Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

MEMAHAMI TANGGUNGJAWAB JURUAUDIT SYARIKAT

Zaini bt Ahmad

Pensyarah Perakaunan

UiTM Kampus Segamat

 Usahawan perlu memastikan pengurusan organisasi telah dijalankan dengan sempurna. Perniagaan usahawan yang berbentuk syarikat adalah lebih mencabar jika dibandingkan usahawan yang berbentuk perkongsian dan perseorangan. Syarikat yang ditubuhkan perlu mengikut peruntukan-peruntukan perundangan dan memenuhi harapan pemegang-pemegang saham terhadap pulangan modal. Pemegang-pemegang saham syarikat adalah merupakan pemilik syarikat; tetapi syarikat pula diuruskan oleh pihak pengurusan yang diberi kuasa oleh pemilik-pemilik syarikat ini. Pemilik syarikat tidak dapat meneliti setiap urusniaga yang dikendalikan oleh pihak pengurusan. Oleh itu untuk memastikan bahawa pengurusan syarikat telah menjalankan tugas mereka dengan sempurna; tidak menyalahgunakan harta syarikat; telah menyediakan penyata kewangan yang benar dan saksama; juruaudit dilantik untuk memberi jaminan tersebut.

Seksyen 172 Akta Syarikat 1965 memperuntukkan setiap Syarikat yang ditubuhkan mesti melantik juruaudit. Juruaudit yang dilantik akan memegang jawatan sehingga tamat Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun berikutnya. Apakah pentingnya setiap syarikat berdaftar mempunyai juruaudit? Sudah pasti kerana audit dapat melindungi kepentingan pemegang-pemegang saham serta pengguna-pengguna penyata kewangan yang lain dan meningkatkan kebolehpercayaan penyata kewangan yang disediakan oleh pengurusan.

Tidak dinafikan pihak awam dan pelabur mendapat faedah keatas penyata kewangan yang telah diaudit. Malangnya pemegang-pemegang saham, pihak awam dan pelabur sentiasa inginkan kepastian yang mutlak daripada juruaudit terhadap penyata kewangan yang diaudit. Jurang perbedaan antara apa yang diharapkan oleh pihak awam dan tanggungjawab sebenar juruaudit kian ketara apabila berlakunya ‘jenayah perdagangan’ juruaudit sering dipersalahkan. Ini mencerminkan ketidakpuasan pihak awam terhadap juruaudit. Ada yang beranggapan juruaudit tidak menjalankan tugas-tugas dengan sempurna, kesudahannya penipuan yang berlaku tidak dapat dikesan. Tambahan lagi, ada yang mengangggapkan bahawa juruaudit adalah orang yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan segala penipuan dapat dikesan dan memberi jaminan mutlak penyata kewangan yang diperiksa adalah seratus peratus bebas dari sebarang penipuan dan kesilapan.

Kita tidak boleh mempersalahkan anggapan yang ada pada pihak awam. Mungkin kerana tugas-tugas dan pendekatan-pendekatan juruaudit dalam melaksanakan kerja kurang difahami, sehingga mereka dengan sewenang-wenangnya meluahkan pertanyaan melulu.

Hendaklah difahami bahawa jaminan mutlak terhadap penyata kewangan sesebuah syarikat yang telah diaudit tidak mungkin tercapai. Tugas sebenar seorang Juruaudit ialah memberi pandangan samada penyata kewangan yang diaudit adalah benar dan saksama. Memastikan penipuan tidak berlaku bukanlah tugas hakiki seorang juruaudit. Namun kerja-kerja audit masih diatur dengan menggunakan teknik yang bersesuaian untuk membantu pengurusan mencari kesilapan dan penipuan. Jika di dalam melakukan proses audit, penipuan dapat dikesan juruaudit akan melakukan tindakan yang sewajarnya. Sememangnya tidak wajar untuk meletakkan sepenuh tanggungjawab terhadap penyata kewangan syarikat ke atas juruaudit. Sifat sesuatu kerja audit dan konsep yang digunakan oleh juruaudit apabila mengaudit haruslah diambilkira. Pihak awam hendaklah bersikap berpada-pada ketika mengharapkan jaminan dari juruaudit yang penyata kewangan bebas dari segala kesilapan dan penipuan.

