Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

~Kini dan Selamanya~

Kini dan Selamanya

Aku mencecahkan punggung di atas bangku simen di tepi padang sekolah. Sebungkam nafas terhambur dari mulutku. Mataku sedang cuba menghayati keindahan panorama di padang sekolah yang menghijau dan saujana mata memandang itu.Kelihatan sepasukan remaja lelaki belasan tahun sedang rancak bermain bola sepak di padang yang luas itu.Unggas-unggas berterbangan bebas dan berkicauan riang di kaki langit yang membiru yang dipenuhi dengan awan gemawan yang memutih gebu.

Tiba-tiba, berdesing telingaku disapa angin bayu petang itu.Aku tersentak lantas membelek jam tanganku yang berjenama Elle itu. Sudah pukul 5:00 petang, bisikku. Sesekali aku meneleng-nelengkan kepala di sekeliling padang itu bagaikan mencari seseorang yang masih tidak kunjung tiba.Mana si Aaron ni? Hatiku tertanya-tanya bagai nak rak.Kata Aaron, dia akan tiba pada waktu ini namun batang hidungnya masih tidak kelihatan. Entah-entah dia mungkir janji, tak? Aku membuat telahan. Ah, Aaron bukan jenis yang tidak menepati janji!Aku sudah masak benar dengan perangainya sejak awal perkenalan kami sewaktu kami baru sahaja melangkah ke alam remaja sehingga kini, di penghujung alam sekolah menengah di tingkatan lima.Ah, sekejap lagi dia sampailah tu! Aku cuba menenteramkan hatiku yang mula gundah.

"Sarah!" Terkejut aku dibuatnya. Aku mengamati suara lunak itu. Ya, aku kenal benar dengan suara lembut itu. Siapa lagi kalau bukan, sahabat karibku, "Aaron!" Aku tersenyum ke arah lelaki belasan tahun yang berwajah tampan yang kini berada di hadapanku.

Ya, dialah Aaron Aiman sahabat paling akrabku selama lima tahun.Aaron menguntum senyuman mesranya kepadaku.Rambut pendeknya yang berwarna perang muda sesekali dibuai-buai oleh angin petang. Aku hanya duduk di situ; merenung mata perang mudanya yang cantik itu.Sebenarnya, dia merupakan anak kacukan orang Barat dan orang Asia.Bapanya berasal dari sini iaitu berketurunan Melayu manakala ibunya pula berasal dari Amerika Syarikat dan sudah lama memeluk agama Islam dan menetap di Malaysia.Jadi, tidak hairanlah wajahnya mempunyai iras mat saleh. Personalitinya yang menarik, baik, bersahaja dan bijak serta berwajah tampan itu membuatkan dirinya sentiasa menjadi buah mulut para pelajar khasnya pelajar perempuan.

"Sarah, termenung ke ni?" Aku tersentak lagi.Aaron tersenyum melihat diriku yang sedang mengelamun itu.

"Kenapa lewat sampai?Yang lain dah mula main, dah!" Aku menjuihkan bibir ke arah sekumpulan pelajar lelaki yang sedang leka bermain bola sepak di tengah padang itu.

Sorrylah. Aku ada hal sikit tadi." Dia kelihatan serba salah. "Lagipun aku bercadang untuk menarik diri dari menjadi pemain bola sepak sekolah."

"Hah? Apa? Kenapa? Kau seriuskah?Bukankah kau salah seorang ayam tambatan pasukan bola sepak sekolah? Cikgu Nik Hamzah dah tahu tentang perkara ni?" Bertubi-tubi pertanyaan yang meluncur lancar dari bibirku; membayangkan kekejutan yang melanda jiwaku akan keputusannya yang tidak kuduga itu.

Aaron hanya tersenyum tenang. "Jangan risau. Cikgu Nik Hamzah dah tahu tentang hal ini. Mulanya memang dia kurang setuju tapi lama-lama puas kupujuknya, dia pun bersetuju.

"Tapi aku tak fahamlah. Kenapa kau nak menarik diri? Kau ada apa-apa masalah ke? Kalau ada, beritahulah aku.Kita kan best friend?" bujukku seakan merayu.

