Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

 

MASJID - MASJID NEGERI TERENGGANU

MASJID ABIDIN  I  MASJID TENGKU TENGAH ZAHARAH   I MASJID AL-MUKTAFIL BILLAH SHAH I MASJID AL-IKHLAS

Masjid Abidin

mabidin.jpg (8634 bytes)

Sebagai sebuah negeri Islam, maka masjid adalah suatu simbol agama yang dipandang mulia dan suci, selain daripada menjadikan tempat untuk beramal ibadat. Negeri Terengganu Darul Iman berasa bangga dengan adanya sebuah masjid bersejarah yang sekarang dikenali dengan nama Masjid Abidin yang tersergam dengan di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. Dahulunya masjid ini dikenali dengan nama Masjid Besar atau Masjid Puteh.

Bangunan masjid ini pada asalnya merupakan sebuah istana kayu yang didirikan oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin II ( Marhum Masjid 1793 – 1808 ) kemudian dalam tahun 1269H/1852M, Almarhum Baginda ( Sultan Umar ) telah mendirikan bangunan baru daripada batu. Bangunan masjid ini telah diperbesarkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, kira-kira dalam tahun 1319H (1901M ).

Menurut cerita, masjid ini pada mulanya didirikan tanpa tiang di tengah-tengah bahagian dalam bangunan. Dindingnya hanya sekerat dan melengkung berlubang-lubang bagaikan pintu gerbang. Terdapat sebuah binaan kayu yang beratapkan kayu berlian. Terdapat juga enam buah kolah pada masa itu dan setiap satunya berukuran kira-kira dua depa panjang dan 1 ½ depa lebar.

Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, barulah binaan itu dibaiki dan diperbesar seperti mana yang ada sekarang ( sebelum tambahan baru ) dengan ditambah tiang-tiang di ruang tengah bahagian dalam, dinding tembok simen, diadakan sutuh dan tiga buah menara. Pembinaannya pada masa itu dikelolakan oleh Tengku Muda Kemaman ( Tengku Panglima Besar ), dan tukangnya pula terdiri daripada orang-orang Melayu dan juga Cina. Tulisan-tulisan kasar yang terdapat di pintu masuk utama telah ditulis oleh Tengku Abdul Kadir bin Salim, manakala lukisan-lukisan kecil pula dilukis oleh Tuan Haji Abdul Rahman.

Mimbar yang ada sekarang dibuat oleh Encik Badul Kadir. Semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, perubahan besar telah dibuat dengan tambahan baru yang hampir sekali ganda luasnya dari bangunan asal dan penambahan alat-alat baru. Selain daripada tempat untuk beribadat, masjid ini juga digunakan untuk pelbagai aktiviti-aktiviti keagamaan.KE ATAS

Masjid Tengku Tengah Zaharah, Teluk Ibai, Kuala Terengganu

mapung.jpg (7147 bytes)

Gagasan pembinaan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Teluk Ibai, Kuala Terengganu merupakan cetusan idea Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Nama masjid tersebut sempena nama Al-Marhumah bonda baginda dan baginda telah berkenan menyumbangkan sebahagian daripada dana pembinaannya. Pemilihan lokasi di Teluk Ibai adalah sesuatu yang cukup tepat dan indah dengan kombinasi warna langityang terbuka, air yang memantulkan replikasi yang amat ceria dan putihan pasir pantai yang sekaligus memberi erti betapa keagungan syiar Islam terangkum dalam suatu bentuk tamadun yang terus berkembang.

Masjid ini telah dibina di atas tanah yang ditebusguna seluas 5 ekar di Teluk Ibai. Ia dapat menampung ahli qariah dan jemaah dari beberapa perkampungan sekitarnya serta juga para pengunjung dan juga musafir. Kedudukannya di tepi Jalan Sultan Mamud, 7 kilometer ke Kuala Terengganu cukup memikat para pelancong untuk menunaikan ibadat dan menghilangkan penat. Dengan landskap yang diilhamkan secara seni dan perkongsian idea senibina yang cukup harmoni, tambahan pula kelihatan diapungi air tasik yang jernih, Masjid Tengku Tengah Zaharah adalah jelmaan suatu gagasan yang amat padu, wajar dan berkomposisi secara saksama dan profesional.

Masjid yang bernilai RM 6.977 juta ini dimulakan pembinaannya pada September 1991 dan siap sepenuhnya pada pertengahan Februari 1994. Rekabentuk masjid ini diilhamkan oleh arkitek muda yang cukup berwibawa, Yang Mulia Raja Bahrin Shah dari Seni Bahri . Masjid ini telah dibina oleh Syarikat Sri Terukun Sendirian Berhad dibawah pengendalian Jabatan Kerja Raya Terengganu. Rekabentuknya menampilkan ciri-ciri tamadun Islam dengan kombinasi ciri-ciri senibina tempatan. Ia terbentuk daripada sebuah kubah utama dan beberapa kubah kecil serta sebuah menara yang merupakan mercu tanda setinggi 125 kaki. Keluasan lantainya ialah 25,282 kaki persegi dan mampu menampung antara 800 hingga 1,000 jemaah pada suatu masa. Dewan solat utama di tingkat bawah khusus bagi jemaah lelaki sementara jemaah wanita pula dikhaskan di tingkat atas.

