Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
CERPEN- Dosa Pejuang

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 
TEMA
Cerpen ini membawa tema perjuangan iaitu perjuangan rakyat di sebuah desa yang terpencil untuk menghapuskan tentera Jepun dan seterusnya mencapai kemerdekaan. Masyarakat desa yang digambarkan dalam cerpen ini berjuang secara gerila iaitu secara senyap-senyap dengan mengadakan perjumpaan dan membuat rancangan untuk bertindak menghapuskan penjajah.

PERSOALAN
 Persoalan tentang tanggungjawab rakyat untuk menentang musuh negara demi mencapai kemerdekaan. Persoalan ini ditonjolkan melalui watak Kariman sendiri disamping watak-watak latar yang lain seperti Dasimun, Tengku Yadi, dan Imran Kadiro.

 Persoalan tentang penderitaan rakyat pada zaman pendudukan Jepun. Ketika itu penduduk desa berada dalam ketakutan kerana nyawa mereka diancam serangan bom dan motar Jepun. Keadaan ini telah menyebabkan ramai penduduk terkorban dan yang masih hidup kebanyakannya mencari tempat perlindungan di sebuah kawasan perkuburan dengan menyembunyikan diri di dalam longkang dan mendirikan khemah. Penderitaan penduduk juga dipaparkan melalui watak Satiamah dan anak-anaknya yang terpisah dengan suaminya. Kariman iaitu watak utama dalam cerpen ini juga menghadapi dugaan kerana dalam saat-saat genting seperti itu isterinya Sotifah telah dimasukkan ke hospital kerana patah kaki dan terseliuh leher akibat terjatuh dari tangga kerana gegaran bom.

 Persoalan tentang terdapatnya golongan pembelot atau tali barut bagi pihak Jepun yang bertujuan untuk mematahkan percubaan pejuang gerila mempertahankan maruah negara. Hal ini dinyatakan ketika Kariman berdialog dengan beberapa orang anggota gerila pada suatu pertemuan. Percubaan mereka untuk menyerang kubu tentera Jepun gagal sebanyak dua kali kerana tentera Jepun seolah-olah sudah tahu akan rancangan mereka. Kariman mengesyaki salah seorang daripada mereka yang berketurunan raja-raja juga yang telah belot itu. Dalam hal ini penulis telah memberikan bayangan kepada pembaca apabila dikatakan bahawa penduduk kampung pernah terserempak dengan Tengku Maimunah sedang menggendong dua kampit beras dengan muka yang pucat.

LATAR
Latar Masa
Zaman pendudukan Jepun- 1939-42. Bertepatan dengan kata-kata penulis:
“sudah lebih dua tahun Jepun menduduki Malaya”
Latar Tempat
Sebuah desa, di Malaya.
 

WATAK DAN PERWATAKAN

KARIMAN

 Berusia dalam lingkungan 60an tetapi masih sihat dan tenang, berhemah tinggi dan mempunyai azam yang kuat. Dia turut memainkan peranan sebagai seorang pejuang yang menentang Jepun untuk mendapatkan kemerdekaan dan percubaan menyatukan Malaya dengan Indonesia.

 Suka menyimpan rahsia hidupnya. Keadaan ini mungkin kerana dia tidak ingin mengingat kembali semua kenangan lalu yang penuh dengan penderitaan dan kenangan pahit.

Seorang yang mengenang budi. Dia membalas budi Rizman dengan melayan Rizman yang bertemu bual dengannya.

 Suka menguji kesabaran seseorang. Misalnya dia berpura-pura garang ketika kali pertama Rizman menemuinya satu ketika dulu.

 Mempunyai dahi yang luas dan warna rambutnya bercampur-campur antara hitam dengan putih, dan mempunyai kening yang tebal.

Berkemungkinan mempunyai latar belakang agama yang teguh kerana telah dilantik sebagai bilal masjid di kampungnya dan seterusnya menjadi imam.

Mempunyai sikap berperikemanusiaan. Sanggup membantu jirannya yang dalam kesusahan. Kariman turut membantu Satiamah dan 3 orang anaknya kerana suami Satiamah dikhuatiri telah ditangkap oleh pengganas.

 Kariman juga tidak mempunyai sikap perkauman kerana dia membantu semua mangsa peperangan tanpa mengira bangsa dan keturunan. Misalnya dia juga turut membantu keluarga Chow Wah.

Seorang yang berani dan mempunyai semangat juang yang tinggi.
 

