Artikel : Persidangan Nicea
Pengenalan

Doktrin Tritunggal adalah pusat kepada keunikkan dalam ajaran Kristian. Tritunggal adalah rumusan dari pernyataan AlKitab berkenaan hakikat Tuhan iaitu Tuhan Maha Esa dan keesaanNya menyatakan diri dalam tiga Peribadi iaitu Bapa, Anak dan Roh Kudus. Dan tiga peribadinya hakikatnya satu Tuhan. Berpusat pada ajaran inilah Yesus memberikan amanat teragungnya kepada para gerejaNya, mengamanahkan umat-umatNya "...jadikanlah semua bangsa muridKu dan baptislah mereka dalam nama Bapa, Anak dan Roh Kudus..." (Matius 28:19)

 

Tidak hairanlah jika doktrin Tritunggal disalah fahamkan dan juga dicela. Contohnya Saksi Yehovah (Jehovah Witnesses) menentang doktrin ini. Mereka berpendapat bahawa Yesus hanyalah manusia yang dicipta Tuhan. Saksi Yehovah juga mengatakan Yesus tidak wujud kekal bersama Bapa dan menafikan keTuhananNya.

Ajaran Islam juga menentang doktrin tritunggal. Surah 4:171 menyatakan "...janganlah kamu mengatakan " '(Tuhan itu) tiga', berhentilah. Lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak...". Walaupun ajaran Kristian tidak menyatakan mahupun mengajar Tritunggal terdiri dari Bapa, Bonda Maria dan Nabi Isa, Anak, inilah ditentang oleh ajaran Islam kerana menyekutukan dengan Allah adalah dosa terutama sekali dengan Nabi Isa.

Ada juga yang mengatakan doktrin Tritunggal ini tidak diajar oleh Yesus sendiri mahupun pada zaman awal permulaan gereja. Doktrin ini dikatakan dipaksa dan dikenakan kepada gereja-gereja oleh maharaja Constantine pada abad keempat sewaktu persidangan Nicea. Saksi Yehovah percaya bahawa maharaja tersebut memaksa gereja-gereja untuk menerima doktrin. Mormon percaya bahawa komponen paganisme Constantine dan falsafah Yunani dipaksa terima oleh biskop-biskop sewaktu persidangan Nicea.

Selanjutnya dalam artikel ini, kita akan melihat 3 individu-individu yang terlibat dalam persidangan ini, iaitu Arius, Athanasius dan Constantine.

Arius

Arius adalah seorang pengkhutbah popular dan seorang pentadbir yang bertugas sebagai pastor di Baucalis di Alexandria, Mesir. Kontroversi ini bermula apabila Arius tidak bersetuju dengan biskopnya, Alexander pada 318 TM. Perbezaan ini tertumpu dengan cara-cara pemahaman Tuhan oleh orang-orang Kristian menggunakan bahasa falsafah yang sedia ada. Isu ini lebih hangat sebab pelbagai pandangan yang menyeleweng berkenaan Yesus yang telah menular ke dalam gereja pada lewat abad kedua dan awal abad ketiga. Adalah menjadi biasa penggunaan bahasa falsafah untuk menghuraikan realiti teologi sepanjang zaman gereja dalam usaha untuk menerangkan apa yang dinyatakan dalam Al-Kitab.

Apakah kontroversinya? Alexander mengatakan bahawa dalam AlKitab jelas mengatakan keTuhanan Bapa adalah setara dengan keTuhanan Anak (Yesus). Arius pula mengemukakan Tuhan Anak adalah ciptaan dan sebagai firman (logos) dan bukanlah Tuhan. Oleh itu Yesus adalah rendah dari Bapa dan ciptaan yang lebih besar dari segala-gala ciptaan Tuhan.

Pada awal permulaan gereja, jemaat sudah menerima Yesus sebagai Tuhan. Oleh itu mereka berpendapat bahawa ajaran Arius ini tidak berlandaskan AlKitab dan menyeleweng kerana ia akan menghujat Yesus. Alexander membidas ajaran Arius itu sebagai ajaran yang menyelewengkan. Maka konflik dan kontroversi pun terjadilah dan mendapat perhatian dari maharaja Constantine. Persidangan Nicea ini terbentuk pada tahun 325 untuk mengakhirkan kontroversi ini. Ia bertujuan untuk membahaskan ajaran Arius.

 

Maharaja Constantine

Maharaja Constantine memulakan pemerintahan empayar beliau pada 306 TM. Melalui Constantine's Edict of Milan penindasan gereja dihentikan dan semua harta benda milik gereja yang dirampas dipulangkan.

Constantine inginkan perhubungan yang baik dengan gereja-gereja demi keamanan dalam empayar beliau. Beliau tidak mahu rakyatnya berpecah dan menyebabkan konflik hanya kerana perbezaan dalam doktrin. Oleh itu sebarang teologi atau doktrin yang tidak mencetuskan kekecohan dan memwujudkan keamanan akan disokong beliau. Walaupun sebelum kematian Constantine, beliau dibaptiskan namun keimanannya dalam Kristian menjadi persoalan.

Persidangan Nicea yang dihadiri oleh 300 peserta menolak ajaran Arius dan menganggapnya tidak sesuai dengan AlKitab.

 

Athanasius

Persidangan Nicea yang dihadiri oleh 300 perserta membahaskan persoalan keTuhanan Yesus setara keTuhanan Bapa atau sebaliknya. Athanasius yang berusia dalam 20an menghadiri persidangan ini dan mempertahankan doktrin keTuhanan Yesus dengan mengatakan "Jika Kristus bukanlah Tuhan, maka Dia tidak dapat memberikan nyawaNya kepada orang-orang bertaubat dan menebuskan kita dari dosa dan maut. Beliau mengetuai mereka yang menentang ajaran Arius yang membahaskan Yesus tidak setara dengan Bapa.

Persidangan ini berakhir dengan pengakuan bahawa Yesus adalah Tuhan. Yesus adalah setara dan sehakikat dengan Bapa, begitu juga dengan Ruh Kudus. yesus bukanlah ciptaan Tuhan Bapa tetapi Dia telah wujud kekal bersama Bapa.

Ajaran Arius ditolak sama sekali dan dibidas kerana ia adalah ajaran sesat. Dua orang biskop Libya digugurkan kerana tidak mahu menerima pengakuan yang dirumuskan dair Persidangan Nicea.

Kesimpulannya

Pernahkah maharaja Constantine yang memaksa gereja-gereja untuk menerima doktrin Tritunggal?

Sejarah ada merekodkan dalam buku Didache yang ditulis pada akhir abad pertama dan permulaan abad kedua mengenai panduan cara-cara gereja beroperasi. Di dalamnya, tersebut pengaminan Tuhan Bapa, Anak dan Roh Kudus dalam pembaptisan. Begitu juga pada tahun 200 Masihi Hippolytus mengaminkan Tuhan Bapa, Anak dan Roh Kudus sebagai soalan bagi mereka yang ingin dibaptiskan. Bagi penganut Kristian yang baru, mereka diminta untuk mengaku iman mereka kepada Tuhan Bapa, Anak dan Roh Kudus.

Melihat dari sejarah, kerajaan Rom tidak konsistent menyokong teologi Tritunggal mahupun apologisnya Athanasius. Maharaja ini lebih kepada menjaga keamanan di dalam empayarnya. Beliau tidak menghiraukan kebenaran dalam doktrin atau teologi Tritunggal. Malah Athanasius pernah dibuang negara sebanyak 5 kali oleh maharaja-maharaja sepanjang kehidupan Athanasius. Tetapi Athanasius masih berpegang dan mengaminkan doktrin Tritunggal.  Maharaja-maharaja selepas Constantine mengenakan ajaran Arius dalam empayarnya sambil mengarah Athanasius dibuang negara. Untuk apa? Kerana mempertahankan kebenaran Yesus kristus sebagai Tuhan yang setara dengan Tuhan Bapa.

Biskop-biskop yang menghadiri persidangan Nicea ini tidak dengan mudah dipaksa oleh Constantine untuk menerima doktrin yang mereka tidak setuju. Ini kerana mereka pernah ditindas, ada yang dibunuh kerana iman mereka kepada Yesus Kristus, Tuhan segala alam dan segala pengharapan hanya dariNya. Iman mereka tidak boleh dijual beli kerana mereka yakin akan kebenaran Yesus Kristus. Banyak biskop dibuang negara kerana biskop-biskop tersebut tidak mahu menerima ajaran Arius berikutan maharaja-maharaja yang menyokong ajaran itu. Selepas kemangkatan maharaja Constantine, para biskop ini meneguhkan iman mereka atas doktrin Tritunggal pada suatu persidangan yang diadakan di Constantinople pada tahun 381 Masihi.

 

Berikut adalah Pengakuan Iman Nicene atau dalam bahasa Inggerisnya Nicene Creed :

Versi Bahasa Inggeris Moden

We believe in one God, the Father, the Almighty,
maker of heaven and earth, of all that is, seen and unseen.
We believe in one Lord, Jesus Christ, the only Son of God,
eternally begotten from the Father, God from God, Light from Light,
true God from true God, begotten, not made, of the same substance as the Father.
Through him all things were made.
For us men and for our salvation he came down from heaven
by the power of the Holy Spirit
he was born of the Virgin Mary, and became man
For our sake he was crucified under Pontius Pilate,
he suffered, died, and was buried.
On the third day he rose again in accordance with the Scriptures
he ascended into heaven and is seated at the right hand of the Father
He will come again in glory to judge the living and the dead,
and his kingdom will have no end
We believe in the Holy Spirit, the Lord, the giver of life
who proceeds from the Father
With the Father and the Son he is worshipped and glorified
He has spoken through the Prophets
We believe in one holy catholic and apostolic Church
We acknowledge one baptism for the forgiveness of sins.
We look for the resurrection of the dead,
and the life of the world to come.
Amen.

Terjemahan

Kami percaya kepada Allah, Bapa yang Maha Kuasa,
Pencipta langit dan bumi serta segala sesuatu yang ada di dalamnya
Dan kepada satu Tuhan Yesus Kristus, Anak tunggal Allah,
satu-satunya daripada Bapa sebelum segala ciptaan; Cahaya dari cahaya
Tuhan sejati; dilahir, bukan dicipta, sehakikat dengan Bapa
dan daripadaNya segala sesuatu diciptakan.
Untuk kita dan keselamatan kita, Dia turun dari syurga,
menjadi manusia dengan kuasa Roh Kudus
dilahirkan menerusi perawan Maria dan menjadi manusia
Kerana kita Dia disalibkan oleh Pontius Pilatus
menderita dan dikuburkan
Dan menurut Alkitab bangkit semula pada hari ketiga
Dan naik ke syurga dan kini duduk di sebelah kanan Allah Bapa
Dia akan kembali dalam kemuliaan, untuk menghakimi yang hidup dan yang mati
dan kerajaanNya akan kekal selama-selamanya:
Kami percaya kepada Roh Kudus, Tuhan dan Sumber Kehidupan
yang datang dari Allah Bapa
Bersama Allah Bapa dan Anak, disembah dan dimuliakan.
Dia telah bersabda menerusi Rasul-rasulNya
Kami percaya kepada gereja yang kudus, dan universal
Kami percaya kepada baptisan sebagai tanda penebusan dosa,
Kami menantikan hari di mana yang mati akan bangkit semula
dan kehidupan yang kekal sesudahnya.
Amin.

 

[Kembali Laman Utama]