CATATAN BUDAYA (dari Tamadun Julai 99)
Ayu Utami saya gelarkan Arundathi Roy versi Indonesia. Di India, Roy
muncul tiba-tiba dengan novel pertamanya The God Of Small Things dan
langsung jadi pujaan sastera baru. Di Indonesia, setelah Ayu Utami
menulis Saman (sebetulnya fragmen dari sebuah novel panjang berjudul
Laila Tak Mampir di New York), beliau diterima hangat dan tiba-tiba ada
perdebatan mengenainya.
Saman, novel beliau ini menimbulkan semacam kecoh kerana pertama ia
menang dan menjadi juara utama secara mendadak kepada Sayembara
Mengarang Roman anjuran Dewan Kesenian Jakarta. Kedua, ia memilih seks
sebagai inti utama berbaur dengan hal-hal politik semasa Indonesia.
Ketiga, adanya kalangan menyifatkan Ayu Utami tumbuh dari satu
konspirasi.
Ini dilanjutkan oleh Pak Samad Said ketika minum teh tarik
dengannya kemudian. Kami iaitu Wahab Hamzah, Marlia Musa, Murad
berbincang tidak jauh dari Hospital Sultanah Aminah dan Pak Samad
melucukan saya kerana semacam termakan gula-gula Ayu Utami yang
kononnya dikatakan tumbuh menjadi juru bicara puak-puak tertentu di
jalan Utan Kayu. Saya berfikir dua tiga kali, semudah itu memperalatkan
manusia?
Saya tidak percaya dan seperti kata Ayu sebelum dari itu, dia
sendiri muak dengan teori konspirasi. Dan pandangan saya sama seperti
pandangan Agus R..Sardjono penyair angkatan baru di Indonesia,
tunggukan sahaja sequel Saman, di situ nanti membuktikan benar atau
tidaknya tuduhan tersebut. Emm, kelihatannya seperti tugas berat di
bahu Ayu walaupun sebetulnya beliau tidak perlu membuktikan apa-apa
kalau benar memang Saman dia yang punya.
Menemuinya di Pertemuan Sasterawan Nusantara XI di Johor Bahru April
lalu, adalah di luar jangkaan saya. Saman saya khatam sejak ia mulai
heboh di Indonesia dan sebelum dari menemui Ayu lagi. Malah bersama
Sumit Mandal, pensyarah Indonesian Studies di UKM, saya sudah kerap
berbincang soal Saman. Menemuinya satu macam mimpi.
Cerita novel
seputar seorang paderi Wis membantu masyarakat pedalaman meningkatkan
hidup dan kerana pergeseran politik, dia terperangkap dan teraniaya
langsung menanggalkan jubah paderinya dan menjadi pejuang hak asasi
manusia, di sini didatangkan watak-watak wanita yang terpesona dengan
lelaki jelmaan baru dari Wis bernama Saman.
Ayu Utami kelihatan seperti anak-anak sekolah, tetapi jauh
berpengalaman dan matang. Usia sudah 30 tahun tetapi genit dan menarik.
Seorang pelukis dan wartawan, Yusnita Ayu Utami pernah memenangi juara
harapan cerpen humor anjuran Majalah humor tahun 1989-1990. Ketika
kecil tomboi, dan dalam tahun 1990 pernah masuk akhir pertandingan
model anjuran majalah Femina. Kemudian Ayu melupakan sahaja hasrat
menjadi model itu, katanya, rambut diacak-acak muka ditempeli kosmetika
macam-macam, saya tak betah.
Semasa menjadi wartawan, Ayu bukan jenis wartawan kaki ampu dan pukul
orang lain untuk naik. Ayu malah tersingkir dari majalah tempatnya
bertugas kerana berani melawan arus. Dia dan rakan-rakan menubuhkan AJI
- Aliansi Jurnalis Independen sebagai alternatif kepada institusi
wartawan yang didokong pemerintah PWI waktu belum reformasi.
Mengenai hal-hal seks dalam novelnya, Ayu menjawab dengan yakin,
pertama, saya hanya mahu jujur. Kedua, saya tidak menampilkan seks
sebagai cerita tentang seks, tapi seks itu problem bagi perempuan.
Misalnya Yasmin dan Saman membicarakan seks dengan rasa bersalah. Seks
jadi diksusi bukan peristiwa. Ayu malah mengakui pada saya, surat-surat
erotik watak Saman dan Yasmin itu sendiri sebahagiannya memang surat
sendiri kepada pacarnya, dan ada sudah diedit sendiri. Saya tanyakan
siapa pacarnya? Dia senyum, itu rahsia dong!
Pemberontakan terhadap agama katolik pada watak Wis memang boleh
difahami kata Ayu, kegelisahan Wis kepada Tuhan adalah kegelisahan saya
pada Tuhan. Saya tanyakan apakah tidak ada kontroversi apabila dia
menggambarkan watak paderi sedemikian rupa? Ayu menjawab lagi, katolik
agama minoritas di Indonesia, tiada yang protes secara terang-terangan
tetapi menurut cerita rakan, ada paderi seusai membaca Saman, melutut
di biara mendoakan untuk saya, penulis dan gadis yang dirasakan sesat
jiwanya, kata Ayu lagi ketawa.
Ayu bukan wartawan jenis tiada otak, kalau diajak berbincang dengannya
sekitar politik Indonesia, dia nampak serius sekali. Saya sedih, kerana
setelah berpuluh tahun, militer telah merosakkan persatuan. Di
Indonesia polisi dan tentera itu sama, ABRI. Kekerasan yang dilakukan
di TimTim, Sambas, Ambon dan Acheh menyebabkan orang kecil tidak
percaya lagi kepada pemerintah dan hukum (undang-undang). Kata Ayu, dia
senang kalau melihat Amien Rais dari PAN menang sebagai Presiden tetapi
jelasnya sokongan amat kuat untuk Megawati Sukarno Putri. Saya
terkesima, kenapa pilih Amien yang Islamis sedang anda katolik, kenapa
tidak Mega?
Mega memang mewarisi ketokohan ayahnya Sukarno tetapi dia hanya boleh
menjadi simbol. Dia, Mega, tidak seperti Aung San Su Kyi di Myanmar
turut mewarisi kepintaran ayahnya. Ayu melihat keupayaan Amien lebih
besar dari Megawati dalam hal memimpin Indonesia. Amien baginya ada
pembaharuan sikap setelah pulang dari Amerika Syarikat meski pernah
menjadi peneliti Ikhwanul Muslimin. Oh ya, Ayu Utami boleh bercakap
soal Ikhwanul Muslimin dengan lancar! Kata Ayu lagi, pada PDI pimpinan
Megawati seperti masih ada karat-karat feudal. Apatah lagi kegagalan
Megawati membantu menghentikan penembakan ke atas mahasiswa bagi beliau
amat mengecewakan.
Sebelum mengakhiri perbualan di tepi kolam renang Hyatt Regency, saya
bertanya, di sini sudah ada Persatuan Penulis Wanita, bagaimana nasib
penulis wanita di Indonesia? Kata Ayu, itu saya enggak bisa jawab, saya
bukan juru bicara. Kata saya, Oke, bagaimana Ayu melihat diri sendiri
sebagai penulis wanita di masa hadapan? Itu juga saya enggak bisa
jawab, kalau nanti saya bertukar kelamin gimana?
Saya senyum. Ayu juga senyum. Senyum saya kerana memikirkan betapa
majunya fikiran Ayu Utami dalam hal penyamaan taraf dan penghapusan
status berbentuk gender, tidak seperti penulis 'wanita' di sini melabel
diri, langsung menurunkan taraf sendiri. Senyum Ayu, dia sahaja yang
mengerti kerana apabila saya tanyakan apakah Goenawan Mohammad
(pemikir, wartawan, pemuka majalah Tempo dan penyair di Indonesia)
pacarnya? Dia memandang muka saya tepat, membeliakkan mata dan
tersenyum lagi. Tiada diberi jawapan pasti.