| |
Strategi Terbaik Musuh
Islam
Selepas Perang Salib antara orang
Eropah dan Islam, permusuhan terhadap umat muslim tidak pernah berakhir.
Malah mereka telah mengatur strategi terbaiknya. Mungkin ramai yang tidak
menyedarinya kerana strategi ini telah dilancarkan agak lama dan ianya tidak
terhenti, tetapi berterusan beratus tahun lamanya sehingga kini. Serangan
telah lama dilancarkan terhadap umat Islam di seluruh dunia tanpa serang
balas daripada umat Islam, malah terdapat juga antara kita yang berpaling
tadah menjadi jentera mereka tanpa disedari. Maka, tidak dapat dinafikan
lagi bahawa kita telah kalah kepada serangan mereka. Justeru, kita perlu
mengetahui segala strategi mereka untuk menahan dan membalas serangan yang
dilancarkan.
Setelah
gagal untuk menghancurkan umat Islam dengan serangan ketenteraan, mereka
mengkaji semula sebab kegagalan lalu merancang semula strategi baru. Perkara
pertama ialah menghapuskan sistem Khilafah Islam. Mereka amat takut selepas
jatuhnya Khilafah Islam Turki akan bangkit pula Khilafah Islam di tempat
lain. Maka, mereka sedaya upaya menghalang kewujudan kerajaan Islam yang
baru. Negara-negara Islam telah dipecah menjadi negara-negara kecil dengan
pemerintahan sendiri yang tidak terikat antara satu sama lain. Sistem
demokrasi dan republic diperkenalkan kepada negara-negara Islam menyebabkan
wujudnya perpecahan di dalam negara sendiri. Orang bukan Islam dibawa masuk
ke negara-negara Islam agar pemerintahan Islam tidak dapat diwujudkan
disebabkan terdapat rakyat bukan Islam di negara tersebut.
Kemudian
mereka melihat al-Quran sebagai sumber kekuatan orang Islam. Membiarkan al-Quran
dihayati dan diamalkan akan menyebabkan umat Islam kembali mendapat kekuatan.
Maka, mereka membawa bahan-bahan bacaan lain yang lebih menarik perhatian.
Kehidupan pula disajikan hiburan yang mudah didapati di mana-mana. Sistem
pendidikan sekular pula ditekankan agar al-Quran semakin jauh daripada
pegangan. Lalu, al-Quran semakin tersisih dan tidak diamalkan.
Seterusnya,
mereka mula merosakkan akhlak dan pemikiran umat Islam. Kita disogokkan
segala perkara yang amat bertentangan dengan akhlak Islam di kaca televisyen,
majalah-majalah dan yang terbaru internet. Ternyata strategi ini berkesan
jika kita lihat keruntuhan akhlak umat Islam hari ini yang amat bertentangan
dengan kehidupan sebenar umat Islam. Malah lebih menyedihkan, apabila
terdapat umat yang telah terpengaruh turut mempengaruhi rakan-rakannya yang
lain, seolah-olah menjadi jentera musuh tanpa mereka sedari.
Strategi
berikutnya pula ialah memecahkan kesatuan Islam. Mereka pernah berkata
bahawa apabila umat Islam berpecah belah, ketika itu kita tidak dapat
berbuat apa-apa, tidak mempunyai kekuatan dan pengaruh. Mereka sentiasa
berwaspada agar negara-negara Islam yang telah dipecahkan tidak tercantum
semula. Arnold Thornby ketika menulis mengenai masa depan Islam dan Eropah
mengingatkan;
"Sesungguhnya
kesatuan Islam sekarang ini sedang tidur, akan tetapi kita mesti meletakkan
di dalam perkiraan kita bahawa orang yang tidur biasanya akan bangun."
Musuh-musuh
Islam juga cuba sedaya upaya untuk menyelewengkan ajaran Islam yang sebenar.
Mereka cuba menangkis dakwaan orang Islam yang mengatakan agama Islam
sebagai cara hidup dan Islam adalah agama yang paling sempurna. Majalah "at-Tamaddun
al-Islami" membongkar ensiklopedia "Historu of Human
Race" yang diterbitkan oleh UNESCO bagi PBB yang menyelewengkan
fakta tentang Islam iaitu:
- Islam adalah cantuman
dari agama Yahudi, Kristian dan agama berhala Arab.
- Al-Quran adalah kitab
yang tidak ada nilai sastera.
- Hadis adalah ciptaan
beberapa orang tertentu selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Lalu
dikatakan ianya sabdaannya.
- Ulama-ulama
syariah Islam telah menulis kitab-kitab syariah bersandarkan kepada
undang-undang Rom, Parsi, Taurat dan gereja.
- Wanita tiada nilai dalam
masyarakat Islam.
- Islam telah menganiaya
orang bukan Islam di negara Islam dengan mengenakan cukai kepala dan
tanah.
Bukan itu sahaja, mereka juga berusaha mengekalkan orang Arab di dalam
keadaan lemah. Orang Eropah percaya bahawa orang Arab merupakan pencetus
kepada umat Islam seluruhnya. Justeru perlu dibiarkan lemah dan tidak
bersatu. Bani Israel di bumi Arab terus dilindungi, manakala Palestin terus
ditindas. Negara-negara Arab terus dibiarkan mundur dan miskin.
Mereka
juga sedar dan takut sekiranya muncul semula pemimpin yang berwibawa yang
dapat memimpin dan menyatu padukan umat Islam seperti Salahuddun Al-Ayubi
ataupun dengan kata lain, munculnya kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w yang baru.
Lalu, segala pergerakan Islam sentiasa diawasi, dan jika terdapat
tanda-tanda kebangkitan, mereka akan cepat bertindak. Begitulah yang dapat
dilihat seperti di Acheh, Ambon dan Maluku yang telah mereka ketahui
merupakan kesatuan Islam yang semakin kuat dewasa ini. Lalu mereka sedaya
upaya menghapuskan gerakan ini. Indonesia pula ditindas dengan kuasa ekonomi
kerana melihat kebangkitan Islam yang semakin rancak di negara itu.
Banyak
strategi lain yang mungkin kita tidak sedari. Globalisasi yang diperkenalkan
juga dilihat seperti satu lagi strategi mereka untuk terus membenam dunia
Islam. Justeru, kita harus sedar akan strategi mereka dan perlu berwaspada
serta terus berusaha untuk membentuk kesatuan Islam di dunia Melayu terlebih
dahulu.
|
|