Minyak dah habislah!
Dilulus terbit pada Friday, October 08 @
16:55:15 MYT oleh CucuBavoo
Cybershot menulis - "Petikan :
Malaysiakini
Tulisan : Hishamuddin Rais
Pegawai Perhubungan Awam kementerian, Nik Suzana Nik Shapik berkata, berdasarkan
pemantauan, mendapati barang-barang yang mengalami kenaikan secara mendadak
ialah cili, tomato, ikan, sayur-sayuran dan beberapa barangan lain. Bagaimanapun
beliau berkata, kenaikan itu berlaku disebabkan bekalan barangan pasar amat
terhad sekali berikutan musim hujan."
(laporan Utusan Melayu 7 October 2004)
Kali ini air hujan pula telah dituduh sebagai penyebab kenaikan harga barangan.
Mengikut kenyataan ini pesta kenaikan harga barangan tidak ada sangkut paut
dengan naiknya harga minyak petrol. Alhamdulilah. Tetapi kenyataan ini tidak
memiliki apa-apa asas ekonomi. Untuk saya kenyataan-kenyataan seperti ini hanya
datang dari mulut seorang insan yang telah dibebalkan fikrahnya. Justeru, kita
semua wajib bersimpati dengan pegawai yang terpaksa bersuara kerana menurut
perintah ketua politiknya.
Sabar dan tunggulah tidak lama lagi pasti akan muncul pula tuduhan-tuduhan baru
mengenai kenaikan harga barangan terutama di musim perayaan. Para pengguna akan
dituduh sebagai kurang arif semasa membeli belah, pembeli dan pengguna dicap
sebagai boros, ada pula si pembeli yang dituduh tidak pandai memilih kedai atau
si pembeli ini tidak berhemah.
Manakala ada si penjual yang akan dituduh sebagai tidak patriotik kerana hanya
berminat untuk mencari untung. Si penjual akan dituduh sebagai kumpulan yang
hanya mementingkan diri sendiri. Atau menangguk di air keruh.
Kemudian kita akan melihat di tv atau membaca di akhbar bagaimana pihak
penguatkuasa harga akan menangkap dua atau tiga orang taukeh di pasar basah
Jalan Chow Kit atau di Pasar Borong Selayang. Sandiwara Tangkap Tukeh Pasar ini
telah dipentaskan saban tahun. Kadang-kadang Taukeh Sayur, kadang-kadang Taukeh
Telor dan ada kalanya Taukeh Daging akan ditangkap untuk disaman. Pementasan
drama seperti ini bertujuan untuk membuktikan bahawa kerajaan kita sedang
melakukan sesuatu yang amat positif untuk melawan kenaikan harga barang.
Lebih murah dari Sweden
Awas! Ada subtek yang tersirat dalam sandiwara ini. Berita seperti ini khusus
ditujukan kepada Orang Melayu bahawa 'yang jahat naikkan harga ini' ialah taukeh
Cina. Yang menjadi mangsa ialah Orang Melayu. Dan yang dituduh tidak menjalankan
tugas dengan betul ialah seorang menteri - yang juga Orang Melayu.
Biasanya sandiwara barang naik harga ini akan disadurkan pula dengan pantun dan
seloka meminta orang ramai a.k.a rakyat bersyukur dan berterima kasih kerana
harga petai, cincalok dan budu di Pasar Chow Kit masih lebih murah jika
dibandingkan dengan harga makanan di negara seperti Sweden, Switzerland atau
Denmark.
Kenyataan-kenyataan ngok seperti ini adalah sebahagian dari kerja-kerja bodoh
yang ingin membodohkan rakyat dalam usaha untuk meredakan kemarahan orang ramai
apabila harga barang-barang melambung naik berikutan dengan kenaikan harga
minyak petrol.
Kenyataan bebal dari sang menteri ini dikusut dan dibebalkan lagi oleh kenyataan
(baca: tuduhan) dari politikus parti pembangkang. Saya melihat kenyataan dan
tindak balas dari pihak pembangkang ini amat tidak bijak.
