Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Cerita

 

Sejarah pembukaan Kampung Lukut  adalah merupakan cerita yang telah diperolehi turun-temurun daripada orang-orang terdahulu. Ianya merupakan satu warisan sejarah yang harus dipelihara dan dihargai oleh segenap lapisan masyarakat Kampung Lukut agar mereka menghargai asal-usul mereka dan jasa-jasa peneroka asal.

Bahkan ianya boleh menjadi suatu bahan rujukan bersejarah di negeri Johor. Mudah-mudahan generasi akan datang dapat memelihara warisan peninggalan sejarah nenek moyang mereka ini.

 

Berikut adalah sejarah pembukaan Kampung Lukut yang diceritakan oleh Tuan Hj. Mohd. Salleh bin Tamin, salah seorang pedukung dan penyimpan sejarah Kampung Lukut :-

 

 

Tragedi Kampung Jimah, Negeri Sembilan

Pada penghujung abad kesembilan belas iaitu 1889, berlakulah satu tragedi yang menyayat hati menimpa keluarga Raja Lajim bin Raja Said, di Kampong Jimah Port Dickson, Negeri Sembilan. Dimana salah seorang anaknya yang bernama Kasim telah meninggal dunia kerana terjatuh ke dalam perigi dipinggir kampung tersebut. 

Kemalangan tersebut diketahui umum apabila budak-budak pergi ke perigi untuk mengambil air buat keperluan seharian. Sebaik sahaja mereka sampai dan hendak menimba air, alangkah terkejutnya mereka apabila terlihat satu mayat terapung di dalam perigi tersebut.Apalagi maka bertempiaran budak-budak tersebut lari ke rumah sambil melaung-laungkan ada mayat di dalam perigi.

 Kebetulan pada ketika itu, Raja Lajim baru pulang dari berkebun dan sedang berehat dirumahnya.Sebaik sahaja mendengar berita itu, Raja Lajim terus bingkas bangun sambil mencapai parang dan tengkuluknya lalu berlari menuju ke perigi. Apabila tiba di sana, alangkah terkejutnya ia apabila melihat mayat tersebut adalah anaknya Kasim.

Diatas kemalangan yang tidak diduga ini, Kampung Jimah yang aman tenteram telah menjadi gempar dan riuh rendah dengan ratapan tangis sanak saudara terhadap kematian Kasim. 

 

Mayat Disalai/Keringkan

Ekoran dari peristiwa ngeri itu, Raja Lajim pun mengumpulkan sekelian anak buahnya dan alim ulama' di Kampung Jimah bermuafakat untuk membuat laporan di balai Polis Seremban.Laporan pun dibuat oleh Raja Lajim di Rumah Pasung Seremban didepan pegawai polis berbangsa Inggeris kerana negeri-negeri Tanah Melayu pada ketika itu maseh di bawah jajahan British.

Setelah laporan dibuat, pegawai polis berbangsa Inggeris tersebut telah mengambil kesimpulan bahwa Raja Lajim dituduh bersalah kerana cuai tidak menjaga anaknya dan akan dibicarakan mengikut undang-undang Inggeris di Mahkamah Seremban.

Apa yang menyayat hati dan menyedihkan lagi ialah, mayat si Kasim yang menjadi bahan bukti kes, terpaksa dikeringkan dengan cara disalai, kerana pada ketika itu tidak ada bilik penyejuk mayat. Ini telah menambahkan lagi penderitaan Raja Lajim dan keluarganya, apatah lagi setelah dituduh bersalah pula oleh penguasa Inggeris. 

