Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Imbas kembali : Betapa Sadis dan jahat , Mahathir menuduh liwat pada saudara Anwar Ibrahim

Anwar di tumbuk dalam keadaan digari -------The culprit, muka sekupang

Pengarang buku bohong '50 Dalil' iaitu Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah telah dikenakan penjara satu tahun oleh Ampang Sessions Court kerana memfitnah Saudara Anwar Ibrahim sehingga beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan terpaksa menerima penghinaan yang tidak pernah terfikir oleh manusia . Persoalan nya apakah hukuman terhadap Mahathir Mohamad yang turut menuduh saudara Anwar dalam media bagi memperkuatkan lagi tuduhan Khalid Jafri. Berikut adalah siaran akbar Utusan Malaysia 23 September 1998 .Saya mahu semua rakyat Malaysia terutama orang melayu membaca temubual ini dan menganalisa kembali betapa jahat dan sadisnya Tun Mahathir dalam kemelut ingin terus berkuasa. Disamping itu cuba fikirkan berapa dosa dan fitnah yang dia telah hamburkan tanpa segan silu.

Yang Bertanda Merah italic ialah Ayat Fitnah Mahathir Laknatullah tanpa belas kasihan kepada saudara Anwar Ibrahim.

BERIKUT ialah petikan sidang akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Jabatan Perdana Menteri semalam. Sidang akhbar selama 45 minit itu dihadiri oleh hampir 200 wartawan asing dan tempatan. Kesemua soalan yang ditujukan kepada Dr. Mahathir telah dijawabnya.
PM:Sebenarnya, saya sepatutnya mengadakan sidang akhbar petang semalam selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO tetapi tidak diadakan kerana majlis penutupan Sukan Komanwel.

Saya menjelaskan bahawa mesyuarat MT semalam telah diberitahu mengenai apa yang berlaku di Kuala Lumpur khususnya berkaitan dengan penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan alasan penahanannya kerana ia tentu sahaja tidak dipercayai oleh sesetengah wartawan yang menganggap bahawa saya seorang diktator yang ingin menangkap bakal musuh politik saya.

Kepada mereka yang mempercayai (saya diktator) tidak berguna untuk saya jelaskan kerana walaupun apa yang saya katakan, itulah yang menjadi kesimpulan mereka.

Hakikatnya bahawa dia dibenarkan untuk melanggari undang-undang banyak kali dengan mengadakan mesyuarat dan perhimpunan haram, dia tidak ditangkap.

Tetapi kemuncaknya tiba pada hari Ahad apabila dia menghasut para penyokongnya untuk merusuh, menjadi ganas dan menyerang tempat tertentu.

Adalah jelas bahawa dia cuba untuk membangkitkan emosi untuk menjadikan keadaan seperti yang terdapat di Indonesia apabila rakyat merusuh setiap hari dan cuba untuk menghalang kehidupan biasa di bandar raya.

Mereka berharap dengan berbuat demikian mereka akan dapat menjatuhkan kerajaan, terutama menjatuhkan saya yang mana bukanlah satu akibat yang besar memandangkan saya telahpun berusia 73 tahun dan saya tidak dapat hidup selama-lamanya.

Tetapi fakta bahawa dia mendesak para penyokongnya menggugat keamanan dan ketenteraman awam di bandar raya dan terdapat bukti lain bahawa dia juga cuba untuk melakukan perkara yang sama di tempat-tempat lain di negara ini.

Sebagai mana yang anda tahu para pengikutnya memecah masuk ke bangunan UMNO dan memusnahkan muzium yang menempatkan gambar-gambar pemimpin lepas UMNO. Ini tentulah sesuatu yang ahli-ahli UMNO tidak akan lakukan. Ahli-ahli UMNO mungkin tidak suka pemimpin, tetapi mereka adalah ahli-ahli parti dan tidak akan merosakkan harta-harta parti.

Tetapi seperti diketahui, mereka memecah masuk dan mengoyak gambar-gambar pemimpin lepas UMNO. Dan kemudian mereka berarak ke arah rumah saya. Apa yang menjadi niat mereka apabila mereka berarak ke rumah saya ialah sesuatu yang tidak pasti, tetapi mereka bercakap antara lain untuk membakar rumah itu atau sesuatu seumpamanya.

Adalah jelas dari sekadar bercakap kepada para pengikut di rumahnya dan juga di tempat-tempat lain, dia kini membuat keputusan untuk menjadi penghasut yang hendak mencetuskan keganasan.

Dan tentu sahaja dia melakukannya pada hari Ahad, sebahagiannya disebabkan oleh pengakuan bersalah dua lelaki yang diliwatnya. Juga disebabkan Sukan Komanwel sedang berlangsung dan polis pula sibuk dengannya. Juga dia berpendapat dengan jumlah wartawan luar negara yang banyak boleh membantu perjuangannya. Memang betul, kini telah tersebar ke seluruh dunia bahawa saya sudah menjadi diktator. Kini sekurang-kurangnya seorang PM iaitu saya sudah menjadi diktator - diktator yang dipilih, kerana diktator lain tidak dipilih.

Tetapi tujuan sebenar apa yang Anwar lakukan ialah untuk merosakkan imej negara, menimbulkan keraguan dan menjadikan Malaysia tidak stabil.

Pihak polis telah bertindak. Niat mereka ialah menahan dan mendakwanya dalam mahkamah biasa. Bukan niat mereka untuk menahan beliau di bawah ISA. Bagaimanapun kerana beliau mencetuskan keganasan, mereka terpaksa menahannya lebih awal daripada yang dirancangkan kerana mereka ingin mendapatkan lebih banyak bukti terhadapnya.

Jadi mereka kini telah menahannya di bawah ISA dan saya percaya adalah menjadi niat mereka untuk menghadapkannya ke mahkamah.

Tetapi ini bukanlah sesuatu yang Anwar mahu. Dia tidak mahu berhadapan dengan mahkamah terbuka dan dibicarakan. Dia mahu dirinya ditahan di bawah ISA supaya dia boleh menuduh kerajaan sebagai kejam dan diktator.

Para penyokongnya akan memastikan bahawa pelaksanaan undang-undang tidak boleh dijalankan dengan mengadakan tunjuk perasaan terutama di hadapan mahkamah. Sudah pasti tindakan seperti ini akan mendapat banyak publisiti di mana sahaja iaitu apa yang beliau juga mahu lihat.

Apa yang Anwar paling takutkan ialah dia didakwa di mahkamah kerana semua perlakuannya akan terdedah dan semua saksi akan muncul memberi bukti.

Para saksi tersebut adalah berlainan kerana mereka terpaksa memberi keterangan dengan cara yang akan memalukan diri mereka sendiri.

Apa yang Anwar paling inginkan ialah saksi-saksi ini tidak akan menceritakan kisah mereka kerana ia akan memalukan mereka sendiri. Anwar bergantung kepada harapan itu.

Tetapi dia tidak menjangka adik angkatnya sendiri dan kawannya akan secara terbuka membuat kenyataan-kenyataan mengaku salah. Mereka membuat kenyataan itu kerana saya percaya polis, yang merupakan orang Islam dan mereka yang berpengetahuan mengenai Islam, menunjukkan kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan adalah satu dosa besar dan akan dihukum pada hari akhirat dan mereka perlu bertaubat dan meninggalkan perbuatan itu.

Tetapi adalah jelas mereka membuat keputusan bahawa mereka perlu menceritakan kebenaran walaupun risikonya adalah mereka dipenjara kerana melakukan kesalahan liwat, walaupun keluarga mereka terpaksa menanggung malu.

Apa yang mereka katakan adalah kebenaran. Anwar tidak bersumpah di dalam masjid seperti dia dakwa. Apa yang dia buat ialah ''saya bersumpah.'' Itu tidak cukup.

Bahawa seorang lelaki yang bertahun-tahun telah berlagak sebagai orang yang kuat agama dan melakukan perkara-perkara seumpama ini, bukan hari ini, bukan semalam tetapi telah bertahun-tahun.

Lelaki seumpama itu yang nampak warak, tetapi sebenarnya tidak taat kepada agama, boleh bersumpah di dalam masjid, dengan mengetahui sumpahnya itu palsu sama sekali.

Sudah pasti ada orang yang akan membuat tafsiran cepat dalam usaha membuktikan apa yang dicakap itu adalah benar, baik secara teknikal ataupun keagamaan.

Oleh itu saya tidak letakkan apa-apa nilai kepada sumpah Anwar dalam masjid. Saya sedih untuk berkata semuanya ini terhadap bekas timbalan saya, yang saya sendiri pilih dan saya asuh untuk mengganti saya. Saya telah mengambilnya pada tahun 1982 (ke dalam UMNO) dan sejak itu membantunya hingga dia mengetepikan banyak orang lama dalam parti. Dia mengatasi mereka dan bersedia untuk menjadi PM, selepas saya.

