Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
CERPEN- Nenek

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 TEMA KEKELUARGAAN DALAM CERPEN “NENEK”
OLEH : SALLEH LONG
 

Cerpen Nenek telah memaparkan tema kekeluargaan iaitu tentang konflik yang terdapat dalam keluarga nenek sendiri. Secara umumnya konflik yang terkandung dalam cerpen ini ialah yang berlaku antara Haji Syamsudin sebagai ketua keluarga dengan anak-anaknya. Antaranya ialah konflik yang timbul antara Hj Syamsudin dengan anaknya Adnan. Perbalahan yang timbul antara HS dengan anaknya Adnan menyentuh soal agama. HS membantah sikap Adnan yang mementingkan soal-soal fizikal seperti berjubah, berjanggut, makan setalam beramai-ramai dan sebagainya. Bagi HS, apa yang diamalkan oleh Adnan itu merupakan adat dan budaya orang-orang Arab dan cara berpakaian seperti orang arab itu tidak semestinya menunjukkan seseorang itu sudah betul-betul menghayati agama Islam.

HS juga berkonflik dengan ibunya, nenek kerana tidak membenarkan nenek berjual pecal yang pada pendapatnya tidak menguntungkan malah dengan melakukan perbuatan itu, nenek sebenarnya meletakkan dirinya dalam keadaan yang berbahaya memandangkan umurnya yang telah tua. Dia juga berasa malu dengan tindakan nenek itu kerana tinakan itu seolah-olah merendahkan martabatnya dan dia juga mungkin dianggap sebagai anak yang tidak pandai membalas jasa ibunya. Sementara itu, Nani pula berkonflik dengan dirinya sendiri dan seisi keluarganya apabila nenek melarikan diri dari rumah, dia mengurungkan dirinya di dalam bilik sehingga nenek pulang.

Selain memaparkan konflik keluarga, cerpen ini juga memaparkan kepincangan dan keadaan keluarga yang kucar kacir dengan kerenah ahli keluarga  HS. Dalam hal ini HS dikatakan sebagai gila masjid ketika bersara dari tugasnya dan tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak ketika dia sibuk dengan pekerjaannya sehingga Nani hampir-hampir terjerumus dan hanyut ke lembah kehinaan dan hidup yang dipenuhi dengan keadaan berfoya-foya ke disko dan mengamalkan pergaulan yang bebas.

Adnan pula digambarkan sebagai gila isim, mementingkan pakaian jubah dan janggut, tetapi derhaka kepada ayahnya sendiri dan tidak berkahwin walaupun usianya sudah lanjut. Adnan juga berhenti bekerja untuk mendalami ilmu agamanya. Adnan menganggap bahawa dirinya sahaja yang betul tentang menghayati agama Islam di dalam keluarganya. Lantaran itu, dia telah menuduh semua penghuni rumah itu selain dirinya sendiri, sebagai orang-orang yang sesat.

Manan pula dikatakan gila uniform, sementara Karim dan Nona dikatakan gila pangkat. Mereka terlalu sibuk dengan pekerjaan masing-masing sehingga jarang pulang ke kampung untuk menjenguk nenek, ayah, dan Nani.

Secara umumnya, tema keluarga ini jelas tertumpu pada watak-watak penting seperti nenek, HS dan Adnan. Namun permasalahan keluarga ini dikembangkan melalui jalan ceritanya sehingga melibatkan semua anggota keluarga nenek.

ASPEK PERSOALAN DALAM CERPEN “NENEK”

Antara persoalan yang dikemukakan dalam cerpen Nenek ialah:

1. Persoalan tentang tanggungjawab seorang ketua keluarga dalam menentukan keharmonian keluarganya sendiri.  Persoalan ini dikemukakan melalui watak utamanya iaitu HS. Dalam hal ini HS digambarkan sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab terhadap anak-anaknya dan ibunya (nenek) kerana sebuk dengan urusan hariannya. Akibat kecuaiannya itu, anaknya Nani yang masih belasan tahun telah menjadi gadis liar kerana dipengaruhi oleh rakan-rakan sebaya dengannya. Oleh sebab tidak mendapat kasih sayang ayahnya serta tidak mendapat perhatian sepenuhnya, Nani telah menghabiskan banyak masanya di disko an hampir terjerumus dengan masalah dadah serta pergaulan bebas. Oleh sebab kelalaian HS juga, Nani mengambil pilihan lain iaitu mencurahkan perasaan dan kasih sayangnya kepada Nenek Edah.

