Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Koleksi Puisi Saya


~Gerimis Resah~
~Hidup Ini~
~Muda-mudi Kini~
~Penantian~
~Tragedi si Ibu dan Si Anak~
~Hari Yang Dinanti~
~Syair Enam Sahabat~
~Bumimu Palestin~
~Refleksi~
~Hidupku~

~Gerimis Resah~

Rintik-rintik gerimis
Satu-persatu menimpa bumi
Bagai rintik-rintik keresahan
di hati ini

Rintisan kerinduan
Ku titi dengan kesabaran
Biarpun dilanda gerimis resah
Aku gagah melangkah

Kelebatan titis gerimis kian menggila
Titis persoalan di hati ini turut terasa
Bilakah kau akan kutemui?
Hingga bilakah penantian ini akan berakhir?
Adakah lambaian diriku masih di fikiranmu sehingga kini?
Titis-titis ini bercantum
Membarah di hati ini

Gerimis resah melanda lagi
Bayu rindu berpuput lagi
Biarlah aku di sini
Menantimu
Di tengah-tengah gerimis keresahan
Bersama titisan air mataku...

~Hidup Ini~

Hidup ini
Adakalanya terlalu sepi
Membosankan
Hati selalu berdetik
Aku inginkan teman!

Adakalanya meriah
Tika berteman
Tika meriah
Hati berdetik lagi
Aku ingin bersendirian!

Kala terlalu taksub
Lupa diri
Tuhan, dosa pahala
Kian kelam terus dari minda
Langsung terheret ke lembah hina

Hidup ini memang begini
Perlu diteruskan
Walau ada aral melintang
hingga ke gerbang ajal
Dengan penuh keinsafan...

~Muda-mudi Kini~

Dia bertogok di sana
Menongkat dagu
Menjengah jendela

Nun di sana
Matanya terbuntang luas
Muda-mudi kini sedang bersuka-ria
Ligat meneguk
Rancak tersengguk-sengguk
Menuruti alunan irama
Lagu yang mengalpakan
Mata mereka terjeluak ghairah
Pakaian singkat lagi mencolokkan mata
Membaluti tubuh lentok si gadis
Membentuk tarian menggoda dan menggiurkan
Derai tawa berserakan dengan galaknya
Mereka terkapai-kapai
Dalam lautan kemewahan dunia

Syaitan dan iblis
Terkinja-kinja kegirangan
Ralit bertepuk tangan
Menyaksikan kejatuhan si insan

Dia geleng kepala
Menghela nafas kesal
Azan Isyak mula berkumandang
Mendayu-dayu
Menuruti nada sang bayu
Membelah keheningan
Dia beredar dengan kehampaan
Mula mendirikan solat
Dengan penuh cahaya keinsafan

~Penantian~

Hari demi hari
Sang suria berganti si purnama
Merangkak pergi
Minda mereka tidak peduli
Terus hanyut
Dalam lautan keseronokan duniawi
Di sana dan di sini
Mereka ketawa
Bebas dan girangnya hati
Tiada sedar
Ada insan derita
Kerna sebuah penantian
Yang menyeksa
Penuh bisa
Awan dosa berarak
Menyerbu liang kalbu
Sekelumit doa
Meniti di bibir
Hingga bilakah
Penantian ini akan berakhir?

~Tragedi Si Ibu dan Si Anak~

Di sana dan di sini
Walau ke mana mata ini ditujui
Walau ke mana kaki ini dijejaki
Esak tangis
Rayuan simpati
Sentiasa berkumandang tanpa henti

Di sana ada anak kecil
Baru setahun jagung
Dikendong ibunya yang keresahan
Dalam pencarian
Oh, ke mana perginya suamiku?
Ke mana perginya saudaraku?
Ke mana perginya keluargaku?

Air mata suci si ibu gugur akhirnya
Merenik-renik membasahi pipi
Insan tersayang sudah 'pergi' menghadap Illahi
Ah, mengapa perang begitu kejam?
Tidak terhitung nyawa melayang
Mengapa kau begitu kejam?

