Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
CERPEN- Mayat dan Keluarga

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

ASPEK PERTENTANGAN NILAI MASYARAKAT DALAM CERPEN
MAYAT DAN KELUARGA
OLEH : Salleh Long

Cerpen Mayat dan Keluarga karya Shahnon Ahmad telah memaparkan tema kemasyarakatan, dan secara tidak langsung telah memberikan gambaran konflik atau pertentangan nilai masyarakat di desa dengan masyarakat bandar. Dalam hal ini masyarakat desa telah diwakili oleh Haji salih dan penduduk di kampungnya  sementara masyarakat bandar pula diwakili oleh Husin dan keluarganya yang tinggal di Seksyen 14 kuala Lumpur. Pertentangan nilai antara kedua-dua masyarakat ini dipaparkan oleh pengarang melalui beberapa sudut antaranya ialah pandangan masyarakat desa tentang soal menziarah kematian jiran atau penduduk sekampung. Bagi masyarakat desa, soal menziarah jiran yang meninggal dianggap penting. Mereka akan meninggalkan pekerjaan masing-masing pada hari itu untuk menziarah jiran mereka serta bersedia untuk membantu kerja-kerja pengurusan jenazah.

Masyarakat desa juga menganggap keluarga yang sedang bersedih kerana kematian perlu diberi bantuan. Oleh itu mereka melakukan kerja secara bergotong-royong dan secara suka rela. Keadaan ini tidak sedemikian bagi masyarakat kota. Oleh itu, Husin agak terkejut apabila dia menawarkan wang untuk mengupah orang-orang yang menguruskan mayat ayahnya apabila diberitahu oleh Haji Saleh bahawa orang kampung tidak mengambil upah untuk menggali kubur, memandikan mayat, dan mengkafankan mayat. Ini mungkin kerana segala urusan sedemikian perlu dibayar bagi masyarakat bandar. Masyarakat desa hanya perlu mengeluarkan wang yang sedikit sahaja untuk memberi sedekah kepada orang yang datang untuk sembahyang mayat dan orang yang akan membaca Al-Quran di kubur untuk beberapa malam serta mengadakan kenduri aruah.

Dalam cerpen ini kita dapati anak-anak buah Haji salih menunggu dengan setia untuk melakukan apa-apa yang diarahkan kepada mereka. Mereka juga datang awal-awal lagi setelah mendengar berita tentang kematian Haji Ahmad itu. Perkara ini kita dapati tidak demikian bagi segelintir masyarakat bandar. Misalnya Husin pernah melihat orang ramai berkumpul di hadapan rumah jirannya, (mungkin keluarga yang dekat sahaja) ketika itu dia sedang dalam perjalanan untuk ke pejabatnya. Dia hanya melihat keadaan itu dari dalam keretanya tetapi tidak pergi ke rumah jirannya itu. Sementara itu kita dapati anak Husin iaitu Zakuan dan Fauzana datang lewat. Mereka datang dengan menaiki kereta sedangkan Husin telah mengajak mereka datang bersama-sama dengan nya dengan kapal terbang. Ini menunjukkan mereka tidak mengambil berat tentang masa. Mereka lebih mementingkan keseronokan menaiki kereta sport yang baru dibeli. Pada hari itu penduduk kampung menjadi resah kerana menunggu mereka tiba. Mereka juga tiba dengan keadaan berpakaian yang tidak sesuai.

Haji Salih juga mengambil berat tentang keadaan ibu bapanya. Ini jelas kerana dia sering mengunjungi mereka untuk memastikan keadaan mereka selamat dan selesa. Keadaan ini tidak sedemikian bagi abangnya Husin yang sangat jarang pulang ke kampung untuk menjenguk orang tuanya.

Husin digambarkan berasa kesal dengan sikapnya yang mementingkan pekerjaannya di bandar sehingga mengabaikan tanggungjawabnya terhadap ibu bapanya sendiri sedangkan kedudukan yang dicapai ketika itu adalah merupakan usaha dan pengorbanan ayahnya juga.

Di samping pertentangan nilai dari segi semangat kejiranan, perbezaan nilai juga jelas ditunjukkan dalam soal mendidik anak-anak. Haji Saleh berusaha mendidik anak-anaknya untuk menjadi manusia yang berakhlak tinggi dan berpendidikan. Salah seorang daripada anaknya telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negeri iaitu di Madinah. Sementara itu anaknya yang kedua juga dikatakan rajin dan pintar itu sedang belajar di Penanti, salah sebuah sekolah Arab yang terkemuka juga. Salmah juga dikatakan telah berjaya mendidik anak-anaknya dengan tertib. Keadaan ini didapati berbeza dengan anak-anak Husin yang mendidik anak-anaknya cara barat dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan. Mereka juga dikatakan masih menganggur dan banyak membuang masa dengan berfoya-foya. Pernah juga Husin menjumpai puntung rokok dan gambar-gambar lucah di bilik anak-anaknya itu.

Di samping itu juga, ibu bapa Husin sendiri berasa janggal tinggal di rumah Husin. Mereka tidak dapat tinggal lama di situ kerana perbezaan suasana. Pernah sekali ibu bapanya bercadang untuk tinggal lama di rumahnya tetapi hasrat itu dibatalkan kerana mereka tidak tahan dengan bunyi bising muzik yang dipasang oleh anak-anak Husin. Mereka juga berasa janggal melihat Husin mengumpulkan barang-barang antik seperti periuk dan kuali tembaga serta barang-barang yang diperbuat daripada kayu. Ibu bapa Husin juga mendapati tidak ada tikar sembahyang di rumah Husin.

Cerpen ini juga memaparkan pertentangan nilai masyarakat desa dan kota dari segi amalan dan sikap dalam soal agama. Bagi penduduk desa, pegangan agama dianggap sesuatu yang penting dan seseorang itu dinilai taraf kedudukannya di mata masyarakat melalui pengetahuan dan ilmu agama masing-masing. Keadaan ini jelas kerana penduduk desa sangat menghormati seseorang yang menjadi imam di kampung mereka seperti Haji Saleh.

Penduduk desa juga memandang berat soal-soal yang berkaitan dengan fardhu kifayah seperti membaca Al-Quran dan memandikan mayat. Mereka sangat arif tentang perkara-perkara tersebut. Di sebaliknya, Husin dikatakan menolak pelawaan untuk memandikan mayat bapanya dan menjadi imam dalam upacara sembayang mayat kerana dia tidak arif tentang perkara itu.

Barangkali pertentangan nilai yang paling ketara ditonjolkan dalam cerpen ini ialah cara berpakaian antara masyarakat desa dengan masyarakat kota. Anak-anak Haji saleh digambarkan berpakaian yang sopan dan tertib, sesuai dengan suasana kesedihan yang dirasai ketika itu. Tetapi anak-anak Husin datang dengan berpakaian yang dikatakan tidak senonoh dan mencolok mata. Apabila merasa diri mereka berbeza, mereka telah disuruh oleh Husin supaya menyalin pakaian mereka, mereka ikut perintah itu tetapi mereka ketawa tidak kering gusi kerana berasa pelik berpakaian sedemikian.
 


 
Dalam Kabus    Dosa Pejuang    Kasih Sayang     Kinabalu    Mayat
Nenek   Pasir Pekan    Socius    Wajahku
 
 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME