Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
'SAMPAI BERTEMU' BUAT PEMINAT DARI ERRA FAZIRA



  • TARIKH: Rabu 11 April 2002
  • AGENDA: Sidang akhbar album terbaru Erra Fazira - Sampai bertemu
  • DI PASARKAN: 3 April 2002
  • TEMPAT: Hotel Concorde KL


  • Dalam kelembapan ekonomi dan minat membeli peminat seni suara yang berkurangan, Erra Fazira tetap melancarkan album terbarunya berjudul 'Sampai Bertemu' tanpa ragu. Katanya, sekiranya album tersebut tidak dilancarkan sekarang, industri muzik mungkin bertambah parah sekaligus menyukarkan albumnya untuk di pasarkan.

    Ini kerana, pembikinan album tersebut yang memakan masa selama enam bulan telah memberikan suntikan rahmat amat bermakna bilamana ia mendapat perhatian beberapa penaja seperti Celcom dan Avon. Dengan perjanjian yang telah dimerterai, Erra dan penajanya akan bekerjasama menjayakan promosi album 'Sampai Bertemu' yang mengandungi 10 buah lagu ke seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

    Ia merangkumi kempen menerusi televisyen, radio dan juga sesi bertemu peminat di tujuh bandar utama. Salah satu sebab mengapa album ini diberi judul 'Sampai Bertemu' adalah kerana Erra Fazira sendiri akan ke tempat-tempat promosi yang telah dirancang itu.

    Antara tempat-tempat tersebut ialah:


    
    Tarikh         Hari               Tempat                   Masa
    
    14 April       Ahad      Plaza Kotaraya, Johor Bahru       4:00 ptg
    20 April       Sabtu     Plaza Bukit Jambul, Penang        4:00 ptg
    21 April       Ahad      Green Town Mall, Ipoh             4:00 ptg
    28 April       Ahad      berjaya Mall, Kuantan             4:00 ptg
    1  Mei         Rabu      K.L Central                       4:00 ptg
    4  Mei         Sabtu     Kompleks Karamunsing K.Kinabalu   4:00 ptg
    5  Mei         Ahad      Kompleks Tun Jugah, Kuching       4:00 ptg
    


    Selain promosi di luar lembah Klang, Erra turut akan memberi peluang kepada peminatnya menyertai kuiz dan peraduan yang telah dirancang bersama media cetak dan elektronik. Melalui peraduan tersebut, peminat berpeluang memenangi pakej prepaid bernilai RM160, jam tangan khas bernilai RM150 dan hamper sumbangan Avon kosmetik.

    Lagu 'Sampai Bertemu' di dalam album ini yang diletakkan sebagai single pertama dikatakan semakin hangat di radio. Ia juga telah terpilih menduduki carta di beberapa stesyen radio di Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Sabah, Sarawak, Manis FM, Radio Muzik, RMKL dan Best 104.

    Antara penerbit yang terbabit dalam album ini adalah Rosli Selasih, KRU, Adnan Abu Hassan, Fauzi Marzuki dan ramai lagi. Begitu juga dengan pencipta lirik, mereka terdiri dari yang memang sudah popular seperti Habsah Hassan, Amran Omar dan KRU.

    Lagu 'Sampai bertemu' telah dicipta oleh Adnan Abu Hassan manakala liriknya di tulis oleh Amran Omar. Antara lagu-lagu yang dijangka menjadi hits selain 'Sampai bertemu' ialah 'Perpisahan Hanya Waktu' dan 'Lepaskanlah'.

    Selain itu, terdapat juga sebuah lagu duet berjudul 'Nada Kasih' antara Erra dan penyanyi Indonesia Rio Febian. Rio merupakan salah seorang artis solo Sony Music Indonesia. Beliau pernah meraih Anugerah Penyanyi Baru Lelaki Terbaik di Anugerah Planet Muzik di Singapura pada tahun 2002.

    Terdahulu, menjelaskan mengenai peranan Sony Music dalam membenteras cetak rompak, menurut Erra albumnya kali ini dibungkus istimewa disamping diselitkan borang peraduan dan dua keping poskad gambar terbarunya. Oleh yang demikian, peminat mendapat kelebihan berbanding album cetak rompak yang tidak berkualiti serta tidak mempunyai poskad dan borang peraduan.

    "Di dalam album ini juga disertakan sekali borang keahlian 'Kelab Peminat Erra Fazira'. Sekiranya sesiapa berminat menjadi ahli, mereka boleh berbuat demikian dengan menghantar borang asli yang disediakan di dalam album tersebut," tambahnya.



    SAMPAI BERTEMU BUKAN UNTUK YUSRY!


    Soalan nakal yang diajukan oleh segelintir wartawan tentang judul lagu Sampai Bertemu membuat Erra tersipu malu. Katanya soalan itu terlalu berat apabila ianya asyik menjurus kepada kumpulan KRU.

    "Lagu ini bukan saya tujukan pada Yusry atau mana-mana lelaki istimewa. Ia sebenarnya khusus untuk peminat yang tinggal di luar Kuala Lumpur di mana kami akan 'bertemu' dalam promosi tidak lama lagi," ujarnya.

    Bagaimanapun, wartawan yang menyoal tetap tidak puas hati dan bertanya lagi apakah KRU ada memberi tunjuk ajar padanya ketika dia masuk studio untuk rakaman di sana. Bagaimanapun, jawab Erra, KRU tiada langsung ketika rakaman lagu dilakukan kerana dia dijaga oleh petugas studio yang lain.

    "Eh..eh, banyaknya soalan tentang KRU!" ujar Erra berseloroh sambil disambut dengan hilai tawa jemputan yang hadir. - myartis.com


    Contoh Lagu Dalam RealAudio 7 (28.8)
    ALBUM SAMPAI BERTEMU
    | Lepaskanku (484K) | Sampai Bertemu (724K) | Adakah (651Kb) | Janji Kita (578K) |



    This Online news updated everyday. My@rtis.com Copyright 2002. All Rights Reserved myartis stat
    Send EMAIL to: my@rtis.com