 

Dari Berputih Mata Biar Mati Bergalang Bangkai

Perbicaraan kes memakan masa dan akhirnya tibalah hari keputusan perbicaraan. Pada hari tersebut, maka Raja Lajim bersiap-siap seperti seorang pendekar. Selepas solah subuh, dia menyuruh isterinya menyiapkan anaknya yang seorang lagi bernama Daim untuk dibawa bersama. Raja Lajim lengkap berpakaian dengan bertanjak dan sebilah keris panjang tersisip dipinggangnya sambil berpesan pada keluarganya bahwa pemergiannya bergeruh, silap langkah membawa padah.Pada ketika itu kebenciannya terhadap penjajah semakin meluap-luap. Beliau bertawakkal pada yang maha Esa dan seraya memohon perlindungaNya.

Setelah meninggalkan pesan, maka berangkatlah Raja Lajim dengan anaknya Daim berserta para pengikutnya menuju ke Seremban. Di mahkamah setelah segala keterangan bergulung, maka Hakim berbangsa Inggeris telah membuat keputusan bahwa Raja Lajim didapati bersalah. Belum pun habis hakim menutup perbicaraan, Raja Lajim tiba-tiba bertempik sambil menyorong anaknya Daim ke hadapan dengan keris yang terhunus, mencabar hakim membunuh anaknya Daim. Dengan suara lantang ia berteriak;

"Sekali ini aku bergeruh, pada aku dari mati berputih tulang biar mati bergalang bangkai" begitulah tempikkannya.

Suasana di dalam mahkamah pun menjadi kelam kabut tidak menentu. Melihatkan  kemarahan Raja Lajim dan para pengikutnya membuak-buak, maka hakim dengan tiba-tiba mengubah hukuman iaitu Raja Lajim didapati tak bersalah dan mayat Kasim hendaklah dikembalikan pada keluarganya. Lalu berangkat pulang rombongan Raja Lajim sambil membawa bersama-sama jenazah anaknya Kasim untuk dikebumikan di Kampung Jimah.

 

Orang Sembilan

Setelah beberapa hari anaknya selamat dikebumikan, Raja Lajim maseh lagi dalam keadaan sugul dan dukacita. Perasaan marahnya terhadap penjajah makin membara dan membuak-buak. Beliau memberitahu anak buahnya bahwa keinginannya untuk meninggalkan Kampung Jimah kerana takut kalau-kalau tidak dapat membendung lagi kemarahannya  terhadap inggeris lalu timbul perbalahan dan pergeseran fizikal dengan mereka.

Lalu ia pun menjemput kaum keluarga serta anak buahnya datang ke rumah kerana majlis kenduri arwah anaknya sambil bermuafakat untuk keluar meninggalkan kampung halamannya. Dalam muafakat , Raja Lajim menyatakan hasratnya meneroka ke Johor dan menjemput sesiapa yang sudi bersama-samanya. Maka bersetujulah seramai 7 orang anak buahnya , menjadikan lapan orang kesemuanya termasuk Raja Lajim.:

1. Raja Lajim bin Raja Said    -    Ketua Rombongan

2. Lajis bin Lajim                   -    Anak Raja Lajim

3. Pawang Ebid                     -    Peserta dari Jelebu

4. Abu Bakar bin Mazlan       -    Peserta dari Labu

5. Ibrahim bin Hj. Ahmad       -    Peserta dari Sri Menanti

6. Imam Musa                        -    Peserta dari Sungai Ujung

7. Orang dr Riau                    -     Peserta

8. Orang dr Sumatera             -     Peserta

 

Setelah keputusan dicapai, maka bersiap sedialah orang berlapan untuk berangkat pergi. Tiba-tiba datang seorang pemuda dari Lukut, Negeri Sembilan menyatakan hasrat untuk ikut bersama. Raja Lajim cuba menghalangnya kerana beliau ketika itu sedang bertunang dan menurut pantang larang orang Melayu, orang sedang bertunang berdarah manis dan penganyir iaini berisiko tinggi untuk ditimpa musibah. Namun pemuda tersebut tetap berkeras untuk ikut serta. Maka akhirnya Raja Lajim pun akur dan membenarkan pemuda itu bersama, lalu jadilah kumpulan ini Rombongan Orang Sembilan.

 

Penghijrahan 

Setelah tiba masanya, maka berkumpullah Raja Lajim mengetuai  kumpulan Orang Sembilan di rumahnya untuk membuat persiapan perjalanan. Setelah selesai upacara doa selamat, kumpulan Orang Sembilan pun berangkat pergi dengan diketuai oleh Raja Lajim menuju ke Pulau Arang(Port Dickson). 

Untuk ke Johor mereka terpaksa menaiki Kapal Api ke Singapura dahulu. Setelah tiba di Singapura, rombongan ini berehat untuk melepaskan lelah setelah menaiki kapal api yang memakan masa yang lama untuk tiba. Peluang ini diambil oleh Raja Lajim untuk berjumpa Ketua Tempatan di Singapura bagi menyampaikan hasratnya berhijrah ke Johor. Setelah diperkenankan maka ketua tempatan mengarahkan Orang Sembilan supaya mudik ke hulu Kota Tinggi dengan menaiki Kapal Meranti.

Setelah tiba Kapal Meranti, maka kumpulan Orang Sembilan pun menaikinya dan meneruskan perjalanan mereka ke Kota Tinggi.

 

Bertemu Dato' Timor

Setelah tiba di Kota Tinggi melalui sungai, Raja Lajim dan pengikutnya mendarat dan terus berjumpa dengan ketua kampung berdekatan iaitu Ketua Kaum di Kampong Makam.

Disitu Raja Lajim menceritakan tujuan mereka ke Kota Tinggi. Setelah itu Ketua Kaum mengarahkannya untuk mengadap Dato' Timor iaitu Penguasa Tempatan yang menetap di Tanjong Surat memohon keizinannya bagi tujuan penerokaan kawasan baru. Maka berhilirlah Orang Sembilan ke Tanjong Surat.

Setelah tiba di sana, Raja Lajim pun mengadap Dato' Timor menyatakan hasratnya memohon kebenaran untuk tumpang bertandang menyambung nasib di Johor dan mohon limpah perkenan untuk meneroka tanah di sini untuk dijadikan kampung. Dato' Timor membenarkan mereka meneroka dimana sahaja dari Mersing ke Johor Lama, sementara beliau menyembahkan permohonan tersebut kepada Sultan.

Setelah diperkenankan oleh Sultan maka rombongan Orang Sembilan kembali semula ke Kota Tinggi untuk menyatakan kebenaran yang diterima kepada Ketua Kaum di sana.

 

Makam Lama

Maka bermulalah Orang Sembilan meneroka kawasan baru. Pencarian kawasan baru dimulakan  ke Mersing dengan berjalan kaki meredah hutan tebal, dimana penat letih disitulah berhenti, sambil memerhatikan keadaan sekeliling yang sesuai namun tiada yang berkenan di hati. Setelah lama berjalan hingga ke Mersing namun tiada kawasan yang sesuai , lalu bersepakat Orang Sembilan untuk kembali semula ke Kota Tinggi.

Dalam perjalanan pulang ke Kota Tinggi, rombongan berehat di Batu 7 sambil mendirikan pondok. Selepas menghilangkan lelah, perjalanan disambung semula hinggalah sampai di Kampong Makam. Dari sana Raja Lajim pun mengambil keputusan untuk menghala ke arah sebelah kanan dan berjalanlah Orang Sembilan memulakan kembali penerokaan. 

Setelah lama berjalan tibalah mereka di satu kawasan yang terdapat makam lama dimana batu nisannya menyamai Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di Kampung Makam (dipercayai kepunyaaan pelarian Sultan Melaka yang tewas dengan Portugis).

Tidak jauh dari situ maka terlihatlah Orang Sembilan akan satu kawasan tanah pamah serta padang lalang yang luas sedang berbunga memutih bagaikan kapas dibusar. Diserikan dengan berlatar belakangkan Gunung Panti beserta dengan air sungai yang jernih.