Audit adalah proses pemeriksaan ke atas penyata kewangan supaya ianya disediakan mengikut piawaian perakaunan yang diluluskan dan juga kehendak yang tercatat di Jadual 9 Akta Syarikat. Sejajar dengan definasi audit yang tercatat di dalam Seksyen 174 Akta Syarikat, audit adalah pemeriksaan ke atas penyata kewangan dan memberi pandangan ke atas kebenaran dan kesaksamaan penyata kewangan tersebut. Apabila menjalankan tugas audit, juruaudit perlu mematuhi kehendak Piawaian Pengauditan dan Perundangan. Harus diingati proses audit tidak melibatkan penyediaan penyata kewangan, kerana penyediaan penyata kewangan adalah sepenuhnya tanggungjawab syarikat (pelanggan juruaudit) itu sendiri. Antara tanggungjawab lain syarikat adalah menyimpan rekod-rekod perakaunan, menjaga aset-aset syarikat, menentukan kecekapan dan keberkesanan syarikat, dan menghalang dan mengesan penipuan dan kesilapan.

Apabila juruaudit menerima perlantikan, surat perlantikan akan dihantar kepada syarikat yang melantik. Surat perlantikan ini penting kerana ianya merupakan pengesahan secara bertulis penerimaan perlantikan juruaudit. Surat perlantikan ini juga dapat mengelakkan perselisihan faham antara juruaudit dan syarikat semasa audit dijalankan. Antara kandungan surat perlantikan yang penting ialah:

Kandungan surat perlantikan ini secara tidak langsung memberitahu syarikat bahawa juruaudit tidak boleh dipertanggungjawabkan secara mutlak atas penipuan yang berlaku.

 Batas-batas audit ialah:

Walaupun pada pandangan awam juruaudit sepatutnya memberi jaminan mutlak ke atas kebenaran dan kesaksamaan penyata kewangan, namun ianya mustahil untuk dicapai seperti yang telah dibincangkan. Pihak awam tidak boleh disalahkan atas pandangan mereka. Mungkin kurangnya pendedahan pengetahuan tentang audit disalurkan di akhbar dan majalah adalah salah satu sebab mengapa jaminan mutlak disandarkan ke atas juruaudit.

Juruaudit pula harus menyedari tanggungjawab mereka terhadap pemegang-pemegang saham and pengguna-pengguna penyata kewangan yang lain. Setidak-tidaknya juruaudit harus membuktikan bahawa mereka telah menjalankan kerja-kerja mereka dengan bersungguh-sungguh dan mematuhi kehendak piawaian dan bukan sekadar sambil lewa.

Sesungguhnya apabila berlaku ‘jenayah perdagangan’ adalah rumit untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana pihak awam mengharapkan juruaudit untuk mencari kesilapan tetapi juruaudit pula sebaliknya. Pihak awam juga perlu memahami konsep audit dan batasan-batasan yang ada pada audit agar tidak lagi mengharapkan jaminan mutlak dari juruaudit syarikat. Selagi jurang perbedaan antara apa yang diharapkan oleh pihak awam dan apa yang sepatutnya dilakukan oleh juruaudit masih wujud, selagi itulah isu jaminan mutlak terhadap penyata kewangan akan berterusan.

Adalah menjadi tanggungjawab bagi kedua belah pihak untuk mendekatkan jurang perbezaan yang ada. Untuk tujuan tersebut kedua-dua pihak mestilah bekerjasama kearah perubahan. Keyakinan pihak awam terhadap juruaudit wajar dipertahankan agar kepercayaan pihak awam terhadap tanggungjawab yang diletakkan keatas juruaudit telah dilaksanakan.