TEKNIK PENCERITAAN

Cerpen ini disampaikan melalui teknik pemerian atau atau penceritaan daripada penulis.
Selain itu cerpen ini juga disampaikan melalui teknik imbasan kembali. Ini kerana cerpen tersebut merupakan cerita dalam cerita iaitu sebuah cerita yang diceritakan oleh watak utama cerpen ini iaitu Kariman kepada Rizman, seorang pelajar universiti tempatan yang sedang membuat kajian. Imbasan kembali ini sering diganggu dengan latar semasa dan diikuti semula dengan imbasan kembali secara berselang-seli. Selain itu, penulis juga memasukkan unsur suspens dengan membayangkan kisah kubur beramai-ramai yang tidak dapat dibongkar oleh Rizman hingga ke akhir cerita. Di samping penggunaan pemerian dan imbasan kembali, pengarang juga menggunakan dialog untuk menyampaikan ceritanya. Kebanyakan dialog yang digunakan pendek-pendek dan ujaran yang tidak lengkap misalnya: “Sia tak peduli…”
 

Gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang pula ialah gaya bahasa biasa yang mudah difahami sambil menyelitkan beberapa perkataan bahasa Inggeris seperti shelter, ball-point, interview, dan privacy. Pengarang juga telah menggunakan sudut pandangan orang ketiga serba tahu untuk menyampaikan ceritanya. Hal ini jelas kerana pengarang sering menceritakan fikiran watak dalam bentuk monolog dalaman. Misalnya dalam baris-baris terakhir pengarang membaca fikiran Rizman:
Adakah wajar juga dia bertanya apa yang terjadi kepada Satiamah dan anak-anaknya?

PLOT
Penulis menyampaikan cerita dengan menggunakan plot secara kronologi namun beberapa kali menggunakan teknik imbasan kembali untuk membawa pembaca kembali ke zaman perjuangan menentang penjajah Jepun yang dialami oleh watak utama. Cerita juga tidak dimulakan dari awal peristiwa sebaliknya penulis memulakan cerita ketika keadaan di desa tempat tinggal Kariman sudahpun dijajah Jepun selama 2 tahun sebelum itu. Jalan cerita juga didapati terputus-putus kerana gangguan cuaca hujan lebat ketika Kariman bercerita dan gangguan keadaan di sekitar rumahnya. Klimak cerita dipaparkan dalam peristiwa pengeboman ke atas tempat persembunyian penduduk desa iaitu di  satu kawasan perkuburan yang mengakibatkan ramai penduduk yang cedera dan mati.

 Ketegangan juga ditonjolkan dalam peristiwa Kariman berselisih faham dengan beberapa orang anggota gerila yang lain kerana mereka mengesyaki ada tali barut dalam kumpulan mereka. Setelah memberikan gambaran bahawa 3 orang anggota gerila ditangkap oleh tentera Jepun, penulis telah mengakhiri cerita ini secara tergantung dan menyerahkan kepada pembaca untuk membuat keputusan dan rumusan. Kariman yang menyampaikan cerita itu dikatakan berada dalam keadaan letih lesu dan tidak dapat meneruskan ceritanya.

MESEJ
Antara mesej yang terdapat dalam cerpen ini ialah masyarakat harus menilai jasa  bekas pejuang kemerdekaan yang hidup melarat seolah-olah pengorbanan yang mereka lakukan itu tidak mempunyai sebarang nilai di kalangan masyarakat kita hari ini setelah negara mencapai kemerdekaaan. Mungkin terdapat ramai lagi pejuang kemerdekaan yang masih hidup tetapi tidak mahu menonjolkan diri mereka atas sebab-sebab tertentu seperti yang ingin dikaji oleh Rizman dalam cerpen ini.

Kita juga seharusnya mengikis sifat perkauman ketika negara menghadapi ancaman musuh kerana pada saat-saat yang genting seperti itu kita perlu bersatu tenaga tanpa mengira bangsa, kaum, dan agama.

Dalam perjuangan, kita hendaklah berwaspada terhadap musuh terutamanya musuh di dalam selimut yang terdiri daripada pihak kita sendiri. Atas dasar wang atau kepentingan diri terdapat pihak yang sanggup menggadai maruah bangsa dan agama mereka sendiri.

Contoh soalan:
Bincangkan mengenai teknik penceritaan yang terdapat dalam cerpen Dosa Pejuang
 

 

Dalam Kabus    Dosa Pejuang    Kasih Sayang     Kinabalu    Mayat
Nenek   Pasir Pekan    Socius    Wajahku

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME