Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
Novel -Empangan

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

WATAK & PERWATAKAN

 
1. WATAK - J

1. J merupakan watak protagonis dalam novel Empangan. Dia tergolong sebagai seorang yang mempunyai ciri-ciri intelektual dan telah merantau ke luar negeri selama 12 tahun untuk belajar sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran. Sebagai seorang intelek, J tidak menerima secara membuta tuli apa yang dikatakan oleh orang lain. Misalnya, J tidak terus menganggap projek pembinaan empangan itu sebagai sesuatu yang baik seperti yang dianggap oleh kebanyakan penduduk di Kampung Paya. Sebaliknya J mendapati projek tersebut sebenarnya tidak banyak mendatangkan manfaat malahan banyak keburukannya. J juga enggan mempercayai mimpinya. Baginya mimpi itu hanya mainan tidur dan imej hasil pengalaman yang dilalui ketika sedar.

2. Pada peringkat awal, J digambarkan sebagai seorang yang tidak kuat iman. Walaupun pada suatu ketika dahulu dia pernah belajar mengaji Al-Quran dan mempunyai pengetahuan agama yang cukup dia lupa bagaimana mengerjakan solat sehinggalah dia diingatkan oleh seorang nenek berkulit hitam. J belajar mengucap semula dengan pertolongan seorang nenek itu dan seorang imam di Masjid Quincy. Setelah peristiwa itu J tidak lagi mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim malah dia telah mengatur rancangan mengislamkan beberapa orang dari Kampung Gunung secara serentak.

3. J mempunyai prinsip tersendiri tentang keadilan. Bagi J, apabila keadilan yang dipinta tidak diberikan, maka keadilan perlu dirampas. Hal ini jelas dalam peristiwa keretanya dibakar. Apabila masalah itu tidak diambil tindakan yang wajar oleh Nira Hitam, J bertekad untuk mengambil tindakan sendiri. Dia berjaya menangkap pencuri itu. Dia juga berusaha untuk mendapatkan satu keputusan yang adil dalam perbicaraan itu.

4.  J menentang penganiayaan, penghinaan, dan kekejaman. Hal ini jelas dalam peristiwa J melepaskan Datin Biduanda yang diheret dengan keadaan tangan dan lehernya diikat seperti haiwan kerana dikatakan bersalah menceroboh kawasan pembinaan empangan sedang bagi J, Nira Hitamlah sebenarnya yang menceroboh kawasan penduduk kampung itu. Dalam peristiwa itu juga J minta disampaikan pesan kepada Nira Hitam bawaha mengikat tangan dan leher orang yang ditangkap itu merullpakan satu tindakan yang biadap.

5. J mempunyai pandangan hidup yang jauh. Ini jelas kerana sejak awal lagi dia telah melihat kesan negatif pembinaan empangan di hulu sungai Titianterus terutama dari segi sosio ekonomi yang dialami oleh masyarakat di Kampung Paya. J memandang dan menganalisis pembinaan empangan tersebut dari pelbagai aspek. J tidak mudah terpedaya dengan pulangan hasil dari projek tersebut seperti yang dikatakan oleh Nira Hitam. Dia lebih memikirkan aspek kehidupan masyarakat Kampung Paya dan masalah alam semula jadi yang sedang terancam ketika itu.

6. J juga memiliki sifat pemaaf. Dia memaafkan Nira Hitam dan Daun Nadim walaupun kereka menyakiti hatinya. Misalnya walaupun Nira Hitam secara berterusan cuba menjatuhkan maruahnya, J tetap menjemput Nira Hitam ke majlis perkahwinannya. Dia juga menganggap dirinya terhutang budi kepada Daun Nadim. Oleh itu, dia juga cuba berbaik-baik dengan Daun Nadim walaupun sahabat baiknya itu telah memihak kepada Nira Hitam.

2. WATAK DAUN NADIM

Daun Nadim berketurunan suku Batu Berkembar dan berfungsi sebagai watak dinamik serta mempunyai dua sisi, iaitu memihak kepada J dan kemudiannya memihak kepada Nira Hitam. Daun Nadim (orang semenda) telah berkahwin dengan Latifah daripada suku Batu Belang.

Daun Nadim merupakan seorang tukang kayu yang mahir dan berjiwa seni. Dia telah membina mimbar masjid dan kerusi meja di rumah Datuk Endut Bondorang juga adalah hasil pertukangannya.

Daun Nadim juga mempunyai pengetahuan yang luas mengenai selok-belok hutan di Kampung Paya. Dia telah membawa J ke kawasan pergunungan untuk melihat projek pembinaan dan ke Kampung Sunyian untuk merisik Melur.

Daun Nadim mempunyai pengetahuan yang luas mengenai cerita warisan. Dia dapat menceritakan mengenai penduduk Kampung Sunyian dan Kampung Paya kepada J dengan jelas ketika pendakian mereka di Gunung Bunian.

Namun begitu, sikap Daun Nadim didapati berubah pada pertengahan cerita iaitu setelah menjadi ahli SKKP. Dia digambarkan sebagai menerima rasuah daripada Nira Hitam yang berupa sebuah kereta dan sebuah rumah batu,bengkel, dan anaknya dihantar melanjutkan pelajaran ke Amerika dengan perbelanjaan dibiayai oleh Datuk Endut Bondorang. Daun Nadim mula angkuh, besar diri, dan tidak bertegur sapa dengan orang-orang yang bukan ahli SKKP. Daun Nadim mula berpihak kepada Hitam dan melakukan segala yang disuruh oleh Nira Hitam.

