 |
|
 |
Pengurusan Diri |
|
 |
| |
Membuat Keputusan
Membuat keputusan merupakan satu cabaran kerana ia mungkin akan
menimbulkan kesan yang baik atau buruk, malah mungkin menimbulkan
perkara yang tidak terlintas langsung di fikiran. Kematangan dan
kebijaksanaan seseorang boleh dilihat daripada cara dia membuat
keputusan. Terdapat keputusan yang boleh dibuat dengan serta-merta dan
ada pula yang mengambil masa untuk difikirkan terlebih dahulu. Keputusan
yang dibuat secara tergesa-gesa adakalanya tidak membawa faedah, malah
lebih teruk jika menimbulkan pelbagai perkara buruk. Maka, kita haruslah
memahirkan diri terlebih dahulu dengan cara-cara membuat keputusan yang
betul.
1. Tenangkan fikiran
Apabila di dalam kebuntuan untuk membuat keputusan, elakkan rasa
tertekan dan yakinkan diri anda bahawa anda dapat membuat keputusan yang
terbaik. Tenangkan fikiran dan jangan bertindak di luar kawalan seperti
menjerit, menumbuk dinding, minum arak, memandu kenderaan dengan laju
dan sebagainya. Sebaliknya, cuba duduk, tarik nafas panjang ataupun
ambil wuduk dan menunaikan solat sunat. Fikiran yang tenang penting agar
kita dapat berfikir dengan waras tanpa menurut gerak hati yang mungkin
akan menambahkan lagi kerumitan.
2. Kenal pasti masalah sebenar
Setelah fikiran tenang, fikirkan semula perkara yang menjadi masalah
sebenar. Cuba ingat samada anda pernah menghadapinya ataupun pertama
kali. Jika pernah, ingat kembali keputusan yang telah dibuat dan
kesan-kesannya. Jika ianya pertama kali, fikirkan perkara itu dengan
teliti.
3. Kenal pasti pilihan
Fikirkan semua pilihan-pilihan yang ada. Cuba cari seberapa banyak
pilihan yang boleh dibuat. Untuk membuat keputusan yang amat penting dan
besar, sebaiknya sediakan kertas untuk mencatat pilihan-pilihan yang ada.
4. Kaji baik buruk pilihan
Setiap pilihan yang ada mempunyai kesan yang baik dan buruk kepada diri
sendiri atau orang lain. Oleh itu, setiap pilihan perlu dikaji dengan
teliti kesan yang akan timbul. Fikirkan sebanyak mungkin segala kesan
baik dan buruk yang mungkin terjadi jika pilihan itu yang diambil.
5. Buat pilihan terbaik
Setelah mengkaji baik buruk setiap tindakan, buatlah pilihan yang
terbaik iaitu yang paling banyak positifnya daripada negatif. Pastikan
keputusan yang dipilih benar-benar mampu untuk anda laksanakan dan
jangan menyesal dengan keputusan anda. Keputusan yang telah diambil
hendaklah dilakukan dengan penuh keyakinan. Tabahkan diri dan percaya
bahawa keputusan itulah yang terbaik.
6. Tegas dengan keputusan
Yakinlah bahawa keputusan yang dibuat adalah betul. Anda perlu tegas
dengan keputusan anda dan jangan ikut kata orang. Jangan mudah berubah,
sebaliknya tegaslah dengan keputusan yang anda. Kesabaran amat penting
setelah membuat keputusan agar anda tidak akan kecewa, malah lebih yakin
dengan diri sendiri.
7. Nilai semula
Apabila anda telah melaksanakan keputusan yang diambil, cuba lihat
kembali kesan-kesan yang berlaku. Adakah sama dengan apa yang telah
dikaji atau terdapat kesan-kesan lain yang tidak tersenarai? Simpan
catatan anda untuk dijadikan rujukan jika anda menghadapi perkara yang
serupa pada masa akan datang.
Kehidupan kita tidak pernah lari daripada menghadapi pilihan-pilihan
serta masalah yang mana ianya amat penting untuk menjadikan kita lebih
matang untuk menghadapi kehidupan mendatang. Membuat keputusan memerlukan
ketajaman fikiran dan keyakinan. Pengalaman juga dapat membantu kita
membuat keputusan terbaik. Jika ianya amat sukar, dapatkanlah buah
fikiran orang lain seperti ibubapa, rakan-rakan, guru, ataupun khidmat
kaunseling. |
|
 |
|
 |
|