Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
CERPEN- Anak-anak Dari Kg Pasir Pekan

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 Nilai Masyarakat dalam cerpen Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan
 

Cerpen ADKPP memaparkan kisah biasa yang berlaku di satu perkampungan di negeri Kelantan. Masyarakat di situ rata-rata menjalankan kegiatan ekonomi desa yang tertumpu kepada menanam padi, menoreh getah, berkebun sayur, menanam pokok buah-buahan, dan memelihara haiwan peliharaan seperti kerbau dan lembu. Ada juga antara penduduk tersebut yang berniaga di bandar. Terdapat juga kegiatan ekonomi mengikut keadaan cuaca dan musim seperti mencari etak di sungai ketika air surut atau menangkap ikan keli, puyu, dan haruan pada musim-musim tertentu. Rata-rata penduduk desa yang digambarkan oleh penulis dapat hidup secara berdikari dan tidak dapat digolongkan sebagai golongan miskin. Misalnya Adil dikatakan dapat menjual kerbaunya dengan harga purata RM800.00 (kadar harga pada tahun 1975). Ibu Fatimah sendiri memiliki sawah dan berkebun getah untuk menampung kehidupan harian mereka. Kahir pula memiliki kebun sayur dan timun cina (semangka/tembikai) dan keluarganya juga berniaga di Kota Bharu. Cuma watak Gani yang agak mempunyai masalah kewangan kerana dikatakan bakal pengantin perempuan yang mengeluarkan wang hantaran perbelajaan perkahwinan.

Masyarakat di situ juga didapati mengamalkan kebiasaan dan petua yang biasa dilakukan oleh warga desa. Misalnya digambarkan ibu Fatimah menadah dan menakung air hujan yang pertama turun pada musim hujan kerana dipercayai air tersebut dapat menyejukkan tapak semaian, oleh itu dapat menyuburkan tanaman padi mereka. Penduduk desa itu juga masih lagi mengamalkan pekerjaan secara bergotong-royong terutama dalam kerja-kerja menanam padi iaitu tanaman secara tradisional. Fatimah juga sentiasa ingin membantu melakukan sebarang pekerjaan yang dia mampu lakukan misalnya menolong Kahir menyiram pokok timun cinanya di kebun. Pada umumnya masyarakat di situ sentiasa hidup dalam keadaan saling membantu dan saling menolong. Misalnya, tapak semaian ibu Fatimah dibersihkan oleh Deraman dengan upah RM 2.50. Walaupun mereka mendapat upah, namun bukanlah upah itu yang diinginkan tetapi mereka hidup tolong menolong kerana ingin mengekalkan keharmonian di dalam kampung itu. Mereka juga berasa senang sekiranya dapat berkongsi sesuatu. Misalnya Fatimah membayangkan keadaan yang menggembirakan sekiranya dapat makan nasi dagang bersama-sama dengan Kakak Inab dan Kakak Kiah.
 

Pencapaian akademik dan pemikiran kaum muda di kampung itu menunjukkan penduduk kampung tersebut tidak mengabaikan pendidikan anak-anak mereka. Fatimah merupakan gadis yang berpendidikan dan seorang penuntut tahun akhir di salah sebuah universiti tempatan. Kahir pula sedang mengambil peperiksaan STPM (ketika itu STP) dan bercita-cita ingin menjadi seorang petani moden setelah tamat pengajian di Universiti Pertanian suatu hari nanti.

Rata-rata cerpen ADKPP memaparkan nilai masyarakat desa yang masih mengamalkan aktiviti pertanian secara tradisional dan masih mengamalkan sikap bekerjasama serta bergotong-royong. Secara umumnya, nilai masyarakat yang dipaparkan juga berbentuk positif seolah-olah masih belum tercemar dengan sebarang pengaruh asing yang negatif.SL/1999


   
Dalam Kabus    Dosa Pejuang    Kasih Sayang     Kinabalu    Mayat
Nenek   Pasir Pekan    Socius    Wajahku
 
 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME