Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

~Cerpen Titisan Terakhir~

Titisan Terakhir

Di sebuah bilik khas, kelihatan Shiela sedang tunak memainkan sebuah melodi romantik dengan piano kepunyaan guru pianonya itu. Dia mengukir senyuman puas dan bangga setiap kali jari-jemarinya mencecah kekunci piano itu. Sesekali matanya melirik ke arah senaskhah buku not lagu yang terpelahang di hadapannya dengan pandangan ekor matanya.

Di suatu penjuru bilik yang berhawa dingin dan tenang itu, kelihatan seorang lelaki tampan berusia awal 30-an sedang tersengih-sengih memerhatikan anak muridnya itu bermain piano. Tiba-tiba, lelaki itu bersuara lembut dalam nada perintah, “ Cukuplah setakat itu, Shiela. Saya tengok tangan awak tu macam dah letih aje. Awak boleh balik sekarang.”

Bilik yang berbentuk segiempat yang tadinya dibuai-buai suara piano itu kini menjadi sunyi-sepi seolah-olah sudah lena dibuai melodi romantik yang didendangkan oleh Shiela.

Shiela tersenyum. “ Macam mana, cikgu? Okey tak?” tanyanya, masih tidak berganjak walau sepicing pun dari bangku di hadapan piano bercat hitam itu.

Tengku Shahril melipat kedua belah tangannya lalu menekapkannya ke dadanya yang bidang itu. Senyuman puas hati segera dilemparkannya. “ Lebih dari bagus, Shiela. Awak memang berbakat. Betul ramalan cikgu bila pertama kali awak belajar dengan saya semasa awak di tingkatan dua dulu.”

Bibir merah Shiela tidak henti-henti mencorak senyum. “ Alah, cikgu takkan tak tahu yang saya ni memang minat betul main piano ni! Saya sanggup merayu kat ayah dan mak saya untuk belajar piano dari cikgu, tau!”

Tengku Shahril hanya ketawa kecil melihatkan reaksi pelajar kesayangannya itu. “ Ha, sudahlah tu. Baik awak balik sekarang sebelum ayah dengan mak awak risau tak pasal-pasal!” ujarnya lalu beredar dari bilik itu.

Tanpa melengahkan masa, gadis manis berusia 17 tahun itu segera memasukkan buku not lagu yang diberikan oleh Tengku Shahril itu ke dalam beg galas hitamnya yang berjenama lalu melangkah keluar dari bilik itu menuju ke ruang tamu.

Sheila hanya tersenyum mememerhatikan Tengku Shahril sedang duduk termenung di atas sofa biru laut sebaik sahaja dia tiba di ruang tamu yang kelihatan agak mewah itu. Tengku Shahril langsung tidak menyedari akan kehadirannya. Dia sedang asyik menghayati lagu ‘Right Here Waiting’ oleh Richard Marx yang berkumandang mendayu-dayu di corong hi-fi miliknya itu. Sesekali dia tersenyum-senyum sendirian seolah-olah suatu peristiwa lucu sedang menggeletek mindanya.

Shiela cuba menahan dirinya dari ketawa namun terburai juga derai tawanya.

Lamunan Tengku Shahril kelihatan terganggu. Dia menegakkan tubuhnya yang tegap itu dengan terpinga-pinga.

“ Cikgu Tengku Shah tengah termenungkan siapa tu?” Sheila menghadang mulutnya dengan telapak tangannya sambil ketawa. “ Termenungkan girlfriend ye?” usiknya, nakal.

Wajah lelaki yang cerah dan menawan itu kelihatan tersipu-sipu. “ Tak adalah, Shiela.”

“ Alah, cikgu ni handsome, takkan tak ada girlfriend lagi sampai sekarang!” Shiela terus mengusik cikgu kesayangannya itu.

“ Alah bukannya apa, Ila! Cikgu kamu ni pemalu sangat orangnya. Muka je handsome, tapi dengan perempuan, ha, malu melebih!” Tiba-tiba seorang wanita yang bertubuh agak gempal dan berwajah manis yang berusia kira-kira lewat 30-an menyapa, mula menghampiri Shiela dari dapur.

Shiela hanya ketawa mendengarkan kata, Tengku Shahrina, kakak kepada guru pianonya itu. “ Apalah cikgu ni! Tapi kalau cikgu dah ada girlfriend, jangan lupa kenalkan pada saya, ya!”

“ Hah, apa-apalah, Shiela.” Tengku Shahril hanya mengeleng-gelengkan kepalanya. Sesekali rambut hitamnya yang lurus dan kemas itu menari-nari oleh gelengannya itu.

Tengku Shahrina hanya tersenyum mengusik. Janda itu segera menyapakan tangannya ke bahu Shiela dengan lembut. “ Kamu dah nak balik, Ila?”

“ Yelah, Kak Tengku. Dah lewat ni. Itupun kawan saya, Laura tengah tunggu saya di luar tu.” Shiela segera menjuihkan bibirnya ke arah sahabat karibnya yang kelihatan setia menanti di luar pagar melalui jendela yang terbuka luas di pinggir ruang tamu itu.

