Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
CERPEN- Aku Menemui Wajahku

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 ANALISIS CERPEN “AKU MENEMUI WAJAHKU”

AKU telah terbabit dalam kemalangan jalan raya. Ketika dia sedang bergelut antara hidup dengan matinya, dia telah mengembara dalam alam fikirannya kesuatu alam yang jauh berbeza daripada alam nyata. Di situ dia telah berdialog dengan satu “suara” ghaib. AKU  dan suara ghaib itu berkonflik. Suara itu menunjukkan kepada AKU keadaan dirinya yang sebenar iaitu seorang yang tidak jujur dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang ahli politik, malah dia telah menggunakan kedudukannya demi kepentingan dirinya sendiri termasuklah membeli banyak kawasan tanah hutan (balak).

 Dia juga tidak mempedulikan hal kebajikan rakyat yang telah diamanahkan kepadanya. Suara itu juga memberikan gambaran diri AKU yang boros berbelanja dan membazir kerana membeli barang-barang untuk menunjukkan kekayaannya. Suara itu juga memberitahu bahawa dalam alam itu ijazah, harta, dan pangkat tidak akan dinilai, kecuali keimanan. Suara itu menunjukkan kesalahan AKU kerana menggunakan kedudukannya untuk menubuhkan 6 buah syarikat dengan menggunakan nama anak-anak dan isterinya.

Dia juga berdosa kerana tidak menjalankan tugasnya dengan baik. menurut suara itu lagi, setan adalah lebih mulia daripada AKU kerana sekurang-kurangnya setan telah menjalankan kewajipannya dengan sempurna.AKU juga telah sempat melihat gambaran bagaimana orang-orang yang beriman dan orang yang berdosa seperti dia mendapat balasannya. AKU terselamat dalam kemalangan itu, dan dia bertaubat. Setelah dia sedar semula dia berazam akan membaiki kesalahan yang telah pernah dilakukannya.

Soalan:
1. Apakah mesej yang terkandung dalam cerpen tersebut?
2. Senaraikan sifat-sifat negatif yang terdapat pada watak AKU.
3. Apakah persoalan penting yang terdapat dalam cerpen tersebut?
4. Berikan penilaian anda secara kritis tentang aspek teknik penceritaan dalam cerpen ini.

MESEJ
 Mesej yang ingin disampaikan dalam cerpen tersebut adalah seperti berikut:
1. Manusia akan menerima balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya ketika dia hidup di dunia ini.
2. Seseorang yang meninggal tidak akan membawa apa-apa dari dunia ini kecuali ketakwaan dan keimanannya.
3. Golongan yang berada sepatutnya menggunakan sebahagian daripada kemewahannya untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan.
4. Tuhan benci akan manusia yang tidak jujur, munafik, boros, dan tidak amanah.
5. Kemalangan boleh menimpa kita pada bila-bila  masa.

SIFAT-SIFAT NEGATIF WATAK “AKU”

1. Tidak jujur menjalankan kewajipannya. Dia menghulurkan bantuan dengan tujuan untuk mendapatkan pengaruh orang ramai supaya memilihnya sebagai calon bagi jawatanya.
2. Dia mementingkan dirinya sendiri dan menggunakan kedudukannya untuk mengumpul harta kekayaan seperti menubuhkan syarikat dengan menggunakan nama ahli keluarganya dan membeli tanah-tanah kawasan hutan (kawasan pembalakan).
3. Dia juga seorang yang boros dan berbelanja secara membazir dengan membeli barang-barang mewah seperti 3 buah kereta, lukisan yang mahal-mahal, dan barang-barang antik untuk menunjuk-nunjuk kemewahannya.
4. Tidak menjalankan kewajipannya sebagai seorang Islam dengan sempurna kerana dia masih lagi mementingkan harta di dunia sehingga sanggup menindas orang lain.

PERSOALAN.
1. tentang pegawai kerajaan tidak yang tidak menjalankan tugas dan kewajipannya.
2. tentang sifat manusia seperti kejujuran, keikhlasan, tidak mementingkan diri sendiri, tidak boros, dermawan, dan sebagainya.
3. tentang keadaan manusia ketika berhadapan dengan maut.
4. tentang nilai kemanusiaan yang diterima tuhan.
5. tentang keimanan.

TEKNIK PENCERITAAN

1.SUDUT PANDANGAN orang pertama yang digunakan oleh pengarang sangat sesuai kerana pembaca seolah-olah mengalami sendiri segala peristiwa yang berlaku.

2. Teknik penyamkpaian cerita secara PEMERIAN yang digunakan dapat memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai suasana yang mengerikan, dan dapat membawa pembaca menghayati suatu alam yang belum pernah ditemui dalam alam nyata.
DIALOG  yang disampaikan secara ringkas dan padat antara AKU dengan suara ghaib itu turut membantu pembaca mengenali perwatakan AKU dengan lebih dekat.
Pengarang juga menggunakan PLOT yang kronologis dan dapat membawa pembaca mengikuti cerita dan peristiwa tersebut bab demi bab dengan lancar. Plot menjadi lebih menarik lagi dengan penggunaan teknik IMBAS KEMBALI yang terdapat dalam permulaan cerita. Pengarang juga secara tidak langsung telah memasukkan unsur suspense dengan baik dan menyebabkan pembanya ingin tahu kesudahan cerita sama ada AKU akan menerima hukumannya atau dia akan meninggal dunia, atau dia akan sedar semula dari pengsan, dan sebagainya. Pengarang juga menggunakan perkataan-perkataan yang disambung terus secara HYBRID untuk memberikan gambaran tentang alam yang tiada ruang.
 

 

   
Dalam Kabus    Dosa Pejuang    Kasih Sayang     Kinabalu    Mayat
Nenek   Pasir Pekan    Socius    Wajahku
 
 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME