Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

(32) KISAH TIGA ORANG PEMUDA MEMOHON PERTOLONGAN ALLAH S.W.T. UNTUK MENGELUARKAN MEREKA DARI GUA YANG TERTUTUP.

Dari Abdullah bin Umar r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. :”Pada suatu ketika dulu ada tiga orang yang sedang dalam perjalanan, tiba-tiba dengan tidak semena-mena mereka telah ditimpa hujan yang lebat. Untuk melindungi diri  mereka dari terkena hujan maka mereka pun lari masuk ke dalam sebuah gua yang berdekatan disitu, tiba-tiba dari atas bukit jatuh sebiji batu yang sangat besar dan menutupi keseluruhan gua tersebut, melihat akan keadaan itu maka ketiga-tiga pemuda itu pun berkata:” Nampaknya kita tidak dapat keluar dari tempat ini, oleh itu marilah kita mengingati amal salih yang telah kita lakukan untuk mencari keredhaan Allah swt. Mudah-mudahan dengan amal yang kita buat itu Allah swt. Akan membukakan gua ini untuk kita keluar.”

Lalu berdoalah pemuda yang pertama:”Ya Allah!, aku mempunyai ibu dan bapa yang keduanya sudah tua dan aku juga mempunyai seorang isteri dan beberapa orang anak yang masih kecil lagi, yang mana semuanya ini masih dalam tanggunganku. Setiap hari apabila aku balik dari mengembala, aku akan memerah susu untuk mereka dan yang pertama aku berikan susu tersebut ialah kepada ibu dan bapaku yang sudah tua itu, selepas itu barulah aku berikan pada anak dan isteriku. Pada suatu hari aku telah terlambat pulang kerana mencari kayu api, apabila aku sampai dirumah aku mendapati kedua orang telah tidur.Seperti biasa aku memerah susu lalu aku lalu aku bawa kepada kedua orang tuaku, aku berdiri dekat kepala mereka , oleh kerana mereka masih tidur maka aku tidak sampai hati untuk mengerakkan mereka. Dan aku juga tidak mahu memberikan susu tersebut kepada anak-anakku yang masih kecil itu walaupun mereka menangis dekat kakiku meminta susu. Demikianlah aku dan anak isteriku sentiasa dalam keadaan demikian sampai terbit waktu fajar, kerana menunggu kedua-dua orang tuaku  bangun dari tidur”.Berkatalah pemuda itu lagi:”Ya Allah kamu tahu aku membuat begitu semata-mata mencari keredhaanmu, oleh itu tolonglah buka pintu gua ini supaya kami dapat melihat langit.”Sebaik saja habis pemuda yang pertama itu berkata-kata maka terbukalah sedikit pintu gua itu sehingga mereka dapat melihat langit.

Kemudian berdoa pula pemuda kedua:”Ya Allah, aku mempunyai seorang Pak Cik dan Pak Cikku itu mempunyai seorang anak gadis.Engkau tahu aku menyintaainya sepertimana lazimnya seorang pemuda menyintai seorang dara, lalu aku minta dia izinkan aku tidur dengan nya, tapi dia menolak dengan alasan bahawa aku harus berikan kepadanya sebanyak 100 dinar.Dengan bersusah payah akhirnya aku berjaya mengumpulkan wang tersebut, lalu aku berikan kepadanya.Apabila aku hendak melakukan hal yang engkau murkai, maka ia berkata kepadaku:”Wahai Abdullah! Takutlah kamu kepada Allah! Dan janganlah kamu membuka cincin (kegadisan) melainkan dengan cara yang sah(nikah)’, Apabila aku mendengar kata-katanya maka aku pun pergi meninggalkannya,”Wahai Allah! Engkau maha tahu aku melakukan demikian adalah kerana menghendaki keredhaanmu, oleh itu tolonglah buka pintu gua ini untuk kami.”Setelah pemuda itu selesai berdoa maka pintu gua itu pun terbukalah sedikit.

Setelah itu berdoalah pemuda yang ketiga  pula dengan berkata:”Ya Allah, aku pernah mengupah seseorang membuat peti untuk menyimpan padi, apabila selesai membuat kerjanya itu maka ia pun menerima upahnya, lalu aku berikan kepadanya dalam bentuk padi, tetapi ia enggan menerimanya. Namun begitu padi untuk upahnya itu aku tanamkan untuknya dan hasilnya aku kumpulkan lalu aku belikan seekor sapi dan aku gembalakan.Kemudian dia datang kembali kepada ku lalu berkata:”Takutlah kamu kepada Allah swt.! Janganlah kamu mengambil hakku!” Lalu aku katakan kepadanya:”Pergilah kamu ke padang rumput, tempat pengembala sapi dan ambillah semua sapi-sapi itu.”Oleh kerana orang itu fikir ia dipermain-mainkan maka ia pun berkata:”Takutlah kepada Allah swt. Dan janganlah kamu mempermain-mainkan aku!” Aku pun berkatalah padanya:”Aku tidak permain-mainkan kamu, apa yang aku kata semuanya adalah benar, oleh itu ambillah kesemua sapi-sapi itu.” Setelah dia mendengar penjelasan dariku maka dia pun mengambil semua sapi-sapi itu lalu pergi. Wahai Allah, engkau maha tahu aku berbuat demikian adalah untuk mencari keredahaanmu. Oleh itu tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami.” Sebaik saja habis orang ketiga itu berdoa maka terbukalah pintu gua tersebut serta keluarlah mereka bertiga.

Sekian.