“ Alah, duduklah lagi beberapa minit. Ajak kawan kamu tu sekali. Lagipun, Kak Tengku ada buat kuih karipap.” Janda yang sudah bercerai dengan suaminya beberapa tahun dahulu itu seakan mendesak. Walaupun dia tidak mempunyai anak, dia menganggap Shiela dan semua anak murid adiknya itu bagai anak kandungnya sendiri.

“ Ila memang nak sangat rasa kuih karipap Kak Tengku tapi Ila kena attend tuition lepas ni. Nanti terlewat pulak. Sorrylah, Kak Tengku. Lain kali saya akan rasa juga cuma Kak Tengku mesti simpankan sekeping dua karipap untuk saya, ya!” ujar Shiela, manja.

“ Ha… betul tu, kak. Janganlah paksa dia. Kesian dia saya tengok.” Tengku Shahril mencelah seraya tersenyum.

“ Eh, bila masa pulak akak paksa dia? Pandai-pandai aje budak sorang ni! Kau tu umur pun dah meningkat tapi tak kahwin-kahwin lagi!” leter Tengku Shahrina, tidak ubah bagai seorang ibu yang sedang meleteri anaknya.

“ Yelah, yelah, whatever. Shiela, baik kamu balik dulu. Kamu mesti takkan tahan dengar Kak Tengku kamu ni berleter.” Tengku Shahril mengelengkan kepalanya lalu menarik nafas, acuh tak acuh. Tengku Shahrina hanya mencebikkan bibirnya ke arah satu-satunya saudaranya itu.

Shiela hanya tersenyum dengan gelagat dua-beradik itu. Setelah mencium tangan Tengku Shahrina dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka, dia segera mengatur langkah keluar dari rumah banglo dua tingkat itu dan menuju ke arah Laura yang masih tercegat di luar pagar rumah itu.

“ Hei, why are you late?” risik gadis berbangsa Cina itu sebaik sahaja kedua sahabat akrab itu mula berjalan bersaing-saing.

Sorry, Laura. Kak Tengku Shahrina tu ha, dia ingat nak jamah kita berdua makan karipap yang dia buat tu tapi aku terpaksa tolak.” Ujar Shiela sambil memandang teman sebayanya itu sekilas lalu.

What? Dia ajak aku sekali?” Mata sepet gadis berkulit cerah itu segera membulat. “ Hish, kenapa kau tolak? Kau tahu tak? Inilah masanya aku berkenalan dengan Tengku Shahril yang handsome tu!” Laura mengukir senyuman angan-angan. Wajah Tengku Shahril yang kacak dan sering tersenyum itu terbayang-bayang di ruang matanya secara mendadak.

You are so funny, Laura!” Shiela ketawa kecil seraya pandangannya sedang sibuk memerhatikan beberapa ekor anak kucing yang comel sedang leka mengejar seekor rerama di kawasan salah sebuah rumah teres yang dilintasi mereka. “ I got tuition remember? Kalau kau nak sangat berkenalan dengan cikgu piano aku tu, pergilah belajar main piano dari dia!” usul Shiela, tersenyum. Dia sememangnya sudah tahu bahawa Tengku Shahril yang berwajah kacak, gentleman, berbadan sasa, mahir bermain piano dan baik hati itu sering menjadi pusat perhatian ramai gadis termasuklah dari kalangan anak muridnya sendiri. Malah, sahabat-sahabat perempuan Shiela turut tergilakan gurunya yang masih berstatus bujang itu—Laura turut tidak terkecuali.

“ Alah, aku mana minat main piano! Tapi, satu-satunya peluang untuk aku selalu tengok dia ialah dengan….”

I know. Kau jemput aku dari rumah Cikgu Tengku Shahril setiap hari sebab kau nak tengok dia kan?” Shiela menyampuk seraya menggelengkan kepala.

“ Hmm… tahu pun! Tak sia-sia kau jadi bestfriend aku!” Laura tersenyum lebar lalu meletakkan lengannya di sekeliling leherku. Dia berjalan pantas dan riang.

“ Tapi kan, Cikgu Shahril tu aku tengok perangai dia lain benar kebelakangan ni.” Shiela mengungkit setelah sekian lama mereka membisu.

What do you mean, Ila?” tanya Laura, ingin tahu. Sesekali dia cuba mengetatkan ikatan rambut perangnya yang diikat bagai ekor kuda itu. Bayu petang terasa bertiup dengan nyaman dan dingin. Cahaya sang mentari pula dilindungi oleh awan-gemawan kelabu yang tebal.

Shiela menyorongkan pandangannya ke angkasa raya yang berwajah muram itu. Dia menghela nafas. “ Entahlah, Laura. Sejak kebelakangan ini, Cikgu Shahril tu selalu mengelamun, termenung entah ke mana and sometimes aku nampak dia tersenyum-senyum seorang diri tau! Hish… tegak bulu roma aku dibuatnya!”

Laura seakan tidak percaya. Dia merenung Shiela lama-lama seolah-olah cuba mencari kepastian. “ Biar betul, Ila? Aku tengok dia normal aje! Hish, mustahil dia gila! Janganlah Tuhan bagi orang handsome macam dia tu gila!”

“ Hish, kau ni, Laura! Aku tak kata pun dia gila cuma aku pelik aje dengan perangai dia yang tak macam biasa tu! Dulu, dia jarang mengelamun, apatah lagi tersenyum sendiri. Tapi sekarang… tak tahulah.” Shiela menjungkit bahu. Dia sudah masak benar dengan perangai guru pianonya itu setelah hampir lima tahun dia belajar bermain piano darinya. Ketika dia pertama kali menghadiri kelas piano Tengku Shahril ketika berusia 14 tahun atas dasar minat yang mendalam, dia benar-benar kagum dan terpempan akan kemahiran gurunya itu bermain piano. Beliau begitu asyik menghayati melodi yang didendangkannya ditambah pula dengan kekacakan paras rupanya, beliau mampu menggetarkan dan mencairkan hati setiap kaum Hawa. Begitulah yang dirasainya sejak pertama kali bertemu namun lama-kelamaan, dia sedar, Tengku Shahril hanyalah salah daripada guru-guru yang amat disayanginya dan dihormatinya. Beliau seorang yang baik hati, berdedikasi dan agak serius orangnya.

Namun entah mengapa beliau banyak termenung dan mengelamun kebelakangan ini seperti yang terjadi sewaktu dia mendapati gurunya itu sedang duduk termenung di ruang tamu rumahnya sewaktu dia meminta izin untuk pulang tadi. Entah-entah…. “ Eh, entah-entah, dia dah jumpa perempuan yang dia berkenan, kot! Maybe he’s in love!” Dia hampir berbisik.

Laura mengerutkan dahi putih licinnya. “ Ila! Don’t talk nonsense!”

Hey, who knows?” Sengihan Shiela jelas memperlihatkan susunan gigi putihnya yang berbaris cantik. “ I mean, lelaki handsome macam dia, takkan tak ada girlfriend?”

Wajah Laura yang riang berseri-seri tadi tiba-tiba sahaja dicemari masam mencuka. “ Ila, kau ni memang sengaja aje nak sakitkan hati aku! Mentang-mentanglah Tengku Shahril tu cikgu piano kau dan kau asyik berbual dengan dia, kau pun rupanya dah ada hati kat dia! Agaknya kau saja nak buat aku jealous!” Laura melipat kedua belah tangannya.

“ Hei, what are you talking about? Aku mana ada hati kat dia. Dia tu hanya cikgu piano aku saja.” Tegas Shiela dengan jujur. “ Lagipun, kita ni 17 tahun, masih mentah lagi kalau nak dibandingkan dengan dia yang sudah hampir 31 tahun!”

“ Ah, aku tak kisah! Dia tu handsome sangat macam Fernando Jose dalam cerita ‘Rosalinda’ tu! Kebetulan, dia pun pandai main piano jugak!” Laura melakar senyuman manis.
Titisan Terakhir

“ Cikgu Tengku Shahril tu Fernando Jose punya Malaysian-version!” Shiela dan Laura akhirnya ketawa mengekek seraya terus melangkah menyusuri kawasan perumahan yang tenang dan damai itu menuju ke rumah masing-masing berpayungkan langit yang kian diselimuti kemurungan.

*****

“ Ah, this is life!” Laura hampir berteriak seraya menghirup jus orennnya dengan riang. Dia menyandarkan tubuhnya ke kusyen empuk berwarna merah hati itu dengan tenang.

Shiela hanya tersenyum memerhatikan gelagat sahabat karibnya itu. Telinganya sedang enak mendengar lagu-lagu popular luar negara yang merdu yang sedang berkumandang dari speaker kafe ‘Fairy’s Bell’ itu.

Pada hari Ahad yang cerah itu, ternyata begitu ramai pemuda-pemudi sedang makan sambil berbual di kafe yang masyhur dikalangan remaja di situ. Kelihatan juga beberapa pasangan muda yang nampak begitu intim dan mesra menjamah makanan bersama-sama.

Enjoy tu, enjoy juga, Laura. Study jangan lupa! SPM dah nak dekat ni!” pesan Shiela, tersenyum, lalu menikmati jus orennya yang masih dingin dengan beberapa ketul ais terkapai-kapai di permukaan air jingga itu.

Whatever. Takkan nak study all the time. Sesekali apa salahnya enjoy.” Laura menghela nafas sambil pandangannya begitu asyik memerhatikan beberapa anak muda belasan tahun sedang bergurau-senda sesama sendiri tidak jauh dari tempat mereka.