Masjid ini mempunyai kemasan yang sederhana dengan ‘ ceramic tiles ’ dan marmar pada ruang laluan dan halaman, ikatan mosaic di tempat berwuduk dan bomanite paving di bahagian anjung. Ia teradun dalam suatu bentuk komposisi yang mampu melahirkan nilai estetika yang mempesonakan. Selain daripada ruang solat, terdapat juga lain-lain kemudahan seperti Bilik Rehat Di Raja, Mini Perpustakaan, Bilik / Pejabat Imam, dua buah setor, tempat wuduk serta diserikan dengan pelantar pada ruang laluan dan halaman.KE ATAS

Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu

muktafi.jpg (9664 bytes)

Masjid Al-Muktafi Billah Shah telah dibina di atas tapak seluas 3.3 ekar di tepi Jalan Sultan Mahmud bersebelahan dengan Hospital Kuala Terengganu. Tapak masjid ini asalnya tapak dewan orang ramai dan juga tanah perkuburan Hospital Kuala Terengganu. Perletakan batu asas Masjid Al-Muktafi Billah Shah telah dilakukan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan Malaysia pada ketika itu, pada awal bulan Julai 1978. Masjid ini dibina dengan rasminya pada 2 Mei 1981 dan telah siap sepenuhnya pada 2 November 1984 dengan menelan belanja sebanyak 8.2 juta. Masjid ini telah digunakan pada 23 November 1984 yang dimulai dengan solat Jumaat.

Hasrat penduduk di sekitar Kampung Ladang untuk mendirikan sebuah masjid yang selesa telah dikemukakan kepada pihak berkenaan pada tahun 1967 lagi melalui UMNO Cawangan Ladang, kerana Masjid Abidin, Kuala Terengganu tidak lagi dapat menampung ahli jemaah yang semakin meningkat. Pada tahun 1977, satu Jawatankuasa Penyelaras Pembinaan Masjid Ladang ( ketika itu ) telah ditubuhkan bagi mendesak dan merayu pihak kerajaan supaya pembinaan Masjid Ladang dipercepatkan.

Rekabentuk bangunan masjid ini dibuat oleh Encik Wan Shahriman dan pembinaannya dilaksanakan oleh Gabungan Pemborong Quarry Sendirian Berhad. Ukiran Awan Larat dan Khat Mimbar yang menghiasi masjid ini telah dihasilkan dan diusahakan oleh Balai Seni Ukir Wan Su, Besut.

Di sebelahan mihrab bangunan masjid ini terletak Makam DiRaja Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu yang ke-15. Al-Marhum baginda telah di makamkan di sini pada hari Jumaat, 15 Mei 1998 bersamaan 18 Muharram 1419.KE ATAS

Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu

mbanggol.jpg (8084 bytes)

Hasrat murni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang sentiasa bercita-cita mahu mengabadikan rumah Allah terpamer dengan terbinanya Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu apabila Al-Marhum berkenan membiayai dana pembinaan masjid tersebut. Masjid ini menjadi kebanggaan kepada lebih 1,000 orang penduduknya kerana berupaya menjadi pusat ibadat dan penjana budaya Islam sekaligus menggambarkan keprihatinan Al-Marhum dalam usaha meningkatkan keagungan Syiar Islam di kalangan rakyat.

Kedudukan masjid yang strategik, iaitu di tepi laluan utama Kuala Terengganu – Kota Bharu turut meletakkannya sebagai pusat ibadat dan penyebaran ilmu di mata masyarakat setempat dan ia juga tidak sunyi dari kunjungan pelawat yang singgah untuk beribadat.

Kos pembinaan masjid ini ialah sebanyak RM 1.65 juta termasuk kos penambunan semula tapak. Kerja-kerja pembinaannya dimulakan pada 22 Julai 1997 setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu yang bersidang pada 7 Safar 1417 bersamaan 23 Jun 1996. Kerja-kerja pembinaan yang siap sepenuhnya pada 1 September 1998. Kontraktor yang mengendalikan kerja ini ialah Syarikat Pembinaan Rafarjawan Sdn.Bhd. di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu.

Bangunan masjid yang tersergam indah di atas tapak seluas 2.1 ekar ini mampu memuatkan 500 – 600 orang jemaah pada satu masa. Malah ia sentiasa diimarahkan oleh penduduk setempat pada setiap waktu solat dengan aktiviti keagamaan dan kerohanian. Kehadiran jemaah juga amat membanggakan.

Pembinaan Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu ini memperlihatkan wujudnya kesinambungan usaha antara pemimpin, kerajaan negeri dan masyarakat tempatan dalam pengembangan syiar Islam dengan memanafaatkan fungsi masjid sebagai insitusi pemangkin ketamadunan ummah sejagat.         KE ATAS

BACK