Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

~Cerpen Orang Tua Itu~


Orang Tua Itu

Aku sedang leka membaca novel ‘Salina’ karya A. Samad Said sambil mengawasi perniagaan perpustakaan ibu saudaraku dari kaunter pinjaman. Aku segera menutup novel setebal kira-kira 500 halaman itu apabila seorang lelaki belasan tahun yang hampir sebaya denganku menuju ke tempatku.

“ Kau, Jesnita... Setinggi gunung harapan....” Lelaki itu tersenyum sambil menyanyikan lagu ‘Jesnita’ yang dipopularkan oleh kumpulan Exist bertujuan untuk mengusikku.

Aku hanya mampu tersenyum. “ Ah, mentang-mentanglah nama aku Jesnita, kau usik aku dengan lagu tu, ye?”

Nizam tersengih lalu ketawa kecil.

“ Hah, kau nak apa datang kat perpustakaan ni?” tanyaku kepada Nizam yang merupakan rakan sekelasku di tingkatan Lima Budi.

“ Nak pinjam bukulah, apa lagi! Sini kan, perpustakaan,” ujar Nizam sambil mengeluarkan sebuah novel bertajuk ‘Stefa Isle’ karya H.M Tuah Iskandar. “ Tapi sebelum tu, aku nak pulangkan novel yang aku pinjam minggu lepas.” Dia terus menyuakan novel itu kepadaku.

Aku menerimanya sambil memeriksa sesuatu pada skrin komputer di kaunter itu. “ Kau harus bayar lima riggit sahaja,” beritahuku setelah meneliti paparan di skrin komputer itu.

“ Lima riggit sahaja? Mahalnya!” komen Nizam sambil meraba-raba kocek seluarnya.

“ Memanglah. Siapa suruh kau lewat pulangkan novel tu,” ujarku.

Nizam mula mengomel lalu mengunjukkan sehelai wang kertas berwarna hijau kepadaku. Aku menerimanya dengan senyuman ramah. “ Terima kasih. Sila datang lagi.”

“ Aku akan datang setiap hari kalau kau boleh bodek mak saudara kau tu supaya kurangkan sikit harga nak pinjam buku dengan harga denda lewat pulangkan buku,” pesan Nizam lalu beredar dari situ.

Aku hanya mampu tersengih sendirian sambil mengelengkan kepalaku.

Tiba-tiba, sorotan mataku terarah kepada seorang lelaki tua yang berusia kira-kira dalam lingkungan lewat 70-an sedang asyik membaca sebuah novel sejarah di suatu ceruk perpustakaan yang serba lengkap itu.

Aku tersenyum melihatnya. Aku memang sudah kenal dengannya sejak beberapa tahun yang lalu di mana dia sering berkunjung ke perpustakaan ini untuk membaca buku.

Aku berasa agak pelik kerana entah kenapa tiba-tiba saja perasaan kasih terhadapnya terbetik dari dasar hati sejak pertama kali mataku melihat wajahnya yang berkedut seribu itu. Jendela fikiranku mula terbuka luas bagai mengalu-alukan kehadiran ingatanku akan saat aku mula-mula menegur dan berbual-bual dengannya.

Ianya bermula ketika pertama kali pandanganku terbelok ke arahnya yang sedang leka membaca buku di suatu sudut yang memencilkan dirinya dari orang ramai di dalam perpustakaan itu. Aku tidak tahu kuasa mana yang memukauku untuk berbual-bual dengannya. Namun, yang pasti, aku benar-benar ingin mengenali dirinya dengan lebih dekat lagi.

Aku segera mengatur langkah dengan tenang ke arah orang tua itu. Orang tua itu begitu tunak membaca buku hinggakan dia langsung tidak menyedari yang aku kini sedang berdiri di hadapannya.

“ Assalamualaikum, pak cik.” Aku menyapa, santun.

Orang tua itu tersentak. Dia menengadahkan wajah tuanya itu sambil membetulkan cermin matanya yang berbingkai tebal itu.

Kemudian, tiba-tiba sahaja aku merasakan bahawa aku semcam kenal dengan orang tua ini. Wajahnya hampir seiras dengan datukku yang kini sudah meninggal dunia. Aku mengenal wajah datukku pun melalui gambar lamanya yang disimpan rapi oleh ibu saudaraku.

Orang tua itu meneliti wajahku. Dia kelihatan terpegun melihatku. “ Waalaikumussalam. Anak ni, siapa?”

“ Oh, saya anak saudara tuan punya perpustakaan ini,” sahutku, tersenyum. “ Boleh saya duduk?”