"Sebenarnya aku sibuk sejak kebelakangan ini dan tiada masa untuk berlatih bermain bola sepak." Aaron memberikan alasan dengan tenang.

Aku hairan. Dia masih boleh bersikap tenang dalam perkara sebegini. "Sibuk buat apa pula?"

Aaron tidak terus menyahut sebaliknya dia menujukan sebuah senyuman misteri kepadaku. Senyumannya itu memang sukar dimengertikan; bagaikan sedang menyelindung sebuah rahsia.

"Beritahulah, Aaron kalau kau masih anggap aku sahabat baik kau," ujarku, separuh mendesak.

"Alah, suatu hari nanti kau akan tahu juga." Aaron mengulum senyuman tadi.

Aku mengerutkan dahi. Bingung aku dibuatnya.

"Oh ya!" Aaron seperti teringatkan sesuatu. "Aku tak dapat datang ke sekolah esok dan mungkin lusa juga," ujarnya.

"La... kenapa pula?" soalku, kehairanan.

Aaron tersenyum. Dia membiarkan sahaja fikiranku yang kini berputar-putar dengan seribu persoalan.

"Aku nak bagi surprise sikit kat kau," bisiknya, penuh rahsia.

Aku terpaksa akur akan kehendaknya itu kerana aku tahu, walauapapun perkara yang dirahsiakannya, dia tidak akan dapat merahsiakan hal itu daripadaku buat selama-lamanya.Aku tersenyum sendirian.

****************************************************

Mentari pagi baru sahaja menjengulkan dirinya di ufuk timur. Cahayanya yang berkemilauan terus menyirami alam dengan gilang-gemilangnya.Bayu pagi pula agak malas bertiup.Aku terus melangkah gagah memasuki lorong-lorong dan melintasi kawasan perumahan menuju ke rumah Aaron dengan tenang dan sabar sambil menghirup udara pagi yang nyaman dan berhalwa dingin itu.

Jauh-jauh di dasar hati, aku benar-benar berharap berharap agar Aaron mengubah fikirannya untuk hadir ke sekolah hari ini.

Beberapa minit kemudian,aku sudahpun berdiri tercegat di hadapan pintu rumahnya.

"Assalamualaikum!" seruku diselangi dengan ketukan di pintu bertalu-talu olehku.

Mataku kemudiannya melilau-lilau di sekitar rumah banglo bercat putih dua tingkat yang berbumbung biru tua itu. Terdapat bunga orkid, bunga raya, cempaka dan beberapa jenis bunga yang lain menghiasi pekarangan rumah yang bersih dan kemas itu. Bau wangi semerbak menusuk hidungku, penuh keasyikan.

Tiba-tiba, pintu rumah itu diselak orang. Berkeriut bunyinya membuatkan aku tersentak bukan main.

"Waalaikumussalam," sahut seorang wanita yang berusia di pertengahan umur 40-an. Wajahnya cantik dan berseri. Rambutnya pula ikal mayang hingga ke paras pinggang berwarna kuning keemasan.Dia berperawakan agak tinggi dan langsing.Senyumannya yang manis itu saling tidak tumpah seperti anaknya, Aaron.

"Ya, Puan Maria. Aaron ada di rumah?" tanyaku, santun sembari membalas senyumannya.

"Aaron?" Puan Maria menaikkan kening kirinya. "Bukankah dia sudak pergi ke studio rakaman?"

Aku langsung tersentak. Mulutku melopong."Studio rakaman? Dia buat apa di sana?"

"Eh, Aaron tak beritahu Sarah?" tanyanya pula dengan kehairanan.

Aku hanya mampu mengelengkan kepala.

Wanita itu tersenyum. "Dia nak bagi surprise kat Sarah agaknya."

Mungkinkah?

"Sebenarnya, Aaron ke sana untuk merakamkan album sulungnya! Dia bakal menjadi seorang penyanyi yang terkenal!" jelas wanita yang fasih berbahasa Malaysia itu dengan bangga.