 

Kampung Lalang

Raja Lajim dan orang-orangnya pun berhenti di situ dan meminta pendapat Tok Pawang Ebid. Pawang pun mencungkil tanah dan mengambil sekepal tanah kemudian diciumnya. Berpandukan pada ilmunya maka pawang berpendapat bahwa kawasan ini sesuai dijadikan kampung hingga ke anak cucu dan ahli rombongan meminta pula pendapat pawang mengenai kawasan untuk bersawah. 

Kalau di kampung halaman di Jimah, kawasan sawahnya tidak berlintah bagaimana pula kalau di sini. Tok Pawang pun meminta ahli rombongan semua berdoa agar lintah-lintah yang banyak di sungai tidak masuk ke dalam saliran dan seterusnya ke sawah apabila mereka mula bersawah kelak.

Setelah semua sepakat bahwa inilah kawasan yang dicari-cari, maka kerja-kerja mendirikan pondok dan sengkuap segera dilakukan.Raja Lajim pun bermuafakat untuk menamakan kampung baru ini, lalu mereka bersepakat menamakannya Kampung Lalang kerana memandangkan kawasan ini persekitarannya penuh berlalang dan sungainya dinamakan Sungai Lalang.

 

Hikayat Malim Deman

Pada keesokannya setelah bersarapan pagi, Orang Sembilan pun memulakan kerja-kerja meninjau kawasan seterusnya. Mereka disahut dan dipersilakan dengan kicauan unggas serta bunyi teguran tupai, kera dan berbagai haiwan lain. 

Kerja-kerja penerokaan tapak-tapak pondok diteruskan sambil meninjau kawasan baru ini. Mereka dapati air sungainya yang sangat jernih, tenang dan berlubuk ikan nan banyak di samping kelihatan lintah-lintah yang berjalaran di gigi sungai dan kawasan sekelilingnya menghijau sungguh mengasyikkan serta dapat menenangkan fikiran. Ditambahkan lagi dengan keindahan Gunung Panti yang tinggi menawan menyebabkan ada di antara mereka yang menjadi sedih sendu kerana terkenangkan kaum keluarga dan kampong halaman yang jauh di mata.

Berbekalkan pepatah melayu 'Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya' maka bekerjalah Orang Sembilan bersungguh-sungguh menyiapkan kawasan-kawasan keperluan seperti tapak-tapak pondok, telaga, membuka kebun-kebun dan lain-lain lagi. Sambil mereka berkerja, sambil mereka bergurindam ( Hikayat Malim Deman) :-

               Berbunyi Kuang jauh ketengah

               Sering lenting riang dirimba

               Menguak kerbau di kandang

               Sambut melenguh lembu di padang

               Kicak-kicau benyi murai

               Taptibau melambung tinggi

               Mengukur balam dihujung bendul

               Berdengut puyuh panjang bunyi

               Ayam berkokok hari nan siang

               Puntung sejengkal jadi

               Itu alamat hari nak siang

Dalam masa kegairahan bekerja tanpa disedari matahari sudah terpacak dikepala, lalu mereka berhenti bekerja dan pulang ke pondok. Dalam perjalanan pulang budak dari Lukut, Port Dickson pun mengalunkan pantunnya, berbunyi :-

               Upih melayang sudut halaman

                    Anak Raja turun ke pengkalan

               Tinggal kampung tinggal halaman

                    Tinggal tempat permandian

Sebaik sahaja budak lukut itu habis berpantun, suasana menjadi sepi seketika kerana  ada yang menyayat hati mereka, tanpa disedari airmata bergelinang dipipi, sejurus kemudian sampailah mereka di pondok.

 

Kampung Lukut Nama Diberi

Selepas makan tengahari dan solah Zohor, mereka bermuafakat untuk menjadikan kawasan padang lalang sebagai sawah padi. Mereka bersetuju untuk membina empangan dan saliran dahulu, dan kerja-kerja bersawah akan hanya dimulakan apabila mereka sudah kembali dari mengambil anak -isteri di Kampung Jimah.

