjauhkan maksiat (Lihat, M.M. Shariff, sejarah Islam dari segi falsafah (trj.), jilid.1, 1994).