Aku terlongo? Hah? Apa? Aaron seorang penyanyi? "Be...betulkah, Puan Maria?" tanyaku. Jalur kesangsian mula bermukim di wajahku.

Puan Maria hanya menganggukkan kepalanya, tersenyum meleret."Mari Auntie hantarkan Sarah ke sana untuk tengok dia menyanyi," pelawa wanita yang ramah dan baik hati itu.

Aku tiada pilihan selain akur akan pelawaannya itu.

****************************************************

Aku tergamam lagi terkedu. Terkesima sebaik sahaja aku menyaksikan sendiri dengan dua biji mataku.Kata-kata Puan Maria memang sudah tidak boleh dinafikan lagi.Terkunci mulutku mendengar suara Aaron yang lunak dan merdu itu sebaik sahaja berada di sana.Suaranya yang lembut dan gemersik itu berkumandang mendayu-dayu, membelai-belai deria pendengaranku; mampu mencairkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Aku sugguh tidak menyangka dia mempunyai suara bagai buluh perindu.

Aaron menghampiriku sebaik sahaja habis menyanyi.Senyumannya masih tidak lekang dari bibirnya."So macam mana dengan surprise aku ni?"

Kau buat aku betul-betul macam kena serang sakit jantung!" selorhku. kami ketawa kecil.

"Aku tak sangka kau memang berbakat dalam bidang nyanyian," komenku.

"Ya, aku pun mulanya begitu juga.Sebenarnya, suatu hari tu, aku tengah menyanyi sorang-sorang di taman rumah. Kebetulan, jiranku yang merupakan pengurus syarikat rakaman ini terdengar aku menyanyi.Lalu dia terus pelawa aku untuk menjadi artis rakamannya.Aku terus bersetuju tapi ibubapaku pula hanya akan bersetuju kalau aku dapat membahagikan masa antara pelajaran dan nyanyian.Aku pun yakinkan mereka yang aku dapat melakukan itu semua. Akhirnya, berjaya," terang Aaron dengan panjang lebar sambil tersenyum puas.

Aku tumpang gembira dan bangga untuknya. "Good luck tapi pelajaran dan sekolah jangan sekali-kali dilupakan," nasihatku.

Aaron mengangguk kecil, tersenyum.

****************************************************

Hari demi hari, minggu berganti minggu, bulan diselangi bulan, usaha keras Aaron akhirnya menelurkan hasil yang memberansangkan. Album sulungnya berjaya dirakamkan dan mendapat sambutan hangat di pasaran.Di sana dan di sini, namanya sering meniti di bibir masyarakat walaupun baru bergelar artis baru.Dia kian menjadi ikutan para remaja.Dia sentiasa memperoleh perhatian walau di mana dia berada terutamanya di sekolah.

Ramai gadis remaja meminati dirinya.Di sekolah, hampir setiap hari ada sahaja surat-surat dari peminatnya bertimbun-timbun di dalam mejanya.

Namun apa yang membanggakanku adalah, walaupun bergealr penyanyi dan banyak terlibat dalam persembahan-persembahan pentas, Aaron tidak pernah mengabaikan pelajarannya bahkan dia memperoleh markah yang cemerlang dalam setiap bidang di sekolah.

Kami juga masih lagi mengulangkaji bersama-sama untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menentukan masa depan kami iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Kadang-kala, apabila dia dikerumuni peminat perempuannya atau sedang asyik melayan karenah mereka,timbul suatu perasaan yang tiba-tiba bercambah semulajadi dari halaman hatiku. Cemburu?

Ah, segeraku lontarkan perasaan negatif itu jauh-jauh dari sudut hatiku. Ah, mereka hanyalah peminat saja! Untuk apa dicemburukan itu semua? Tanpa peminat, siapalah dirinya! Aku seringkali cuba menenteramkan hatiku yang kian bergejolak itu.