“ Hmm… yalah tu, Laura.” Shiela terasa malas ingin berdebat dengan satu-satunya sahabat yang paling rapat dengannya itu. Shiela sudah kenal benar dengan tabiat Laura yang ingin sentiasa menang itu. Pada pandangannya, Laura memang sesuai sekali menjadi seorang peguam.

Dia dan Laura sudah sememangnya serasi dengan satu sama lain sejak pertama kali bertemu ketika mereka baru menanjak usia 13 tahun. Walaupun berlainan bangsa, itu tidak menjadi batu penghalang bagi mereka untuk menjalinkan tali persahabatan yang erat. Bagi Shiela sendiri, persahabatan tidak pernah mengukur akan warna kulit atau bangsa seseorang itu tetapi hanyalah dengan keikhlasan hati.

“ Eh, Ila! I—Itu… Cikgu Tengku Shahril, kan?” Awan lamunan Shiela berarak pergi secara mendadak. Matanya terkebil-kebil memandang Laura yang duduk di hadapannya. “ A—Apa dia, Laura?”

“ Tu ha… cuba tengok belakang kau.” Laura menjuihkan bibirnya. Mata perangnya tidak berkelip memerhatikan seseorang di belakang Shiela.

Shiela menolehkan kepalanya dengan spontan lalu mengamati seorang jejaka berkulit cerah seakan ‘Mat Saleh’ dan berwajah tampan serta berpakaian segak sedang ketawa bersama seorang wanita berkulit kuning langsat yang jelita yang duduk di hadapannya. Mereka bagai pasangan yang bahagia dan bagai pinang dibelah dua. Pasangan itu begitu leka bergurau-senda hingga tidak menyedari akan kedua sahabat karib yang sedang memerhatikan mereka beberapa meter saja dari meja mereka.

Oh my! Itu betul-betul Cikgu Tengkulah!” Shiela terlongo memandang pasangan itu.

Laura pula hanya mengerling tajam ke arah wanita misteri yang berada di samping Tengku Shahril itu. “ Memanglah dia! Siapa pula perempuan menggatal tu? Takkanlah girlfriend dia!”

“ Eh, boleh jadi juga perempuan tu girlfriend Cikgu Tengku!” kata Shiela. Sebelum sempat dia menolehkan kembali pandangannya ke arah Laura, tanpa disangka, pandangan Tengku Shahril terpanah ke arahnya. Tengku Shahril melontar senyuman lebar lalu melambai-lambaikan tangannya ke arah mereka.

“ Eh, Laura! Cikgu Tengku Shahril panggil kitalah! Jom!” Shiela membalas senyuman gurunya itu lalu bingkas bangkit dari kerusi. Dia segera menghela lengan Laura dan menuju ke meja pasangan itu bersama Laura yang hanya bena tak bena.

“ Assalamualaikum, cikgu!” sapa Shiela dengan senyuman ramah yang tidak lekang dari bibirnya sebaik sahaja mereka tiba di meja pasangan itu.

“ Waalaikumussalam, Ila! Ini ke bestfriend Ila yang selalu tunggu Ila di luar rumah saya tu?” tanya Tengku Shahril, tersenyum.

“ Ya, cikgu. Ini Laura.” Shiela memperkenalkan Laura yang hanya mampu tersenyum tersipu-sipu.

Tengku Shahril membalas senyumannya hingga wajah putih Laura bertukar merah jambu dibuatnya.

“ Eh, ini siapa, cikgu? Oh… girlfriend cikgu ye?” usik Shiela seraya membalas senyuman ramah wanita jelita berambut ikal mayang yang duduk menghadap guru pianonya itu.

Guru piano yang pernah menjadi guru Bahasa Inggeris di sekolah Shiela itu hanya tersengih-sengih lalu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “ Er… ya, Ila. Namanya Rosmawarni.” Jari-jemari gagah lelakinya menggenggam jemari halus wanita itu dengan erat, seolah-olah tidak mahu dilepaskannya buat selama-lamanya. “ Ros, inilah anak murid kesayangan I. Shiela namanya.”

Shiela hanya tersenyum mengusik manakala bibir Laura pula melukis senyuman paling tawarnya.

*****

Setelah tamat waktu persekolahannya pada tengahari itu, Shiela terus berjalan kaki menuju ke rumah banglo berbumbung biru milik Tengku Shahril itu seperti hari-hari biasa. Cahaya mentari yang begitu terik dan menyilaukan langsung tidak diendahkannya di sepanjang perjalanan. Minatnya yang mendalam untuk menjadi seorang pemain piano yang hebat sedari kecil mengatasi segala-galanya. Dia begitu bertuah mempunyai seorang guru piano yang benar-benar berdedikasi dan sentiasa menjadi pendorongnya itu.

Dia segera teringat akan kata-kata Tengku Shahril semalam setelah dia mengusik gurunya itu yang sedang mengelamun sembari menghayati lagu ‘Right Here Waiting’ oleh Richard Marx di ruang tamu. Gurunya itu hanya tersengih mendengar usikannya yang bersahaja itu namun tiba-tiba sahaja dia bersuara dengan nada serius, “ Ila, cikgu ingat cikgu nak ajar kamu mainkan lagu ‘Right Here Waiting’ dengan piano. Kamu nak tak? Bolehlah ya?”

Shiela pada mulanya agak terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Entah kenapa lelaki itu seakan-akan mendesak dirinya untuk memainkan melodi romantik ‘Right Here Waiting’ itu. Dia tidak dapat menafikan bahawa dia memang amat meminati lagu romantik yang menenangkan jiwa itu. Namun, dia teragak-agak untuk mempelajarinya kerana setahunya, lagu romantik seperti itu agak sukar didendangkan. Tetapi, akhirnya, dia akur juga dengan cadangan guru piano kesayangannya itu.

“ Kamu dah ready, Ila?” suara lembut Tengku Shahril sudah mampu membuatkan Shiela yang sedang tercatuk di tepi piano itu tersentak. Dia segera mengangguk perlahan.

Tengku Shahril tersenyum. “ Baiklah. Listen carefully, okay?” Bilik itu yang tadinya dilanda keheningan yang membosankan tiba-tiba dikejutkan dan dibuaikan oleh suara piano menyanyi mendayu-dayu hasil dendangan Tengku Shahril. Tanpa menjeling walau sedikitpun ke arah buku not lagu yang berada di hadapan matanya, jari-jemarinya rancak menekan kunci-kunci piano dengan begitu asyik. Suara piano itu mendendangkan lagu ‘Right Here Waiting’ mendamaikan suasana dan melembutkan jiwa setiap pendengarnya. Ketenangan dan kelembutannya memang sukar untuk dibayangkan…sehinggalah jari-jemari lelaki itu berhenti dan bibirnya mencipta senyuman. “ Macam mana, Ila? Boleh mainkan macam cikgu tak?”

Shiela kelihatan teragak-agak untuk menyahutnya. “ Entahlah cikgu. Ila tak sure. Cikgu lebih pandai main piano daripada Ila. It looks difficult to play the song.”

Tengku Shahril hanya tersenyum. “ Just believe in yourself. Cikgu tahu kamu akan dapat memainkan lagu yang special bagi cikgu ni dengan baik.” Dia meluahkan kata-kata perangsangnya dengan senyuman yang berbunga harapan menggunung.

Shiela benar-benar kurang mengerti akan Tengku Shahril yang begitu bersungguh-sungguh ingin mengajarnya memainkan lagu balada itu dengan piano. Setahunya, beliau tidak pernah kelihatan begitu bersungguh-sungguh hingga mendesak dirinya untuk mempelajarinya sehinggalah sekarang. Mengapa agaknya? Fikiran Shiela menerawang dengan pelbagai persoalan ketika dia cuba memainkan lagu itu dengan diajar oleh guru pianonya itu.

Dia cuba menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang diajar oleh guru yang paling disanjunginya itu. Berbekalkan keazaman yang tinggi dan minat yang mendalam, dia menempuh hari-hari bersama guru pianonya itu dengan tekad dan kesabaran. Sudah beberapa kali dia ditegur kerana jemarinya tersasul menari di atas kunci yang lain dan sudah beberapa kali juga dia tersalah tafsir akan not-not lagu yang terpapar di helaian buku not lagu di hadapannya itu.

Namun, jari-jemarinya yang halus terus melangkah ke kiri dan ke kanan di atas kekunci piano itu dengan keyakinan dan harapan yang tidak pernah rapuh….

*****

What? Cikgu Tengku Shah nak quit mengajar?” Pertanyaan Laura secara mendadak itu jelas menyerlahkan kekejutannya akan berita yang Shiela sampaikan kepadanya pada petang Khamis itu di padang.

Shiela mengangguk, lemah. “ Dia dah berhenti mengajar piano a few months ago. Aku pun hairan dibuatnya. Selama ini, dia memang enjoy mengajar piano tapi entah kenapa kebelakangan ni dia asyik muram aje. Bila aku tanya dia what’s wrong, dia kata tak ada apa-apa.”

Laura segera mencecahkan punggungnya di bangku di sebelah sahabatnya itu. Dahinya berkerut-kerut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang dahsyat. “ Eh, kenapa ni? Kalau macam ni, tak ada chancelah aku nak tengok dia!”

“ Kau ni, Laura! Masih suka kat dia walaupun dia dah ada girlfriend! Kau tu lawa, cari jelah seorang boyfriend!” ujar Shiela dengan nada serius.

Laura mencebikkan bibirnya. “ Whatever. So, Cikgu Tengku kerja apa sekarang ni kalau dia dah tak mengajar?”

Shiela menarik nafas dalam-dalam lalu menghamburkan sebuah keluhan berat. “ Entahlah, Laura. Aku dah banyak kali pergi rumah dia kebelakangan ni, nak tahu apa yang dah terjadi tapi rumah dia kosong aje all the time.”

