Istilah elektrolisis diperkenalkan oleh Michael Faraday [1791 - 1867]. 'Lisis' bermaksud memecah dalam bahasa Yunani. Jadi, elektrolisis bermaksud pemecahan oleh arus elektrik.Proses Elektrolisis adalah keadaan di mana apabila elektrolit mengkonduksikan elektrik, perubahan kimia berlaku dan elektrolit terurai kepada juzuk-juzuk unsurnya di elektrod.
Kekonduksian elektrik dalam sesuatu bahan berasaskan pergerakan zarah-zarah yang bercas.
- Dalam logam, pergerakan elektron menyebabkan kekonduksian.
- Dalam elektrolit, kekonduksian adalah disebabkan oleh pergerakan ion positif dan ion negatif.
Kebanyakan sebatian kovalen adalah bukan elektrolit kerana terdiri daripada molekul yang tidak bercas. Namun begitu, terdapat sebatian yang tergolong sebagai elektrolit. Contohnya ialah asid hidroklorik, asid etanoik dan ammonia. Sebatian-sebatian ini akan menghasilkan ion-ion bebas apabila bertindakbalas dengan air. Ion ialah zarah bercas sama ada positif ataupun negatif yang terbentuk apabila atom atau kumpulan atom membebaskan elektron atau menerima elektron. Ion positif ataupun kation terbentuk apabila atom neutral membebaskan elektron .Biasanya, atom logam membentuk ion positif. Ion negatif ataupun anion terbentuk apabila atom neutral menerima elektron.Biasanya, atom bukan logam membentuk ion negatif. |