Sebagai pengamal adat Pepatih, berkonsepkan permuafakatan dalam segala bidang iaini bekerjasama dan bergotong-royong di dalam melaksanakan sesuatu tugas, maka tiadalah mereka mempunyai masalah di dalam membuat pekerjaan. Bak kata pepatah :

               ringan sama dijinjing

               berat sama dipikul

               gunung sama didaki

               lurah sama dituruni

Mulalah bergotong royong Orang Sembilan membuat kerja-kerja saliran dan penyediaan tapak-tapak sawah. Dalam kesibukkan mereka bekerja, musibah pula menimpa. Dengan secara tiba-tiba budak dari Lukut telah jatuh sakit dan meninggal dunia, ini semua dengan kehendak yang Maha Esa. Jenazahnya terpaksa dibawa ke Kampung Makam untuk pengkebumiannya kerana memandangkan tempat ini baru dan belum sempurna lagi.

Di sana mereka diberi pertolongan oleh penduduk serta Ketua kaumnya di dalam menguruskan jenazah si budak lukut untuk dikebumikan. Maka bertanya-tanyalah penduduknya, siapakah gerangan yang meninggal dunia.

Maka dijawab oleh Raja Lajim, " Saudara hamba dari Lukut, Port Dickson yang mana turut serta dalam penerokaan kampung baru di pinggir Kota ini yang mana hamba namakan Kampung Lalang dan sungainya Sungai Lalang."

Maka bersempena dengan kematian budak lukut itu, Raja Lajim mencadangkan agar nama Kampung Lalang ditukarkan kepada Kampung Lukut dan sungainya tetap dikekalkan sebagai Sungai Lalang. Bersetujulah mereka setelah bermuafakat, maka kekallah nama Kampung Lukut hingga ke hari ini.

 

Rombongan Kedua

Manakala selesai segala urusan pengkebumian budak Lukut, maka bersepakat orang yang berlapan untuk kembali ke Negeri Sembilan untuk mengambil anak isteri berpindah ke tempat yang baru. Perjalanan bermula dengan menaiki Kapal Meranti menghilir ke Singapura dan dari sana dengan Kapal Api ke Pulau Arang (Port Dickson) dan seterusnya berjalan kaki ke kampung halaman.

Sesampai di Kampung Jimah mereka disambut dengan gembira oleh sanak saudara dan bercampur sedih apabila mendengar berita kematian budak Lukut. Raja Lajim pun meminta supaya mereka-mereka yang terlibat dalam penghijrahan kali ini supaya bersiap-sedia. Kebanyakkan yang terlibat ialah anak-isteri dicampur dengan peserta-peserta baru berjumlah 40 orang kesemuanya. Pada hari dan ketika yang sesuai maka berangkatlah Rombongan yang Kedua ke Pulau Arang dan seterusnya ke Singapura dan destinasinya, Kampung Lukut, Kota Tinggi.

 

Penghulu Pertama Kampung Lukut

Setiba sahaja di Kampung Lukut, masing-masing ke pondok besar sementara yang dibina oleh rombongan yang pertama. Mereka tinggal bersama-sama rumah-rumah mereka siap didirikan.

Dengan kehadiran kaum keluarga, maka dapatlah mereka menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan kampung baru ini dan membuka sawah padi. Kerja-kerja dijalankan serentak, empangan dan saliran dibina, empangan siap saliran ditarah, empangan melimpah mengikut saliran, padang bertukar wajah, masing-masing terus bekerjasama. Rumah-rumah didirikan, sawah dicangkul, padi ditanam di samping menyelenggara kawasan perkampungan dengan menanam tabu, pisang ,ubi, keladi dan lain-lain. 

