 |
|
 |
Dunia
IT |
|
 |
| |
Menangani masalah perkakasan dan virus
Dunia pengkomputeran tidak lepas daripada masalah yang datang
menyerang kita. Masala yang berlaku biasanya terjadi akibat kerosakan
perkakasan komputer itu sendiri mahupun perisiannya. Masalah kerosakan
perkakasan yang sering berlaku selalunya diakibatkan arus elektrik
berlebihan, perkakasan yang tidak berkualiti tinggi, jagaan yang tidak
sempurna dan juga serangan virus. Manakala masalah di dalam kelancaran
perisian yang digunakan biasanya diakibatkan masalah serangan virus.
Kerosakan memang tidak dapat dielakkan oleh sesiapapun, tetapi kita
perlu mempunyai inisiatif untuk mempelajari cara menanganinya.
Masalah kerosakan perkakasan akibat arus elektrik berlebihan boleh
diatasi dengan menggunakan penapis arus elektrik yang banyak di pasaran.
Bagi pengguna PC, seharusnya kita melindungi PC kita daripada arus
elektrik yang berlebihan. Arus yang berlebihan akan mengakibatkan
kerosakan di dalam CPU dan cakera keras. Apabila ianya berlaku, kerugian
adalah lebih besar daripada kos membeli penapis arus elektrik itu.
Kerosakan yang berlaku adalah sukar untuk dibaiki tetapi perlu
digantikan dengan perkakasan baru.
Masalah akibat perkakasan yang tidak berkualiti tinggi adalah sukar
untuk dielak dan diramalkan. Oleh itu, ketika membeli PC, kita tidak
seharusnya melupakan perkataan warranty atau jaminan. Sebaiknya, belilah
komputer daripada peniaga yang menyediakan warranty terhadap barangan
kita sekurang-kurangnya dua tahun. Masalah kerosakan perkakasan mudah
dikesan. Contohnya, bunyi bip pada awal komputer mula dihidupkan
mempunyai kod-kod tertentu. Bunyi bip sekali menunjukkan tiada masalah
yang berlaku. Tetapi jika bunyi bip adalah panjang atau putus putus,
kemungkinan terdapat kerosakan pada kipas CPU, RAM ataupun papan litar.
Penjagaan yang sempurna adalah penting untuk memastikan jangka
hayat komputer kita lebih panjang. Perkara pertama yang tidak boleh
diabaikan mengenai penjagaan komputer ialah pembersihannya selang
setengah tahun sekurang-kurangnya. Buka penutup CPU dan bersihkan habuk
yang melekat di papan litar, kipas dan pemproses dengan menggunakan
udara mampat dan kain nyah statik. Ketika membersihkan papan litar
perkara yang perlu diberi perhatian ialah mengenai sensitivitinya
terhadap arus statik di dalam badan kita. Cuba hilangkan cas statik di
badan kita dengan menyentuh penutup casing komputer atupun dengan alatan
khas menghilangkan cas statik di badan kita.
Masalah virus pula memang sukar untuk dielakkan. Bak kata pepatah,
di mana ada gula, di situlah ada semut. Virus yang menyerang komputer
datang di dalam pelbagai bentuk yang sukar dikesan. Virus yang menyerang
mempunyai pelbagai cara untuk merosakkan pengoperasian komputer kita.
Ada yang menduduki sebahagian cakera keras dan menunggu untuk menyerang
apabila ia tercantum. Terdapat virus yang menyerang partition table
cakera keras, virus yang menyerang fail-fail di dalam storan sekunder,
virus yang menyerang perisian pemprosesan perkakasan seperti Microsoft
Office, virus yang membuat gandaan di dalam storan sekunder dan pelbagai
cara lagi.
Virus boleh bertahan agak lama tanpa dapat dikesan. Hasilnya ia
akan memberikan petanda-petanda sebelum ia menyerang. Petanda serangan
virus adalah seperti perubahan dalam saiz fail, perubahan pada tarikh
fail walaupun ia tidak diubahsuai, program lambat untuk dijalankan,
operasi sistem yang perlahan, pengurangan ruang cakera keras dan memori
yang tidak dapat dikesan puncanya, kerosakan sektor, paparan mesej yang
ganjil, aturcara yang tidak dapat dijalankan, aktiviti skrin yang ganjil,
terdapat aktiviti capaian cakera keras semasa tiada aktiviti sedang
berjalan dan sistem boot gagal semasa komputer dihidupkan.
Untuk melindungi komputer daripada virus, terdapat perkara yang
perlu diberi perhatian. Berhati-hatilah dengan fail yang dihantar
menerusi emel, jangan memasuki ruangan borak yang membenarkan kita
memindah terima fail, menggunakan perisian antivirus serta selalu
mengemaskini perisian antivirus itu dengan mendapatkannya di laman web
pengeluar perisian itu, kemas kini perisian-perisian yang ada dan cuba
dapatkan pengimbas virus didalam talian sebelum memindah terima fail di
internet. Gunakan juga ciri keselamatan yang sesuai, tingkatkan
perlindungan dengan enkripsi iaitu untuk mengubah bentuk fail kepada
sebuah fail yang susah hendak dibaca atau dibuka. Gunakan kata laluan
dengan bijak iaitu cuba mempelbagaikan kata laluan dan tukarkannya
dengan kerap, serta membuat salinan dengan kerap terhadap fail-fail
penting.
Setiap perkara mempunyai masalah yang perlu dihadapi dan tiada
masalah yang tidak dapat diselesaikan. Maka, masalah di dalam dunia
pengkomputeran sepatutnya telah dipelajari terlebih dahulu sebelum kita
memiliki komputer. Selalulah berbincang dengan rakan-rakan mengenai
masalah yang dihadapi di dalam dunia pengkomputeran. Jangan sampai
masalah komputer menjejaskan kehidupan seharian anda. |
|
 |
|
 |
|