Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
 

KENALI SAYA

KONGSI ILMU

ARKIB PERIBADI

PETA WEB

 |  Dunia IT  |  Pengurusan Diri  |  Motivasi  |  Dunia Islam  |

                     Pilihan Artikel:                    
Menangani Masalah Perkakasan Dan Virus
Membangunkan Laman Web Yang Baik
Panduan Memilih Dan Membeli Komputer

 

Dunia IT

  Membangunkan Laman Web Yang Baik

     Internet dan web kini semakin mendapat perhatian ramai kerana keupayaannya menyampai dan memperolehi maklumat serta berhubung secara berkesan. Maka, laman web juga semakin diminati untuk dibangunkan oleh orang perseorangan. Namun, sejauh mana keberkesanan laman web yang dibina? Ramai sebenarnya yang mempunyai laman web peribadi, tetapi tidak berjaya menarik minat pelayar internet. Malah, terdapat juga laman web komersial yang tidak mendapat sambutan menggalakkan. Justeru, sebelum membangunkan laman web, sepatutnya seseorang itu perlu mengetahui cara membangunkan laman web yang berkesan.
     Kerja-kerja membangunkan laman web memerlukan beberapa langkah dan pengetahuan yang cukup. Seseorang yang ingin membangunkan laman web seharusnya membiasakan diri dengan web terlebih dahulu. Jika masih belum biasa dengan web, luangkanlah masa menjelajah internet. Secara lebih terperinci, anda mesti melengkapi diri dengan pengetahuan teknologi web dan faktor kejayaan laman web yang terkenal.
     Sebelum segala proses membina, perkara pertama yang perlu dibuat ialah membuat kajian mengenai laman web yang hendak dibina. Kajian perlulah menyeluruh iaitu mengkaji segala topik yang berkaitan seperti faktor dan objektif web itu, isi yang ingin dimuatkan, konsep yang hendak ditampilkan, teknologi web yang akan digunakan, kemudahan dan kehendak pengguna yang perlu dipenuhi serta hos yang akan dipilih. Buatlah kajian secara terperinci agar pembaziran masa, tenaga dan wang tidak berlaku.
     Seterusnya melakarkan laman web anda mengikut konsep yang ingin ditampilkan. Lakarkan laman pertama hinggalah akhir. Lakarkan juga jaringan antara setiap laman. Susun semua laman yang dilakarkan mengikut turutan dan cabang-cabangnya, daripada muka utama ke cabang di bawahnya. Anda boleh menunjukkannya dengan rajah pohon atau peta minda. Ia penting agar tidak terdapat jaringan yang salah serta dapat memberi kemudahan kepada pengguna.
     Langkah berikutnya ialah merealisasikan lakaran tadi ke paparan sebenar web anda. Gunakan perisian rekabentuk grafik seperti Adobe Photoshop, Paint Shop Pro dan lain-lain lagi. Tetapkan menu utama yang seragam di setiap laman, grafik yang menarik, warna yang akan digunakan dan animasi yang hendak dimuatkan. Pastikan semua laman mempunyai keseragaman warna, posisi menu utama dan menu kecil, jenis dan warna teks. Anda juga perlu menerapkan konsep mesra pengguna kepada laman web anda. Warna tidak perlulah terlalu contrast sebaliknya memberikan pandangan yang redup kepada mata. Menu pula perlulah ditempatkan di bahagian yang mudah dicapai seperti menggunakan beberapa bingkai. Pengguna juga perlu di pandu seperti menyediakan laman senarai kandungan, bantuan jika terdapat kerosakan laman dan sebagainya.
     Kemudian, barulah anda boleh membuka perisian membina web dan mula membina. Perisian-perisian yang baik ialah seperti FrontPage, Dreamweaver, Go Live, Web Page, Netscape Composer dan lain-lain. Saya sarankan anda menggunakan seberapa banyak perisian yang ada dan cuba bandingkan keberkesanannya serta kemudahan yang memudahkan anda kerana semua perisian ini mempunyai kelebihan dan teknologi masing-masing. Jika anda ingin menerapkan konsep multimedia interaktif, sebaiknya anda menggunakan Flash, Swish ataupun Adobe Live Motion. Walaubagaimana pun, anda seharusnya memberikan pilihan kepada bakal pelayar laman web anda untuk menggunakan antaramuka biasa iaitu anda tidak boleh meninggalkan terus perisian-perisian membina web seperti yang disebutkan.
     Teknologi web yang digunakan juga perlu diberi perhatian. Anda boleh menggunakan teknologi Java Script, Java Applets, CGI, DHTML, XML, PHP, Flash dan sebagainya. Namun, anda perlu mengkajinya dengan teliti kerana ianya mungkin tidak disenangi oleh pelayar-pelayar internet kerana terdapat teknologi yang memerlukan plug-in tambahan, masa memuatkan laman yang lama dan kemungkinan kesalahan kod. Di dalam HTML sendiri, anda juga perlu menentukan keberkesanan menggunakan beberapa bingkai, table yang banyak, dan grafik yang besar failnya.
Grafik yang digunakan sebaiknya tidak terlalu besar saiznya, kerana ianya mempengaruhi masa laman dimuatkan di dalam memori. Saiz grafik yang baik untuk masa yang pantas bagi proses memuatkan laman anda ialah kurang daripada 30Kb dengan saiz laman kurang daripada 60Kb. Format grafik yang baik untuk web ialah GIF dan Jpeg. Format GIF adalah yang terbaik kerana boleh membuatkan grafik telus, animasi dan saiz yang kecil setelah dioptimakan. Manakala Jpeg pula memberikan kualiti resolusi yang baik dengan saiz yang kecil jika dibandingkan dengan format Bitmap.
     Sebelum anda memuatkan laman web anda ke internet, anda perlu menyemaknya semula. Pastikan tiada kesalahan ejaan, jaringan, kod dan keserasian dengan perisian pelayar-pelayar web yang ada. Terdapat teknologi web yang tidak dapat dipaparkan di sesetengah pelayar web. Anda perlu membuka laman web anda di dalam perisian-perisian pelayar web yang terkenal seperti Internet Explorer, Netscape Navigator, NeoPlanet, Opera, NetCaptor dan sebagainya. Betulkan semula segala kesalahan dan semak sehingga anda berpuas hati. Pastikan juga fail laman pertama anda dinamakan "index.html" dan semua laman lain tidak dimulakan dengan huruf besar. Ini penting untuk memastikan hos yang anda pilih dapat membaca fail yang anda muatkan nanti.
     Seterusnya, pilih dan daftarkan laman web anda di hos yang banyak terdapat dipasaran internet. Anda boleh mendapatkan ruang percuma seperti di Geocities, Tripod, 50megs dan banyak lagi. Anda juga boleh mendapatkan domain anda sendiri seperti www.namasaya.com atau www.namasaya.net dengan mendapatkannya daripada MyNic, Internic dan sebagainya beserta bayaran tahunan.
     Kemudian, muatkan laman web anda di internet dengan pengurusan fail yang terdapat di hos anda atau menggunakan perisian-perisian FTP seperti WS_FTP dan CuteFTP. Muatkan semua fail laman dan grafik yang anda bina. Simpan nama hos, ID dan kata laluan anda dengan baik. Selalulah mengemaskini laman web anda agar pengunjung tidak jemu dengannya. Akhir sekali, promosikan laman web anda dengan menghantar alamat web anda kepada kenalan dan mendaftarkannya di tapak web pencari yang popular seperti google, yahoo dan lain-lain lagi.