Dari sehari ke sehari keadaan halaman bertambah lapang, ubi hampir berisi, padi sudah lindung permatang, menunjukkan semakin makmur keadaan Kampong Lukut. Maka bermuafakat mereka untuk mencari seorang ketua, bersepakatlah mereka melantik Wan Salim bin Abu Bakar anak saudara kepada Raja Lajim sebagai penghulu bertauliah yang pertama.

 

Orang Rambah

Berita keadaan kemakumuran Kampung Lukut tersebar luas, mungkin oleh sebab itu maka datanglah rombongan orang Rambah Sumatera untuk bersama meneroka kawasan baru ini. Mereka pun dibawa mengadap Penghulu Wan Salim Abu Bakar. Setelah didengar akan hajat orang Rambah, Wan Salim pun mengarahkan mereka ke kawasan bersebelahan untuk menyambungkan lagi penerokaan Kampung Lukut.

Semakin bertambahlah penduduk kampung Lukut yang akhirnya telah semenda menyemenda, terjalanlah intergrasi kaum yang majoritinya berketurunan Negeri Sembilan (minangkabau). Kedua-dua puak ini sejak awalnya mempunyai perhubungan yang rapat sekali dan mendukung Adat Pepatih meskipun tak dibuat semua tetapi tak ditinggalkan pula semua.

Dengan pertambahan penduduk ekoran dari kedatangan orang Rambah, Sumatera itu, semakain memantapkan keadaan sosial masyrakat kampung Lukut, seiring dengan kerja-kerja pembangunandan penerokaan berjalan dengan lancar di bawah pentadbiran Penghulu Wan Salim. Keadaan berada dalam keadaan harmoni berlandaskan peraturan dari Adat Pepatih yang berkonsepkan kerjasama dan tolong-menolong bak kata pepatah 1) berat sama dipikul, ringan sama dijinjing 2)ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni 3)hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah 4)bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat 5). tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan dan lain-lain lagi yang menjadi teras kerukunan masyarakat pepatih.

 

12 Ekor Kerbau

Keadaan bertambah maju tetapi di dalam yang sedemikian ada juga aspek-aspek lain yang kekurangan, seperti kewangan. Maka dengan kehendak yang Maha Esa, Raja Lajim mendapat tawaran daripada "Orang Kaya" di Kota Tinggi bernama Tuan Hj. Ahmad sebagai modal untuk membeli kerbau di Bekuk, Segamat dan dipawahkan kepada orang-orang kampung untuk diternak.

Sebaik sahaja menerima tawaran, Raja lajim pun bermuafakat dengan anak buahnya menerangkan hal tersebut dan mempelawa sesiapa yang ingin turut serta mengikutnya ke Segamat. Maka bersetujulah 12 orang untuk turut serta sebagai rombongan.

Apabila sudah tiba masanya, berangkatlah 12 orang tersebut ke Bekuk dengan berjalan kaki. Perjalanannya sangat mencabar iaitu dengan menempuh hutan belantara dan meredah paya lebar. Berbekalkan dengan semangat "kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya dan genggam bara api biarlah sampai menjadi arang" dan Tawakal kepada Yang Maha Esa, inilah yang menjadi pembakar semangat untuk mereka mencapai tujuan dan kejayaan.

Rombongan terus menuju ke utara hingga sampai dipinggir paya yang luas di Yong Peng, Batu Pahat. Perjalanan diteruskan dengan meredah dan mengharung paya yang luas itu memakan masa sehari suntuk. Menurut ceritanya, pukul 6 pagi mula mengharung, pukul 6 petang baru tiba ke seberang. Raja lajim pun mengarahkan anak buahnya berehat dan bermalam disitu kerana terlalu letih, lalu mereka menamakan tempat itu Paya Helang Mengantuk. 

Pada keesokkannya, berangkatlah mereka ke Bekuk. Setibanya di Bekuk Raja Lajim pun menemui ketua kampung di sana untuk mencapaikan hajat dan tujuannya. Dalam rundingan tersebut Raja Lajim telah membeli sebanyak 12 ekor kerbau untuk ijadikan ternakan dan mengerjakan sawah.