Tetapi apabila saya mendapati dia melakukan kesalahan yang saya tidak boleh maafkan, sesuatu yang masyarakat Malaysia tidak boleh terima, sama ada mereka Islam atau tidak, tindakan perlu diambil seorang yang saya anggap sebagai sahabat, rakan sejawat dan sampai kepada satu tahap sebagai anak didik saya. Ini kerana orang ini tidak boleh dibenarkan untuk menjadi pemimpin di sebuah negara seperti Malaysia.

Ini saya telah nyatakan kepada ahli-ahli MT UMNO dan mereka bersetuju dengan langkah-langkah yang telah diambil. Tentu sahaja terdapat rancangan untuk mengganggu Sukan Komanwel. Malam tadi para penyokong Anwar berada di sana tetapi bukanlah ramai. Tetapi kita gembira sukan itu berakhir tanpa gangguan.

Walaupun terdapat masalah yang saya hadapi dengan bekas timbalan saya tetapi saya amat gembira melihat Sukan Komanwel mencatatkan keputusan yang baik, di luar jangkaan dari segi bilangan pingat yang dimenangi serta kelancaran operasi dan keberkesanan para sukarelawan dan pegawai.

Soalan: Rusuhan yang berlaku pada Ahad lalu, apakah Datuk Seri sudah menjangkannya?

PM: Tidak, malah polis juga tidak jangka ini akan berlaku, terutama keganasan. Mereka telah mengawasi aktiviti malah beliau tidak melakukan apa-apa cuma hanya memberi ceramah berapi-api sahaja malahan reaksi para penyokongnya ialah hanya melaungkan 'Allahhu Akbar'. Itu sahaja. Dan polis tidak menjangka sebarang rusuhan. Jadi kejadian itu amat memeranjatkan.

Soalan: Berdasarkan jumlah penyokong terdapat pandangan bahawa dakwaan terhadap Anwar itu tidak meyakinkan. Mereka mahu tahu lebih banyak bukti.

PM: Ya, tetapi para penyokong itu tidak tahu, ada yang percaya ada yang tidak, ada yang pergi ke situ kerana ingin tahu terutama di Dataran Merdeka. Tetapi memang benar ramai yang masih percaya dengan dia. Malah ingin saya tegaskan bahawa bagi saya, ia mengambil masa bertahun-tahun untuk mempercayai dakwaan yang dibuat terhadapnya.

Pertama kali saya diberitahu oleh bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff. Tetapi saya menolaknya dan menganggapnya sebagai tuduhan palsu. Saya sekali lagi diberitahu tahun lalu mengenai dia, tapi saya kata bahawa itu adalah tuduhan yang semata-mata kerana cemburu dengan orang yang bakal akan menjadi pemimpin parti saya.

Saya ada bukti yang tidak lagi boleh ditolak bahawa ia adalah benar sebelum saya mempercayainya. Tetapi orang lain tidak dapat maklumat seperti saya. Saya sebenarnya telah menemuramah orang-orang yang dia liwat, dengan perempuan yang dia lakukan hubungan seks, pemandu yang membawa perempuan ke tempat ini. Semua diberitahu kepada saya tanpa kehadiran polis atau sesiapa. Saya telah memberitahu mereka jika mereka telah dipaksa untuk memberi keterangan, saya akan memberi perlindungan. Beberapa orang telah memberitahu saya bahawa orang ini tidak layak menjadi pemimpin.

Soalan: Apakah Datuk Seri khuatir bahawa polis melakukan keganasan berdasarkan cara mereka menahan?

PM: Saya rasa tiada keganasan yang polis lakukan berbanding dengan cara polis Los Angeles yang lebih banyak keganasan.

Apabila anda mengawal sekumpulan orang yang tidak boleh dikawal, maka sesuatu langkah terpaksa diambil untuk menyuraikannya. Sesuatu paksaan terpaksa dilakukan.

Apa yang dilakukan oleh polis adalah minimal sahaja. Tidak ada sesiapa yang cedera, malah Datuk Seri Anwar yang ditahan juga telah diberi peluang untuk datang dengan cara baik bukan seperti di beberapa negara di mana mereka digari tangan, kaki.

Malah dia tidak digari. Malah dia minta keluarganya ikut sama, dan keluarganya dibenarkan berbuat dan kemudian di hantar balik.

Soalan: Bila Datuk Seri Anwar akan didakwa di mahkamah?

PM : Ya, polis sedang menjalankan siasatan dan mereka akan mendakwanya.

Soalan: Datuk Seri, bila secara tepatnya dia akan didakwa?

PM: Itu sesuatu yang saya tidak campurtangan. Ia terpulang kepada pihak pendakwaraya dan polis. Bila mereka bersedia.

Soalan: Datuk Seri, bekas Ketua Polis Negara pernah memberitahu satu ketika dahulu bahawa Datuk Seri Anwar terlibat dalam kegiatan homoseksual.

PM: Ya, Tun pernah memberitahu saya sebelum beliau bersara beberapa tahun dahulu. Tetapi saya tidak mempercayainya. Malah saya tidak mahu mempercayainya kerana saya dapati agak sukar mengaitkannya terhadap lelaki yang merupakan seorang yang beragama.

Soalan: Apakah Datuk Seri Anwar menjadi semakin mencabar kepada anda?

PM: Tidak, saya akan bersara. Kenapa perlu baginya untuk mencabar saya, malah dia pernah merancang untuk mencabar saya dengan membuat dakwaan itu, yang dia kemudian telah mengaku niatnya, walaupun ketika itu dia berbaik dengan saya, senyum dengan saya walhal ketika itu dia merancang...

Saya tahu tetapi mengetepikan sahaja kerana bagi saya itu tidak berkaitan.

Jika dia dipilih oleh parti sebagai pemimpin, dan jika dia ingin mencabar saya, saya boleh bertanding dengan dia. Saya juga pernah bertanding dengan orang lain dan saya mempunyai peluang yang baik.

Soalan: Perdana Menteri Austalia mengatakan wujud amalan sistem authoritarian...

PM: Itu hanya tuduhan sahaja tanpa sebarang fakta, sesuatu keputusan harus dibuat dengan meneliti kedua-dua pihak dan membuat keputusan. Tetapi jika baca surat khabar dan pendapat itu berdasarkan itu sahaja, saya rasa itu adalah diktator.

Soalan: Penjelasan kepada ketua-ketua bahagian UMNO baru-baru ini tidak disertakan dengan bukti-bukti.

PM: Adalah sukar untuk saya jelaskan dan saya fikir juga, adalah sukar untuk mereka menjelaskannya. Saya beritahu anda apa yang polis ceritakan pada saya. Dia bukan sahaja meliwat tetapi dalam proses tersebut, dia buat...

Awak hendak saya pergi keliling dan beritahu orang, inilah yang bekas timbalan saya buat. Tapi dia buat perkara itu.

Inilah yang dia (saksi) beritahu saya. Dia juga beritahu polis.

Ia menjijikkan dan inilah lelaki (Anwar) yang bercakap mengenai orang lain melakukan perkara menjijikkan.

Adalah sukar untuk saya percaya, rakan-rakan saya untuk pergi memberitahu orang lain termasuk wanita dan kanak-kanak bahawa ini adalah apa yang berlaku. Anda tahu kesan akibat pengakuan Clinton bahawa beliau dan Lewinsky telah melakukan hubungan seks.

Kita adalah masyarakat konservatif, kita tidak sewajarnya bercakap mengenai perkara seperti ini.

Soalan: Adakah sebarang perlindungan akan diberikan terhadap keluarga Datuk Seri Anwar?

PM: Keluarga Anwar, mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, siapa yang hendak serang mereka. Jika mereka perlu, kita akan memberi perlindungan kerana setiap rakyat akan dilindungi tidak lebih, tidak kurang. Dan dia juga tertakluk kepada perundangan itu, tidak lebih dan tidak kurang. Undang-undang itu ada pengecualiannya, jika anda mengatakan bahawa seseorang yang menentang kerajaan diberi keistimewaan. Di negara ini tidak ada orang mendapat keistimewaan. Kita telah bertindak terhadap ahli-ahli kita, ramai. Menteri Besar telah dihadapkan ke mahkamah, ada yang didapati bersalah dan terpaksa diberhentikan, ada seorang Menteri Besar dipenjara, menteri dipenjara...ini semua dibuat terhadap ahli-ahli kita.

