Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
logo

PositivoMedia::Info

Positivo's Information
Current Information
Location : KL City
Occupation : Student, Bathroom Singer, FOC Designer, Social Worker (wink)
 
Personal Information
Name: Rosman Nizar
Age: I'm still young. Don't worry :P
 
Contact Information
E-Mail: caeromaestro@yahoo.com
 
 

PositivoMedia::Agenda

19 March 2005
Akademi Fantasia Tour 2005 Perak

PositivoMedia::Links

Check Out These Links :
FarahFanCub Official Site
Farah Yahoo Group
ERA.FM
My MySpace Page
 
Powered by:

PositivoMedia::Reviews

Title : Sepet - Semua Orang Boleh Suka
Date: 9/3/05
Source : Jongkang Jongket

Jason And Orked
Perhatikan muka "malu-malu nervous" Jason masa first-date dengan Orked di restoran fast-food itu. Dia tengok muka Orked sikit-sikit. Jeling-jeling dengan hujung ekor mata saja. Dia cakap sepatah-sepatah. Suara getar-getar, antara keluar dengan tidak. Tak tahu topik apa nak cakap masa first-date, maka perbualan cuma berkisar tentang benda yang ada depan mata (burger dan fries), dan tiba-tiba tanpa flow melompat ke topik filem pula. Kawan-kawan sekalian, itulah yang dinamakan "first-date". Tersangatlah real-nya adegan itu. Real-nya ekspresi muka dan intonasi suara pelakon-pelakonnya.

Yusry, dan hero-hero "remaja" filem tempatan yang lain, perlu belajar dengan Jason tentang "ekspresi muka" ini.

Bukan adegan itu saja, dan bukan lakonan Jason saja, malah semua adegan dan lakonan semua pelakon Sepet adalah real. Kecuali, adegan "Leonardo DiCaprio celup" bergaduh dengan Orked di sekolah. Lakonan budak "Leonardo" itu kurang mantap. Kalau Nasrizal Ngasri di situ mungkin menjadi, dia pandai berlakon watak "budak sekolah marah-marah", cuma Nasrizal tak ada wajah Mat Salleh dan tidak remaja lagi.

Seperti yang aku kata sebelum-sebelum ini, masalah filem tempatan bukan TEMA, tapi JALAN CERITA dan LAKONAN. Walaupun orang kata asyik-asyik cinta, cinta, cinta, tapi aku rasa filem yang bagus tak semestinya membawa tema berat (dan tema cinta pun tak semestinya ringan). Tak ada salahnya buat filem cinta asalkan filem itu jalan ceritanya bagus dan lakonannya mantap.

Dua elemen inilah yang menjadikan Sepet seronok ditonton.

Aral Yang Melintang

Yang membezakan Sepet dengan berlambak drama cinta Melayu-Cina yang lain adalah, aral yang melintang dalam percintaan Jason dan Orked bukannya "halangan keluarga kerana berbeza agama". Jadi, tidak ada adegan bosan-nak-muntah ibu marah-marah anak kerana bawa balik bakal menantu Cina (biasanya Janet Khoo) atau mentua marah-marah menantu Cina (biasanya Janet Khoo) ketika anak out-station. (Kalau bakal menantu Arab, biasanya Betty Banafe.)

Ibu Orked dan ibu Jason, masing-masing tak kisah anak mereka bercinta dengan orang bangsa lain. Bapa Orked, walaupun tak berkenan dengan Jason, bukan sebab Jason Cina, tapi sebab Jason "terlibat dengan gangsterisme" dan "buat anak orang mengandung". Inilah bapa yang rasional. Kalau aku jadi bapa pun (KALAU, aku bilang, KALAU), aku tak suka anak aku bercinta dengan orang macam tu, tak kiralah dia Melayu, Cina atau Eskimo!

("Wahai manusia, Kami mencipta kamu lelaki dan perempuan, dan membuat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain..." -- al-Quran, surah al-Hujurat, ayat 13.)