Kenyataan mereka tidak membawa apa-apa pembaharuan dari segi pemikiran untuk
memahami apa yang sebenarnya sedang berlaku vis a vis kenaikkan harga minyak.
Kekeringan minyak
Ada satu hakikat yang cuba disorokan dari pengetahuan orang ramai atau gagal
diselidiki oleh pihak pembangkang. Hakikat ini ialah tentang kekurangan minyak
mentah dalam dunia hari ini. Ini adalah perkara yang wajib kita terima dan
hadapi. Ini ialah satu hakikat yang tidak boleh kita hindari sama ada kita dari
pihak kerajaan atau pun dari pihak pembangkang.
Pada tahun 1950 Dr M King Hubbert seorang geopsisik dari syarikat Shell telah
membuat kajian tentang minyak mentah. Kajian yang dikenali hari ini sebagai
Hubbert Peak Oil telah menunjukkan bahawa pengeluaran minyak dalam dunia ini
akan sempai ke kemuncaknya pada tahun 70'an, kemudian ianya akan mendatar. Pada
tahun 2000 pengeluaran minyak mentah dalam dunia akan mula menurun.
Semasa kajian ini dikeluarkan 50 tahun dahulu tidak ramai ahli-ahli saintis dan
pakar ekonomi yang menerima pandangan Dr Hubbert ini. Tuan punya
syarikat-syarikat minyak telah memperlekehkan kajian ini. Tetapi dihari ini
konsep dan teori Peak Oil semakin diyakini dan dilihat kebenarannya.
Bukti-bukti dan data-data terbaru tentang pengeluaran minyak mentah semakin kuat
untuk membuktikan keutuhan dan kesahehan teori Hubbert Peak Oil ini.
Sebagai contoh lihat sahaja data minyak mentah yang dikeluarkan di telaga minyak
Amerika Syarikat sendiri. Pada tahun 1960 Amerika berjaya mengeluarkan 47
billion tong setahun. Tahun 1970 pengeluaran menurun ke 35 billion tong setahun.
Pada tahun 1980 ianya menurun lagi ke 24 billion tong setahun. Pada tahun 1996
Amerika hanya berjaya mengeluarkan 14 billion tong setahun.
Hari ini Amerika telah menjadi negara pengimport minyak mentah yang terbesar
sekali dalam dunia. Pada tahun 1980 Amerika mengimport 37 peratus dari semua
keperluan minyak mentahnya. Pada tahun 1990 ianya bertambah menjadi 42 peratus.
Pada tahun 2002 Amerika perlu mengimport 55 peratus dari keperluannya.
Sebanyak 2/5 dari minyak mentah ini datang dari negara-negara OPEC dan 1/5
datang dari Negara-negara Teluk. Amerika hari ini hanya ada memiliki 22-24
billion tong minyak simpanan yang masih belum digali.
Hari ini Amerika memerlukan 19.7 juta tong minyak sehari. Sebanyak 45 peratus
dari jumlah ini akan diminum oleh kereta. Hanya 19 peratus sahaja yang digunakan
sebagai bahan bakar. Semua ini adalah data dan statistik yang dikeluarkan oleh
kerajaan Amerika sendiri. Data-data ini boleh didapati dimana sahaja kerana
dianggap tidak akan memerbahyakan keselamatan pertahanan negara.
Keperluan negara lain
Mungkin masih ada data-data yang lebih lengkap, lebih terperinci tetapi tidak
mungkin dibukakan kepada umum demi keselamatan Amerika. Mungkin.
Contoh yang saya paparkan ini hanyalah dari Amerika Syarikat - negara pengimport
dan dalam masa yang sama juga negara pengeluar minyak. Bagaimana pula dengan
negara-negara lain?
Dua tahun yang lalu Cina telah menjadi negara kedua sesudah Amerika sebagai
pengimport minyak mentah. Sebanyak mana pula minyak yang ingin diminum oleh Cina
yang kini menjadi negara pengimpot kereta yang terbanyak di dunia. Bagaimana
pula dengan India yang sedang pesat membangun tetapi tidak memiliki telaga
minyak.
Sementara itu di Britain, sumber minyak dari telaga Laut Utara akan kering dalam
masa 15 tahun sahaja lagi. Kini, hanya Russia, Saudi Arabia dan Iraq yang masih
banyak memiliki simpanan minyak mentah yang belum digali.
Sebanyak mana minyak mentah yang masih wujud dibumi masih terus dipertikaikan.
Ada yang mengatakan dunia masih memiliki lebih dari 1900 billion tong dan ada
yang mengagakkan masih wujud 2000 bilion tong.
Walau apa pun statistik dan data yang dipaparkan satu pekara yang wajib ketika
terima dan sedari bahawa minyak akan habis. Ini adalah kenyataan yang tidak
dapat dielakkan. Lebih awal kita menerima kenyataan ini lebih awal kita bersedia.
Dan tidak perlu para menteri kita bergebang dan berbohong dikaca tv atau
mengarahkan pegawai mereka untuk menuduh hujan dan katak bila harga minyak naik.
Perhatikan dengan teliti berita-berita di BBC, CNN , CNBC, Bloomberg atau
laporan-laporan agensi akhbar luar negara - apabila mereka melaporkan berita
tentang kenaikan harga minyak. Media-media ini akan menjemput pakar-pakar
ekonomi minyak atau pengarah syarikat-syarikat minyak untuk ditemubual.
Semua temubual atau laporan berita akan cuba mengkaitkan kenaikan dengan faktor
luaran.
Seperti si pegawai yang menuduh hujan sebagai penyebab kenaikan harga barang -
para CEO dari Shell, Esso atau Exxon akan menuduh ketidak setabilan Teluk Parsi
sebagai satu sebab. Atau serangan gerila Iraq yang membakar loji dan paip minyak
di Basrah dijadikan sebab. Ribut taufan yang melanggar Mexico juga dituduh
sebagai penyebab kenaikan harga minyak. Atau serangan gerombolan al-Qaeda di
Saudi Arabia.
Soalan cepu emas
Tidak pernah si wartawan bertanya atau menimbulkan soalan cepu emas yang paling
penting - apakah minyak masih banyak dalam dunia ini ? Untuk saya inilah soalan
yang hakiki. Minyak mentah bukan seperti minyak kelapa sawit yang boleh terus
menerus dikeluarkan. Minyak mentah sama seperti arang batu, bijih timah atau
emas yang pengeluaranya pasti akan habis.
Sistem ekonomi kapitalis yang menjana gaya hidup kita hari ini telah memastikan
yang dunia kita akan terus kehausan minyak. Permintaan akan terus meningkat dari
tahun ke tahun, sementara pengeluaran akan terus susut. Persoalan sekarang bukan
50 atau 150 dolar satu tong tetapi apakah akan ada lagi minyak yang hendak
dijual.
Saya tidak akan merasa hairan jika harga minyak akan meningkat hingga ke 200
dolar untuk satu tong. Ini tidak mustahil. Tahun hadapan harga minyak pasti akan
meningkat lagi - mungkin sekali atau mungkin dua tiga kali. Ini akan diikuti
pula dengan kenaikan kos hidup. Kali ini harga barangan pasti akan melambung
lagi. Siapa pula yang akan disalahkan oleh para menteri kita kali ini?
Apa yang cuba saya nyatakan ini kelihatan agak pisimistik dan suram. Tetapi
kenyataan saya ini berdasarkan kepada asas-asas yang kukuh dan bukan kerana air
hujan. Rintik-rintik perebutan minyak ini semakin jelas dapat dilihat.
Penaklokan Iraq oleh tentera Amerika adalah satu contoh yang paling ketara. Ini
diikuti pula dengan penempatan kem-kem soldadu Amerika di Afghanistan dan di
selatan Russia. Semua ini dilakukan untuk memastikan yang telaga-telaga minyak
ini akan terus mengalir ke Amerika.
Tertangkapnya Mark Thatcher, anak bekas Perdana Menteri Britain di Afrika
Selatan juga disebabkan oleh minyak. Pergolakan di Darfur, Sudan, Chad, Nigeria
- semuanya berpunca dari minyak. Lihat bagaimana penjelmaan Kolonel Ghadaffi
dari budak jahat yang dikutuk dunia kini menjadi seorang negarawan. Apakah
penjelmaan ini akan berlaku jika Libya tidak memiliki minyak?
Sementara itu, Rumah Putih pula untuk pertama kalinya sedang dikendalikan oleh
orang-orang minyak. Orang-orang minyak semakin banyak kelihatan berkeliaran
diruang-ruang kuasa. Orang minyak bukan hanya George W Bush dan Dick Cheney atau
kaum kerabat Saud tetapi termasuk juga Hamid Karzai yang akan menjadi presiden
Afghanistan tidak lama lagi.
Penghujung jalan
Tanda-tanda dan riak-riak perang minyak global telah muncul. Minyak akan terus
menjadi pencetus masaalah dunia hari ini. Lebih hebat dan lebih ganas dari
pertelingkahan Haji Hadi dengan Haji Mahathir Muhamad yang berebutkan minyak di
Terengganu. Untuk ini saya berharap kita tidak akan terlupa tentang kereta
Volkwagen yang tidak memerlukan air yang dibuat khas oleh Hitler untuk melintasi
bumi Arab kerana mencari minyak.
Rasa saya, gaya hidup kita hari ini telah sampai ke tahap akhirnya. Gaya hidup
yang membawa ledakan kereta ke jalan raya telah sampai ke jalan penghujung.
Kereta terus menjadi penelan minyak yang paling rakus. Tidak lama lagi kereta
akan dilihat sebagai satu beban yang amat berat. Bumi manusia ini tidak lagi
memiliki kesanggupan untuk menampung gaya hidup yang bersandarkan bahan minyak
mentah yang semakin pupus.
Susutnya minyak di dunia hari ini akan memaksa kita semua berfikir untuk mencari
jalan lain untuk membuat tenaga. Angin, matahari, atau air mungkin akan
mengambil alih kuasa minyak. Minyak yang kita miliki hari ini wajib kita gunakan
dengan sebaik mungkin. Satu ketika, dalam jangka waktu yang tidak lama, kita
tidak akan memilikinya lagi.
Dengan ini saya menolak kenyataan-kenyataan bebal, cakap-cakap kosong dan
hujah-hujah tidak masuk akal tentang harga minyak dan kenaikan barangan harian.
Sampai masanya para politikus kita wajib menggunakan barang yang tersimpan
diantara dua telinga mereka. Kenaikan harga barang kerana meningkatnya harga
minyak akan dilihat sebagai satu beban oleh orang ramai a.k.a rakyat.
Masaalah seperti ini memerlukan pemikiran yang stratejik. Ini bukan masaalah
yang boleh disandiwarakan melalui Utusan Malaysia atau RTM.
Telah sampai masanya untuk para menteri memberhentikan langkah-langkah dan
cakap-cakap bodoh mereka kerana semua ini tidak akan dapat menyelesaikan
masaalah kenaikan harga minyak.
Kenaikan harga minyak dalam negara ini bukan hanya masaalah Umno dengan Pas atau
Barisan Nasional dengan Barisan Alternatif. Nyatakan kepada orang ramai bahawa
harga minyak naik kerana minyak telah habis. Buka ruang demokrasi seluas mungkin
untuk mengajak rakyat berfikir bahawa gaya hidup yang dibawa oleh sistem
kapitalis dalam empire globalnya kini telah menemui jalan buntu. Kita perlu
mengubah cara hidup kita.
Jika ada yang masih berdegil dalam kebebalan maka jangan terperanjat jika satu
ketika nanti mereka akan terperanjat kerana ternampak Kancil dan Rusa berkarat
tersadai bersepah-sepah di jalan raya kerana kehausan minyak. Ketika itu nanti
barulah kita akan sama-sama bersyukur kerana ada katak yang memanggil hujan
turun.
"