 

Masa Hadapan Yang Cerah

Maka bertolak pulang orang 12 membawa kerbau sebanyak 12 ekor juga ke Kampung Lukut di mana perjalanannya memakan masa lebih kurang sepurnama(sebulan). Setiap seorang mengheret seekor kerbau, dimana terasa penat disitulah mereka berhenti.

Setelah tiba di kampung halaman masing-masing menambatkan kerbau dibelakang rumah. Sebaik malam menjelang, harimau pula datang untuk membaham kerbau. Orang-orang kampung keluar berama-ramai membawa andang, terang benderang disertai tempik sorak. Sambil bersenjatakan lembing dan pedang seraya memukul gong serta gendang, riuh-rendahlah keadaannya hingga menyebabkan pak belang bertempiaran lari pulang ke hutan. Begitulah keadaannnya hampir setiap malam penduduk kampung menggunakan teknik ini untuk menghalau harimau dan binatang buas yang lainnya.

Hari berganti hari, hutan semakin dibuka, lombong-lombong turut dibuka sama. Ekoran dari itu maka peluang pekerjaan bagi penduduk makin bertambah. Keaddan menjadi semakin baik dengan getah telah mula ditoreh, hasil padi berlipat ganda, di samping ada yang kerja makan gaji dan bekerja sendiri seperti mencari rotan, damar, taban dan lain-lain lagi.

Dan pahit getir pada peringkat penerokaan telah mula terubat dan membuahkan hasil, dan jalinan persaudaraaan dengan puak Rambah  bertambah erat dengan menyemenda. Berlunaskan Adat Pepatih di dalam semua hal telah tidak menimbulkan sebarang masalah kerana puak Rambah juga datang dari keturunan yang serumpun iaitu mempunyai asas pepatih

 

Biar Mati Anak Jangan Mati Adat.

Masa terus beredar dengan membawa arus perubahan tetapi prinsip permuafakatan tetap terpelihara di kampung ini yang menjunjung adat pepatih. Banyak adat istiadat lama yang tidak sesuai atau bercanggah dengan syara' telah ditinggalkan, namun perkara-perkara pokok dalam adat istiadat nikah kahwin tetap dipelihara seperti istiadat Mufakat, Merisik, Menghantar Tanda & meminang, Menghantar belanja, Akad Nikah dan sebagainya.

Adat pepatih maseh terus dipelihara disamping memastikan yang ianya tidak bercanggahan dengan syara', bak kata pepatah :

               Biar mati anak jangan mati adat

               Hilang adat kerana muafakat

               Adat lalu ditengah terang

               Muafakat lalu di dalam gelap

Itulah ungkapan-ungkapan yang di pusakai dari datuk nenek turun temurun yang berasal dari Negeri Sembilan yang telah dibawa bersamapada penghujung abad ke 19.

 

Penutup

 

Sebagai penutup disudahi dengan rangkaian ungkapan pantun di bawah:-

              Batu balang batu berkarat

                    Tupai, kambing berbulu coklat

               Satu di seberang satu di darat

                    Sampai di tebing bertemu erat

 

               Dara mengoyak kain perca

                    Langsir pelikat sungguh ketara

               Dua puak berlainan punca

                    Intergrasi diikat teguh bersama

 

               Lada berbuah dikiri jalan

                    Hilir bertolak mengikut jeti

               Tiada Rambah tiada Negeri Sembilan

                    Lahirlah anak Lukut sejati.                    

 

Wallahualam

 

Cerita Nukilan:

Hj. Md. Salleh Tamin

Kampung Lukut

 

Rujukan:

Allahyarhamah Riah bte Lajim

Allahyarham Hj. Daim bin Lajim

Allahyarham Lajis bin Lajim

 

 

  

 

<kembali>