****************************************************

Sudah enam purnama berlalu. Terasa peristiwa Aaron bergelar penyanyi terkenal seperti baru semalam berlalu.Hari kurasa begitu pantas berlalu.Detik demi detik, pejam celik, pejam celik, Aaron sudahpun merakamkan album keduanya dengan penuh bersemangat pada mulanya.

Namun keadaan bukan seperti yang diharapkan berlaku pada Aaron apabila album keduanya berjaya dilancarkan dengan gilang-gemilangnya.Album keduanya meletup di pasaran tanpa diduga. Aku sungguh gembira untuk Aaron namun tidak bagi Aaron.

Kebelakangan ini dia sering mengasingkan diri dari mata masyarakat. Dia tidak seperti selalu di mana dia seorang yang periang, peramah dan suka ketawa. Dia berubah menjadi seorang yang pendiam dan sentiasa murung serta termenung. Dia melayan peminatnya seperti biasa namun layanannya itu seperti dipaksa.Senyumannya juga ternyata hambar.Dia bagaikan mencuba-sedaya untuk berperangai seperti biasa dan melakukan yang terbaik hanya untuk peminat namun, aku rasa, seperti ada sesuatu masalah yang mengekangnya daripada berbuat demikian.

Yang menambahkan kejutanku adalah, keputusan peperiksaannya semuanya teruk dan tidak serancak dahulu.Aku bingung setiap kali memikirkan hal ini.Runsing.Aku hanya menantikan waktu yang sesuai untuk berbincang dengannya mengenai perkara yang tidak seharusnya berlaku ini.

"Aaron." Aku menyapa Aaron, perlahan bagaikan berbisik pada waktu rehat hari itu.Aaron kelihatan sedang duduk berehat dan termenung di bawah sepohon pokok semarak api yang rimbun.

Cahaya mentari yang lesu dan langit yang muram bagaikan memahami apa yang terkandung di dalam jiwa Aaron kini.

Jauh-jauh terselit di hatiku untuk menyelami perasaan anak muda itu. "Aaron," ulangku apabila sapaanku itu tadi tidak mendapat reaksi yang diharapkan.

Aaron menoleh spontan. "Eh, Sarah!"Senyumannya seperti biasa. Hambar.

"Kau tak makan kat kantin hari ni?" tanyaku sambil melabuhkan punggung di hadapannya.

Aaron mengelengkan kepalanya. "Aku tak lapar.Aku cuma nak bersendiriran saja." Dia tunduk.

"Kenapa dengan kau, Aaron?" tanyaku, serius. Aku merenung mata perang mudanya yang muram; tidak bersinar girang seperti dahulu. "Kenapa dengan kau sejak akhir-akhir ni? Kau muram dan suka bersendirian saja.Kau dah berubah. Kau tidak seperti dulu lagi, Aaron.Lihat saja keputusan peperiksaan kau. Dah nyata kau benar-benar berubah. Kenapa, Aaron? Kau ada masalahkah?Beritahulah aku. Aku sahabat baik kau dan aku berhak untuk tahu apa yang berlaku sebenarnya.Beritahulah, Aaron," pujukku,lembut. Aku menikamkan pandangan tajam ke matanya bagaikan ingin menembusi ruang retinanya.

Aaron menghamburkan nafas berat. Dia mengeluh perlahan. "Aku tak apa-apa."

"Aaron, janganlah bohong. Kau tahu kau takkan dapat menyembunyikan apa-apa daripadaku.Kita sudah lama bersahabat baik.Aku sudah kenal benar dengan perangai kau.Beritahulah aku kalau kau masih anggap aku ni sahabat karib kau," bujukku lagi bernada desakan tanpa berputus asa.

Aaron menghela nafas. "Se...sebenarnya...." Dia memulakan dengan hati yang berat. "Tiada sesiapapun yang boleh menyelesaikan masalahku ini. Ini hanyalah urusan antara aku dan Tuhan saja."

Bagai tersentap jantungku. Kali ini aku merenungnya dengan bersungguh-sungguh. "A...apa maksud kau, Aaron? Berterus-teranglah dengaku!"

"Sebenarnya, aku telah menghidap jantung berlubang!" Dia menghamburkannya dengan spontan.

Berderau darahku dibuatnya. Tiada walau sepatahpun perkataan yang terpancut dari bibirku.

"Memang betul. Itulah hakikatnya. Kebelakangan ini, aku sering sakit dada dan suatu hari aku pergi ke klinik. Setelah menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan yang jantungku berlubang dan peluangku untuk hidup sangat tipis.Aku dan ibuku terperanjat dengan berita ini. Tiada sesiapapun yang tahu hal ini kecuali aku, ibubapaku dan sekarang...kau.Doktor mengesyorkan supaya aku menjalani pembedahan untuk memperbaiki jantungku yang berlubang sejak lahir.Doktor juga tidak dapat menjamin seratus peratus yang aku akan dapat hidup selepas pembedahan itu sebab aku akan bertarung dengan maut sewaktu pembedahan itu dijalankan.Kemungkinan besar aku akan menemui ajal, Sarah," ujar Aaron dengan nada sayu.Aku lihat mata perang mudanya berkaca-kaca berkilauan.Dia sedang membendung sebak yang bertamu di dada. Begitu juga denganku.

Aku tidak tahu apa yang ku harus katakan lagi. Aku hanya bertogok di situ; merenungnya dengan genangan air mata.

"Sarah," gamitnya perlahan-lahan."Pembedahan itu akan dijalankan esok dan esok jugalah hari penentuan segala-galanya. Aku mahu kau datang bersama keluargaku di hospital untuk menemaniku," pintanya dengan harapan yang melangit.

Aku hanya menganggukkan kepala dengan lemah.

****************************************************

Pada hari keesokannya, tanggal tiga November, seluruh media dalam dan luar negara mula menyebarkan berita pembedahan Aaron.Seperti yang diduga, seluruh peminat dan masyarakat menjadi gempar bagaikan gempa bumi.Surat-surat, faks dan e-mel banyak dihantar oleh peminatnya khas ditujukan kepadanya dengan sekelip mata.Mereka mendoakan dan mengharapkan agar dia dapat menjalani pembedahan itu dengan selamat.Aaron ternyata terharu dengan keprihatinan peminat terhadapnya.Dia hanya mampu tersenyum keharuan.

Sudah tiba masanya.Aaron diusung ke bilik pembedahan diiringi beberapa kakitangan hospital serta diriku.

"Aaron, aku harap kau akan selamat.Kuatkan semangat dan banyakkan berdoa kepada Tuhan, ya," bisikku dengan suara yang lirih sambil mendekatkan bibirku ke tepi telinganya.

Dia kelihatan lesu dan tidak bermaya.Kepalanya terangguk-angguk, perlahan.Ternyata dia mendengar akan bisikanku itu.

Tiba-tiba, mulutnya kumat-kamit perlahan-lahan seakan ingin membicarakan sesuatu yang amat penting kepadaku.

Aku tidak mengerti.

Kemudian, aku dapat merasakan kehangatan tapak tangannya menggenggam telapak tanganku dengan erat.Aku termangu-mangu kehairanan dengan reaksinya yang tidak kuduga itu.

Belum sempatku habis melayan perasaan hairan yang berkecamuk di jiwa,dia terus dimasukkan ke bilik pembedahan dengan pantas dan terkocoh-kocoh.Aku dan kedua ibubapanya hanya mampu menanti di luar bilik pembedahan dengan penuh kesabaran.

Aku memerhatikan lampu bilik pembedahan menyala dengan spontan menyebabkan diriku tersentak.

Puan Maria dan Encik Firdaus kelihatan duduk dengan tenang di atas bangku yang beralaskan sofa merah hati itu.

Aku mula mundar-mandir di hadapan mereka bagai cacing kepanasan.Debaran di hatiku mula menggila. Bibirku kumat-kamit.Lidahku lancar membaca doa ke hadrat Illahi.Ya Tuhan! Bantulah hamba-Mu ini!Selamatkanlah Aaron! Hanya Kau tempat aku bermohon, Ya Allah! Selamatkanlah dirinya! Lonjakku dengan penuh keikhlasan dan ketulusan.Aaron, kau mesti kuatkan semangat!Ingatlah Tuhan, ingatlah kedua ibubapa kau, ingatlah peminat-peminat kau yang sentiasa setia pada kau! Dan... ingatlah aku!Kami akan sentiasa menyokong kau! Aaron! Kau boleh! Kau pasti boleh!Bisikku dengan harapan yang menggunung.

Dua jam telah berlalu. Buat pertama kali,masa begitu lembab berlalu bagiku.Aku masih lagi berjalan ke sana dan ke mari serta kerap ditegur oleh Encik Firdaus supaya bawa bertenang.Namun, agak sukar untukku bertenang pada waktu seperti ini. Mulutku tidak putus-putus dengan bacaan selawat dan doa yang masih tidak lekang dari bibirku.

Tiba-tiba, lampu bilik pembedahan terpadam sudah.Langkahku terkunci.Aku tercatuk di hadapan pintu bilik pembedahan dengan debaran yang makin memuncak. Kesabaranku hampir terkuras.

Terpacul kelibat seorang doktor yang berusia dalam pertengahan umur dari ambang pintu bilik pembedahan yang terkuak.

Dadaku mula bergetar hebat.Jantungku begitu pantas berdegup bagaikan puting beliung yang mengamuk dengan dahsyatnya.

"Tuan doktor, macam mana dengan keadaan Aaron?"soalku dengan spontan sebelum sempat kedua ibubapa Aaron ingin mengajukan soalan yang sama.

Aku mengamati wajah doktor itu dengan harapan agar aku dapat membaca apa yang tersirat di fikiran lelaki bercermin mata itu.

Aku dan kedua ibubapa Aaron kini sedang terkapai-kapai dalam lautan perasaan ingin tahu kami yang makin menghanyutkan diri.

Wajah dokrtor itu tiba-tiba muram. Aku tersentak. Tak mungkin! teriakku dalam hati.

"Maaf, kami sudah cuba sedaya-upaya," kata doktor itu sambil menyapa bahu Encik Firdaus. "Banyak-banyaklah bersabar. Tuhan lebih menyayangi dirinya."

Aku terkunci mulut. Aku mengelengkan kepala beberapa kali. Aku enggan percaya akan semua ini.Tak mungkin! teriak hati kecilku lagi.

Aku terduduk di atas bangku hospital yang beralaskan sofa itu.Keempukannya langsung tidak dirasai namun kepedihan hakikat ini yang dirasai.Esak tangisan Puan Maria mula sayup-sayup kedengaran sambil cuba ditenteramkan oleh Encik Firdaus yang kelihatan cuba menahan sebak.

Aku menutupi wajahku dengan kedua-dua tapak tanganku.Aku cuba menahan kolam air mataku yang kian diramahi air mata dari mengalir.Aku mengucap beberapa kali dan cuba bertenang. Mataku berkaca-kaca.

Tiba-iba, sekujur tangan mempelawaku sehelai kertas putih bersih.

Aku menengadahkan wajahku perlahan-lahan.Kelihatan seorang jururawat muda merenungku dengan kehibaan. "Awak cik Sarah binti Muhammad, kan?"

Aku mengangguk kecil.

"ini surat khas untuk awak daripada Aaron. Dia menyuruh kami menyampaikan surat ini kepada awak jika dia tidak dapat diselamatkan. Ambillah," pinta jururawat itu dengan lembut.

Tanpa melengahkan walau sedetik masapun, aku terus saja menerimanya.Bau harum semerbak dari warkah itu kuhidu dengan tenang.Kemudian, aku segera membuka lipatannya.Mataku tersorot ke arah setiap patah perkataan yang ditulis dengan dakwat pena biru di atas halaman warkah itu:

To my dearest, Sarah,

Tika kau sedang menatap warkah ini, aku sudahpun meninggalkan dunia yang fana ini, menghadap Yang Maha Esa.Sepanjang peninggalanku, janganlah kau terlalu bersedih hati.Pesanlah juga akan pesanan ini kepada kedua orang tuaku. Janganlah terlalu bersedih hati hingga mengabaikan tugas seharianmu.Memang sudah adat dunia. Yang bermula pasti ada penghujungnya.Begitu juga dengan kehidupan dan kematian. Setiap yang bernyawa pasti akan mati.Yang pasti, aku akan merindui sahabat-sahabat kita yang sentiasa ada bersamaku di kala susah dan senang.Mama dan Papa yang telah memeliharaku bagai menatang minyak yang penuh dan sentiasa ada di belakangku untuk menolakku menuju ke gerbang kejayaan.Aku amat berterima kasih kepada mereka biarpun ucapan ini memang tidak memadai jika dibandingkan dengan pengorbanan mereka yang tidak boleh dinilai dngan harta benda mahupun wang ringgit.Mama, Papa, terima kasih. Aaron sangat menyayangi dirimu dan sentiasa mendoakan kebahagiaan Mama dan Papa.Kepada seluruh peminat yang disayangi, pesanlah mereka bahawa tanpa mereka, siapalah aku. Aku benar-benar menghargai sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi selama ini kepadaku malah, aku benar-benar terharu dengan apa yang telah mereka lakukan.Wahai peminatku, aku benar-benar menyayangi dirimu buat selama-lamanya!

Sarah,

Aku benar-benar menghargai tiang persahabatan yang telah kita bina ini.Kita telah bersahabat karib dalam tempoh yang sangat lama dan aku gembira kerana persahabatan kita masih kukuh seperti dulu.Kau pernah berpesan kepadaku bahawa sahabat karib tidak seharusnya berahsia apa-apa. Namun, aku menyusun sepuluh jari, memohon kemaaafan daripadamu kerana aku telah memendamkan satu rahsia yang masih tidak kubocorkan padamu. Kini, masanya telah tiba untukku meluahkan segala yang terperap di hati melalui warkah yang tidak seberapa ini bagaikan telur yang baru menetas.

Sarah,

Tahukah kau bahawa aku sebenarnya telah menyimpan suatu perasaan murni yang lebih dari hubungan seorang sahabat karib sejak kita bersahabat karib.Hatiku tersentuh dengan personaliti kau yang menarik, baik hati dan benar-benar mengambil berat akan diriku itu.Aku memang bodoh. Aku sepatutnya bersemuka sahaja pada kau namun hati ini rasa malu dan aku bimbang ia akan menjejaskan tali persahabatan yang telah lama kita ikatkan ini.Lagipun, kita masih mentah dalam soal cinta ini.Kita sebagai pelajar ada tanggungjawab untuk berjaya dalam hidup.Soal cinta ini harus dialihkan ke tepi. Bukankah begitu? Memang sangat sukar bagiku untuk memendam perasaan sebegini rupa namun, kita sebagai pelajar mesti menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran terutama sekali peperiksaan SPM yang bakal menjelang tiba. Sungguhpun aku tidak sempat untuk menduduki peperiksaan tersebut,aku ingin kau berjaya. Inilah permintaan terakhirku. Belajarlah hingga ke menara gading. Aku pasti akan mendoakan kau dari alam yang lain.Doronglah sahabat-sahabat kita yang lain untuk menuntut ilmu.

Tampaknya, itu sahaja yang ingin kucoretkan di sini buat kali terakhir.Aku sentiasa menyayangi kau dan mendoakan kebahagiaan kau. Kini dan selamanya.Wassalam.

Ikhlas dariku,

Aaron Aiman

Aku mendakap warkah itu dengan erat seolah-olah aku tidak akan melepaskannya buat selama-lamanya.Empangan air mata yang kutahan selama ini tidak mampu lagi kuhalang.Ternyata, perempuan memang murah dengan air mata.Satu demi satu titis air jernih dan hangat bergulir perlahan-lahan dari kolam mata menyusuri pipiku yang lembap membentuk sebatang anak sungai.

Aaron, biarpun kau jauh dari pandangan mata, kau akan tetap dekat di hatiku. Kini dan selamanya...

Oleh,
Sara Rosella