Dakwaan-dakwaan terhadap mereka itu tidak membuatkan mereka meninggalkan parti atau keluar atau menentang parti. Mereka tidak berbuat demikian. Ada di antara mereka didapati tidak salah, tetapi parti masih tidak yakin untuk membawa mereka semula dalam parti. Kerana kami berpendapat mereka telah tidak setia kepada parti. Mereka terus menjadi ahli parti.

Soalan: Bilakah Datuk Seri akan mencari pengganti Anwar?

PM: Saya harap tidak lama. Tetapi saya mesti ada orang yang mampu mengambil-alih dan yang boleh dipercayai dan berwibawa. Saya boleh memberi sebab-sebab lain untuk mengeluarkannya daripada parti jika kerana politik. Tetapi malangnya itu adalah kenyataan. Saya memang ada banyak masalah, Sukan Komanwel, dengan ramai pemberita...ini adalah masa yang tidak baik kalau boleh saya ingin mengelakkannya.

Soalan: (Soalan tidak jelas)

PM: Buat masa ini saya berpendapat rakan-rakan Anwar, orang yang menghormatinya akan rasa kesal dengan ini. Saya telah menerima mesej daripada beberapa rakannya yang menuduh saya sebagai diktator dan lain-lain. Tetapi akhirnya kebenaran pasti akan muncul. Jika kebenaran menunjukkan dia tidak bersalah maka itu adalah kebenaran, tetapi jika benarlah dia melakukan perkara itu, maka saya berharap masyarakat akan menerima kenyataan itu dan tidak berkata walaupun itu adalah benar dia adalah kawan saya, oleh itu saya tidak boleh menerima apa kebenaran itu.

Soalan: Perdana Menteri, mengapa perbicaraan pada Sabtu lalu (melibatkan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan Dr. Munawar Ahmad Anees) begitu teratur sehingga keluarga mereka tidak diberitahu (mengenai jadual perbicaraan itu)... walhal sistem perundangan (negara ini) tidak begitu cepat tetapi Sabtu lalu dalam masa 1 1/2 jam, dua orang dihukum oleh mahkamah dengan keputusan yang sama.

PM: Oleh kerana kita hadapi masalah iaitu tidak mempunyai kredibiliti dan polis didakwa oleh Anwar sebagai berat sebelah. Polis ingin memastikan untuk membersihkan namanya dan mereka juga seperti orang lain ingin melihat kebenaran. Pilihan waktu mereka adalah bukanlah bidang saya. Jika saya diberi peluang saya tidak mahu benda ini timbul ketika Sukan Komanwel. Saya menikmati sukan tetapi saya memberitahu polis bahawa mereka patut bertindak, mendakwa Anwar.

Soalan: Adakah ahli-ahli UMNO turut terlibat melancarkan tunjuk perasaan pada hari Ahad lalu.

PM: Saya rasa mereka terlibat, kalau tidak masakan polis hendak tahan mereka. Ahli-ahli lain...kita mempunyai 1.4 juta ahli...mereka tidak ditahan pun.

Soalan: Datuk Seri apakah mereka akan didakwa atas tuduhan membuat kekacauan?

PM: Itu bukan saya tentukan, saya tidak pasti sama ada tuduhan akan dibuat terhadap dia tetapi beliau terlibat dalam merancang rusuhan itu dan rusuhan itu adalah haram.

Soalan: Bagaimana pula dengan kedudukan mereka dalam parti?

PM: Itu terserah kepada parti. Saya tidak membuat keputusan sendiri.

Soalan: Jika Datuk Seri Anwar didakwa atas kesalahan meliwat, apakah dia akan terus ditahan di bawah ISA?

PM: Saya tidak tahu. Secara terperinci saya tidak tahu. Tetapi dia akan didakwa kerana tidak mungkin dua orang itu (Sukma dan Dr. Munawar) didakwa, tanpa mendakwa dia (Anwar) yang merupakan teman mereka.

Soalan: Berapa orang telah ditahan kerana membuat kacau-bilau malam Ahad lalu?

PM: Saya benar-benar tidak tahu. Mungkin 10..20 orang.

Soalan: Apakah orang asing terlibat dalam rusuhan?

PM: Saya diberitahu ada beberapa orang Indonesia, Pakistan dan Afghanistan, saya tidak tahu dari mana mereka datang.

Soalan: Reformasi Anwar, bagaimana kedudukannya sekarang?