Persoalan t/jawab ketua keluarga ini juga jelas dipaparkan melalui babak konflik antara HS dengan Adnan. Dalam hal ini, HS seolah-olah tidak berjaya memberikan didikan agama yang sempurna kepada Adnan sehingga dia terpengaruh dengan ajaran Islam yang mementingkan sunnah dari segi lahiriah semata-mata seperti memakai jubah, menyimpan janggut, dan makan beramai-ramai setalam.

Selain itu, persoalan ini juga jelas melalui keadaan yang berlaku dalam keluarga HS yang dapat dikatakan tidak tenteram dan kucar-kacir sehingga nenek melarikan diri. Begitu juga dengan anak-anak HS yang lain yang dikatakan gila pangkat, dan gila uniform.

2. Seterusnya, pengarang juga turut mengemukakan persoalan tentang kerenah seorang warga tua. Persoalan ini dikemukakan melalui watak Nenek yang tinggal bersama anaknya HS sejak kematian suaminya. Kerenah nenek digambarkan kepada pembaca dalam peristiwa di rumah Nona. Nenek tidak dapat tinggal lama di situ kerana tidak tahan dengan sikap orang gaji Nona yang terlalu mengambil berat terhadap nenek. Nenek berasa terkongkong dan tidak tahan dengan layanan yang dianggap keterlaluan itu.

Persoalan ini juga dipaparkan melalui babak konflik antara nenek dengan HS. Konflik ini timbul akibat kedegilan nenek untuk berjual pecal walaupun dilarang beberapa kali oleh HS dengan alasan perniagaan itu tidak menguntungkan malah membahayakan diri nenek sendiri. Kerenah nenek yang suka melarikan diri dari rumah juga sedikit sebanyak menambah keadaan yang kelam kabut dalam keluarga HS.

3.  Persoalan seterusnya ialah tentang anak-anak yang tidak mengambil berat tentang keadaan ibu bapa mereka kerana lebih mementingkan kerjaya masing-masing. Melalui watak Manan dan Nona, pembaca dapat mengambarkan keadaan HS yang jarang dijenguk anak-anaknya kerana sibuk dengan kerja masing-masing untuk mengejar kejayaan dalam kerjaya mereka, seperti kata pengarang, untuk mengejar pangkat, dan gila uniform. Oleh sebab terlalu sebuk dengan pekerjaaan masing-masing, mereka hanya akan pulang sekiranya berlaku sesuatu yang dianggap cemas. Dalam hal ini mereka pulang juga ke kampung kerana nenek dikatakan hilang beberapa hari.

Secara umumnya persoalan yang paling menonjol dalam cerpen ini ialah persoalan tentang  t/jawab ketua keluarga. Namun begitu persoalan-persoalan lain dikemukakan juga sebagai persoalan sampingan yang turut membantu mengembangkan lagi tema kekeluargaan yang dikemukakan.

4. Persoalan tentang hubungan antara ahli keluarga yang renggang akibat mengejar pangkat dan harta.
5. persoalan tentang pegangan agama yang salah

WATAK DAN PERWATAKAN DALAM CERPEN “NENEK”

NENEK EDAH

Seorang yang degil dan nyanyok ( ms 16 ). Dia bekerja sebagai penjual pecal yang dikatakan sedap dan mendapat sambutan daripada pelancong-pelancong yang datang. Dia juga hampir-hampir ditangkap oleh pegawai p/kuasa bandar raya kerana berniaga di kawasan yang tidak dibenarkan. Sikap nenek yang degil ini jelas kerana HS pernah memujuk nenek supaya berhenti menjual pecal tetapi nenek merajuk dan pergi ke rumah cucunya, Nana di PJ tetapi tidak dapat tinggal lama kerana tidak tahan dengan kerenah orang gaji Nana yang asyik bertanya tentang keperluan nenek. ( terlalu ingin melayan). Sikap ini juga sedikit sebanyak menunjukkan bahawa nenek sukar menyesuaikan dirinya dengan kehidupan secara moden. Nenek juga telah menuduh Adnan sebagai “Arab Celup” dan PS sebagai “gila masjid”, Manan sebagai “gila uniform”, Nona dan Karim sebagai “gila pangkat”, dan menuduh mereka semua tidak ingin menjaga Nani cucu kesayangannya. Sikap ini jelas menunjukkan perwatakannya yang perihatin tentang keharmonian dalam keluarganya.

PAK HAJI SYAMSUDIN (HS)

HS ialah anak tunggal nenek. Dia digambarkan pada peringkat awalnya sebagai seorang ketua keluarga yang tidak bertanggung jawab sepenuhnya terhadap ahli keluarganya sehingga keadaan rumah tangganya menjadi kucar kacir. Keadaan ini dijelaskan melalui masalah Nani yang hampir terjerumus dengan masalah dadah dan pergaulan bebas. Sikap HS yang dikatakan tidak bertanggungjawab ini jelas dalam dialog Adnan ketika memberikan nasihat kepada Nani. Antara lain Adnan mengatakan :

“...Ayah tak akan peduli. Dia akan menempelak sahaja kerana kemelaratan dan kesusahan hidupmu memalukannya.”

HS juga bersikap kasar dengan anak-anaknya. Hal ini jelas melalui gambaran imbasan kembali yang dialami oleh Nani. HS dikatakan sering memarahi Nani walaupun Nani telah insaf dan tidak lagi berpoya-poya dengan kawan-kawannya. Antara lain, HS pernah mengatakan seperti berikut:

“ Anak tak tahu diri. Anak tak mengenang jasa. Memberi malu orang tua sahaja.”

Perwatakan HS yang kasar ini juga telah menyebabkan anak-anaknya, Manan dan Nona jarang mahu pulang menjeguknya di kampung malah sikapnya yang demikian juga telah menyebabkan nenek tidak berminat untuk tinggal di rumah lalu keluar berjual pecal dan pernah beberapa kali lari dari rumah itu. Dia juga dipersalahkan kerana menyebabkan Adnan lari dari rumah dan gagal dalam pelajarannya.

Setelah dia bersara, perwatakannya berubah. Dia sering ke masjid sehingga nenek menganggapnya sebagai seorang yang gila masjid dan tidak mempedulikan anaknya Nani.

ADNAN

Adnan dikatakan tidak berpelajaran tinggi dan lari dari rumah setalah berhenti bekerja. Dia lari setelah bertengkar dengan HS tentang hal agama. Perwatakan Adnan digambarkan sebagai seorang yang berfahaman cetek dalam agama dan menganggap soal jubah, janggut, dan makan setalam itu sesuatu yang penting. Dia juga dituduh sebagai punca yang menyebabkan nenek Edah lari dari rumah. Ini kerana dia pernah membuat tuduhan bahawa semua orang di dalam rumah itu sesat. Sebenarnya tuduhan itu ditujukan kepada ayahnya HS. Adnan juga dikatakan sebagai “gila-gila” dan degil. Hal ini jelas kerana tindakannya yang sanggup berhenti kerja kerana ingin belajar agama sedangkan tindakan itu sebenarnya tidak perlu. Munkin juga kerana perwatakannya yang begitu , dia tidak berkahwin walupun usianya agak lanjut bagi seorang lelaki yang bergelar teruna.

Perwatakan Adnan juga telah berubah mengikut arus masa. Keadaan ini jelas digambarkan dalam saat-saat akhir episod ketika dia menemui ayahnya di masjid dan memohon keampunan, dan tindakan itu menunjukkan dia telah insaf akan kesalahannya sebelum itu. Selain itu, Adnan juga mepunyai perwatakan sebagai seorang yang mengambil berat tentang keselamatan dan masa depan adiknya. Hal ini jelas kerana tindakannya memberikan nasihat kepada Nani dalam usahanya untuk menyelamatkan adiknya itu daripada hanyut ke lembah kehinaan akibat terpengaruh dengan rakan-rakan yang mengamalkan pergaulan secara bebas.

NANI

Nani ialah anak gadis HS berusia 14 tahun. Perwatakan Nani digambarkan sebagai seorang yang mudah terpengaruh dengan gelagat golongan remaja yang tidak bermoral. Dia pernah menjadi liar kerana dipengaruhi rakan-rakannya. Dia sering berkunjung ke disko dan hampir terpengaruh dengan masalah dadah dan pergaulan bebas. Nani juga digambarkan sebagai seorang anak gadis yang manja dan mudah merajuk kerana jiwanya yang agak sensitif. Dia merajuk apabila nenek Edah tidak pulang ke rumah. Dia mengurungkan dirinya di dalam bilik dan menyalahkan semua orang. Dia terlalu ingin akan kasih sayang seorang ayah tetapi HS terlalu sibuk dengan urusan hariannya. Dia juga bersedih kerana sering dimarahi oleh HS dengan kata-kata kesat. Perwatakan Nani juga berubah kerana mendengar nasihat abangnya Adnan. Ini kerana selepas dinasihati, Nani tidak lagi bergaul dengan rakan-rakannya yang hilang pedoman dan yang hidup dalam keadaan yang tidak bermoral itu.