Laura bagai tersentak dari mimpi ngeri. “ He’s not moving, right?”

Shiela ketawa kecil. Sesekali rambut hitam panjang mengurainya disebakkan ke belakang. “ Of course he’s not! Aku nampak barang-barang dia still ada kat situ.”

“ Fuh, nasib baik!” Laura menghela nafas lega.

Shiela hanya tersenyum sinis. “ Anyway, aku rasa nak ke rumahnya hari ni. Dah berbulan-bulan aku tak tengok dia. Maybe dia dah ada kat rumah dia sekarang ni. I wonder how’s he doing.”

“ Hmm… rindulah tu!” perli Laura.

Shiela memandang Laura dengan ekor matanya. “ Jealous?”

*****

“ Assalamualaikum!” laung Shiela di luar pagar banglo dua tingkat yang agak mewah itu. Kelihatan sebuah kereta Mercedes Benz berwarna biru tua tersadai di halaman rumah. Shiela percaya kereta itu kepunyaan guru pianonya. Harapan yang layu berbunga kembali, membuahkan senyuman paling lebar di bibir nipisnya.

Beberapa minit kemudian, pagar automatik bercat biru itu mulai ternganga dengan perlahan-lahan, memberikan laluan untuk gadis manis itu memasuki ke pekarangan banglo itu.

Dia tersenyum memandang kawasan di hadapan pintu masuk banglo itu yang dicat serba biru, warna yang sentiasa menjadi kegemaran Tengku Shahril.

“ Waalaikumussalam, Ila! Masuklah.” Timbul wajah Tengku Shahrina yang kelihatan kepenatan tetapi mesra ketika daun pintu rumah diselak.

Shiela tersenyum. “ Hai, Kak Tengku.” Setelah membebaskan kakinya dari genggaman sepatunya, dia segera melangkahkan kaki ke ruang tamu.

“ Ila duduklah dulu. Biar Kak Tengku hidangkan air kopi….”

“ Eh, tak payahlah susah-susah, Kak Tengku. Ila nak jumpa Cikgu Shahril. Dia ada?” potong Shiela dengan lembut dan santun.

Shiela termangu-mangu melihat wajah Tengku Shahrina yang riang tadi tiba-tiba berubah ketara. “ Kak Tengku, something… wrong?”

“ Ikut akak.” Shiela kemudiannya membuntuti janda itu ke bilik Tengku Shahril. Persoalan-persoalan yang menari-menari di benaknya terpaksa dipendamkannya. Adakah ada sesuatu yang tidak kena?

Sebaik sahaja tiba di hadapan pintu teguh yang diperbuat dari kayu cengal itu, Tengku Shahrina berpaling ke arah bekas pelajar adiknya itu. Wajahnya sayu. “ Ila, sebenarnya, Cikgu Tengku Shahril telah… telah… diserang penyakit strok.”

Persoalan yang menari ghairah di halaman benak Shiela terjawab sudah. Mindanya tiba-tiba bagai berhenti berfungsi buat seketika. Dia tergamam, enggan percaya akan apa yang berlaku. “ What do you mean?”

That’s what I mean, Ila. Dia telah diserang penyakit strok. Selama ni, kami tiada di rumah disebabkan kami ke hospital untuk membuat rawatan itu dan ini. Tapi cikgu kau ni degil. Dia tak nak tinggal di hospital. Katanya, dia lebih suka tinggal di rumah. Pihak hospital tiada pilihan jadi dia dibenarkan tinggal di hospital dengan syarat dia ada seorang penjaga iaitu Kak Tengku sendiri.” Tengku Shahrina menjelaskan dengan perlahan-lahan dan sayu. “ Ila, masih lagi ingat girlfriend dia, Rosmawarni tu?”

Shiela mengangguk lesu. Entah mengapa kepalanya terasa berat.

“ Ros tu seorang gadis yang baik tapi dia telah meninggal dunia beberapa bulan yang lepas sebab menghidap kanser. Cikgu kau ni bukan mudah untuk terima hakikat. Dia asyik mengurung dirinya dalam bilik sendirian sambil main piano. Kemudian, dia buat keputusan untuk berhenti mengajar. Beberapa hari selepas itu, Kak Tengku bawa dia ke hospital sebab dia nampak kurang sihat, kemudian, dia disahkan menghidap strok…. Dia… dia ada peluang tipis untuk hidup, Ila.” Buat pertama kalinya Shiela melihat dengan mata sendiri akan wanita yang sentiasa ceria itu menangis teresak-esak, tanpa dapat dibendung lagi.

Shiela tergamam. Dia terkedu. Tidak pernah terlintas di fikirannya yang peristiwa malang sebegini akan menimpa guru piano yang amat dikasihinya itu. Namun, Tuhan yang menentukan dan tiada siapa yang mampu menduga apa yang akan berlaku seterusnya.

Tiba-tiba, dia mula dapat merasakan ada setitik dua air hangat mulai jatuh berguguran membasahi pipinya.

“ Ila, masuklah. Tengku Shah tu memang nak jumpa kamu. Cuma, janganlah menangis di hadapannya, ya?” pesan wanita itu seraya menyeka air matanya yang jatuh berderai-derai di pipinya yang lencun itu.

Shiela mengangguk lagi. Dia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Daun pintu itu diselaknya perlahan-lahan dan hati-hati.

“ Cikgu?” Bergetar suara Shiela sebaik sahaja pandangannya terjerumus ke arah seorang lelaki kacak sedang termenung di tepi jendela biliknya. Matanya jauh menerawang ke luar tingkap. Bagai ingin pengsan Shiela dibuatnya apabila memerhatikan lelaki yang dulunya bertubuh tegap itu kini betapa memerlukan dan bergantung kepada sebuah kerusi roda. “ Cikgu?” Dia mencuba segala kudratnya yang ada untuk membendung sebak yang memukul-mukul dadanya.

Wajah kacak itu berpaling spontan. Wajah yang masih menawan seperti dulu itu tersenyum. “ Shiela.”

Shiela cuba mengukir senyuman paling mesranya namun gagal. Ternyata hambar.

“ Mesti Ila terkejut cikgu tiba-tiba jadi macam ni kan?” Suaranya tenang. Pandangannya kembali dilemparkan ke langit mendung di luar jendela.

Shiela menangguk kecil. “ Kenapa cikgu jadi macam ni? Kenapa cikgu berhenti mengajar?”

Jejaka idaman kaum Hawa itu tersenyum lagi. “ Macam mana nak ajar dalam keadaan cikgu macam ni, Ila? Lagipun, ajal cikgu pun dah nak dekat. Tak lama lagi cikgu akan berada di samping Rosmawarni di alam yang lain.” Dia tersenyum tenang seolah-olah dia dapat melihat Rosmawarni sedang melambai-lambai ke arah dirinya dari alam yang lain.

“ Cikgu jangan cakap macam tu. You’re not going to die. Cikgu kena kuatkan semangat untuk hidup.” Kini giliran Shiela pula memberi perangsang dan kata-kata semangat kepada gurunya itu.

Tengku Shahril mengelengkan kepalanya, lemah dan perlahan. “ Entah kenapa cikgu rasa ajal cikgu semakin hampir, Ila.”

“ Cikgu….” Serentak dengan itu, setitik lagi air mata mengalir ke pipi Shiela. Dia tidak mampu lagi menangkis simbahan sebak yang kian mendesak. Dia menyentuh piano milik gurunya yang sedang berdiri megah di tengah bilik itu dengan kesayuan.

Tengku Shahril tiba-tiba menumpukan pandangan ke arah Shiela setelah kesepian menghambat ruang bilik itu buat beberapa ketika. “ Shiela, kamu nak tahu kenapa lagu ‘Right Here Waiting’ by Richard Marx tu begitu special bagi cikgu?”

Shiela merenung wajah pucat jejaka itu. Rambut lebatnya yang kelihatan keperangan sesekali dimain-mainkan bayu petang yang berpuput dari jendela yang terpelahang luas itu.

Hidung mancung jejaka itu menunduk lalu dia memandang bekas pelajarnya itu buat beberapa minit dan kembali melemparkan pandangannya jauh-jauh ke luar jendela. “ Lagu tu memang benar-benar special for me and Rosmawarni. Cikgu dah jatuh hati pada dia sejak pertama kali terpandangkannya. Kami bertemu di sebuah kafeteria dan berbual panjang. We have almost everything in common—including our tastes in music. Lagu ‘Right Here Waiting’ memang lagu kegemaran kami. Setiap kali kami keluar bersama, cikgu tak pernah lupa untuk pasangkan lagu tu. Pernah suatu hari cikgu mainkan lagu tu dengan piano, ditujukan khas untuknya di sebuah hotel. Dia betul-betul terharu dan gembira. Cikgu tak dapat bayangkan betapa gembiranya hati tidak terperi apabila dia gembira dan tersenyum selebar-lebarnya. Then I realise that I had fallen head-over-heels in love with her. Pertama kali cikgu benar-benar memahami apa erti cinta itu sebenarnya. It feels so good, Ila. It feels so good.”

Shiela hanya mendengar dengan tunak akan setiap apa yang diluahkan pemuda berbakat itu. Dia tersenyum. “ Rosmawarni… what a beautiful name.”

Yes, it is. Secantik orangnya.” Senyuman Tengku Shahril begitu menawan. “ Baru sekarang Ila tahu kenapa lagu tu begitu special bagi cikgu kan?”

Shiela mengangguk seraya tersenyum.

Let me tell you something, Ila. Being in love is absolutely the best feeling in the world!”

Suasana bilik itu tiba-tiba dihurungi keheningan kembali. Shiela sengaja membiarkan pemuda itu menjelajah lamunannya sepuas-puasnya.

“ Ila.” Suara lemah Tengku Shahril tiba-tiba menerjah ke gegendang telinga seketika kemudian. “ Cikgu ada permintaan terakhir. Cikgu harap sangat kamu boleh tunaikan.”

“ Katakan saja, cikgu. Apa saja.Apa saja.” Shiela membalas dengan bersungguh-sungguh. Dia sanggup melakukan apa sahaja kini demi kegirangan hati gurunya itu.

See that piano?” ujarnya, berbahasa Inggeris lalu menghalakan pandangannya ke arah piano kesayangan miliknya itu.

Shiela mengangguk lalu segera melabuhkan punggung di bangku piano itu.

“ Ila masih ingat lagi not-not lagu untuk mainkan lagu ‘Right Here Waiting’ yang cikgu ajar dulu?” Pertanyaannya itu jelas berbau harapan.

“ Ya, cikgu. Saya takkan lupa apa yang cikgu ajar.” Shiela tersenyum, bangga. Sejak gurunya itu membuat keputusan berhenti mengajar, dia sering menghabiskan masanya di rumah dengan berlatih bermain piano. Kini, dia yakin dia dapat bermain dengan baik dan sempurna.

Tengku Shahril menyandarkan tubuhnya yang masih agak sasa itu ke belakang kerusi roda. Dia tersenyum bangga melihat pelajar kesayangannya itu. Sedikit sebanyak pucat-lesi yang mencemari wajahnya itu dilunturkan oleh senyuman menawan yang tercipta di bibirnya. “ Ini saja permintaan terakhir cikgu. Boleh mainkan lagu ‘Right Here Waiting’ untuk cikgu?”
Titisan Terakhir

Shiela mengangguk lalu tersenyum. Air mata yang melimpah di pipi hampir kering. Dia tidak mahu dan tidak patut menangis di hadapan gurunya yang banyak menderita itu. Dia hanya perlu menggembirakan hati pemuda tabah itu.

Bilik yang senyap sunyi itu tiba-tiba dipecahkan oleh suara piano yang mula menyanyi dengan merdunya. Melodi ‘Right Here Waiting’ yang romantik lagi mendamaikan itu berkumandang dengan indahnya di segenap bilik itu.

Tengku Shahril menyandarkan kepalanya dengan tenang. Dia merenung anak muridnya yang memainkan lagu itu dengan baik sekali atas usaha didikannya yang bersungguh-sungguh. Dia mengucap syukur tidak terhingga. Dia yakin Shiela akan menjadi seorang pemain piano yang masyhur suatu hari nanti. Dia tahu itu. Dia sentiasa tahu itu.

Dia mengatup matanya perlahan-lahan. Melodi itu terus mendamaikan jiwanya yang kosong dan sepi itu. Dia teringatkan Rosmawarni. Dia teringatkan saat-saat manis mereka bersama. Dia teringatkan saat indah dia memainkan lagu tersebut khas untuk wanita yang dicintainya sepenuh jiwa dan raga itu. Rindu yang mendalam tidak terbatas menjelma di kalbu tanpa dapat dikawal lagi. Melodi itu terus-menerus memutarkan segala nostalgia silam yang indah saat-saat dia bersama dengan Rosmawarni. Dia mencintai wanita itu sepenuh hatinya. Tiada wanita lain walau secantik manapun yang dapat mengganti Rosmawarninya. Tiada sesiapapun. Dia yakin benar. Tidak pernah terasa sebegitu yakin dalam hidupnya.

Jari-jemari runcing dan lemah-gemalai milik gadis itu terus menari-nari di atas kekunci piano itu mencipta lagu indah yang mendayu-dayu. Wajahnya jelas memaparkan betapa dia menghayatinya. Betapa lagu itu memberi kesan terhadap jiwanya. Betapa lagu itu amat istimewa dan bererti bagi Tengku Shahril. Setiap not-not dihafalnya di fikiran manakala jari-jemarinya begitu asyik dibuai tarian indah dan melodi yang mengasyikkan. Jiwanya terasa tersentuh dan terlalu tenang untuk digambarkan.

Hati kedua insan itu bagai mencair kerana kehangatan melodi itu hinggalah dia tiba ke barisan not yang terakhir, Shiela memerhatikan Tengku Shahril yang sedang tenang menyandarkan tubuhnya.

Ketika jemarinya masih tunak memicit kekunci piano dengan lemah-gemalai, ketika angkasa raya di luar sana kesepian tanpa unggas berterbangan, ketika piano itu masih terus menyanyi seolah-olah untuk selama-lamanya, ada setitik air jernih sedang gugur di pipi pucat jejaka itu dari kelopak matanya yang tertutup erat. Air mata lelakinya tumpah sudah. Air mata pertamanya demi seorang wanita yang dicintainya… juga titisan yang paling terakhir ditangisinya di dunia ini… diulit melodi piano ‘Right Here Waiting’ yang berbuai indah….

Oleh,
Me, Myself and I (Farah)