Si anak yang belum mengerti apa-apa
Mendakap si ibu
Bunyi letusan bom
Kereta kebal serta pesawat yang memuntahkan peluru berpandu
Bertebaran di sana-sini
Mencari mangsa dengan rakusnya

Entah dari mana sesatnya
Sebutir bom mendarat di situ
Membuahkan letupan yang maha dahsyat
Si anak dan si ibu berpaut erat
Meraung sengsara bagai menggila
Kepedihan letusan bom dideritai tidak terperi
Jari-jemari mereka sempat disatukan
Mata kian merunduk layu
Kemudian terkatup
Perlahan-lahan buat selama-lamanya...

~Hari yang Dinanti~

Kutiti detik demi detik
Membilang hari-hari yang berlalu pergi
Wajah-wajah yang sama
Kurenungi
Hilai tawa mereka
Kuhayati
Insan kelilingku
Cuba kudekati
Biarpun hati ini tercari-cari
Di sebalik kabus rindu
yang mengaburi jiwa
Kenangkan wajahmu di sana-sini
Dalam dunia illusi sendiri

Aku sudi menanti hari yang dinanti
Hari yang menemukan kau dan aku
Hari luahan segalanya
Tanpa tahu bila hari yang dinanti
Akan menjelma...

~Syair Enam Sahabat~

Enam sahabat biasa tajuknya
Biar biasa tapi bermakna
Untuk kenangan bila tiada
Dengarlah ini janganlah alpa

Hazirah nama pertama diberi
Dipanggil ibunya selalu si Gee
Suka bercakap tidak terperi
Dengan Shazzmira selalu berkelahi

Si Amira pula apa kurangnya
Selalu bercakap tiada noktahnya
Sekejap Joe sekejap Mike Shinoda
Terlalu asyik dengan 'Linkin Park'nya

'Masterpiece'nya kami kenalkan
Kalau mahu dia lukiskan
Tapi tak pernah kami izinkan
Dialan Qistina yang dikatakan

Orangnya 'cool' sungguh bergaya
Bila berjalan memang kena
Pakaiannya semua lawa belaka
Dialah Erma bertudung sentiasa

Yang tinggi lampai itulah Shazzmira
Peminat The Rock itulah dia
Dengan Hazirah kerap membalas kata
Menjadi penghibur kami semua

Akhirnya tiba di akhir sekali
Selaku penulis puisi ini
Sukakan Brian peminat BSB
Siti Farah namanya diberi

Selesai sudah puisi ini
Moga anda bersenang hati
Ini hanya sebuah puisi
Jangan simpan dendam di hati

~Bumimu Palestin~

Bumimu Palestin
Setiap detik setiap masa
Ada saja yang melanda

Ruang udaramu dicabuli
Rakyatmu diseksa, menderita
Lagi diusir dari tanahair sendiri
Tanahmu pula dicemari
Dicemari dengan kereta besi
Bom-bom yang rakus mencari mangsa
Tanpa mengenal usia apatah lagi simpati

Kuasa besar kononnya "Polis Dunia"
Hanya tahu mendabik dada
Berpura-pura
Kuasa lain pula
Ligat mempamerkan taringnya
Menbunuh, menghapus, memusnah
Bantahan dunia
Langsung dipekakkan telinga
Ah, sungguh tidak berperikemanusia!

Bumimu Palestin
Kesucianmu dicabuli
Namun hati ini
Hanya mampu meluah simpati
Hanya mampu menanti
Seraya doa meniti di bibir
Bilakah oh bilakah
Sengsaramu kan berakhir?

~Refleksi~

Dalam kelikatan malam
Kurenung refleksi sendiri
Refleksi hidup ini
Refleksi insan-insan di sekitar ini
Namun refleksimu masih sukar kucari
Dalam selautan insan di dunia ini
Entah kenapa
Keyakinanku seteguh tiang besi
Kupasti refleksimu akan kutemui
Di dunia realiti
Bukan fantasi seperti kini...

~Hidupku~

Hidupku
Tampak sempurna segala
Ayahanda dan bonda
Ambil berat segalanya
Si dinda pula sepi jika tiada
Para sahabat keliling pinggang
Hatiku sentiasa riang
Bibirku tidak pernah lekang dengan seyuman
Ya, hidupku penuh bahagia!
Namun
Jika benar aku bahagia
Mengapa mataku setia meluahkan airnya
Setiap malam
Tika purnama menghiasi langit kelam...