MESEJ ATAU UNSUR DEDAKTIK DALAM CERPEN NENEK
 

Antara unsur dedaktik atau unsur pengajaran yang terkandung dalam cerpen nenek ialah manusia yang tidak beriman mudah melakukan sesuatu yang tidak wajar. Hal ini disampaikan oleh pengarang melalui pemerian iaitu huraian tentang falsafah atau prinsip hidup watak Adnan. Bagi Adnan, Nani hampir terjebak ke lembah maksiat kerana tidak beriman. Oleh sebab tidak yakin dengan ajaran agama atau jahil tentang hukum-hukum yang diturunkan oleh tuhan, Nani telah menghabiskan masa yang banyak dengan berkunjung ke disko dan mengamalkan pergaulan bebas. Sementara itu, Haji  Syamsudin pula mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga lantaran terlalu ghairah mengejar nama dan pangkat. Keadaan ini berlaku kerana Haji Syamsudin tidak mengamalkan garis panduan yang terkandung dalam ajaran agama Islam tentang tanggungjawab seorang ketua keluarga. Namun begitu, dia dikatakan insaf pada zaman tuanya dan menghabiskan banyak masa di masjid. Adnan pula, lantaran cetek iman, telah sanggup mengeluarkan kata-kata kesat yang menyinggung perasaan orang lain. Hal ini jelas ketika dia menuduh semua orang di dalam rumahnya sebagai sesat.

Seterusnya pengarang juga mengatakan bahawa manusia yang berilmu juga kadang-kadang terkeliru tentang amalan yang wajar dan yang tidak wajar. Keadaan ini jelas melalui perwatakan Manan yang dikatakan “gila uniform”. Walaupun pengarang tidak menjelaskan keadaan yang sebenar tentang sikap Manan yang negatif, namun pembaca dapat membuat andaian melalui gelaran itu bahawa Manan terlalu sibuk dengan pekerjaannya demi mengejar pangkat sehingga dia sangat jarang pulang ke kampung menjenguk orang tuanya. Begitu juga keadaannya dengan Nona dan Karim yang dikatakan oleh nenek sebagai “gila pangkat”. Kalau tidak kerana kehilangan Nenek, mungkin anak-anak Pak Haji Syamsudin tidak pulang ke kampung. Bagi pengarang, sebagai anak yang mengenang budi, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku.

Seterusnya unsur didaktik yang terkandung dalam cerpen ini disampaikan melalui kata-kata nasihat melalui dialog Adnan kepada adiknya Nani. Antara nasihat yang diberikan ialah tentang kepentingan pendidikan dan keburukan mengamalkan pergaulan secara bebas. Adnan mengatakan bahawa sekiranya amalan pergaulan bebas itu diteruskan, Nani mungkin akan disisihkan oleh masyarakat. Ini kerana, rakan-rakan Nani yang dianggap liar itu mungkin akan mengambil kesempatan sekiranya Nani bertelagah dengan ayahnya. Mereka mungkin akan berpura-pura bersimpati dan Nani akan terhutang budi dengan mereka. Nani akan terikat dengan budi dan simpati yang telah diberikan itu dan dia mungkin akan menurut telunjuk mereka selepas itu dan ketika itu, semuanya mungkin sudah terlambat.

Selain itu, unsur didaktik yang disampaikan ialah tentang kepentingan menghayati ilmu agama yang sebenarnya. Dalam hal ini, penghayatan dalam ilmu agama hendaklah berlandaskan pengajarannya yang sebenar, bukan sekadar mengamalkan sesuatu yang zahir semata-mata. Secara tersirat, pengarang ingin menyatakan bahawa kita tidak seharusnya keliru antara bangsa, kebudayaan, adat resam, dan agama. Bagi pengarang kita mempunyai cara hidup yang tersendiri sebagai bangsa Melayu oleh itu kita tidak sepatutnya mengamalkan budaya dan cara berpakaian seperti orang Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah pandai membezakan antara Arab dengan Islam.

Pengarang juga secara tersirat ingin menyampaikan pengajaran yang terkandung dalam peri bahasa yang mengatakan bahawa “air yang dicincang tidak akan putus” atau “carik-carik bulu ayam, akhirnya akan bercamtum juga”. Keadaan ini disampaikan melalui watak Adnan dan ayahnya Haji Syamsudin. Perhubungan yang renggang akibat perselisihan faham tentang amalan agama telah menyebabkan Adnan mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Namun begitu, keadaan ini tidak berkekalan. Mereka akhirnya insaf atas kesilapan masing-masing dan berbaik-baik semula.

Secara umumnya unsur dedaktik yang terkandung dalam cerpen Nenek ditujukan untuk semua ahli keluarga iaitu ayah, ibu, adik, abang, dan kakak.Unsur ini disampaikan melalui teknik dialog, pemerian, dan secara tersirat. 


   
Dalam Kabus    Dosa Pejuang    Kasih Sayang     Kinabalu    Mayat
Nenek   Pasir Pekan    Socius    Wajahku
 
 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME