Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Hantaran

Upacara hantar belanja dijalankan pada tarikh yang telah dipersetujui dan sekali lagi rombongan pihak lelaki datang ke rumah pihak perempuan. Kedua pihak itu selalunya diwakili oleh ketua kampung. Mereka akan saling bertukar hantaran serta iringan setelah kedua pihak menghuraikan janji dan menyelesaikan masalah yang bersangkutan. Wang hantaran itu biasanya diiringi dengan persalinan untuk si gadis dan mengikut apa yang telah dijanjikan. Perjanjian biasanya dalam bentuk 'serba satu atau serba dua'. Serba satu bererti persalinan iringan itu setiap jenis dan digubah dalam pelbagai bentuk seperti bentuk itik, burung dan keris. Wang hantaran pula digubah biasanya dalam bentuk buah-buahan ataupun pokok bunga.

Sementara itu, iringan lain sering kali turut disertakan adalah bunga rampai, sirih junjung, pahar telur merah dan alat solek. Kesemua kelengkapan yang dibawa oleh rombongan pihak pengantin lelaki disampaikan ke rumah gadis itu. Apabila selesai upacara penerimaan di serambi, iaitu setelah diselesaikan oleh pihak lelaki, hantaran serta iringannya itu diedarkan ke dapur. Ini adalah untuk disaksikan oleh pihak perempuan. Bekas-bekas kosong itu kemudiannya diisikan dengan barang-barang balasan daripada pihak gadis, biasanya kuih-muih, nasi dan lauk-pauk yang akan dibawa pulang oleh rombongan itu untuk si teruna.