Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

 

     

KARYA PELAJAR

::Sajak ::Syair ::Pantun ::Cerita ::Lawak Jenaka :: Kartun

* Para pelajar dijemput untuk menghantar karya untuk disiarkan dialamat e-mel dam_8858@yahoo.com. Semua karya hendaklah hasil ciptaan sendiri dan akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan.

 

 

Sajak

 

Guru

 

Ada seorang insan...

melihat kita resah

dia turut gelisah

melihat kita menangis

dia turut bersedih

melihat kita ketawa...

dia menjadi gusar

risau kita alpa

dalam keseronokan sementara

 

Ada seorang insan....,

bicara lembut menghias kata

tuturnya berhikmah dan penuh makna

senyum manisnya penenang jiwa

murni kasihnya...,

semurni kasih bonda,

 

Ada seorang insan...,

berdiri bercekak pinggang

disamping tangannya memegang rotan

cuba menghalang anak-anak

merosakkan diri dan masa depan

 

Insan itu...,

ajarannya tidak mengira masa

tak mengenal erti putus asa

 

Insan itu...,

kelembutannya sentiasa berpada

ketegasannya beraruskan masa

marahnya kerana terpaksa

 

Insan itu..., seorang guru yang berjasa.

 

Hasil karya,

Effa Izzati Mahmun, 5KA2, 2002

 

Pengorbananmu Guru

 

Ibarat air menitis batuan,

kau tak jemu berjuang,

menyedarkan anak bangsamu yang lena,

memahatkan keazaman yang kental,

agar terbakar semangat yang beku,

agar tergembleng tenaga yang satu,

demi keunggulan anak watan tercinta.

 

Lihatlah buana,

betapa tabah dan tulusnya hati wira ini,

yang tak tahu berputus asa,

berusaha dan terus berusaha,

dialah insan berkarisma yanh bisa mengejar dunia,

dialah insan agung penyambung ilmu zaman berzaman,

dialah pendita pencelik insan yang buta.

 

Ayuhai guruku,

dirimu disaluti azimat berkilau,

yang tiada tolak tandingnya,

sinarnya cemerlang ibarat mentari pagi,

berbekalkan azimat itu,

kau jelajahi segenap segenap sudut dunia,

demi menyampaikan amanat,

buat mereka yang mendambakan,

dengan hasrat murni yang berkobar,

kau tak kenal erti gentar,

walau nyawa terpaksa kau taruh,

walau harta terpaksa kau gadai,

kau rela menghambakan diri,

demi kepentingan anak-anak didikmu.

 

Guru,

hadirmu membawa sejuta rahmat,

kesucian roh jasadmu bisa menggamit,

insan buta mengenal nur Ilahi,

 

Pada hari bersejarah ini,

ingin aku abdikan,

setitip kata,

yang lahir dari suduthatiku,

nian besar jasamu,

wahai guruku sayang.

 

Hasil Karya,

Nornadia Abd. Majid, 5KA7, 2002.

Di Sebalik Senyuman Guru

 

Di sebalik senyuman mekar yang indah

tersembunyi satu rahsia, cerita lara

anak remaja yang tandus

kontang tanpa mtlamat hidup.

 

Di sebalik senyuman itu jugalah tersembunyi

kekuatan membina semangat diri

yang menjadi kualiti, senjata yang agung dalam dirimu

tangisan sebak kau simpulkan dihati

kerana kau tetap guruku.

 

Guru,

tatakala mata hati kita tertutup

mencari keseronokan tanpa batasan

akhirnya kami tersungkur

namun, kau tetap membangkitkan kembali.

 

Guru,

semegah raut wajahmu,

dipintal-pintalnya benih harapan

dikait-kaitnya benih kasih sayang

untuk menyelimuti diri yang kosong sepi

 

SM,

laungan ajaib yang sering kau ingatkan

menyerap ke pangkal rasa

mendidik.... kemuncak sinar al-falah,

membangkitkan semangatku,

menangkis sedar didada

 

Guru,

tiada madah yang seindah pelana

dapatku coretkan lagi,

kerna pengorbananmu tinggi nilainya,

dirimu umpama tonggak inspirasiku

moga jasamu dipandang mulia.

 

Hasil karya,

Aisha Ibrahim, 5KA3, 2002.

 

 

 

 

Syair

 

Syair Guru

 

Doa dipohon hidup selamat,

Hidup berjasa pingat tersemat,

Ilmu dijunjung guru dihormat,

Sentiasa cemerlang penuh berkat.

 

Sungguh indah sang mentari,

Warnanya cantik berseri-seri,

Arahan guru jangan diingkari,

Kelak hidup tak bererti.

 

Kulihat lilin sering menerangi,

Sanggup membakar diri sendiri,

Itulah dia insan mithali,

Seorang guru yang amat dihormati.

 

Umpama bonda dan ayahanda,

Dikau curahkan ilmu di dada,

Anakmu sentiasa mengenang jasa,

Terima kasih atas segalanya.

 

Wahai anak muda bangsawan,

Pengajaran gurumu jangan dilawan,

Peliharalah dari ribut dan taufan,

Takut menyesal hari kemudian.

 

Apa guna pasang pelita,

Kalau tidak dengan sumbunya,

Apa guna memasang cita,

Kalau tidak dengan sungguhnya.

 

Hasil Nukilan,

Pelajar-pelajar 5KA1, 2002

 

 

 

 

Web Master: Diens

E-Mail: dam_8858@yahoo.com

Hakcipta Terpelihara (c) SMTMS 2003