3. NIRA HITAM

Nira Hitam merupakan watak antagonis dalam novel ini.
Pernah belajar di Universiti Oxford pada tahun 1949.
Menjadi penghulu dan perancang kemajuan Kampung Paya.
Memiliki pelbagai kemewahan termasuklah helikopter, beberapa buah kereta mewah, dan mempunyai 3 orang isteri.
Dia juga merupakan orang kepercayaan Datuk Endut Bondorang.

1. Nira Hitam tidak berperikemanusiaan. Ini dapat dilihat melalui sikap, tindakan, serta pemikirannya pada sepanjang plot novel ini. Nira Hitam juga merupakan perancang pertama dalam usaha untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan maruah J.

2. Nira Hitam sangat lincah dalam menjalankan kegiatan serta muslihatnya kerana dia pandai berselindung. Kejahatannya tidak diperlihatkan dengan jelas melalui perbuatan serta gerak lakunya, tetapi dilihat melalui pemikiran serta sikapnya. Contohnya, bagi melindungi niat jahatnya dia tidak melakukan sendiri perbuatan jahatnya itu tetapi mengupah Badak, Imam Kelawai, Kudung, Bulo, dan beberapa orang pengikutnya termasuklah Daun Nadim. Dia juga berselindung dengan sikap talam dua mukanya terutama pada J.

3. Nira Hitam juga seorang yang bercita-cita tinggi. Dia menggerakkan pembangunan di Kampung Paya dengan projek-projek mega dan melibatkan perbelanjaan yang besar dan memerlukan pekerja-pekerja asing. Misalnya projek pembinaan empangan, lebuh raya Rembau-Kg Paya, serta projek-projek perumahan secara besar-besaran.

4. Nira Hitam bersikap angkuh, sombong, dan ego. Tutur katanya memperlihatkan kesombongannya. Misalnya dia pernah menyindir J bahawa penduduk Kampung Paya tidak memerlukan seseorang yang memiliki PhD untuk sekadar memberikan pendapat.

5. Dia juga seorang oportunist iaitu bijak mencari peluang yang sesuai pada masanya. Misalnya dia merasuah Daun Nadim dengan segala kemewahan. Kesannya Daun Nadim meninggalkan J dan memihak kepadanya kerana telah bersikap materialistik. Dia juga sanggup membelanjakan wang dengan banyak untuk mengukuhkan kedudukan serta pengaruhnya. Misalnya dia sanggup membayar RmM 6000 sebagai denda yang dikenakan ke atas Badak atas kesalahan membakar kereta J.

6. Nira Hitam telah mengupah Imam Kelawai supaya memburuk-burukkan J dalam khutbah Jumaat. Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa dia juga seorang yang sanggup memperalatkan agama demi kepentingan dirinya sendiri. Nira Hitam juga mengugut untuk melucutkan jawatan Imam Kelawai sekiranya dia enggan memihak kepadanya.

7. Dengan sikap iri hati yang ada padanya pula, Nira Hitam sanggup mengkhianati J dengan cubaannya menggagalkan kenduri perkahwinan J dengan Melur. Ini kerana dia juga menaruh hati kepada gadis tersebut. Apabila barang-barang keperluan untuk majlis kenduri dimusnahkan, J terpaksa membatalkan kenduri itu di Kampung Paya dan mengadakan kenduri di rumah pengantin perempuan, di masjid Kampung Sunyian. Dia juga dipercayai mengupah Badak untuk merompak rombongan peminangan Melur.

*    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    *    * 
PERBEZAAN  DAN PEPRSAMAAN PERWATAKAN/ SIKAP  J  - NIRA HITAM

1. J sensitif tentang hak-hak asasi manusia dan menentang unsur-unsur kekejaman sedangkan Nira Hitam didapati bertindak tanpa perikemanusiaan. Contohnya dalam peristiwa penangkapan DD Biduanda.
 

2. J dan Nira Hitam sama-sama tergolong sebagai orang yang berpendidikan tinggi.
 

3. Apabila insaf tentang kecuaiannya menunaikan tanggungjawab dalam agama, J muncul sebagai seorang yang berjaya mengislamkan masyarakat di kawasan pergunungan sedangkan Nira Hitam tidak mampu berbuat demikian kerana tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada penduduk kampung tersebut. Di samping itu Nira Hitam juga menggunakan imam Kelawai untuk mempengaruhi orang ramai dengan menabur fitnah terhadap J dalam Khutbah Jumaat.
 

4. J bersifat perihatin terhadap alam sekitar sedangkan Nira Hitam lebih mementingkan keuntungan wang ringgit dan sanggup melihat kemusnahan alam sekitar berlaku demi mencapai cita-citanya.
 

5. J ingin melihat kampung Paya maju. Nira Hitam turut berkongsi cita-cita yang sama. Namun begitu mereka berselisih pendapat tentang cara melaksanakan pembangunan itu. J berpendapat pembangunan itu perlu mengambil kira faktor-faktor alam sekitar dan perasaan penduduk tempatan serta masa depan mereka. Nira Hitam tidak menghiraukan aspek-aspek tersebut.


    Sinopsis   Watak    Tema    Persoalan    Gambaran    Teknik    Plot    Soalan

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME