Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
171. Beliau kemudiannya menyuruh saya memberikan kenyataan.

172. Saya menyatakan kembali apa yang telah disuruh oleh para penangkap saya.

173. Selepas beliau merekodkan kenyataan saya, saya menandatanganinya seperti yang beliau
minta. Apabila beliau selesai, beliau memanggil kembali ASP Mazlan. Para pegawai ISA yang
lain menunggu di luar. Selepas saya diserahkan kembali kepada ASP Mazlan dan
pegawai-pegawai ISA, saya digari, dimasukkan ke dalam sebuah kereta dan dibawa ke Bukit
Aman. Di sana, saya disuruh duduk di dalam sebuah bilik di menara bangunan. Saya rasa saya
berada di tingkat 10 di dalam pejabat ASP Mazlan.

174. Ketika saya berada di sana, sekali lagi cap jari dan gambar saya diambil.

175. Seketika kemudian ASP Mazlan datang kepada saya dan memberi komen mengenai kenyataan
yang telah saya berikan kepada majistret. Beliau mengatakan yang ianya adalah lemah kerana
tidak mempunyai sebarang tarikh atau masa di dalamnya atau tempat dan butiran terperinci.
Saya memberitahunya bahawa para penyoal-siasat saya pada malam sebelumnya, secara spesifik
seorang pegawai kanan, telah memberikan taklimat kepada saya tentang apa yang hendak
dikatakan di dalam kenyataan. Tambahan lagi, pegawai kanan tersebut telah mengingatkan saya
sekali lagi pada petang tersebut tentang apa yang dipertaruhkan ke atas diri saya sekiranya
saya tidak mengikut apa yang diharapkan daripada saya.

176. ASP Mazlan kemudiannya menanya saya samada saya mempunyai seorang peguam. Saya
memberitahu yang saya tidak ada. Beliau berkata kepada saya bahawa saya tidak perlu bimbang
dan bahawa beliau sudah mempunyai seorang peguam untuk saya. ASP Mazlan tidak pernah pada
waktu ini, atau sebelum atau selepas itu, memberitahu saya bahawa isteri saya telah pun
mengambil seorang peguam untuk saya dan bahawa peguam tersebut sudahpun berhubung dengan
Ibu Pejabat Polis semenjak hari penahan saya yang pertama lagi.

177. Beliau kemudian membuat satu panggilan telefon dan bercakap dengan seseorang. Saya
tidak tahu dengan siapa beliau bercakap. Beliau menyatakan satu nama kepada saya - Yacob
Karim - dan selepas memberitahu saya bahawa dia akan menjadi peguam saya, beliau memberikan
telefon kepada saya. Yacob Karim ini mengingatkan saya bahawa kami pernah berjumpa di
sebuah konferens di Sarawak. Ianya berlaku sekali, enam tahun yang lalu. Saya tidak pernah
berjumpa lagi dengan Yacob Karim ini selepas itu dan tidak pun tahu di mana pejabatnya atau
nombor telefonnya. Walau bagaimanapun saya berasa lega kerana di sini akhirnya ada
seseorang yang pernah saya berjumpa, walaupun jika sekali enam tahun dahulu, dan bahawa
kemungkinan saya akan mendapat pertolongan daripadanya. Yacob Karim mengatakan bahawa
beliau akan berjumpa dengan saya secepat mungkin. Saya sangka saya bercakap dengan Yacob
Karim ketika beliau berada di dalam pejabatnya.

178. Kira-kira 5 hingga 10 minit kemudian ASP Mazlan berkata kepada saya bahawa beliau akan
membawa saya berjumpa dengan peguam tersebut, Yacob Karim. Kami meninggalkan pejabatnya dan
ASP Mazlan membawa bersama satu salinan kenyataan yang telah direkodkan oleh majistret.

179. Di dalam fikiran saya memang telah tersedia bahawa saya akan dipandu keluar dari Bukit
Aman ke sebuah pejabat di suatu tempat. Walhal lif berhenti samada di tingkat 3 atau 5.
Saya mengagak yang ASP Mazlan singgah di situ untuk mengambil sesuatu. Beliau menyuruh saya
keluar mengikutnya. Kami memasuki satu bilik di mana saya lihat sebuah meja dan dua buah
kerusi. Saya disuruh duduk. Belum pun sempat saya mendudukinya, Yacob Karim berjalan masuk
melalui sebuah pintu lain.

180. Apa yang dapat saya katakan ialah ianya telah pun dirancang dan apabila ASP Mazlan
bercakap dengan Yacob Karim sekejap tadi, Yacob Karim ini memang telah berada di Ibu
Pejabat Polis.

181. Yacob Karim duduk di meja bertentangan dengan saya. Ayat pertamanya kepada saya ialah
beliau bersimpati bahawa peliwatan telah berlaku ke atas diri saya. Saya begitu terkejut
mendengarnya. Ini menunjukkan yang beliau telah pun diberi taklimat oleh pihak polis dan
lebih mengejutkan bahawa beliau mempercayainya. Beliau mempunyai satu salinan kenyataan
tersebut bersamanya.

182. ASP Mazlan dan seorang lagi pegawai polis yang saya tidak dapat pastikan ada bersama
sepanjang waktu saya bersama dengan Yacob Karim.

183. Yacob Karim kemudian memulakannya dengan memberitahu saya bahawa rancangan telah pun
diatur dan bahawa saya akan dibawa ke mahkamah seksyen pada esok hari dan bahawa saya
dikehendaki untuk mengaku bersalah di atas satu tuduhan dan mengaku terhadap kesalahan.
Saya menanya beliau mengapa saya diminta untuk mengaku salah dan beliau menjawab sekiranya
tidak, mereka tidak boleh memulakan kes terhadap Anwar. Beliau berkata yang perancangan
telah diatur untuk saya mendapat hukuman yang ringan. Kepada setiap soalan yang saya
berikan kepadanya selepas itu, beliau memberikan satu jawapan yang sama - "Jangan tanya
saya. Tanya pihak polis."

184. Beliau kemudian mula menanyakan beberapa soalan ringkas mengenai latarbelakang saya,
membuat beberapa catitan nota dengan tangan dan menambah yang beliau telah pun mendapat
maklumat mengenai latarbelakang saya daripada pihak polis. Beliau asyik meyakinkan saya
sepanjang masa bahawa hukuman yang akan diberikan adalah ringan dan bahawa ianya hanyalah
untuk beberapa bulan. Saya cuba memberitahunya bahawa saya tidak melakukan apa-apa
kesalahan tetapi beliau menjawab bahawa saya tidak perlu bimbang dan bahawa saya sedang
melakukan khidmat yang baik untuk negara, bahawa negara Malaysia akan mengingati saya
tentang khidmat yang saya berikan.

185. Yacob Karim keluar selepas itu.
 
 

186. Yacob Karim tidak pernah sekalipun bercakap mengenai bayaran atau diambil oleh saya
atau memberitahu isteri saya mengenai keadaan diri saya. Saya sekarang ini tidak terkejut
dengan cara beliau mengendalikan saya petang tersebut setelah perlakuannya yang sebegitu
rupa pada waktu itu dan berikutannya menunjukkan dia dengan jelas bekerjasama dengan pihak
polis untuk menafikan hak saya.

187. Selepas Yacob Karim pergi, tiga daripada penyoal-siasat saya yang lalu masuk ke dalam
bilik. Seorang daripada mereka ialah pegawai Melayu yang telah beterusan menyoal-siasat
saya semenjak perpindahan saya ke pusat soal-siasat. Mereka mengingatkan saya mengenai
perancangan yang telah dibuat untuk hari esok dan memberi amaran mengenai akibatnya,
sekiranya sesuatu yang tidak kena berlaku. Saya diingatkan yang keluarga saya berada di
dalam keadaan yang lemah dan bahawa pengorbanan saya adalah kecil demi kebaikan mereka dan
saya. Saya diberitahu yang agen-agen Amerika sedang menunggu perbicaraan esok hari dan akan
berangkat selepas itu dan bahawa kerakyatan Amerika saya sudahpun terjamin. Saya diberitahu
yang negara akan berbangga dengan saya, bahawa ianya adalah satu pertolongan kecil untuk
Malaysia.

188. Saya diberikan amaran untuk tabah pada esok hari dan untuk mengaku salah sepertimana
peguam telah memberitahu saya. Saya diberitahu bahawa saya mestilah mempercayai para
pegawai kanan ISA dan bahawa kesemua janji-janji mereka akan dilaksanakan. Mereka
memberitahu saya yang saya hendaklah memahami kesusahan mereka kerana orang-orang Anwar
sekarang sudah menjadi musuh saya dan bahawa mereka cuba untuk membakar rumah saya dan
mencederakan saya dan keluarga saya. Mereka berkata yang saya terpaksa pergi untuk 5 hingga
6 bulan supaya perkara tersebut menjadi reda namun selepas saya keluar dari penjara, ada
pekerjaan menanti saya. Semasa 5 hingga 6 bulan itu, mereka berkata, keluarga saya akan
dijaga dan bahawa mereka telah pun bercakap dengan isteri saya. Isteri saya sekarang
memberitahu saya bahawa tidak ada seorang pun daripada Ibu Pejabat Polis menelefon beliau
atau memberikan sebarang maklumat mengenai di mana saya berada.

189. Selepas semua amaran tersebut, saya ditahan di dalam sebuah bilik kurungan di Bukit
Aman dan ditinggalkan sendirian untuk malam tersebut.

190. Pada keesokan paginya, saya adalah seorang yang begitu berkecamuk dengan kebimbangan.
Saya disuruh memakai pakaian yang sama ketika saya ditangkap tempoh hari. Saya memakai
slipper di kaki dan diberikan ketayap untuk dipakai untuk melindungi kepala saya yang
botak.

191. Saya dibawa ke kompleks mahkamah oleh ASP Mazlan dan beberapa pegawai polis yang lain.
Mereka menggunakan pelbagai taktik samaran dan muslihat yang pada mulanya untuk
menyembunyikan saya daripada segerombolan jurugambar-jurugambar yang berada di situ. Saya
akhirnya dibawa masuk ke sebuah mahkamah. Saya menggeletar dan degupan jantung saya menjadi
semakin kuat. Saya mengalami kesusahan bernafas dan saya mengalami kesusahan untuk mengawal
pundi kencing saya. Saya dapat mengingat yang pada satu ketika seseorang memberikan sesuatu
untuk saya pakai untuk menghentikan kegetaran saya tetapi ianya tidak membantu. Saya dapat
mengingat yang pada satu ketika, di tengah-tengah perbicaraan mahkamah, saya tidak dapat
mengawal pundi kencing saya lagi dan terpaksa dibenarkan untuk pergi membuang air kecil.

192.Saya kemudiannya dibawa masuk ke dalam sebuah mahkamah oleh ASP Mazlan dan ramai lagi
pegawai polis yang lain. Yacob Karim berada di dalam mahkamah. Saya nampak ASP Mazlan dan
beberapa pegawai polis yang lain berpecah di kawasan mahkamah. Yacob Karim datang kepada
saya dan menyerahkan dua dokumen. Beliau berkata ianya adalah pertuduhan yang saya mesti
akui. Saya melihat dokumen tersebut buat pertama kalinya pagi tersebut. Walaupun di dalam
keadaan sebegitu, saya terkejut dengan isi kandungannya. Yacob Karim memberitahu saya
supaya jangan menyoal apa-apa, hanya mengaku bersalah dan kemudian, apabila ditanya, untuk
mengiyakan yang saya tahu bahawa saya boleh dihukum di atas kesalahan tersebut. Beliau
kemudian menunjukkan saya sehelai lagi kertas yang beliau katakan adalah fakta-fakta kes.
Beliau berkata apabila fakta-fakta dibacakan kepada saya, saya dikehendaki untuk mengakukan
mereka dan jangan berkata apa-apa lagi. Beliau memberitahu saya bahawa beliau akan
menangani yang lainnya dan kesemuanya telah pun dijaga.

193. Pada satu ketika sebelum hakim masuk ke dalam mahkamah, saya nampak seorang lelaki
datang kepada saya. Beliau berkata bahawa beliau adalah seorang peguam dan bahawa isteri
saya telah melantik beliau untuk mewakili saya. Lelaki ini menuding kepada Yacob Karim dan
menanya siapakah dia. Yacob Karim datang ke tempat saya dan berdiri di situ. Lelaki ini
bercakap dengan saya secara tiba-tiba dan menanya siapa yang melantik Yacob. Saya menunjuk
kepada ASP Mazlan. ASP Mazlan nampak marah dan serta merta membuat isyarat supaya saya
jangan melibatkan dirinya dan menuding ke arah Yacob Karim. Saya nampak beberapa pegawai
polis berpakaian biasa mula bergerak. Saya panik, memikirkan apa yang akan terjadi dan
takutkan apa yang akan terjadi kepada isteri dan anak-anak saya. Yacob yang selama ini
senyap tiba-tiba bersuara dan berkata bahawa beliau adalah peguam saya. Saya hilang
pertimbangan diri kerana amat ketakutan. Kepala saya dipenuhi dengan ISA, ugutan yang
dibuat terhadap diri saya dan keluarga saya, keperluan untuk menyimpan rahsia mengenai
pihak polis sepertimana yang mereka mahukan. Saya rasakan sekiranya saya membuat satu
langkah yang tidak disenangi oleh pihak polis, keluarga saya akan dicederakan, bahawa
mereka akan menggunakan segala kekuatan mereka ke atas isteri saya dan kedua anak saya yang
masih kecil. Saya telah pun merasai kuasa kekuatan mereka.

194. Saya menjerit kepada peguam ini perkataan-perkataan yang memberikan maksud bahawa dia
tidak ada hak untuk berkomunikasi dengan isteri saya ataupun masuk campur dalam hal
peribadi saya. Saya berharap dengan kemarahan tersebut untuk memujuk para penangkap saya
supaya mereka tidak akan mengganggu keluarga saya. Saya kemudiannya bercakap dengan kuat
untuk ASP Mazlan dan pegawai polis yang lain dengar bahawa saya tidak mempunyai apa-apa
dengan peguam yang datang ke situ.

195. Pada beberapa ketika semasa saya berada di mahkamah itu saya nampak isteri saya. Dia
nampak tergamam, seperti ukiran batu. Dia kelihatan seperti tidak dapat bergerak, seperti
seekor haiwan yang tertangkap di dalam suluhan lampu kereta bergerak yang terang. Dia tidak
mengedipkan mata pun. Dia begitu tidak bermaya. Begitu juga saya.

196. Ini merupakan kali pertama saya pernah berada di dalam sebuah mahkamah. Saya tidak
pernah membuat kesalahan, sekalipun kesalahan memakir sepanjang 23 tahun kehidupan saya di
Amerika.

197. Perbicaraan berjalan dengan cepat selepas itu. Saya melakukan apa yang polis harapkan
daripada saya. Saya menggeletar tanpa kawalan sepanjang perbicaraan. Walaupun sepasang
jaket yang diletakkan di atas badan saya tidak dapat menghentikan saya daripada menggeletar
tanpa kawalan. Tidak seorang pun mengambil-berat. Segala perkatan, bunyi, pemandangan,
terapung-apung di sekeliling saya seolah-olah saya sedang bermimpi. Proses rayuan Yacob
sekarang berada di tahap bertulis. Saya dihukum dan kemudian digari. Yacob datang kepada
saya dan memberitahu saya supaya tidak perlu bimbang. ASP Mazlan datang kepada saya dan
berkata yang saya sekarang perlu menghadapi kamera. Saya dibawa keluar dan bertemu dengan
segerombolan jurugambar. Saya dipindahkan ke sebuah bilik kurungan di kompleks mahkamah.
Sebelum meninggalkan saya di situ, ASP Mazlan datang kepada saya sekali lagi dan berkata
bahawa Ketua Polis Negara sangat gembira dengan cara saya mengendalikan diri saya di
mahkamah.

198. Selepas perbicaraan mahkamah, saya dihantar ke Penjara Kajang dan dari situ, pada 23
September 1998, disebabkan oleh kesihatan saya yang semakin teruk, saya dikejarkan ke
Institut Jantung Negara dan kemudian dipindahkan ke Wad Rawatan Jantung [Wad 29] di
Hospital Besar Kuala Lumpur.

199. Semasa saya berada di Wad Rawatan Jantung (Wad 29) di Hospital Besar, saya telah
dilawati beberapa kali oleh para pegawai polis bersama dengan Yacob Karim. Mereka adalah
pelawat yang tidak diundang yang sentiasa mencuba secara bergilir-gilir mengugut,
meyakinkan dan menasihati saya menentang pemfailan atau perbicaraan rayuan kesilapan
penghukuman dan hukuman yang telah direkodkan terhadap saya pada 19 September 1998 oleh
Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur. Salah seorang pegawai yang datang ke Wad Rawatan Jantung
(Wad 29) adalah Ketua Inspektor Rajakopal yang namanya telah direkodkan sebagai pengadu di
atas kertas tuduhan yang telah difailkan di Mahkamah Seksyen di dalam kes saya.

200. Pegawai-pegawai penjara yang mengawal saya di Hospital Besar menyelaraskan sebuah buku
log mengenai kesemua pergerakan dan pelawat-pelawat semasa saya berada di hospital. Ianya
adalah rekod mengenai kesemua lawatan yang dibuat oleh Yacob Karim dan pegawai-pegawai
polis yang datang bersama, kadang-kadang selepas waktu atau hari kebiasaan melawat.

201. Saya nyatakan dengan mutlak bahawa saya tidak pernah mempunyai sebarang hubungan
homoseks dengan Anwar Ibrahim ataupun sesiapa. Saya nyatakan dengan mutlak lagi bahawa
segala butiran mengenai pertuduhan hubungan homoseks yang terkandung di dalam kenyataan
yang diberikan kepada majistret dan semua yang diberikan kepada mahkamah oleh pihak
pendakwaraya dan Yacob Karim pada 19 September 1998 adalah tidak benar dan direka oleh
pihak polis.

202. Saya telah disoal-siasat di dalam sessi yang amat panjang dan berterusan. Saya
sentiasa dipindahkan dari bilik kurungan saya sebagai No: 26, sentiasa ditutup mata dan
digari. Saya telah dimalukan secara sistematik oleh para penangkap saya yang sentiasa tidak
dapat dikenalpasti. Mereka melucutkan kesemua kehormatan diri saya; mereka menjatuhkan
maruah saya dan membinasakan ketabahan dan daya tahan saya; mereka mengugut saya dan
keluarga saya; mereka menakut-nakutkan saya; mereka "membasuh fikiran" (brainwash) saya
hingga ke tahap bahawa saya dihadapkan ke mahkamah pada 19 September 1998 dalam keadaan
orang yang amat menggeletar dan bersedia untuk melakukan apa saja untuk menghentikan
kemusnahan diri sendiri.

203. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan saya tidak bersalah. Saya adalah seorang
lelaki yang rumahtangganya amat bahagia dengan dua orang anak yang comel. Saya hanya
melakukan kerja saya dan menyukainya. Para penangkap dan penyoal-siasat saya telah
menghancurkan kesemua itu. Mereka telah melakukan kesalahan dengan memaksa saya menjadi
seorang penjenayah dan telah mengambil kebebasan saya. Mereka telah menghancurkan keyakinan
diri saya dan telah memalukan saya. Mereka telah memusnahkan kedamaian, keharmonian dan
kebahagiaan keluarga saya dan kesederhanaan rumahtangga saya.

204. Saya telah mempunyai reputasi yang terkenal di seluruh dunia sebagai seorang
cendiakawan yang dihormati. Ianya mengambil masa selama bertahun-tahun untuk mencapai
status ini. Senarai buku (bibliografi) kerja-kerja saya dikepilkan bersama dengan pengakuan
bersumpah ini adalah bukti kerja-kerja saya. Para penangkap saya untuk tujuan jenayah
mereka telah menghancurkan imej saya secara tidak adil.

205. Saya tidak nelakukan apa-apa kesalahan dan saya tidak bersalah. Tuhan mengetahuinya.

Dan saya membuat pengakuan yang serius dan teliti ini mempercayai ianya adalah benar dan
dengan sifat murni mengikut syarat-syarat yang terkandung di dalam Akta Undang-Undang
Keterangan 1960.
 


 

Terjemahan keris tamingsari

Sumber Asal : http://members.tripod.com/~bantahan/anees.htm