Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
CERPEN- Kasih Sayang

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

NILAI KEMANUSIAAN DALAM CERPEN ‘KASIH SAYANG’

Cerpen Kasih Sayang telah memaparkan beberapa nilai kemanusiaan kepada pembaca. Antaranya yang paling ketara ialah nilai kasih sayang. Hal ini dipaparkan dengan jelas dan secara tidak langsung melalui watak utamanya iaitu Rubiah dan Fatimah.

Nilai kasih sayang yang terdapat dalam diri Rubiah telah digambarkan sejak awal cerita lagi. Rubiah memberikan layanan yang istimewa kepada Fatimah. Dia dikatakan bersungguh-sungguh mencantikkan bilik Fatimah dengan pelbagai hiasan ketika menyambut kepulangan Fatimah dari Hospital. Dia tidak mahu adiknya berasa susah hati atau runsing dengan penyakit yang dideritainya itu. Oleh itu dia cuba mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk Fatimah. Dia juga sentiasa meletakkan jambangan bunga yang sentiasa segar di dalam kamar Fatimah.

Dia juga sering meluangkan masa untuk berbual-bual dengan Fatimah agar adiknya tidak berasa kesunyian atau berasa keseorangan menanggung penderitaan itu. Hal ini dilakukannya juga walaupun dia sendiri sibuk dengan urusannya sebagai seorang pelajar tingkatan 3. Rubiah juga meluangkan masa kerana dia dapati anggota keluarganya yang lain sibuk dengan urusan masing-masing. Abangnya Firdaus, sibuk dengan urusan keluarganya sendiri. Ibu bapa mereka juga sibuk dengan pekerjaan seharian. Kakaknya pula sibuk dengan menonton, berkelah, melancong, menghadiri jamuan,dan ke parti bersama kawan-kawannya. Rubiah ingin pastikan Fatimah tidak berasa bosan tinggal di dalam bilik itu keseorangan. Ibu mereka sering mendengar hilai ketawa mereka berdua di dalam bilik itu.

Satu lagi nilai kemanusiaan yang ditunjukkan oleh Rubiah ialah memberikan semangat serta keyakinan kepada Fatimah bahawa dia juga boleh berjalan semula dan boleh belajar serta mendapat kejayaan seperti yang dicapai oleh Rubiah dalam peperiksaannya di peringkat tingkatan tiga. Rubiah telah cuba sedaya upaya memimpin Fatimah supaya boleh berjalan semula walaupun Fatimah sudah hampir berputus asa kerana doktor telah mengesahkan bahawa Fatimah tidak dapat berjalan semula malahan ibunya sendiri berpendapat usaha yang dilakukan oleh Rubiah itu adalah sia-sia.

Nilai kemanusiaan yang ada pada Rubiah juga jelas apabila dia mengambil keputusan untuk mengorbankan cita-citanya untuk menjadi seorang sasterawan. Dia mengubah haluan ketika di tingkatan 5 dan mengambil jurusan sains kerana ingin menjadi seorang doktor dengan tujuan untuk merawat Fatimah suatu hari nanti. Rubiah juga yakin tuhan akan menolongnya kerana dia telah berusaha. Ternyata usaha Rubiah itu tidak sia-sia kerana Fatimah dapat juga berjalan akhirnya.

Nilai kemanusiaan juga dapat dilihat pada diri watak Fatimah. Fatimah juga sanggup berkorban demi menyelamatkan orang yang paling disayang iaitu kakaknya sendiri. Ini kerana Rubiah terpaksa dimasukkan ke hospital kerana menghidap sakit jantung. Fatimah dengan rela hati memberitahu ibunya bahawa dia sanggup memberikan jantungnya kepada Rubiah sekiranya pemberiaannya itu dapat menyelamatkan kakaknya. Fatimah juga tidak melupakan budi baik kakaknya. Hal ini dibuktikannya kerana dia mengatakan kejayaannya sehingga mendapat ijazah itu adalah untuk kakaknya yang telah meninggalkan mereka buat selama-lamanya itu. Fatimah juga menyatakan kejayaan yang diperolehinya itu berpunca daripada keyakinan diri yang diberikan oleh Rubiah kepadanya. Kerana keyakinan itulah dia dapat berjalan semula dan seterusnya dapat belajar sehingga mencapai kejayaan cemerlang.
 


   
Dalam Kabus    Dosa Pejuang    Kasih Sayang     Kinabalu    Mayat
Nenek   Pasir Pekan    Socius    Wajahku
 
 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME