Sebuah coretan perjuangan

Saturday, July 13 @ 12:42:19 MYT
Oleh : fudzail@yahoo.com

 
Mungkin ramai yang telah membaca buku “Long Walk To Freedom”, autobiografi Nelson Rolihlahla Mandela. Sememangnya sejarah memberikan kita pengajaran, sama ada baik atau sebaliknya dalam menghadapi banyak cabaran realiti semasa.

Pastinya sejarah mengenai seseorang pemimpin besar kontemporari seperti Nelson Mandela cukup menarik untuk dipelajari. Pengalaman dari perjuangan beliau akan menjadi salah satu panduan kepada ramai pemimpin di mana-mana.

 

Apa yang terjadi dalam zaman apartheid atau kini di Israel terhadap bangsa Palestin sedikit sebanyak turut berlaku di banyak negara lain di dunia. Tektik dan strategi yang sama digunakan oleh pemerintah, terutama melalui perundangan, polis dan media, untuk melumpuhkan suara protes.

 

Ada benarnya juga mereka yang berkuasa turut belajar dari sejarah untuk memastikan sejarah tidak berulang, yakni cuba melambatkan atau menggagalkan terus ketibaan saat kejatuhan. Sedaya upaya dengan pelbagai cara walau tentunya dalam sejarah, tiada pemerintah walau sehebat Firaun yang mengaku Tuhan, untuk berkuasa selama-lamanya.

 

Suasana penderitaan dalam penjara, terutama buat mereka yang tidak bersalah dan tidak terbukti kesalahan atau ditangkap tanpa perbicaraan memberikan iktibar tentang harga perjuangan. Ramai yang berjaya melaluinya dantidak kurang ramai pula yang bertukar dari wira menjadi badut.

 

Baik Nelson Mandela, Ahmad Boestaman, Syed Husin Ali atau tahanan ISA masa kini seperti Ezam, Shaari, Tian Chua atau Hishamudin Rais, tentunya tidak sama untuk mengalami apa yang mereka lalui dengan sekadar bersimpati dan berdiam diri.

 

Begitupun seperti kata seorang teman Arab sebaik membaca akhbar hari ini, 11 Julai 2002, ada rahmat di sebalik setiap tragedi. Manusia yang sedang berkuasa boleh merancang dengan kelicikan dan kebijaksanaan akal tetapi ada banyak perkara yang boleh berlaku terhadap mereka yang zalim.

 

Pada hari ini, kesemua media UAE memuatkan berita besar keputusan mahkamah tinggi Kuala Lumpur terhadap rayuan Anwar Ibrahim. Ada akhbar yang meletakkannya di muka depan.

 

Sebuah foto besar beliau menghiasi dada akhbar Gulf Times. 1/3 dari muka memuatkan berita dan sebuah kronologi, “Rise and Fall of Anwar Ibrahim”.

 

Foto tersebut mengingatkan penulis bab ‘Freedom’, Nelson Mandela menulis, “When I was among the crowd I raised my right fist and there was a roar. I had not been able to do that for twenty-seven years and it gave me a surge of strength and joy”.

 

Tetapi tiada berita mengenai penamaan calun di dua pilihanraya Kecil negeri Kedah. Mungkin tidak menarik untuk pembaca tempatan. Begitupun, sekiranya dilihat dari biografi calun yang bertanding, sekali imbas sudah dapat dinilai haluan untuk dibawa.

Salah satu yang menonjol di Dubai ialah kepercayaan Putera Mahkota, Sheikh Mohamed Al Maktoum yang menjadi pemerintah efektif untuk memberi peluang kepada barisan muda dan professional yang berkelayakan, berkaliber dan rajin bekerja untuk menerajui banyak projek nasional dan sektor korporat tempatan, selain membantu beliau dalam memajukan Dubai sebagai sebuah kota alaf ini.

 

Tidak seperti emiriyah lain yang sedikit sebanyak masih mengekalkan tradisi keluarga emir untuk memimpin, Sheikh Mohamed membuat banyak perubahan terutama memerikan peluang kepada generasi muda membuktikan kemampuan.

 

Dalam banyak ucapan keras beliau kepada rakyat tempatan, seringkali saranan kepada barisan pelapis untuk menjadi lebih pro-aktif dan merebut kepercayaan yang diberi. Mereka yang terpilih ini pula sememangnya mempunyai kelayakan akademik, stamina dan pendedahan yang diperlukan. Walau ada yang pernah mengecewakan kerana menjadi perasuah dan penjenayah, beliau tetap bertekad untuk mengembalikan pengurusan kepada anak-anak muda tempatan.

 

Pengalaman penulis untuk bekerja dengan beberapa orang dari ‘kumpulan elit’ Sheikh Mohamed yang turut dipanggil ahli ‘round table’ memang memberikan perspektif baru, menyalahi tanggapan awal terhadap orang Arab tempatan, terutama yang muda, professional dan berakhlak.

 

Tidak dinafikan ramai generasi muda tanahair yang berwibawa kini selesa berada dalam kumpulan alternatif. Mereka ini lebih bebas dari mentaliti barisan kepimpinan negara yang ada dan tidak mempunyai rekod moral atau jenayah tercemar, selain rekod ditangkap dibawah pelbagai akta ‘keselamatan’.

 

Tetapi dalam pilihanraya yang tidak bebas, terbuka dan adil, tidak mustahil calun-calun yang berkaliber menjadi mangsa kepada pelbagai taktik dan strategi kotor. Dalam keadaan sekarang, pilihanraya kecil kadang-kadang tidak lebih sekadar rutin demokrasi ‘acuan tempatan’ yang sukar untuk membawa perubahan. Seperti mahkamah atau parlimen dibanyak negara ketiga, sekadar ‘rubber stamp’ kepada apa yang dinginkan oleh mereka yang berkuasa.

 

Belajar dari sejarah juga, kita pastinya tidak mahu seperti mana dalam perbicaraan Rivonia, Mandela berkata : "At the beginning of June 1961, after long and anxious assessment of the South African situation, I and some colleagues came to the conclusion that as violence in this country was inevitable, it would be wrong and unrealistic for African leaders to continue preaching peace and non-violence at a time when the government met our peaceful demands with force!”

 

Semuga doa ramai orang teraniaya akan termakbul dengan keputusan pilihanraya tidak memihak kepada yang tidak sepatutnya menang, apatah lagi kalau menang dengan score seperti perlawanan bola atau yang seumpama, yakni 2-0!