Akal & Emosi>

Sepet ini mengingatkan aku pada kata-kata (atau hadis?), "Lelaki ada 9 akal dan 1 nafsu, perempuan ada 1 akal dan 9 nafsu". Ramai orang salah faham "nafsu" ini dengan "nafsu syahwat". Sebenarnya "nafsu" ini termasuklah rasa marah, kasih sayang, simpati, atau dengan kata lain, EMOSI. Orang lelaki ini akalnya mengatasi emosi, orang perempuan pula emosinya mengatasi akal.

Maka sebab itu, bapa Orked tidak suka Orked berkawan dengan Jason selepas mengetahui latar belakang Jason. Dia tidak mahu anaknya susah di masa depan. Tetapi bagi Orked dan ibu Orked, kalau dah cinta, cintalah! Soal baik buruk Jason tidak difikirkan lagi.

Perhatikan juga bila Orked dapat belajar di luar negara, Jason bercerita pada Keong yang dia nak jadi "kaya dan terkenal" supaya dapat bersama Orked. Lelaki memang fikir tentang kerjaya sebelum fikir tentang cinta (ini yang sesetengah perempuan tak faham dan kata pasangannya lebih mementingkan "benda lain" daripada dia!). Dan Jason juga kata pada Keong "atau aku pujuk Orked tak payah pergi luar negara, dan kerja part-time dengan aku". Di sini, Jason cuba mengeksploitasi sifat "emosi mengatasi akal" yang ada pada perempuan. Perempuan kalau dah cinta sanggup korbankan apa saja (contoh: pelajaran dan cita-cita) demi lelaki.

(Jangan bimbang. Lelaki tak perlu faham perempuan, dan perempuan tak perlu faham lelaki. "Your job is to love us, not to understand us," bak kata Ida Nerina dalam Sepet.)

Disclaimer: Aku tak kata lelaki (bapa Orked dan Jason) betul, atau perempuan (Orked dan ibu Orked) salah. Tak semestinya percintaan Orked dan Jason gagal kalau berdasarkan emosi (atau berjaya kalau berdasarkan akal). Gagal atau berjaya sesuatu percintaan (atau sesuatu apa pun) bukan kita boleh tentukan, itu kerja Tuhan ("Kalau itu pun kita nak tentukan, nanti Tuhan takda kerja pulak!" bak kata Mustaqeem).

Watak Kelabu

Yang jarang ada dalam filem tempatan adalah "watak kelabu". Pelakon biasanya bawa watak hitam atau watak putih, tak ada kelabu. Kalau hero mesti baik/sempurna/tak ada cela. Kalau crook mesti jahat/tak ada kebaikan langsung. Tapi dalam Sepet, heronya ada baik dan buruk. Contoh baik: tolong kawan, hormat orang tua. Contoh jahat: buat anak orang mengandung, jual vcd haram. Begitu juga dengan watak-watak lain, kelabu.

(Macam itu baru manusia. Baik dan jahat bercampur. Itulah beza kita dengan malaikat atau syaitan.)

Tapi baik/buruk seseorang manusia itu bersebab. Tengok latar belakang keluarga Jason: miskin dan porak-peranda (ibu bapa bergaduh). Keluarga Orked: agak berada dan bahagia (ibu bapa bergurau-senda). Jason, walaupun pandai, sukar mengubah nasibnya, kerana susah dapat biasiswa. Orked, lebih bernasib baik kerana dia Melayu (Alhamdulillah!). Faktor-faktor ini, dan banyak lagi, menjadi "acuan" seseorang manusia.

The "Hmm..." Effect

Skrip bagus, banyak kesan "hmm...". Kau faham maksud aku?

Contohnya: Jason bercerita pada Keong tentang asal-usul kaum Peranakan (Baba & Nyonya). Pada zaman Kesultanan Melaka (600 tahun yang silam), orang China datang dan berkahwin dengan orang Melayu ("Malay girls in wet sarong" bak kata Jason). Dan Keong berkata lebih kurang: Fikir-fikir balik, zaman dulu pun orang boleh kahwin campur, tak saling membenci walau lain bangsa, tetapi zaman sekarang ada orang yang tak terima bangsa asing, saling membenci, bukankah sepatutnya kita semakin lama semakin bertamadun?

Skrip itu buat aku kata "Hmm..." sambil mengurut dagu.

Itu cuma satu contoh dalam banyak-banyak.

Runut Bunyi

Pemilihan lagu bukan saja-saja. Bukan taruk asal sedap.

Bila Jason pasang lagu "Dia Datang" (dan menari macam apa), seakan mesej ada orang nak datang. Bila dengar lagu tu, aku memang dah expect ada orang nak datang (dengan lenggang-lenggoknya). Jangkaan aku betul... Jimmy dan konco-konco kongsi gelapnya yang datang!

Lagu soprano masa scene bapa bawa Orked naik kereta cari Jason, menurut Noor Azam Shairi (Utusan Malaysia), adalah lagu tentang ikan duyung yang bercinta dengan manusia. Perhatikan: ikan duyung dan manusia. Cinta dua "bangsa" berbeza. Seakan cinta Orked dan Jason.

(Aku teringin nak tahu maksud lagu Siam yang menjadi latar adegan gurau senda Harith Iskandar dan Ida Nerina.)

Cliche

Ending agak cliche. Adegan "go get her before it's too late" ada dalam berlambak-lambak filem cinta. Filem cinta Hollywood, Bollywood, Hong Kong. Filem cinta Indonesia (contoh: Ada Apa Dengan Cinta?), Cinta ke airport kejar Rangga. Malah, filem cinta-sampah Kuliah Cinta pun ada adegan ini, Yusry ke KL Sentral kejar Erra (yang nak naik ERL ke KLIA).

Cuma, Yasmin melanggar kebiasaan mazhab "go get her before it's too late" dengan menyerahkan bulat-bulat kepada penonton untuk membuat kesimpulan.

Biasanya, mengikut ending mazhab ini, heroin (atau hero) akan ke luar negara (sebab: sambung belajar, program pertukaran pelajar, tukar tempat kerja, dan sebagainya). Hero (atau heroin) akan kejar dan last-last minute dapat jumpa di airport (atau stesen keretapi, atau stesen bas, atau pelabuhan kapal). Krisis berakhir dan cinta berputik kembali. Tamat. (Penonton kena terima bulat-bulat kehendak pengarah.)

Tetapi dalam Sepet, cuma ada adegan kejar-mengejar. Sama ada Jason dapat jumpa Orked, sama ada Jason hidup atau mati, itu terpulang pada penonton. Penonton boleh fikir yang Jason masih hidup dan merangkak-rangkak dapatkan telefon, atau Jason sudah mati dan Orked bercakap dengan roh Jason (elemen Misteri Nusantara), atau Orked bercakap dengan voice-mail (kalau tunggu lama lagi, ada bunyi *beep* dan Orked akan kata "Celaka Jason, voice-mail rupanya, terkena aku!" dan ibu bapa Orked ketawa berdekah-dekah), atau orang lain yang angkat telefon itu dan bercakap dengan Orked, atau seribu satu "atau" lagi.

Ending jenis ini selalu ada dalam filem Iran. Contohnya, dalam filem Children of Heaven, hanya ditunjukkan bapa beli kasut baru dan letak atas basikal. Tidak ditunjukkan sama ada kasut itu sampai kepada anaknya. Penonton boleh fikir yang bapa selamat sampai ke rumah dan anak dapat kasut baru, atau bapa kena langgar kereta dan mati, atau kasut baru jatuh atas jalan dan hilang, atau (kau dah dapat idea kan?).

Hanya orang yang malas berfikir saja yang tak suka ending jenis Sepet.

Yang pastinya, kalau Jason mati pun, handphone Nokia 3210-nya masih "hidup", masih mampu berdering walaupun jatuh atas jalan. Sebagai pengguna 3210, aku berasa bangga, hahaha! (Teringat adegan handphone berdering dalam perut dinosaur -- Jurassic Park III, dan handphone berdering walaupun dunia dah mati beku -- Day After Tomorrow).

Tak seperti filem U-Wei atau filem Yusof Haslam, yang sebahagian orang suka dan sebahagian orang benci... Sepet, aku simpulkan, filem yang "semua orang boleh suka". Lima bintang.

By Mat Jan, Jongkang Jongket




PositivoMedia™ actually never registered so you can freely copy anything on this page (durh!)
PositivoMedia™ : Creatively Positive ~ Be Positive, You Can Make A Change (Like You Change Your SIM Card!)