3 sebab saya gembira Mahmoud Ahmadinejad menang
Wednesday, June 29 @ 09:30:18 MYT


Oleh Alang Bidara
Taman Sri Serdang

Kita merasa gembira dengan kemenangan Mahmoud Ahmadinejad di dalam pilihanraya presiden Iran baru-baru ini, yang akan mengambil jawatan itu dari Ahmad Khatami pada bulan Ogos ini.

Kalau boleh disimpulkan sebab-sebab kegembiraan itu dengan ringkas, maka ia tidak lari dari perkara berikut:

Pertama, ia membuktikan negara Iran merupakan antara negara paling demokratik di rantau Teluk Parsi dan Timur Tengah, malah lebih demokratik dari negara-negara yang "dipuji" Amerika di rantau itu.

Kedua, Amerika masih tidak "meredhai" pemilihan seorang presiden walaupun terbukti pilihanraya tersebut bebas dan tulus.

Ketiga, negara haram Israel juga "tidak redha" akan keputusan itu. Oleh kerana Amerika dan Israel tak suka keputusan pilihanraya yang demokratik, maka kita beranggapan ia tidak akan memberi laluan mudah bagi Amerika dan Israel membuat sewenang-wenang di rantau Teluk dan Timur Tengah.

(Kalau kedua-dua "Budak Buli Nakal" rantau Teluk memuji pilihanraya itu, tentulah keputusan rakyat Iran itu akan memberi keuntungan politik kepada mereka!)

Namun yang paling membanggakan, walaupun Ahmadinejad bukan dari didikan sekolah agama, tetapi seorang berkelulusan kejuruteraan, ketika berucap setelah mendapat keputusan kemenangan beliau pada Sabtu lalu, beliau berkata kerajaan pimpinannya akan menjadikan Iran sebuah negara yang moden, maju, kuat dan juga sebagai sebuah negara Islam contoh di dunia.

Saya rasa inilah yang paling dibenci oleh Amerika, Israel dan sekutu mereka, tetapi sebaliknya amat menggembirakan umat Islam. - um