Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

(23) KISAH NABI IBRAHIM MEMUSNAHKAN BERHALA-BERHALA DENGAN KAPAK

Dikisahkan bahawa setelah Nabi Ibrahim gagal memujuk ayahnya supaya menyembah Allah s.w.t. Nabi Ibrahim tetap tidak putus asa.Ia tahu bahawa hidayah adalah di tangan Tuhan dan tidak ada siapa yang dapat mengubah seseorang itu melainkan dengan kehendak Allah s.w.t.

Nabi Ibrahim tidak berhenti-henti bermujahadah memberi penerangan pada kaumnya supaya menyembah Allah s.w.t. Apabila Nabi Ibrahim memberi mereka alasan dan sebab yang harus mereka menyembah Allah s.w.t. lalu mereka mereka berkata:"Kami hanya menurut agama yang dianuti oleh ibu bapa kami dan agama ibu bapa kamu itu adalah agama yang dianuti oleh nenek moyang kami secara turun-temurun, oleh itu kami tidak akan sekali-kali meninggalkan agama kami (yakni menyembah berhala)."

Apabila Nabi Ibrahim melihat kaumnya itu tidak mahu mendengar nasihatnya, mereka itu semuanya degil dan tetap berpegang teguh pada ajaran datuk nenek mereka. Maka pada suatu hari kaumnya mengadakan perayaan tahunan yang diadakan di luar kota, ke semua mereka membawa khemah, makanan dan lain-lain untuk menghadiri upacara perayaan tersebut. Mereka menjemput Nabi Ibrahim ikut serta, tapi Nabi Ibrahim menolak dengan memberi alasan bahawa ia sakit.Apabila kaumnya mendengar alasan Nabi Ibrahim maka mereka takut kalau-kalau penyakit yang Nabi Ibrahim ada-adakan itu merebak kepada mereka lalu mereka meninggalkan Nabi ibrahim di Kota tersebut.

Bila nabi Ibrahim melihat semuanya kaumnya meninggalkan kota untuk merayakan perayaan mereka, Nabi Ibrahim berkata dalam hatinya:"Inilah masa yang aku tunggu-tunggu, aku akan memberi mereka satu contoh bahawa berhala yang mereka sembah itu adalah semata-mata batu yang tidak berguna."

Nabi Ibrahim menggunakan kesempatan yang ada itu, lalu ia membawa kapak ditangannya dan terus menuju ke tempat pemujaan kaumnya.Apabila sampai di tempat tersebut Nabi Ibrahim melihat di depan patung-patung itu ada makanan yang dihidangkan untuk berhala-berhala tersebut, maka Nabi Ibrahim mendekati patung-patung itu dan berkata:"Kenapa kamu tidak makan makanan-makanan yang dihidangkan kepada kamu? Bodoh betul kamu!" Nabi Ibrahim menampar dan menendang berhala-berhala itu. Dan seterusnya nabi Ibrahim mengangkat kapaknya lalu mengapak semua berhala-berhala yang kecil, kemudian Nabi Ibrahim menggalungkan kapak tersebut pada berhala yang besar.

Setelah perayaan kaumnya itu habis maka kembalilah kaumnya ke kota dan alangkah terperanjatnya mereka apabila melihat habis semua berhala-berhala yang mereka sembah itu hancur dan yang tinggal cuma berhala yang terbesar di antara berhala-berhala itu.Berkata:"Siapakah yang punya angkara ini hingga habis patung-patung pujaan kita dihancurkan?"Berkata salah seorang dari mereka:"Kemungkinan orang yang melakukannya adalah orang yang selalu memperolok-olokkan agama kita dan tidak lain tidak bukan sudah tentu kerja orang yang bernama Ibrahim, sebab hanya ia seorang yang tinggal di kota ini sewaktu kita merayaan perayaan!" Setelah penyelidikan terperinci dibuat akhirnya keputusan dibuat bahawa orang yang melakukan perbuatan tersebut adalah Nabi Ibrahim, maka perbicaraan pun dibuat dihadapan orang ramai dan mereka sangat marah terhadap perbuatan Nabi Ibrahim sehingga ada yang berkata:" Kamu telah melakukan satu penghinaan terhadap agama kami dan kamu tidak patut diampuni dan sebaliknya kamu harus dijatuhkan hukuman yang setimpal dengannya."

Sememangnya Nabi ibrahim memang menanti-nanti supaya perbicaaraan dibuat secara terbuka dan di samping itu dapatlah Nabi Ibrahim menunjukkan kepada mereka bahawa perbuatan menyembah berhala adalah satu perbuatan yang paling bodoh dan tidak berguna.

Apabila Nabi Ibrahim mengadap para hakim maka orang ramai yang menyaksikan perbicaraan tersebut mengutuk dan berteriak sebab maranya mereka terhadap perbuatan Nabi Ibrahim itu.Setelah keadaan reda maka hakim pun memulakan pertanyaan:"Adakah kamu yang merosakkan patung-patung berhala kami?" Nabi Ibrahim pun menjawab:"Kamu nampak tak patung besar itu, dilehernya ada kapak tergantung, cuba kamu tanya dia!"Apabila para hakim mendengar jawapan dari Nabi Ibrahim itu makaa kesemua mereka diam sebentar sambil berbisik antara satu dengan lain dan sedarlah mereka bahawa jawapan Nabi Ibrahim itu menyindir mereka lalu berkata sang Hakim:"Wahai Ibrahim! tidakkah kamu tahu bahawa patung-patung itu tidak boleh bercakap!"

Apabila Nabi Ibrahim mendengar jawapan dari sang hakim itu, maka berkatalah Nabi Ibrahim dalam hatinya:"Akan aku tunjukkan kepada mereka semua satu contoh untuk menyedarkan mereka."Lalu Nabi Ibrahim pun berkata:"Buat apa kamu semua sembah patung-patung yang tidak boleh menolong kamu, kalau patung yang kamu semua sembah itu benar-benar berguna suruhlah dia berkata, macam mana kapak itu boleh berada dilehernya? Dan mengapakaah kamu semua tidak berfikir dengan menggunakan akal, kamu semua memuja patung, tapi patung itu hanyalah benda yang kamu buat dan yang diilhami oleh syaitan!".

Berkata Nabi Ibrahim lagi:"Mengapakah kamu semua tidak mahu menyembah pada Allah s.w.t. yang mana dia yang menciptakan kamu semua dan yang menjadikan alam ini. Alangkah jijiknya kamu kerana menyembah berhala yang kamu buat sendiri. Memang kamu semua adalah yang paling bodoh!"

Setelah para hakim mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Nabi Ibrahim maka para hakim pun memutuskan bahawa Nabi Ibrahim bersalah dan akhirnya Nabi Ibrahim dijatuhkan hukuman bakar hidup-hidup.

Bersambung..............