Orang tua itu mengangguk. Aku terus mencecahkan punggung di hadapan orang tua itu.

“ Nama saya Jesnita.” Aku memperkenalkan diriku. “ Nama datuk pula siapa?”

“ Jesnita?” Tiba-tiba sahaja orang tua itu seperti teringatkan sesuatu. Dia merenungku.

“ Kenapa, tuk?” tanyaku, hairan sambil mengerling beberapa orang anak muda yang sedang bergurau sesama sendiri sambil membaca buku tidak jauh dari tempat kami duduk.

“ Oh.” Wajahnya tiba-tiba redup. “ Nama cucu atuk pun Jesnita juga. Kalau tak silap atuk, dia mesti sebaya dengan Jesnita sekarang ni.”

“ Oh, ya ke? Atuk tinggal dengan siapa sekarang?”

“ Atuk tinggal seorang diri sahaja.” Lemah sahaja suara orang tua itu. Terpapar kesedihan pada raut wajahnya.

“ Atuk tinggal seorang diri sahaja? Mustahil! Bagaimana dengan anak cucu atau saudara-mara atuk?” Aku bertambah hairan.

“ Oh.” Orang tua itu kembali berwajah muram. Dia seolah-olah mempunyai suatu sejarah yang kelam yang sengaja disembunyikannya. “ Bagaimana pula dengan Jesnita? Jesnita tinggal di mana?” Dia cuba mengalih topik perbualan.

“ Oh, saya tinggal bersama dengan ibu saudara saya berdekatan dengan Jalan Indah.”

“ Tinggal dengan ibu saudara? Bagaimana dengan ibubapa Jesnita?” Giliran orang tua itu pula untuk berasa hairan. Dia mengerutkan dahinya. Buku yang dipegangnya sejak tadi diletakkan di hadapannya.

Aku tunduk. Kepiluan di hatiku yang terpendam sejak lama mula hadir kembali untuk menjajah hatiku. “ Mak Jesnita dah meninggal sejak Jes lahir. Ayah pula terlibat dalam kemalangan sewaktu Jes baru berusia sembilan tahun. Sejak ayah meninggal, mak saudara Jeslah yang menjaga Jes. Dia jaga Jes macam anak dia sendiri sebab diceraikan suaminya dan dia tidak mempunyai anak.” Kehibaan menyuntik setiap kata yang diluahkan olehku. Aku mencuba sedaya-upaya untuk menahan sebak. Aku tidak mengerti mengapa aku menceritakan kisah hidupku kepadanya sedangkan setahu aku, dia langsung tidak mempunyai sebarang pertalian denganku.

“ Bersabarlah. Atuk faham akan perasaan Jes. Atuk pun pernah kehilangan orang yang tersayang juga. Itu hanya dugaan dari Illahi. Bersabarlah. Lagipun, Jes bertuah kerana ada mak saudara yang sudi memelihara Jes. Jes patut bersyukur pada Tuhan,” pujuk orang tua itu, penuh simpati.

“ Terima kasih. Atuk memang baik dan ulat buku orangnya.” Aku cuba melirikkan sebuah senyuman meskipun senyuman itu hambar.

“ Jadi, Jesnita ni suka tolong mak saudara Jes untuk menguruskan perpustakaan inilah ye?” soal orang tua itu.

Aku mengangguk. “ Kalau masa cuti sekolah ataupun kalau Jes ada masa lapang, Jes akan tolong Mak Long di sini.”

“ Mana Mak Long Jes tu? Tak nampak pun.” Orang tua itu bertanya sambil melilau-lilaukan matanya di sekitar perpustakaan yang senyap itu.

“ Jes selalunya suruh Mak Long berehat saja di rumah. Lagipun, dia tidak berapa sihat kebelakangan ini.”

Orang tua itu mengangguk. “ Jes memang baik. Bertuah betul mak saudara Jes. Mak saudara Jes minat membaca bukukah hinggakan dia menjalankan perniagaan perpustakaan?”

“ Mak Long bukannya minat sangat membaca buku tetapi Jes yang minat. Mak Long buka perpustakaan ini pun kerana datuk Jes.”

“ Kerana datuk Jes?” Ternaik kedua-dua kening orang tua itu.

