Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Pulau Pinang

Kita boleh ke Pulau Mutiara atau Pulau Pinang, dengan menaiki feri. Di sana, tidak terkira banyaknya tempat peranginan dan tempat menarik. Jangan lepaskan peluang mandi laut di pantai Batu Ferringhi dan Teluk Bahang. Pulau ini terkenal dengan pantainya yang panjang dan putih bersih, saujana mata memandang. Selepas mandi-manda di Teluk Bahang, kamu juga boleh melawat Taman Rama-Rama. Ada lebih 3000 ekor rama-rama yang amat indah dengan landskap yang amat mempesonakan terdapat di sini.


Kemudian, lawatlah Muzium dan Galeri Seni Lukis Pulau
Pinang. Selepas itu, singgah sebentar di Kuil Khoo Kongsi untuk melihat keunikan kuil yang menyerupai istana Maharaja China itu. Selepas itu, kamu boleh mengisi perut anda dengan rojak pasembur dan laksa Pulau Pinang di Padang Kota sambil melihat meriam dan kubu yang dibina semasa Sir Francis Light mendarat di pulau tersebut pada tahun 1786.

Di Jalan Masjid Negeri pula, terdapat Masjid Negeri yang amat indah, yang dapat menempatkan lebih 5000 jemaah pada satu-satu masa. Di Air Itam, ada satu lagi kuil, iaitu Kek Lok Si, salah sebuah kuil terindah di Asia Tenggara. Untuk menenangkan fikiran, pergilah berkelah dan mandi-manda di Air Terjun Taman Rimba. Di Bukit Jambul pula, kamu boleh mencuci mata melihat Taman Orkid dan Taman Bunga Raya. Tokong Ular terletak hanya 3.2 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa di Bayan Lepas.

Tokong Ular ini menempatkan ular yang amat berbisa. Oh ya, anda ingin melawat kampung Melayu yang paling unik dan terindah di
pulau ini? Sama-samalah kita ke Kampung Seronok di Batu Maung. Di sini anda dapat melihat dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kebudayaan. Tidak sah sekiranya lawatan ke Pulau Pinang
tidak disertai dengan menaiki kereta api kabel ke puncak Bukit Bendera. Seronok apabila melihat pemandangan nun jauh di bawah sana, semasa berada dalam kereta api itu! Di Pulau Pinang mempunyai jambatan yang amat terkenal sepanjang 13.5 km.

 

[Kembali ke ZON 'A']