PM: Tidak ada reformasi. Ini adalah satu muslihat. Dia tidak mahu orang fokus kepada perilakunya. Dia mahu orang cakap mengenai kepimpinannya. Itu yang direka-reka olehnya sendiri. Dia tahu akhirnya dia terpaksa dihadapkan ke mahkamah. Ini semua adalah tipu helahnya dia kata tidak lama lagi dia akan didakwa di mahkamah. Dia akan ditahan di bawah ISA. Oleh kerana mereka (pihak polis) tidak mengambil tindakan terhadapnya, maka dia telah reka situasi yang memaksa mereka menahannya di bawah ISA. Dia adalah seorang yang cerdik, operator yang cerdik.

Soalan: Apakah reformasi itu akan diteruskan?

PM: Saya tidak tahu. Jika dia adakan satu pergerakan reformasi yang benar, maksud saya dikendalikan secara sah, saya tidak lihat bagaimanapun kerajaan boleh menahannya.

Soalan: Sebagai PM dan Menteri Dalam Negeri, apakah pandangan Datuk Seri mengenai keadaan negara sekarang?

PM: Situasi dalam negara adalah masih stabil. Sebahagian besar daripada rakyat di negara ini tidak mahu melihat kejadian seperti ini di Malaysia. Kita tidak pergi menunjuk perasaan di jalan raya, keganasan. Itu sebablah kita sentiasa aman. Dan apa yang Anwar buat sekarang adalah satu perkara dia pernah buat sebelum ini. Dia sering menggunakan pelajar untuk memperjuangkannya. Dulu pun dia gunakan pelajar. Sekarang dia kembali jadi pemimpin pelajar. Kerana ia adakan golongan yang paling senang untuk dipengaruhi. Ramai yang menyertainya termasuk ahli-ahli Pas, dia (Pas) fikir itu adalah baik dan memberi faedah kepada mereka. Itu adalah gayanya, dia (Anwar) tahu memutar belit keadaan.

Soalan: Bagaimana dengan tuduhan rasuah terhadap Datuk Seri yang didakwa oleh Anwar?

PM: Saya akan memintanya membuktikan saya menerima rasuah. Dia boleh membuktikannya. Tetapi dia kena fikir kita juga ada banyak bukti mengenai kegiatan rasuahnya sendiri. Tetapi itu adalah satu isu yang lain dan saya tidak berminat dengannya. Saya berminat dengan isu ini (perlakuan salah laku seks Anwar) yang saya tidak boleh menerimanya.

Saya tidak boleh menerima seorang lelaki yang meliwat untuk menjadi pemimpin negara ini.

Soalan: Datuk Seri, sebelum ini ada beberapa tuduhan terhadap Anwar termasuk yang boleh mengancam keselamatan negara, apakah ia akan turut dibawa (dalam pertuduhan)?

PM: Ia adalah isu, seperti pihak polis berkata terdapat banyak dakwaan terhadap dia. Dia sendiri kata terdapat banyak tuduhan kini 10...12, dia tahu kerana dia telah melakukannya. Oleh itu dia tahu terhadap banyak tuduhan terhadapnya.

Soalan: Isteri Anwar mendakwa nyawa suaminya terancam kerana mungkin disuntik virus HIV?

PM: Dia seorang doktor. Jika disuntik dengan virus HIV, anda tiada bukti dijangkiti dengan virus itu hari ini. Mengambil masa yang agak lama sebelum seseorang itu menunjukkan tanda-tanda HIV.

Bila dia kata demikian, tujuannya untuk mendapatkan simpati dan kononnya polis adalah orang yang tidak baik.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia polis didakwa menyuntik orang dengan virus tersebut. Saya tidak tahu sama ada ini adalah pasukan polis baru yang kita ada. Tetapi pasukan polis yang kita ada sekarang tidak pernah buat demikian. Kenapa mereka harus bertindak seperti itu, sedangkan terdapat bukti mengenai perilakunya.

Soalan: Banyak lagi surat akuan ISA yang ditandatangani?

PM: Saya tidak terlibat dalam ISA tetapi polis boleh menahan seseorang di bawah ISA selama 60 hari, sebelum dilanjutkan tempoh. Di peringkat ini baru saya selalu diminta meneliti perkara itu. Sebelum itu saya tidak terlibat...

Saya patut melayan semua orang sama, saya tidak berat sebelah atau menentangnya.

Soalan: Anwar menggunakan orang ramai... dan mengatakan bahawa kerajaan tidak mengamalkan ciri keislaman yang cukup?

PM: Ya, tetapi apakah Islam bermaksud ia boleh meliwat. Itulah yang telah dibukti olehnya kepada saya. Kini terserah kepada dia membuktikan kepada kita bahawa dia tidak melakunnya. Tetapi sehingga sekarang saya berpendapat saya adalah seorang Islam yang lebih baik daripadanya.

Soalan: Datuk Seri telah menemuramah para saksi tersebut yang terlibat dalam kegiatan (perlakuan seks), di mana dan bila Datuk Seri berbuat demikian?

PM: Baru-baru ini. Sebelum saya memutuskan bahawa dia tidak lagi layak (menjadi pengganti), saya dengar daripada polis yang mengendalikan siasatan terhadapnya kerana dia buat laporan polis untuk mengharamkan buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Polis tidak boleh terus haramkan buku itu tanpa meneliti kandungan buku.

Mereka (polis) memberitahu saya bahawa 'dia telah membuat semua perkara tersebut'. Tetapi saya tidak boleh percaya polis begitu sahaja. Saya rasa perlu tanya kerana orang kata polis suka memaksa orang supaya mengaku. Oleh itu saya meminta saksi-saksi datang menemui saya. Saya menyoal mereka tanpa kehadiran polis.

Dalam dua kes, saya tidak meminta tetapi mereka yang meminta untuk bertemu saya. Mereka memberitahu saya dengan sukarela tanpa melibatkan polis. Apa yang mereka beritahu saya, membuktikan apa yang orang lain nyatakan (sebelum itu). Dan saya terpaksa percaya bahawa kebenaran dalam dakwaan yang dibuat terhadapnya.

Soalan: Ada dakwaan pada Jun lalu, kenapa siasatan tidak dibuat ketika itu?

PM: Menurut polis, Anwar menggunakan pengaruhnya supaya polis menahan dua saksi yang membuat dakwaan dan memaksa mereka menarik balik kenyataan. Polis kemudian memaklumkan bahawa mereka telah menarik balik kenyataan kerana tidak jelas. Saya fikir kes itu ditutup.

Soalan: Dr. Wan Azizah akan turut ditahan?

PM: Dia telah membuat beberapa kenyataan terhadap polis yang merupakan hasutan, saya tidak tahu sama ada terdapat kes atau tidak terhadapnya. Saya tidak mahu buat apa-apa terhadapnya kerana saya berpendapat dia tidak bersalah untuk diseret sama. Saya puji kesetiaan Azizah terhadap suaminya. Kami pernah menjadi kawan rapat sebelum ini, tetapi saya tidak fikir isteri tidak menyebelahi suaminya.

Soalan: Apakah langkah yang perlu diambil terhadap Dr. Wan Azizah mengenai reformasi serta meminta Datuk Seri meletakkan jawatan?

PM: Perjuangan reformasi itu adalah haknya tetapi bertindak dengan keganasan dan mengadakan perhimpunan tanpa kebenaran adalah tidak betul. Semua bergantung kepada apa yang ditutur, mengikut peruntukan perundangan.

Soalan: Apakah Datuk Seri akan mengisytiharkan darurat?

PM: Tidak perlu. Memang ada sekumpulan masyarakat yang mengikuti perjuangannya. Tetapi sebahagian besar daripada 22 juta penduduk negara ini masih gembira. Walaupun ada demonstrasi, berpuluh ribu penduduk lagi berada di stadium (di Bukit Jalil), ber gembira menyanyikan lagu Jalur Gemilang. Tidak perlu darurat.

Soalan: (tidak jelas)

PM: Bagi pihak berkuasa, mereka mempunyai bukti yang lain tetapi saya belum jumpa Munawar dan Sukma. Saya tidak jumpa mereka. Tetapi ingin saya tegas bahawa ketika polis hendak soal siasat Sukma sebelum Anwar dipecat, Anwar campur tangan. Polis hendak tahannya untuk soal-siasat. Anwar membantahnya dan datang jumpa saya dan berkata itu tidak betul kerana ia adalah ahli keluarganya, dia adalah adiknya. Dia tidak memberitahu bahawa dia hanyalah adik angkatnya. Dia kata adiknya yang akan ditahan untuk soal siasat dan memohon pada saya supaya beritahu polis jangan buat demikian. Saya memohon polis. Katanya, saya jangan layan keluarganya sebagai penjenayah. Polis mempunyai sebab untuk soal siasat Sukma. Setelah Anwar dipecat, siasatan diteruskan.

Soalan: (tidak jelas)

PM: Parti tidak membuat keputusan berdasarkan keputusan mahkamah. Parti selalunya bertindak terhadap sesiapa yang memberi sebarang prasangka. Kita meminta dia meletakkan jawatan. Dia diberi peluang untuk membela dirinya. Berbanding dengan yang lain yang tidak pernah diberi peluang seperti Anwar. Ahli-ahli MT telah memberitahunya supaya letak jawatan tetapi enggan maka MT memutuskan untuk memecatnya.

Soalan: (tidak jelas)

PM: Imej baik negara ini telah tercemar dengan tindakannya. Beliau patut menyerahkan kepada mahkamah. Tetapi dia memutuskan bertindak liar.

Soalan: Krisis dan cabaran terhadap Datuk Seri?

PM: Saya pernah ada cabaran sebelum ini dan ini bukan satu krisis bagi saya. Saya berpendapat kita akan kembali kukuh kerana kita sentiasa pegang kepada kebenaran. Malah para penyokongnya sendiri akan sedar.

Soalan: Apakah kerajaan akan memberi penerangan kepada rakyat?

PM: Ya kita akan memberitahu rakyat kebenarannya supaya mereka tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Soalan: Dalam usaha untuk memberitahu kebenaran Anwar perlu didakwa segera?

PM: Itu bukan saya tentukan. Serahkan kepada pihak pendakwaraya dan polis. Mereka sendiri yang dituduh 'Mossad' tetapi mereka tidak terpengaruh dengannya. Cuma mereka perlu sedikit masa.

Soalan: Ada dakwaan dua lelaki yang mengaku diliwat Anwar diberi dadah ?

PM: Bukan mudah nak bagi dadah... nak paksa orang mengaku di mahkamah dan bagi kenyataan... Orang yang ambil dadah selalunya mengantuk.

Soalan: Datuk Seri Anwar kata dia akan mendedahkan kegiatan kalangan ahli-ahli politik negara ini.

PM: Tolonglah dedahkan. Mungkin dia akan mendakwa saya terlibat dengan perempuan lain.

Soalan: Bagaimana pula dengan dasar kewangan dan ekonomi negara?

PM: Kita mampu mengendalikan krisis ekonomi dengan lebih baik berbanding dengan negara lain. Ia tidak terdedah kepada tekanan luar. Walaupun kita ada masalah tetapi pasaran saham tidak jatuh. Kita telah mengambil tindakan dengan segera. Jika tidak para ahli pelabur akan hilang keyakinan dan ini boleh menjatuhkan lagi nilai mata wang.

Masyarakat negara ini tahu situasi sebenarnya dan yakin kemampuan kerajaan.

Soalan: Apakah pelantikan perunding asing bagi kerajaan telah memberi sebarang kesan dalam ekonomi?

PM: Kita berminat dengan pelaburan luar negara dan bagi mereka yang berminat menyimpan dalam dana di sini, keputusan mereka mungkin dipengaruhi dengan laporan media mengenai saya menjadi 'diktator'.

Soalan: Mengapa masyarakat umum takut untuk menyuarakan pandangan mereka?

PM: Yakah? Apabila anda masuk dalam teksi dan tanya pemandu teksi dan mereka katakan macam-macam perkara yang buruk pasal kita .. itulah yang saya diberitahu cara kamu (wartawan asing) memetik sumber.

Orang tanya macam mana dapat maklumat itu? Sumber... Siapa sumber? Jika masyarakat tidak cakap, mana dapat maklumat tersebut. Sudah pasti anda tanya ahli-ahli parti pembangkang. Kerana di situlah anda dapat jawapan yang negatif. Malaysia tidak mungkin maju kerana ia adalah sebuah negara Asia - negara rasuah. Itulah anggapan biasa.

Soalan: Anwar kata tidak ada kebebasan akhbar dan bersuara.

PM: Itu tidak benar, di mahkamah ada kebebasan. Malah mahkamah Malaysia sendiri pernah mengeluarkan perintah mengharamkan UMNO, parti kerajaan yang memerintah.

Tidak ada sejarah di dunia, mahkamah telah mengeluarkan perintah sebegitu.

Soalan: Apakah Datuk Seri akan mengadakan pilihan raya umum selepas kejayaan Sukan Komanwel?

PM: Kejayaan Sukan Komanwel membuktikan bahawa kerajaan adalah popular. Kita akan biarkan kamu semua membuat spekulasi bila pilihan raya umum.