“ Ya. Menurut Mak Long, datuk Jes tu dulunya sebelum kemerdekaan Malaya semasa pemerintahan Jepun, datuk Jes memang terkenal di kalangan orang tempatan sebagai seorang sasterawan yang berjiwa patriotik. Datuk Jes tu memang sangat gemar membaca buku. Oleh kerana sifatnya yang ulat buku itu, timbul rasa minat di hatinya unuk menulis. Dia sangat cintakan tanahairnya dan mengkritik penjajah habis-habisan melalui penulisannya untuk membangkitkan perpaduan dan penentangan terhadap penjajah dari kalangan orang tempatan. Penulisannya yang banyak mempunyai unsur anti-penjajah itu membimbangkan penjajah Jepun dan mereka bercadang untuk menghapuskan datuk Jes.” Aku menghela nafas panjang. Sesekali aku memandang ke sana dan ke mari untuk mengawasi persekitaran perpustakaan itu. Hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih setia membaca buku di situ.

“ Datuk Jes telah ditangkap dan dihukum penjara seumur hidup tetapi beberapa tahun kemudian, ada berita mengatakan bahawa datuk Jes telah melarikan diri dari penjara. Namun, sampai sekarang, dia masih tidak dapat ditemui. Kemudian, orang ramai mula mengkhabarkan bahawa kemungkinan besar dia sudah meninggal dunia....” Aku berkata perlahan berbaur hiba. Aku tunduk menahan sebak yang kian menghempas dada.

Apabila aku mengangkat wajahku untuk berhadapan dengan orang tua itu, aku nampak setitis dua air mata mula mengalir menyusuri pipi berkedut orng tua itu. Aku agak terperanjat.

“ Jesnita....” Dia bersuara perlahan sambil cuba mengesat air mata yang makin banyak bergulir di pipi.

“ Ya?”

“ Tak. Tak ada apa-apa.” Orang tua itu seperti cuba menyelindungkan sesuatu namun aku hanya membiarkan sahaja.

Sejak dari hari itu, kami mula menjadi rapat dan aku sering berbual-bual dengannya. Hubungan kami saling tidak tumpah seperti seorang cucu dan seorang datuk. Aku begitu menyayanginya. Aku tidak tahu mengapa aku begitu cepat timbul rasa sayang terhadapnya.

Aku tersenyum sendirian mengenangkan saat itu sambil menongkat dagu.

“ Eh, Jes! Termenung ke tu?” Aku tersentak apabila mendengar suara yang amat kukenali datangnya dari suatu sudut perpustakaan itu.

Aku menolehkan pandangan ke arah orang tua itu. Pak cik Bakar tersenyum menampakkan kerutan-kerutan di lesung pipinya.

Aku menghayunkan langkah tenang ke arahnya. “ Assalamualaikum, Pak cik Bakar!”

“ Waalaikumussalam! Termenung ke tadi?” soal Pak cik Bakar. Matanya tersorot ke arah novel yang sedang dibacanya.

“ Iye. Jes termenungkan kenapa Pak cik Bakar ni dari tadi asyik menghadap buku yang sama saja! Tak letih ke mata Pak cik?” usikku sambil mengambil novel tersebut dari pegangan Pak cik Bakar.

Kami ketawa kecil.

“ Pak cik Bakar ni sama nama dengan datuk saya. Datuk saya ulat buku, Pak cik Bakar pun ulat buku. Pak cik Bakar jadi datuk angkat saya, nak?” ujarku, tersenyum.

Derai tawa Pak cik Bakar yang bersemangat walaupun sudah tua itu beransur-ansur hilang sebaik sahaja aku mengajukan persoalan itu.

Kemudian, Pak cik Bakar tersenyum meleret. “ Siapa nama Mak Long Jes?” Doa bertanya tiba-tiba tanpa menyahut soalanku.

“ Siti Sarimah binti Bakar. Kenapa, Pak cik?” tanyaku. Hairan.

Wajah Pak cik Bakar pucat-lesi. “ Nama ibubapa Jes?”

“ Diyanah binti Bakar dan Muhammad Hafizi bin Hanif.” Aku menyahut. Bingung aku dibuatnya.

Wajah Pak cik Bakar berubah serta-merta.

“ Jesnita!” Aku tersentak apabila mendengar suara itu. Aku menolehkan kepalaku ke arah datangnya suara itu iaitu dari pintu masuk perpustakaan.

Aku tersenyum. “ Eh, Mak Long rupanya!” Aku meluru ke arah wanita yang bertubuh agak berisi dan bertudung serta berbaju kurung berwarna hijau sedondon itu.

“ Kenapa Mak Long datang ni? Kan Jes suruh Mak Long berehat saja kat rumah?” kataku.

“ Alah, Mak Long bosanlah duduk kat rumah. Mak Long ingat nak tengok-tengok perpustakaan ni saja,” Mak Long tersenyum.

“ Semuanya okay, jangan risau,” balasku. “ Oh, ya!” Terlupa pula aku mengenai Pak cik Bakar. “ Mari Jes kenalkan Mak Long kepada datuk angkat Jes!”

“ Datuk angkat Jes?” Ternaik kening kiri Mak Long.

Aku hanya ketawa. “ Ya.” Aku segera memimpin Mak Long ke arah Pak cik Bakar yang kelihatan sedang menyambung bacaan novelnya itu.

“ Inilah Pak cik Bakar, datuk angkat Jes. Pak cik Bakar, inilah Mak Long saya.” Aku memperkenalkan mereka berdua dengan hati yang berbunga girang.

Namun, reaksi yang ditunjukkan mereka bukan seperti yang aku harapkan. Mereka tergamam sebaik sahaja pandangan mereka melekati sesama sendiri.

“ A-Ayah?” Itulah satu-satunya perkataan yang kudengar dari mulut Mak Long sebaik sahaja dia melihat wajah Pak cik Bakar.

Pak cik Bakar terlopong melihat Mak Long. “ Kau ke tu, Sarimah?”

“ Ayah! Ayah masih hidup!” Mak Long berteriak tanpa menghiraukan suasana sepi yang menyerkupi perpustakaan itu.

Berpuluh pasang mata yang ada di situ merenung mereka berdua dengan kehairanan khasnya aku.

Pak cik Bakar menjatuhkan novel dari genggamannya. Dahinya makin berkerut merenung tepat ke wajah Mak Long tanpa menghiraukan aku yang kini sedang termangu-mangu kehairanan. Apa yang sebenarnya berlaku?

Tanpa kuduga, Mak Long lekas mendakap Pak cik Bakar. Wajahnya jelas memperlihatkan kehibaannya. Manik-manik air jenih mula menitis satu demi satu dari tasik matanya yang sudah dibanjiri air mata.

“ Sarimah, syukurlah kita akhirnya berjumpa juga,” bisik Pak cik Bakar. Dia turut menggugurkan air mata yang mula melembapi pipi tuanya.

“ Mak Long dengan Pak cik Bakar saling mengenali?” Terburai sebuah pertanyaan yang kupendam sejak tadi. Fikiranku bingung dan bercampur-baur dengan persoalan-persoalan yang sudah terlampau pepak di minda.

Mak Long terus menangis keesakan seraya berhadapan denganku. “ Jesnita, dia ni-dia ni....” Mak Long berasa sukar untuk bertutur denganku oleh kerana tangisan hibanya yang mengatasi pertuturannya. “ Orang tua ini ialah datuk kandung kau yang dulunya terpisah dengan kita kerana ditangkap oleh askar Jepun dahulu. Pak cik Bakar ini adalah datuk kau!”

Lidahku kelu. Aku tertegun memandang Pak cik Bakar. Pak cik Bakar adalah datukku? Benarkah? Aku jegang. “ Atuk?” Itulah satu-satunya perkataan yang mampu kuluahkan.

Pak cik Bakar atau datukku hanya menganggukkan kepalanya. “ Ya. Jesnita, kau cucu kandung atuk. Atuk dah lama menderita sejak atuk ditangkap oleh penjajah Jepun dahulu. Atuk rindukan semua orang terutamanya kau dan mak dengan ayah kau tapi malangnya mak dengan ayah kau dah meninggal dunia....” Orang tua itu yang rambutnya jarang dan hampir memutih bersuara perlahan. Kepiluan seorang ayah dan juga seorang datuk yang terpisah dan kehilangan orang tersayang jelas terserlah pada suaranya.

Rasa simpati berserta kasih yang dalam terhadapnya berpadu dalam diriku mewujudkan suatu perasaaan sayang yang suci lagi murni kepada datukku itu. “ Atuk....” Aku segera memeluk tubuhnya yang kurus itu seerat mungkin. Dalam-dalam di hulu hati, aku merasakan betapa kecilnya dunia ini dan betapa aku kagum dengan sejarah silam datukku yang penuh dengan pancaroba itu.

Aku mengucap syukur ke hadrat Illahi dengan tidak terhingga. Bayu keharuan terasa menghembus diri ini sehinggakan aku merasakan mataku yang berkaca-kaca mula retak mengalirkan beberapa titis air jernih lagi hangat.

Oleh,
Me, Myself and I (Farah)